umur 17 tahun dah bela anak angkat

Bayangkan dalam usia 17 tahun, Noor Atiqah Eishany Bt Mohd Yusof telah memelihara seorang anak angkat, Nur Hidayah Bt Abdullah ketika anak kecil itu berusia 2 tahun lebih. Seiring peningkatan usia, gadis ini menjaga pula 25 anak-anak tahfiz di pusat tahfiz milik ayah dan ibu.

Sejak SPM saya tinggal di pusat tahfiz. Bila balik saja sekolah saya tolong Umi dan Ayah yang mengendalikan pusat tahfiz. Sampai ke malam saya bantu.

Sebelah malam itu saya ambil alih tugas Umi mengurus anak-anak ini. Jaga mereka waktu solat, masa makan dan bila perlu kembali ke kelas. Nanti malam-malam saya buat kerja sekolah dengan anak-anak ini.” ujarnya yang kini menyelia Maahad Tahfiz Siti Khadijah Anak-anak Yatim Puteri di bawah kelolaan Badan Kebajikan Siti Khadijah Anak Anak Yatim Selangor.

Niat murni Noor Atiqah adalah mahu meringankan urusan kewangan Umi dan Ayahnya. “Dari segi pengurusan ayah tak perlulah membayar gaji warden yang tinggi. Kalau ambil orang luar.

Lagipun tahfiz kami ini persendirian (NGO) tiada mana-mana sponsor. Sampai sekarang saya berkhidmat bezanya sekarang sepenuh masa.”

Dulu waktu usia remaja, perasaan sukakan budak-budak begitu menebal. “Waktu hidayah diserahkan pada saya hati saya betul-betul tersentuh dengan cerita sedih dia.

Dengan keadaannya yang masih kecil. Sebab itu saya dan keluarga setuju ambil dia jadi anak angkat saya. Keputusan ini bukan saya seorang yang tentukan. Keluarga terutama ayahlah yang banyak beri dorongan.

Alhamdulillah proses bersama keluarga angkat hidayah berjalan lancar. Pihak sana pun beri kerjasama dan serahkan 100% hidayah kepada keluarga saya. Cuma waktu sekarang saya melalui proses bersama mahkamah untuk hak penjagaan sepenuhnya (hitam putih).

umur 17 tahun dah bela anak angkat

Getar Panggilan ‘Ibu’

Hidayah menjadi anak angkat Noor Atiqah ketika usianya 2 tahun 5 bulan. Waktu itu dia dah pandai berjalan tapi belum boleh bertutur dengan lancar. Masih pelat. Dia juga menyusu botol dan masih lagi pakai pampers.

Pengalaman saya seperti ibu lain. Menukar lampinnya, memandikannya, malam-malam bangun buatkan susu, suap dia makan walaupun waktu itu dia dah pandai makan sendiri.

Basuh baju dia, belikan keperluan pakaian dan sebagainya. Keluarga pun banyak bantu saya. Waktu mula-mula kelaur dari mulut dia perkataan ‘Ibu’ hati saya sebak sangat.

Masa itu kenal pun tak pernah. Gelaran yang dia beri tu sampai sekarang dah umur 7 tahun lebih tak pernah lekang dari bibirnya. Dan, Hidayah juga sedar yang dia bukan ibu kandungnya.

Saya menggalas dua amanah yang besar; menjaga anak sendiri dan anak-anak tahfiz ini. Hidayah tinggal sekali dengan mereka. Dan rutinnya juga sama seperti yang lain.”

Rutin Ibu Seorang Anak Dengan 25 Anak Tahfiz Bermula

Seawal 5.30 pagi – Aaya akan kejutkan salah seorang pelajar dan dialah yang akan kejutkan rakan-rakan yang lain. Untuk tahajud seterusnya solat Subuh. selesai Subuh, saya dan anak-anak ini memasak sarapan. Ada kumpulan dan giliran ikut hari. Yang lain, bersihkan diri.

Jam 7.30 pagi – Pastikan semua sarapan dan bersiap sedia untuk kelas pagi pada jam 8. Masa ini saya masak makanan tengah hari dan malam di dapur sampai jam 11.

Selepas jam 11 pagi – Kena pastikan mereka buat khidmat (tugas ikut jadual) sebelum qoilulah (tidur sebelum Zuhur)

Pada 1.20 tengah hari – Saya akan kejutkan anak-anak ini untuk bangun solar Zuhur, makan tengah hari dan sambung kelas.

Sekitar jam 2 – Berehat

Tepat 4.40 petang – Anak-anak bersolat Asar berjemaah kemudian saya bawa mereka ke taman untuk riadah.

Kira-kira 6.30 petang – Balik ke rumah dan bersihkan diri. Dalam pada itu, anak-anak kena bersedia untuk solar Maghrib, makan malam dan ke kelas semula pada jam 8 0 10 malam.

Habis saja kelas, anak-anak ini akan bersolat Isyak, buat khidmat dan sekitar jam 11 kena pastikan anak-anak ini dah masuk tidur.

Di sini, Noor Atiqah ibu, sayalah bapa (warden) yang perlu menjaga 25 orang anak tahfiz. Ia memerlukan komitmen sepenuhnya.

Ini satu amanah daripada Allah, ibu bapa dan juga agama untuk memastikan anak-anak tahfiz ini berakhlak, mendapat didikan yang sempurna dan keperluan yang mencukupi.

Saya sendiri harus sentiasa kuat dan sabar dengan cabaran dunia sekarang. Saya minta saudara Islam doakan tahfiz anak yatim Siti Khadijah murah rezeki. Amin, in sha Allah.

Foto: Nurul Akmar Azimi