Pening kepala melihatkan rumah yang bersepah dengan keadaan dapur yang juga berselerak. Penat bekerja juga masih tidak terlerai, inikan pula melihat rumah yang kacau bilau. Itulah situasi yang sering melanda mak-mak dengan anak yang lebih daripada dua. Tambahan pula tiada pembantu di rumah, semuanya perlu dilakukan sendiri. Jangan panik dan jangan putus asa, cubalah tips di bawah untuk urusan rumah tangga yang lancar dan menggembirakan.
1. Sentiasa tersenyum dan bersikap positif.
Tetaplah tersenyum baik pada pasangan juga pada anak-anak anda. Si kecil akan lebih mudah diajak bekerja sama dan gembira mendengarkan perkataan yang baik-baik daripada mulut ibu mereka. Jangan panik dan jangan mula membebel. Membebel akan buat anda tambah stress!
2. Berkongsi tugasan
Tiada pembantu di rumah kedengaran agak mustahil untuk ibu seorang melakukan tugas rumah tangga. Kalau dapat suami yang tak perlu suruh dah buat, bonus untuk anda, tapi kalau yang perlu diketuk baru buat, jangan segan silu nak minta tolong. Buang sampah, masukkan kain dalam mesin basuh dan ampaikan, basuh bilik air dan sebagainya mungkin boleh diberikan tugas tersebut kepada suami. Selain melibatkan pasangan jangan lupa untuk libatkan juga anak-anak kecil anda.
IKLAN
3. membuat jadual harian
Menguruskan rumah tangga tanpa pembantu sebenarnya ada kebaikan juga. Ia membantu si kecil anda supaya lebih berdisiplin, teratur, pandai membahagikan masa di samping menggalakkan perkembangan motor mereka. Cuba buatkan jadual harian untuk si kecil anda bagi tempoh seminggu. Misalnya buat si kecil yang berusia 2-4 tahun, antara kerja rumah yang boleh anda bagi untuk mereka adalah seperti mengemas permainan mereka, memasukkan pakaian bersih yang telah dilipat ke dalam almari dan juga membantu menyiapkan meja makan. Setiap tugasan yang dibuat dengan baik selama seminggu berturut-turut wajar untuk anda memberikan mereka ganjaran yang bersesuain. Dengan cara tersebut, anak-anak tentu lebih teruja untuk terus membantu anda.
IKLAN
4. libatkan anak sesuai dengan umur mereka
Si kecil anda pasti gembira dapat membantu mama di rumah. Untuk anak yang lebih besar latihlah mereka untuk mengemas tempat tidur sendiri, meletakkan pakaian kotor di dalam bakul yang disediakan, menyidai tuala yang telah digunakan dan sebagainya. Ia sedikit sebanyak mengajar mereka untuk lebih berdisiplin dan teratur dalam kehidupan seharian dan juga sebagai persediaan untuk mereka meningkat dewasa.
IKLAN
5. Jangan menaruh harapan yang tinggi
Meminta bantuan si kecil di bawah umur 6 tahun. Jadi tak perlulah anda menaruh harapan yang terlalu tinggi buat mereka. Walaupun rumah masih lagi berselerak sekurang-kurangnya si kecil anda sudah boleh membantu. Mungkin tidak sesempurna anda tugasan yang diberikan kepada mereka tetapi ia sedikit sebanyak membuatkan anda rileks kerana si kecil boleh menguruskan urusan kecil mereka sendiri.
6. Tiada yang sempurna
Walaupun anda telah melakukan yang terbaik untuk mengatur rumah dengan anak-anak kecil, namun percayalah tiada seorang pun yang sempurna. Ada ketikanya apa yang direncanakan tidak berlaku seperti yang kita harapkan. Yang penting anda jangan panic dan lakukan apa sahaja yang anda buat dalam kemampuan anda, bukan untuk menunjuk-nunjuk atau merasa hebat. Paling penting anda punya keluarga yang harmoni dan bahagia. Itu pastinya melengkapi kehidupan anda.
Mak mentua sering kali dikatakan bermasalah dengan menantu perempuan. Kenapa ye? Selepas kahwin, status seorang anak akan bertukar menjadi suami/isteri orang. Suka atau tidak, rela atau terpaksa, mak ayah kena terima hakikat itu. Bahkan mereka kena sedar, kini ada individu lain yang menjadi keutamaan dan tanggungjawab si anak.
Sering kali terjadi konfilik antara mak mentua dengan menantu perempuan, lebih-lebih lagi si anak adalah anak lelaki kesayangan. Mak Mentua seolah-olah tak dapat terima hakikat bahawa anaknya kini di bawah tanggungjawab isterinya untuk dijaga makan minumnya.
Isteri pula kena ingat. Sekiranya tinggal bersama mentua, jangan ambil mudah soal layanan terhadap suami walau pun mungkin segalanya diuruskan oleh mak mentua, seperti kebiasaan. Kena ingat ye, peranan mak dan isteri berbeza.
Kes 1:
“Dia komen saya tak masak, saya bangun tidur lambat.”
“Pukul berapa awak bangun?”
“Saya bangun biasa dalam 6.30 pagi kadang-kadang 6.50 pagi, pernah la awal sesekali pukul 6 pagi. Mak dia yang memang suri rumah memang biasa dah bangun lebih awal siapkan semuanya. Dia marah sebab saya tak tolong. Dah kami duduk sekali dengan mak dan mak dia pulak memang dah sediakan semuanya. Takkan saya nak masuk campur lagi…”
Kes 2:
“Saya nak masak untuk suami. Saya tak kata saya ni pandai masak tapi nak la jugak suami rasa air tangan saya tapi Mak mentua larang, tak bagi saya masak. Dia kata dia tau selera anak dia. Dia yang besarkan anak dia. Saya nak sediakan air untuk suami pun dia larang. Saya pernah suarakan kat suami tapi suami suruh sabar, biar ja mak nak buat.”
Berbeza Situasi Tapi Kes Sama
Dua kes berbeza dengan fakta sama – memasak untuk suami. Dalam kes pertama, si suami berhasrat untuk berkahwin lagi kerana merasakan diri tidak dilayan oleh si isteri dengan sebaik mungkin.
Dalam kes kedua pula, si isteri resah bila merasakan diri tidak berpeluang untuk melaksanakan tanggungjawab yang perlu buat si suami kerana dilarang oleh ibu mertua sendiri.
Realitinya, perkahwinan bukan saja menukar status seseorang dari bujang kepada beristeri atau bersuami sebaliknya juga menukar dan mengubah harapan dan juga kehendak.
Dalam kebanyakan kes, setelah seorang lelaki berkahwin, segala perkara berkaitan dirinya seperti penyediaan makan minum, penjagaan tika sakit, penyediaan pakaian malah apa saja kehendak dan kemahuannya sememangnya mahukan agar dilaksanakan oleh isterinya sendiri.
Malah memang itu juga fitrahnya hubungan antara suami dan isteri yang diamalkan sejak dulu malah dicadangkan oleh syariat. Ulama menjelaskan, jika seorang isteri menyediakan air untuk si suami dengan erti kata memberi khidmat buat si suami dengan melayan suami dengan baik, maka si isteri akan diberikan pahala.
Tika ini, ibu tidak lagi memegang peranan untuk menyediakan segala keperluan tersebut. Isteri yang dipertanggungjawab oleh syariat untuk menjaga kebajikan si suami merangkumi segala perkara yang telah saya sebutkan tadi.
Dalam kebanyakan kes juga, isteri selalunya faham dan bersedia untuk memberikan yang terbaik buat suami. Ibu juga, tidak dinafikan sememangnya selalu berusaha untuk berikan yang terbaik buat si anak, biarpun anaknya telah dewasa dan berkahwin. Namun, perlu fahami peranan anda yang tersendiri.
Peranan Mak Dan Menantu
Isteri; punyai peranan tersendiri – menjaga kebajikan suami termasuk menyediakan makan minum suami jika suami telah menyediakan asas kepada penyediaan makan minum tersebut. Isteri juga bertanggungjawab menjaga suami ketika suami sakit, seperti Rahmah,isteri Nabi Ayub menjaga baginda tika sakit tenat.
Mak; juga punyai peranan yang tersendiri – menjaga kebaikan anak bermula si anak lahir kemudian dewasa dan ter’pause’ sebentar selepas si anak berkahwin.
Boleh nak mengambil berat mengenai kebajikan si anak, tetapi jangan sampai mengganggu atau mengambil alih peranan dan tugas serta tanggungjawab seorang ibu.
Lepas Kahwin, Jangan Buat Suami Serba Salah
Tapi mak sayangkan anak! Jangan lupa, isteri pun sayangkan suaminya!! Lantas andai sama-sama sayang, jangan jadikan orang yang anda sayang berada dalam keadaan tertekan dan serba salah.
Perlu difahami! Keutamaan ketaatan anak lelaki tidak pernah berubah; kekal kepada ibunya. Biarpun begitu, anak lelaki yang berkahwin mempunyai peranan dan tanggungjawabnya yang tersendiri juga kepada isteri dan anak-anaknya.
Mak Bantu Anak Tunai Tanggungjawab Pada Keluarganya
Jika benar sayangkan anak lelaki anda; bantu anak lelaki anda untuk menjadi seorang suami yang bertanggungjawab kepada isteri dan anak-anaknya. Jangan salah guna kuasa anda sebagai ibu hingga jadikan anak lelaki anda seorang suami yang gagal melaksanakan peranannya dan menerima azab atas kegagalan tersebut di akhirat nanti.
Menantu anda juga mempunyai hak ke atas anak anda! Jangan rampas hak tersebut! Belajarlah berlapang dada menerima ketentuan-Nya, anak anda telah beristeri dan anda perlu melepaskannya ke tangan isterinya pula! Berdoa agar perkahwinan anak anda kekal bahagia hingga ke akhirat dan anak anda kekal menjadi anak anda yang soleh! Insya-Allah! Anda akan menerima seorang lagi anak solehah!!
Rajin-Rajinlah Masuk Dapur
Khusus buat isteri yang liat nak ke dapur, nak sediakan makan minum untuk suami – dengan syarat si suami laksanakan tanggungjawab sediakan keperluan yang sewajarnya, berwaspadalah!
Jangan sampai menyesal belakang hari. Kata orang tua kita, air tangan itu mampu menjalin kasih. Gunakan lah anugerah percuma dari Yang Esa untuk lebih menambat cinta suami kepada anda ya…
Tak ada anak orang bisik-bisik dan ada anak ramai pun orang jeling-jeling. Agaknya bila boleh puaskan hati semua pihak ya? Haa… inilah yang kaum wanita akan lalui selepas sah jadi bini orang.
Nak ke mana-mana pun, kena kuatkan mental fizikal untuk tadah soalan-soalan maut daripada orang sekeliling. Yang ‘prihatin’ terlebih satu hal, lepas tu bersambung pula dengan yang suka membawang bab anak ramai. Letih, aiiihh!
Situasi ini dilalui oleh seorang ibu beranak sembilan, Puan Juriah Halimatun Ahmad, bila nak keluar makan pun orang pandang-pandang. Itu biasa. Mesti ada mak-mak yang teruja nak tahu rahsia wanita ini menjaga anak-anaknya, nah jemput baca!
Cerita Ibu Anak Ramai
Selalu Mama Fatim perhati, almost setiap kali pergi ke restoran menjamu selera bersama 9 anak-anak dan satu suami tu, mesti ada mata-mata yang melirik- lirik mengira jumlah budak-budak ni.
Apa? Tak pernah tengok orang beranak ramai ke? Tak pun pelik sebab tengok mummynya ni dan ayahnya muda kot?
Alhamdulillah, bukan senang ada anak ramai-ramai oii.. Tapi Allah dah bagi kami begitu. Ujian kami begitu bentuknya. Sungguh, memang Mama Fatim tak terjangka pun ada anak seramai ini masa baru kahwin.
Anak-anak kami bukannya setahun satu, tapi ada juga yang awal tahun contohnya Januari 2003, kemudian keluar adiknya November 2004. Ada yang Februari 2007, kemudian hujung November 2008. Tapi secara puratanya dalam 2-3 tahun selang.
Terus terang Mama Fatim cakap, bukan senang ada anak ramai. Kena ada persediaan mental dan fizikal. Bukan duit semata-mata, tapi hati dan perasaan pun kena kuat. Bila setiap anak lahir, mulalah tak tidur malam, anak-anak nak berkepit 24 jam. Tidur tak lena, mandi tak basah, makan pun tak kenyang ye. Ingat tu!
Dah start sekolah dan mula remaja, lain pulak cerita nya.
Memang setiap anak-anak tu ada rezekinya masing-masing, tapi kena ingat, kita lah yang bertanggungjawab sepenuhnya. Sebab itu amanah Allah tau! Banyak sangat tanggungjawabnya. Nanti kalau kena tanya kat akhirat esok, Mama Fatim tak tau.. Haha.
Suami Jenis Prihatin Dan Uruskan Anak-anak
Alhamdulillah… dah beranak 9 ni, Mama Fatim ada bagitahu pada suami. Sebenarnya dia sangat ok, suami yang bertanggungjawab, makan minum jaga, anak jaga sama-sama, register pindah sekolah, atau nak bersekolah, dia yang register, malam pun bangun juga buatkan susu, basuh berak anak, mandikan anak, anak buat perangai dia pun jaga sama.
Setiap kali bersalin pun sama-sama duduk dalam bilik bersalin. Tak tidur malam juga tunggu Mama Fatim nak bersalin. Malahan 8 daripada anak-anak Mama Fatim ni lahir di hospital swasta. Anak-anak pun setakat ni alhamdulillah, kami jaga sedaya upaya. Tak kisah lah upah bibik atau hantar taska. Bila macam tu, ok lah kan, Mama Fatim beranak ramai?
Dulu, Mama Fatim makan gaji tapi berhenti bila anak masuk 5 orang. Sekarang ni kerja sendiri dengan masa yang lebih flexible, supaya pada masa yang sama, dapat juga tengok-tengok kan anak-anak tu. Pada yang sama, ada la juga elaun jadi suri rumah ni. Dan Mama Fatim tak sabar ni nak tunggu kwsp untuk suri rumah pulak ni. Bila la yek. Jadi, ok lah kan beranak ramai pun. Jaga anak pun sama-sama.
Tapi Mama Fatim bagitahu dia juga, kalau lah anak-anak ni Mama Fatim yang jaga semua, siang malam mama yang buat, malam tak lena tidur, siang lagi asyik menempel si baby nya, klinik pun kita yang nak hantar cucuk, makan minum pun cukup-cukup aje, perangai anak pun kita yang nak jaga. Sampai satu peringkat kita minta emak ayah pulak tolong sebab dah tak mampu dari segi upah pengasuh dan sebagainya. Mama Fatim bagitahu, mama hanya sanggup beranak 3 orang je paling ramai. Kalau semua-semuanya kita yang buat, biarlah tak payah ramai-ramai.
Itu pun, kadang-kadang Mama Fatim termengeluh juga sebab penatnya tak terkata. Astagfirullahala’zim.. Dan sekarang cukup lah 9 orang. Mental dan fizikal takat tu je. Badan sendiri pun nak kena jaga juga kan.
Jangan Serahkan Satu Pihak
Pesan supermom ini lagi, jangan main-main soal anak ramai. Tak kisahlah nak beranak ramai-ramai pun, tapi yang penting suami isteri kena bertanggungjawab sepenuhnya segala-galanya. Bukan satu pihak sahaja yang kena bertanggungjawab. Nanti Allah tanya kita semula.
Kalau rasa tak mampu nak beranak ramai, sebab tanggungjawabnya kena kuat mental, fizikal dan kewangan, pandai-pandai lah jaga diri. Zaman sekarang dah tak sama macam dulu-dulu.
Buat mak ayah,didiklah anak sebaiknya dengan cara yang betul. Kawallah emosi tatkala berhadapan dengan anak-anak. Tegurlah dan perbaikilah sikap anak-anak mengikut peringkat usia mereka.Seharusnya ketegasan mak ayah itu perlu, namun hendaklah bertempat.
Tidak dapat dinafikan sebagai mak ayah, adakalanya kelakuan anak-anak memang mampu menguji kesabaran yang maksima.Ketika ini, pertimbangan dan kewarasan fikiran harus didahulukan berbanding mainan emosi.Anak-anak perlukan teguran melalui kasih sayang, secara baik, bukannya melalui herdikan mahupun tengkingan yang mampu mencalar emosi dan perkembangan mereka.
Semoga secebis perkongsian oleh Ustaz Ws Adli W Muhammad ini mampu dijadikan pengajaran dan iktibar buat kita.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Kata Kasar Dengan Anak Usia 4 Tahun
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun. Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Ego Dengan Anak
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul.
Katanya:
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Tegas Tidak Bertempat
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Kawal Emosi Dengan Anak
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Suami kalau nak menggembirakan hati isteri, tak perlu pun beri hadiah yang mahal-mahal. Ketahuilah wahai para suami, dengan sedikit kudrat yang anda sumbangkan mampu membuatkan si isteri tidur dengan hati berbunga-bunga.