Setiap individu pasti akan melalui fasa penuaan apabila tiba waktunya. Namun perkara tersebut tidak sama dilalui oleh wanita ini, yang kelihatan lebih tua daripada usianya yang sebenar.
Tak terbayang perasaan apabila menghadapi keadaan sebegini. Walaupun usia masih muda, tapi keadaan fizikal tua, mengalami kulit kendur, berminyak dan sendi otot lemah.
Dermatosparaxis Ehlers-Danlos Syndrome (EDS)
Seorang model kelihatan lebih tua daripada usianya apabila kulitnya kendur akibat menghidapi penyakit Dermatosparaxis Ehlers-Danlos Syndrome (EDS).
Meskipun terkejut dengan perubahan drastik kulitnya, Sara Geurts, 28, tidak menjadikan penyakitnya halangan untuk menjadi seorang model dua tahun lalu.Gadis dari Minneapolis, Minnesota memiliki kulit yang lembut, kendur, berminyak selain sendi ototnya lemah akibat penyakit itu.
Memulakan kerjayanya pada 2017, Sara memberitahu, dia sentiasa positif dan sering memuat naik gambarnya di media sosial hingga mendapat perhatian netizen.
Ads
Kesihatan Merosot
Sara kini memiliki peminatnya tersendiri dan hampir 80,000 pengikut di Instagram miliknya. Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, kesihatannya Sara semakin merosot.
“Saya tidak lalu makan hingga hilang berat badan kira-kira enam kilogram. Ramai kenalan mengambil berat tentang saya. Mereka risau melihat saya kurus,” katanya mengetahui penyakit itu ketika usia 17 tahun.
Ads
Katanya, ketika berada di sekolah, dia sedaya upaya menyembunyikan perubahan drastik anggota badannya dan mengelakkan dari menjadi mangsa buli.
“Saya tidak mahu rakan tahu penyakit saya dan tidak berminat untuk memberitahunya.
“Namun ketika usia 22 tahun, saya mula sedar sampai bila saya perlu sembunyikan penyakit ini, hinggalah pada tahun 2015, saya memuat naik gambar di ‘Tumblr Page’ ‘Love Your Lines’.
Ads
“Maklum balas sangat luar biasa dan lebih 25,000 individu menyukainya,” katanya.
MW: Kasihannya, namun kagum dengan semangat wanita ini.Tetap yakin dan positif dalam menghadapi kekurangan diri.
Dugaan besar buat keluarga apabila kehilangan orang tersayang dengan kejam, lebih-lebih lagi pada bulan puasa ini.Misteri kehilangan kehilangan Ketua Jururawat Hospital Serdang Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40 sejak 8 Mei lalu terungkai susulan penemuan mayatnya ditemui dengan kesan kecederaan di leher dan dada,dalam sebuah unit kondominium dekat sini, semalam.
Mayat ditemui pemilik unit kondominium berkenaan yang datang ke unit itu bersama dua pekerja penyelenggara untuk membaiki mesin basuh yang rosak, kira-kira jam 2.30 petang.
“Difahamkan, Siti Kharina sebelum ini membuat aduan kepada tuan rumah mengenai kerosakan yang berlaku di rumahnya. Jadi, pemilik rumah datang untuk membaikinya, namun Siti Kharina tidak menjawab panggilan telefon.
“Disebabkan itu, pemilik rumah cuba membukanya menggunakan kunci pendua sebelum menemui kesan darah di lantai dan dinding serta bau busuk lalu menghubungi polis,” katanya.
Awal pagi tadi, polis menahan seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita Nigeria bagi membantu siasatan kes bunuh Siti Kharina.Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang wanita warga Nigeria di Taman Damai Indah, Cheras, pada jam 3 pagi tadi, sebelum menahan seorang lagi lelaki warga Pakistan di Taman Sri Rampai, Setapak, di sini, sejam selepas itu.
Pada masa ini, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut bagi membolehkan polis mengenal pasti motif utama kejadian pembunuhan itu.
Kedua-dua mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, untuk siasatan lanjut mengikut Seskyen 302 Kanun Keseksaan.Selain itu, polis juga sedang mengesan saki baki suspek lain yang mungkin turut terbabit dan bersubahat dalam kejadian ini.
Sebelum ini, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang, dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lalu.
Siti Kharina sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun yang kini menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Kes masih dalam siasatan.
Sementara itu, adik kepada mangsa, Khairani Kamarudin turut memaklumkan jenazah kakaknya akan dikebumikan di Kg. Tengah Seri Menanti selepas asar hari ini.
Siti Kharina disifatkan seorang yang peramah dan mesra dengan penghuni lain.Seorang penduduk yang enggan dikenali, berkata Siti Kharina sangat peramah dan baik serta bermurah hati apabila sering dilihat memberi makanan atau minuman kepada pengawal keselamatan di kondominium berkenaan.
“Dia menetap di sini sejak awal Januari lalu dan sangat baik serta ramah dengan pengawal keselamatan dan penduduk di sini. Berita kehilangan dan kematiannya amat mengejutkan,” katanya ketika ditemui di kondominium itu, hari ini.
Sementara itu, penduduk terbabit berkata, dia tidak mendengar bunyi bising atau bau busuk dari rumah terbabit sehinggalah ia dibuka oleh pemilik unit kediaman berkenaan.
MW: Salam Takziah buat keluarga mangsa. Semoga diberi kesabaran dalam menghadapi dugaan ini, lebih-lebih pada bulan puasa. Semoga roh allahyarham ditempatkan dikalangan orang beriman.
Setiap kali Ramadan akan melabuhkan tirai, kita berdoa meminta Allah SWT lanjutkan usia serta dianugerahi kesihatan yang baik, mudah-mudahan dapat bertemu Ramadan akan datang. Ya, kita jarang memohon doa seumpama itu pada waktu-waktu lain, namun Ramadan mempunyai daya tarikan tersendiri untuk kita berbuat demikian.
Itulah kemuliaan Ramadan. Kehadirannya amat dinantikan setiap muslim mukmin yang faham erti kemuliaan Ramadan bagi meraih kebahagiaan hidup duniawi dan ukhrawi, meraih pahala berlipat kali ganda.
Ramadan memberi peluang untuk setiap muslim mukmin meraih ganjaran daripada Allah SWT demi mencari kejayaan dan kebahagiaan yang hakiki lagi abadi. Sejak awal bulan Rejab lagi Rasulullah s.a.w menyuruh umatnya berdoa, “Ya Allah, berkatilah hidupku pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah aku (untuk terus hidup) ke bulan Ramadan.”
Maka sangat beruntung bagi insan-insan yang diberi kesempatan hidup pada bulan Ramadan kali ini. Rasa syukur itu harus dibuktikan dengan amal soleh yang disyariatkan Islam bagi memenuhi ruang masa di sepanjang Ramadan yang penuh kemuliaan ini.
Ramadan memperlihatkan tentang ketinggian kasih sayang (sifat al-Rahman dan al-Rahim) Allah SWT kepada manusia. Ramadan dengan segala kebaikannya dianugerahkan khusus untuk umat Nabi Muhammad s.a.w yang amat dikasihi-Nya, umat akhir zaman yang singkat usia tetapi boleh menyamai amalan umat terdahulu yang panjang usia mereka.
Sebulan Ramadan merupakan puncak limpahan kasih sayang Allah SWT untuk semua insan khusus kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas berkorban demi mencari keredaan-Nya. Manusia dan dosa memang tidak dapat dipisahkan. Sempena kedatangan Ramadan, Allah SWT menawarkan peluang pengampunan dosa untuk setiap hamba-Nya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh mahukan segala kesalahannya diampunkan. Mereka menyedari bahawa pengampunan dosa daripada Allah SWT merupakan limpahan kasih sayang-Nya.
Makanya tempoh sebulan Ramadan merupakan peluang terbaik untuk setiap insan kembali membersihkan diri daripada dosa dengan bertaubat kepada-Nya. Ini peluang untuk insan kembali kepada sifat fitrah yang pernah dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w seumpama seorang bayi yang baru dilahirkan ke muka bumi.
Teringat kita kepada hadis Rasulullah s.a.w yang sangat masyhur tentang Ramadan, “Bulan Ramadan, awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya keselamatan daripada azab api neraka”.
Sabda baginda yang lain, “Barang siapa berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”
Justeru itu, rebut peluang ini dengan memperbanyakkan istighfar, memohon keampunan atas kesalahan dahulu. Segala kesalahan mohon Allah SWT ampunkan, yang kecil, yang besar, yang dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja. Maka mohonlah keampunan dengan sepenuh keinsafan serta menanam keazaman untuk tidak mengulanginya lagi.
Setiap insan pasti akan kembali menghadap Ilahi suatu hari nanti. Atas maksud itu, setiap insan harus berusaha memperbanyakkan amal soleh sebagai bekalan untuk kehidupan ukhrawi nanti.
Ambil peluang yang ditawarkan pada bulan Ramadan ini dengan ganjaran kebaikan yang tiada pada bulan-bulan yang lain. Rebut lah segala kelebihan yang dijanjikan Tuhan di sepanjang Ramadan. Allah SWT kurniakan Lailatul Qadar di mana ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan.
Rasulullah s.a.w memotivasikan para sahabat dengan menyebut bahawa pahala ibadah digandakan sehingga seribu kali ganda, pahala amal sunat digandakan menjadi pahala wajib. Pintu syurga dibuka luas dan pintu neraka ditutup rapat.
Semua iblis dan syaitan dibelenggu supaya tidak ganggu manusia. Sehubungan itu, selalulah bermuhasabah tentang matlamat asal kehidupan ini. Matlamat yang kita ingin capai adalah kehidupan akhirat yang hakiki dan kekal abadi. Awasi diri agar tidak tertipu oleh kehidupan duniawi yang sementara dan penuh tipu-daya ini. Kekalkan diri secara istiqamah dengan matlamat hidup yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
Justeru itu, kedatangan Ramadan kali ini perlu disambut dengan kesyukuran dan kegembiraan kerana Allah SWT masih mengasihi kita. Kegembiraan hati ini merupakan lambang keyakinan dan keikhlasan kita menghambakan diri kepada-Nya. Mohonlah agar kita direzekikan kekuatan fizikal, emosi dan spiritual untuk beramal soleh di sepanjang Ramadan tahun ini, insya-Allah.
Artikel sumbangan: Dr. Muhammad Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi RMJ Holistic Solution, yang juga kolumnis ruangan Mencari Keredaanmu di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sebut saja nama Hathim Thai tentu artis, selebriti mahu pun karyawan akan teringat sentuhan magisnya dalam solekan. Amy Mastura, Ziana Zain, Jacyln Victor, Faizal Tahir dan pengalaman dengan produksi filem terkenal seperti S Motion Pictures, Grand Brilliance, Tayangan Unggul dan banyak lagi adalah orang yang pernah mendapatkan perkhidmatan solekannya.
Ini semua tidak termasuk lagi dengan pengalaman dalam dunia komersial, travel VVIP yang memerlukan perkhidmatan solekannya, peringkat antarabangsa dan banyak lagi. Itulah pengalaman yang cukup indah dikutipnya sepanjang 25 tahun mengabdikan diri dalam dunia solekan.
Hari ini, Hathim Thai Ahmad Nazri, 47 tahun, tidak lagi seaktif dulu. Mungkin ramai yang tidak tahu selama lima tahun kebelakangan ini dia banyak menghabiskan masa di rumah dengan menguruskan seorang anak angkatnya, Hadzriq Hadkim Hathim Thai Abdullah, 10 tahun. Semuanya kerana masalah kesihatan yang tidak mengizinkan dia untuk meneruskan kerjaya seperti dulu.
Penulis turut menghubungi Hathim Thai untuk bertanya lebih lanjut dan berkongsi cerita tentang masalah kesihatan yang dialaminya itu. Menurut Hathim, dia mendiamkan diri bukan tidak ingin berkongsi cerita tetapi sebenarnya dia tidak mahu menyusahkan sesiapa sahaja.
“Sebenarnya, selama ini saya mendiamkan diri dan menguruskan kehidupan harian saya seperti biasa kerana tidak suka meminta simpati atau meminta-minta. Bukan apa, saya tidak mahu orang salah faham dan menganggap bila sakit mulalah hebohkan,” katanya lebih memikirkan perasaan anak angkatnya yang dijaga sejak kecil lagi.
Bercerita lebih lanjut tentang masalah kesihatannya. Segalanya bermula pada tahun 2014. Selama ini, Hathim tidak pernah tahu badannya kekurangan darah merah. Sehinggalah, dia pitam di rumah.
“Kebiasaan waktu pagi, saya akan mengejutkan ibu sebaliknya pada hari itu, ibu yang mengejutkan saya. Namun, saya tidak dapat bangun dan hanya meminta ibu membawa saya ke hospital.
“Dengan bantuan jiran sebelah rumah, saya dikejarkan ke hospital dan hasil pemeriksaan doktor mendapati saya kurang darah merah dalam badan. Menurut doktor, badan kita perlu ada 15 beg darah merah sedangkan saya hanya ada empat beg darah merah sahaja dalam badan.
“Sudah tentu tidak cukup untuk saya survive. Malah, ia boleh merosakkan buah pinggang. Jadi doktor memasukkan dua beg darah merah ke dalam badan saya untuk memastikan agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” cerita Hathim tentang masalah yang dihadapi.
Walau bagaimanapun, semasa memasukkan darah ke dalam badan, mungkin kerana tekanan yang kuat menyebabkan darah pecah pada bahagian saraf mata. Kesannya saraf matanya berdarah dan memberi risiko untuk mata rosak dan lebih teruk hilang penglihatan.
“Dalam masa yang sama, saya berusaha untuk sembuhkan darah dalam saraf mata dan doktor memberitahu risiko agak tinggi kerana 50 peratus mungkin akan mengembalikan penglihatan dan 50 peratus lagi boleh menyebabkan buta. Kesannya, selepas cuci, mata sebelah kanan saya terus tidak nampak dan sebelah kiri hanya dapat melihat hanya 30 peratus sahaja,” kata Hathim yang kini pergerakannya agak terbatas.
Ekoran daripada masalah yang dihadapi itu, Hathim sekarang perlu menjalani dialisis sebanyak tiga kali seminggu dan rawatan tambah darah. Mujurlah, kos perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
“Syukur, saya mendapat bantuan sebanyak RM350 sebulan dan kos rawatan turut ditanggung oleh Baitulmal sepenuhnya. Dengan jumlah tersebut, tentunya tidak cukup untuk saya menanggung kehidupan dengan anak angkat,” kata Hathim lagi.
Tiada yang Hathim harapkan selain ingin melihat anaknya bersekolah dan membesar seperti anak lain.
“Saya kuat demi kehidupan anak saya. Setiap hari saya berdoa agar saya diberi peluang untuk hidup agar dapat medidik dan membesar anak saya sehingga dewasa. Jika Allah ambil nyawa saya selepas itu, saya reda. Sekurang-kurangnya saya tidak rasa bersalah kerana sudah menjaga amanah yang Allah berikan,” katanya penuh harapan.
Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah sumbangkan ke Maybank (114066616039) atau BSN (1417441000063110) atas nama Hatim Thai Bin Ahmad Nordin
Untuk cerita lebih lanjut, dapatkan majalah Mingguan Wanita keluaran Jun vol 2 2019 di pasaran nanti.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seorang calon SPM yang dihempap pokok kelapa, apa yang menyedihkan apabila ibunya datang melihat jasad anak bongsunya dalam keadaan berbungkus kain di atas jalan selepas motosikal dinaiki bersama rakan dihempap sebatang pokok di Kampung Permatang Pasir, Gunong.