Selalu kita dengar orang cakap, sayangnya belajar tinggi-tinggi tapi bila sudah kahwin tak bekerja hanya mengharapkan suami semata-mata. Dari situ, mulalah membandingkan surirumah dengan isteri bekerja untuk membantu keluarga.
Kalau dengar apa yang orang cakap tentang surirumah dengan isteri bekerja memang tak pernah habis. Bahkan ada yang cakap, surirumah ini tak berfikiran terbuka sebab hanya duduk di rumah, fokus pada keluarga dan tidak tahu tentang dunia luar.
Bagi surirumah dengan isteri bekerja, masing-masing ada kelebihan. Isteri yang bekerja, satu keuntungan sebab dapat membantu keluarga dan yang paling seronok, duit gaji yang dapat boleh gunakan untuk diri sendiri, apa-apa yang terasa nak, boleh guna duit sendiri.
Mungkin itulah yang selalu orang banding surirumah dengan isteri bekerja. Sedangkan kita tak tahu, ada isteri yang sanggup berkorban kerjaya dan gaji besar untuk jadi fokuskan kepada rumah tangga.
Begitu juga isteri yang bekerja, kita tak tahu dia kerja untuk membantu ringankan tanggungjawab. Masing-masing ada caranya dan sebab tersendiri.
Kita tak tahu, di sebalik yang berlaku, baik surirumah mahu pun isteri bekerja. Mereka ada cerita hidupnya tersendiri. Kita sebagai orang luar tidak perlulah mengata yang bukan-bukan atau memperlekehkan surirumah. Semuanya ada sebab.
Perkongsian daripada Suffiyah Ramadhani boleh dijadikan panduan buat kita semua. Memang apa yang dikatakan itu benar sekali, mereka ada cerita hidup masing-masing.
Surirumah Dengan Isteri Bekerja – Usah Perlekehkan
Kita ini sesama wanita berhenti la stereotyping dan saling menghina. Yang bekerja jangan perlekehkan surirumah, yang surirumah pun jangan perlekehkan yang bekerja atau yang cuba mencari income lebih.
Kadang aku baca sampai dah tahap menghina. Seolah-olah perempuan bekerja/cari duit sendiri/ bisnes di rumah kecil-kecilan ini hina sangat sebab kena tolong suami atau suka rela nak bantu kewangan keluarga atau senang hati nak bantu isi dapur.
Ads
Puan-puan, kita tak faham isi rumah sesebuah keluarga. Dengan masalah pandemik yang melanda sekarang, dengan anak-anak yang terpaksa dikawal pembelajaran di rumah, wang sangat-sangat diperlukan untuk lengkapkan apa yang kurang.
Isteri Bertuah
Banyak datang dari wanita surirumah yang sangat-sangat bertuah dapat suami tanggung makan minum semua, tanggung belanja pakai, bayar bil, belikan kereta. Betul, kalian sangat bertuah dapat suami bukan kaki pukul, bukan kaki perempuan atau kaki botol.
Tapi suami kalian cukup banyak duit dan bergaji penuh tak dibuang kerja lagi kan. Sebab tu kalian tersinggung sangat bila ada orang syorkan surirumah berniaga dan ada simpanan?
Mereka tersinggung bila ada yang ajak cari income sendiri tanpa berharap pada suami.
“Sampai bila nak harap duit suami”. Itu yg kalian sangat sakit hati. Mungkin kalian rasa terhina, seolah-olah tak berguna sebab harapkan duit suami.
Maafkanlah mereka ini, mereka juga mungkin dah tersalah beri kefahaman untuk wanita berdikari. Teruskanlah hidup kalian dengan rezeki kalian yang baik itu. Tak ada salahnya jadi surirumah tak berduit sendiri, jadi jangan terlalu bawa ke dalam hati
Mungkin mereka tak sedar, perkara tu mungkin tak ada kena mengena lansung pun dengan mereka. Tapi pada wanita lain, yang surirumah juga. Mungkin tak bahagia, yang ada masalah rumahtangga. Mungkin ayat tu terlalu direct untuk rekrut orang. Kalian terasa sebab seolah-olah kalian ini hina takde duit gaji. Tapi kalau suami kita memang nak beri semua, usahlah pakat-pakat terasa disindir. Bersyukurlah tanpa merendahkan sesiapa.
Hidup Berbeza, Buka hati
Buka mata hati kita.
Ads
Hakikatnya hidup kita berbeza. Ada surirumah yang dapat suami serba serbi hebat. Hari-hari up kat media sosial tentang betapa baik, kaya, berhartanya suami. Betapa bertanggungjawab dan bahagianya mereka. Indah-indah belaka.
Tapi di sisi dunia yang lain, ada wanita yang surirumah, tapi suami tak pernah beri nafkah. Setengahnya ada juga yang punya pengalaman getir, ada suami yang punya segalanya, tapi ditinggalkan demi wanita lain dan akhirnya tinggal sehelai sepinggang.
Masih ada lagi wanita, yang dulu suaminya tanggung semua, tapi akhirnya ditimpa ujian suami sakit kerana kemalangan lalu habis hartanya demi perubatan. Atau ada yang menjadi ibu tunggal dan balu. Semua ada.
Jadi kalau ada yang mengajak surirumah cari income dan kalian sudah cukup segala rezeki, janganlah pula menghamburkan hinaan itu pada wanita lain yang gigih cari rezeki, gigih bekerja sebab terpaksa kongsi duit nak beli beras, nak bayar bil.
Hanya Dia Yang Beri Rezeki
Rezeki kita milik Allah, bahagia juga milik Allah. Diaboleh beri dan dia boleh tarik semua.
Ada perempuan bekerja kerana dia juga perlu berkhidmat pada masyarakat dan gajinya juga lumayan. Dia pun ada peranan dan ada tanggungjawab mesti ditunaikan.
Tapi hakikatnya, lebih ramai wanita yang bekerja, sebab Allah takdirkan dia bernikah dengan suami yang biasa-biasa sahaja gajinya. Jodoh dia orang biasa yang tidak sekaya dengan suami orang lain. Tak mewah pun, tidak sekaya suami orang lain yang boleh sediakan apa sahaja demi untuk kita.
Mereka yang masih menumpang rumah mentua sebab nak sewa pun tak terdaya. Ada yang dah sewa tapi kena halau pula. Nak beli apa-apa pun kena kumpul duit bertahun. Cukup-cukup makan dan perlu sedikit bantuan dari isteri untuk nak cukupkan keperluan dan menjaga kebajikan anak-anak.
Ads
Suami dah bagi nafkah, tapi zaman ini sangat mendesak. Kita semua tahu tsemua itu. Adakah suami merekai ni hambakan isteri? Lalu beras, siapa nak beli?
Semua Allah dah tulis sebagai suatu rezeki. Bagi yang kerja dia pergilah kerja, yang duduk rumah dia duduklah rumah. Makan pakai semua suami tanggung.
Aku dulu ada juga suami yang serba serbi nampak sempurna. Bergaji besar, berpangkat, dan berduit sangat-sangat. Tapi aku dan anak ditinggalkan begitu sahaja demi wanita lain. Cuma aku bersyukur, diberi rezeki sebagai wanita berkerjaya.
Sementara aku nak uruskan semua di mahkamah, aku tak pernah kekurangan wang dan tidaklah aku ditindas dek nafkah tak berbayar kerana aku ada duit nak bayar peguam semua.
Sesuatu yang aku tak pernah jangka, aku juga pernah merasa hidupku sudah cukup sempurna suatu ketika dahulu, tiba-tiba aku diuji sebegitu. Subhana Allah.
Raikan Perbezaan
Beginilah. Tak nak join bisnes atau tak perlu join bisnes, tak payah nak rungsing atas apa-apa ajakan untuk rekrut. Jawab baik-baik.
Jangan tulis di laman sosial, eh duit laki aku lantaklah aku nak habiskan. Sedangkan aku baca di kala ini, cukup ramailah lelaki yang merintih tak dapat duit kwsp, yang susah kerana diberhentikan kerja, dihimpit hutang kawan-kawan, mungkin bakal dihalau dari rumah sewaan atau ada di antara itu suami kita ini kan.
Cerita hidup manusia tak sama. Ada orang rezekinya tak terputus banyaknya. Ada yang sikit sahaja. Raikanlah perbezaan ini. Bantu mana yang terdaya. Kalau tak mampu bantu kewangan, bantulah jangan menyakiti hati sesiapa. Beras rumah dia, dia kena beli sendiri kan.
Alhamdulillah. Hari ni mungkin belum kita diuji. Bersyukurlah dan jangan saling merendahkan.
Datang majlis orang, ambil makanan ikut suka. Tak habis, tinggal atas meja. Paling seram, boleh pula ambil makanan yang lain. Kalau macam ini sikap kita, macamana rezeki nak lekat.
Padahal, kita punyalah siang malam doa dekat tuhan moga dimurahkan dan dilebatkan rezeki. Tapi sendiri yang buang-buang dan membazir.
Hakikatnya, sikap membazir itulah yang buat rezeki jadi tersekat.
Banyak benarnya teguran pemilik Dewan Seri Hatinie, Azlien Donna Wan Pa ini. Perkongsiannya ringkas saja, tapi betul-betul menjentik rasa kita yang tanpa sedar kadang terbuat.
Mana Adab Tetamu Bila Ambil Makanan Dalam Majlis
Saya minta maaf betul-betul maaf.
Saya perlu berterus-terang. Terpaksa.
Bila hadir di suatu majlis. Deretan makanannya banyak. Ambil satu persatu.
Makan dulu main course. Lepas tu bangun ambil pula makanan lain. Ambil pula buah dan sebagainya.
Bila tuan-puan ambil semua jenis makanan serentak, tiba-tiba kenyang, makanan lebihan tadi ditinggalkan.
Tuan Rumah Bayar, Tapi Dibazirkan Tetamu
Kesian tuan rumah. Dia bayar makanan itu. Tapi dibazirkan oleh tetamu. Hormatilah rezeki.
Kita tidak perlu ditayangkan dengan video Palestin tak ada makanan atau Somalia kurus kering baru rasa insaf.
Ambil kuih sepinggan. Tak habis. Dia ambil tisu, buang atas kuih tadi. Padahal kuih itu masih elok lagi.
Kredit : syakirahkapli.com
Siang Malam Kita Minta Doa Murah Rezeki..
Ikutkan saya meniaga. Saya suka. Bila makanan tak cukup. Ada tambahan sales. Tapi saya kesian kepada tuan rumah yang risau makanan tak cukup. Berubahlah. Berubah.
Kalau kita buat macam tu kat orang. Time majlis kita nanti orang buat macam tu… kita pun sedih.
Siang malam kita minta doa murah rezeki.
Rezeki sampai kita pun buang.
Kenapa kita macam tu? Kenapa?
Tolonglah share. Dah lama menahan.
MW : Jadi lepas ini, kita sama-sama kena beringat. Kalau ke majlis orang, berpada-pada dalam bab ambil makanan yang nak dibubuh dalam pinggan. Jangan sampai jadi pembaziran. Pembaziran itu amalah syaitan, nanti Allah tak sayang.
Makna akan terhasil apabila seseorang dapat mengetahui dengan jelas tertib kedudukan setiap sesuatu dalam sebuah sistem dengan mengetahui hubungan antara setiap sesuatu dalam sistem tersebut.
Kefahaman ini membawa kepada pengenalan wujudnya Allah dalam susunan kewujudan. Apabila dikaitkan dengan diri, makna boleh difahami sebagai; bagaimana seseorang itu memahami kedudukan dirinya dalam sistem kewujudan dengan memahami kaitan dirinya dengan perkara lain yang wujud dalam sistem tersebut.
Ketahui Makna Dirinya
Dengan kata lain, orang yang mengetahui makna dirinya dalam konteks yang sebenar akan sentiasa merasa akan kewujudan Allah dalam setiap gerak gerinya. Hal ini kerana, dia sedar bahawa hakikat letak duduknya dalam tertib kehidupan selaku hamba Allah yang sentiasa perlu menjunjung segala titah perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya dan juga khalifah yang dilantik oleh Yang Maha Agung dengan segala tanggungjawab dan amanah kekhalifahan kepada makhluk-makhluk lain yang diwakilinya.
Bagaimanakah perkara ini dapat difahami? Bahkan bagaimana pula makna yang sebenar ini boleh dihayati? Jawapannya ialah dengan kembali semula merujuk dan menghayati setiap bait bicara kalamullah dalam Al-Quran dan segala sunah baginda Nabi s.a.w.
Hakikat kehidupan manusia ini dijadikan dengan penuh Latif (kelembutan) dan Rahman dan Rahim-Nya (kasih sayang-Nya). Allah SWT melantik kita sebagai khalifah-Nya di muka bumi dengan segala panduan yang disiapkan tidak cukup hanya dengan Firman-Nya malah didatangkan manual hidup yang menjelaskan segala firman-Nya melalui Rasulullah s.a.w. Daripada dua sumber inilah, kita perlu menghayati dan memberikan makna yang tepat untuk diri kita sendiri bahkan anak-anak kita.
Hakikat kejadian manusia yang dijadikan Allah sebaik-baik kejadian ini diawali dengan perjanjian yang termeterai secara individu dalam Jemaah umat manusia. Setiap daripada kita melafazkan ikrar bahawa Allah adalah Tuhan yang kita sembah.
Makna Diri Selaku Hamba Allah
Penyaksian ini dilakukan serentak dalam Jemaah umat manusia dengan lafaz “kami” menunjukkan betapa kita komited untuk menjalankan perjanjian ini secara kolektif. Di sini makna diri individu selaku hamba Allah dan khalifatullah telah sama-sama kita ucapkan. Hari perjanjian awal atau asal ini adalah hakikat yang kita sama-sama nantikan kesinambungannya di hari mahsyar kelak di mana penyaksian kita tadi akan diaudit semula sejauhmana perlaksanaannya.
Namun, sewaktu di sana nanti, kita harus mendepaninya secara individu. Justeru, keadaan ini harus difahami dengan rahmat Allah yang sentiasa memberikan kita ruang dan peluang dalam kehidupan yang berjemaah ini untuk kita sama-sama mengukuhkan iman dan meletakkan batu asas yang kukuh untuk mengekang nafsu dan hasutan syaitan durjana.
Fahami Diri Dalam Konteks Makna Sebenarnya
Di sini wujudnya peranan selaku ketua keluarga, ibu, anak, pak cik, makcik, atuk, nenek, sahabat sehinggalah kepada pemimpin masyarakat. Apabila setiap individu dapat memahami dirinya dalam konteks makna yang sebenar dia akan sentiasa meletakkan dirinya sebagai hamba Allah yang sentiasa mengharap kepada-Nya dan menjalankan tanggungjawab khalifah dalam platform-platform yang telah disediakan dengan sehabis baik kerana dia menyedari hakikat dirinya yang sedang menjalankan perjanjian dan akan diaudit semula apabila waktunya tiba kelak.
Jadi, semua individu akan berusaha memperbaiki diri dengan melakukan islah dan mengislahkan orang lain malah sentiasa menjalankan dakwah untuk sama-sama menuju kepada Allah SWT.
Dipasakkan Dalam Diri
Oleh yang demikian, makna diri yang benar ini harus dipasakkan dalam diri anak-anak kita. Mungkin sukar dari segi teoritikalnya namun dari segi komitmen pengamalan yang kita sendiri lakukan.
Pelaziman yang baik dalam konteks tarbiyah kepada anak-anak adalah cara yang terbaik terutama bagi anak-anak yang berumur 7 tahun ke bawah. Pelaziman ini harus dibantu dengan contoh yang banyak dalam persekitaran. Ibu ayah harus komited menunjukkan contoh di samping itu, suasana keluarga, persekitaran sekolah dan rakan-rakan yang berhampiran dengan anak-anak juga harus dipastikan.
Persekitaran ini harus kita berusaha untuk memilih beserta doa dan tawakal yang padu kepada Allah SWT. Kerangka faham diri Islam itu harus tergambar dalam mindanya agar dia membentuk pemikiran yang seiring dengan faham tersebut. Ini kerana, dengan kefahaman ini akan membentuk dan mempengaruhi jati diri, perwatakan dan tingkah laku anak. Allahuallam.
Pening kepala melihatkan rumah yang bersepah dengan keadaan dapur yang juga berselerak. Penat bekerja juga masih tidak terlerai, inikan pula melihat rumah yang kacau bilau. Itulah situasi yang sering melanda mak-mak dengan anak yang lebih daripada dua. Tambahan pula tiada pembantu di rumah, semuanya perlu dilakukan sendiri. Jangan panik dan jangan putus asa, cubalah tips di bawah untuk urusan rumah tangga yang lancar dan menggembirakan.
1. Sentiasa tersenyum dan bersikap positif.
Tetaplah tersenyum baik pada pasangan juga pada anak-anak anda. Si kecil akan lebih mudah diajak bekerja sama dan gembira mendengarkan perkataan yang baik-baik daripada mulut ibu mereka. Jangan panik dan jangan mula membebel. Membebel akan buat anda tambah stress!
2. Berkongsi tugasan
Tiada pembantu di rumah kedengaran agak mustahil untuk ibu seorang melakukan tugas rumah tangga. Kalau dapat suami yang tak perlu suruh dah buat, bonus untuk anda, tapi kalau yang perlu diketuk baru buat, jangan segan silu nak minta tolong. Buang sampah, masukkan kain dalam mesin basuh dan ampaikan, basuh bilik air dan sebagainya mungkin boleh diberikan tugas tersebut kepada suami. Selain melibatkan pasangan jangan lupa untuk libatkan juga anak-anak kecil anda.
3. membuat jadual harian
Menguruskan rumah tangga tanpa pembantu sebenarnya ada kebaikan juga. Ia membantu si kecil anda supaya lebih berdisiplin, teratur, pandai membahagikan masa di samping menggalakkan perkembangan motor mereka. Cuba buatkan jadual harian untuk si kecil anda bagi tempoh seminggu. Misalnya buat si kecil yang berusia 2-4 tahun, antara kerja rumah yang boleh anda bagi untuk mereka adalah seperti mengemas permainan mereka, memasukkan pakaian bersih yang telah dilipat ke dalam almari dan juga membantu menyiapkan meja makan. Setiap tugasan yang dibuat dengan baik selama seminggu berturut-turut wajar untuk anda memberikan mereka ganjaran yang bersesuain. Dengan cara tersebut, anak-anak tentu lebih teruja untuk terus membantu anda.
4. libatkan anak sesuai dengan umur mereka
Si kecil anda pasti gembira dapat membantu mama di rumah. Untuk anak yang lebih besar latihlah mereka untuk mengemas tempat tidur sendiri, meletakkan pakaian kotor di dalam bakul yang disediakan, menyidai tuala yang telah digunakan dan sebagainya. Ia sedikit sebanyak mengajar mereka untuk lebih berdisiplin dan teratur dalam kehidupan seharian dan juga sebagai persediaan untuk mereka meningkat dewasa.
5. Jangan menaruh harapan yang tinggi
Meminta bantuan si kecil di bawah umur 6 tahun. Jadi tak perlulah anda menaruh harapan yang terlalu tinggi buat mereka. Walaupun rumah masih lagi berselerak sekurang-kurangnya si kecil anda sudah boleh membantu. Mungkin tidak sesempurna anda tugasan yang diberikan kepada mereka tetapi ia sedikit sebanyak membuatkan anda rileks kerana si kecil boleh menguruskan urusan kecil mereka sendiri.
6. Tiada yang sempurna
Walaupun anda telah melakukan yang terbaik untuk mengatur rumah dengan anak-anak kecil, namun percayalah tiada seorang pun yang sempurna. Ada ketikanya apa yang direncanakan tidak berlaku seperti yang kita harapkan. Yang penting anda jangan panic dan lakukan apa sahaja yang anda buat dalam kemampuan anda, bukan untuk menunjuk-nunjuk atau merasa hebat. Paling penting anda punya keluarga yang harmoni dan bahagia. Itu pastinya melengkapi kehidupan anda.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebagai seorang wanita pada realitinya banyak pengorbanan yang perlu dilalui termasuklah dalam mengharungi dunia percintaan. Begitu juga dengan watak Radwa yang mengajar kita bahawa...