Bayangkan dalam usia 17 tahun, Noor Atiqah Eishany Bt Mohd Yusof telah memelihara seorang anak angkat, Nur Hidayah Bt Abdullah ketika anak kecil itu berusia 2 tahun lebih. Seiring peningkatan usia, gadis ini menjaga pula 25 anak-anak tahfiz di pusat tahfiz milik ayah dan ibu.
“Sejak SPM saya tinggal di pusat tahfiz. Bila balik saja sekolah saya tolong Umi dan Ayah yang mengendalikan pusat tahfiz. Sampai ke malam saya bantu.
“Sebelah malam itu saya ambil alih tugas Umi mengurus anak-anak ini. Jaga mereka waktu solat, masa makan dan bila perlu kembali ke kelas. Nanti malam-malam saya buat kerja sekolah dengan anak-anak ini.” ujarnya yang kini menyelia Maahad Tahfiz Siti Khadijah Anak-anak Yatim Puteri di bawah kelolaan Badan Kebajikan Siti Khadijah Anak Anak Yatim Selangor.
Niat murni Noor Atiqah adalah mahu meringankan urusan kewangan Umi dan Ayahnya. “Dari segi pengurusan ayah tak perlulah membayar gaji warden yang tinggi. Kalau ambil orang luar.
“Lagipun tahfiz kami ini persendirian (NGO) tiada mana-mana sponsor. Sampai sekarang saya berkhidmat bezanya sekarang sepenuh masa.”
Dulu waktu usia remaja, perasaan sukakan budak-budak begitu menebal. “Waktu hidayah diserahkan pada saya hati saya betul-betul tersentuh dengan cerita sedih dia.
“Dengan keadaannya yang masih kecil. Sebab itu saya dan keluarga setuju ambil dia jadi anak angkat saya. Keputusan ini bukan saya seorang yang tentukan. Keluarga terutama ayahlah yang banyak beri dorongan.
“Alhamdulillah proses bersama keluarga angkat hidayah berjalan lancar. Pihak sana pun beri kerjasama dan serahkan 100% hidayah kepada keluarga saya. Cuma waktu sekarang saya melalui proses bersama mahkamah untuk hak penjagaan sepenuhnya (hitam putih).
Ads
Getar Panggilan ‘Ibu’
Hidayah menjadi anak angkat Noor Atiqah ketika usianya 2 tahun 5 bulan. Waktu itu dia dah pandai berjalan tapi belum boleh bertutur dengan lancar. Masih pelat. Dia juga menyusu botol dan masih lagi pakai pampers.
“Pengalaman saya seperti ibu lain. Menukar lampinnya, memandikannya, malam-malam bangun buatkan susu, suap dia makan walaupun waktu itu dia dah pandai makan sendiri.
“Basuh baju dia, belikan keperluan pakaian dan sebagainya. Keluarga pun banyak bantu saya. Waktu mula-mula kelaur dari mulut dia perkataan ‘Ibu’ hati saya sebak sangat.
Masa itu kenal pun tak pernah. Gelaran yang dia beri tu sampai sekarang dah umur 7 tahun lebih tak pernah lekang dari bibirnya. Dan, Hidayah juga sedar yang dia bukan ibu kandungnya.
“Saya menggalas dua amanah yang besar; menjaga anak sendiri dan anak-anak tahfiz ini. Hidayah tinggal sekali dengan mereka. Dan rutinnya juga sama seperti yang lain.”
Ads
Rutin Ibu Seorang Anak Dengan 25 Anak Tahfiz Bermula
Seawal 5.30 pagi – Aaya akan kejutkan salah seorang pelajar dan dialah yang akan kejutkan rakan-rakan yang lain. Untuk tahajud seterusnya solat Subuh. selesai Subuh, saya dan anak-anak ini memasak sarapan. Ada kumpulan dan giliran ikut hari. Yang lain, bersihkan diri.
Jam 7.30 pagi – Pastikan semua sarapan dan bersiap sedia untuk kelas pagi pada jam 8. Masa ini saya masak makanan tengah hari dan malam di dapur sampai jam 11.
Selepas jam 11 pagi – Kena pastikan mereka buat khidmat (tugas ikut jadual) sebelum qoilulah (tidur sebelum Zuhur)
Pada 1.20 tengah hari – Saya akan kejutkan anak-anak ini untuk bangun solar Zuhur, makan tengah hari dan sambung kelas.
Sekitar jam 2 – Berehat
Ads
Tepat 4.40 petang – Anak-anak bersolat Asar berjemaah kemudian saya bawa mereka ke taman untuk riadah.
Kira-kira 6.30 petang – Balik ke rumah dan bersihkan diri. Dalam pada itu, anak-anak kena bersedia untuk solar Maghrib, makan malam dan ke kelas semula pada jam 8 0 10 malam.
Habis saja kelas, anak-anak ini akan bersolat Isyak, buat khidmat dan sekitar jam 11 kena pastikan anak-anak ini dah masuk tidur.
Di sini, Noor Atiqah ibu, sayalah bapa (warden) yang perlu menjaga 25 orang anak tahfiz. Ia memerlukan komitmen sepenuhnya.
“Ini satu amanah daripada Allah, ibu bapa dan juga agama untuk memastikan anak-anak tahfiz ini berakhlak, mendapat didikan yang sempurna dan keperluan yang mencukupi.
“Saya sendiri harus sentiasa kuat dan sabar dengan cabaran dunia sekarang. Saya minta saudara Islam doakan tahfiz anak yatim Siti Khadijah murah rezeki. Amin, in sha Allah.
Foto: Nurul Akmar Azimi
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Menjadi tanggungjawab mak ayah, menamakan anak yang baru lahir dengan maksud yang baik-baik. Ada mak ayah yang memilih keunikan nama anak-anak berdasarkan sesuatu peristiwa, situasi mahupun meluahkan rasa syukur atas penantian kelahiran cahayamata.
Nama Unik ‘Alhamdulillah Rejeki Hari Ini’
Pasangan suami isteri memberi nama unik untuk bayi mereka iaitu ‘Alhamdulillah Rejeki Hari Ini’.Didit Saputro, 39, dan Meidiana, 35, dari Bantul, Yogyakarta memberi nama itu bagi melahirkan rasa syukur selepas tujuh tahun baru dikurniakan zuriat, lapor Detik News, pada Ahad.
“Kami menunggu selama tujuh tahun sejak pernikahan pada tahun 2012, tetapi Alhamdulillah kami diberi rezeki bayi lelaki pada 7 September 2019,” katanya.
Menjalani Rawatan Alternatif
Didit merupakan Jurugambar Profesional memberitahu isterinya telah menjalani kaedah rawatan kesuburan di hospital termasuk rawatan alternatif seperti perubatan tradisional.
“Semasa dalam usaha mendapatkan anak, isteri ditimpa kemalangan motosikal pada 2018 hingga mengalami patah tulang kaki.
“Kerana isteri enggan menjalani pembedahan, kami memilih rawatan tradisional di Borobudur. Tukang urut memberitahu isteri mengalami masalah saraf dan sukar untuk hamil. Isteri perlu menjalani rawatan sehingga November 2018. Akhirnya pada Februari 2019, kami mendapat berita gembira apabila isteri disahkan hamil dua bulan.
“Ya, saya benar-benar tidak menjangkakannya, semua yang berlaku kerana izin dari Allah SWT,” katanya.
Sebelum ini, keunikan nama bayi itu menjadi bualan hangat masyarakat termasuk warga maya selepas kad pengenalan diri bayi tersebut tular.
MW: Memang unik nama bayi ni apabila dinamkan’Alhamdulillah Rejeki Hari Ini’. Namun sebaiknya setiap mak ayah, letaklah nama yang baik-baik untuk anak-anak dan tak ‘memalukan’ mereka kelak. Semoga nama tersebut membawa maksud dan kehidupan baik buat mereka.
Selain ajar mengucap, ini perkara yang patut dilakukan jika ahli keluarga mak, ayah sedang nazak. Bukan hanya menangis, sepatutnya lakukan perkara-perkara ini kerana masa sangat-sangat suntuk.
Jangan terlalu menurut perasaan bila doctor beritahu pasangan atau ahli kekuarga mak, ayah tidak dapat diselamatkan. Paling utama ajar mereka mengucap sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir.
Kongsi Dr Ahmad Zakimi Abdullah, setelah kami berusaha dan cuba sedaya mungkin, namun pesakit tidak dapat diselamatkan.
Selain Ajar Mengucap
Tangan sudah mula menggigil setelah lakukan CPR selama hampir setengah jam. Serius tak lagi berdaya.
“Ayah! Ayah! Jangan mati” tangisan anak-anak.
“Encik, encik semua jangan masuk ramai-ramai ya! Doktor tengah bantu CPR tu!” Ujar pakcik guard.
Mereka menyerbu masuk ke zon merah tanpa endah arahan pakcik guard suruh mereka keluar.
“Suka hati kamilah. Ini ayah kami. Apa neh!”
Ini Perkara Yang Patut DiLakukan
Mereka memarahi pakcik guard. Aku pun dimarahi kerana tak benarkan mereka masuk. Suasana sedikit tegang ketika itu.
“Benarkan seorang atau dua anak pesakit masuk,” arahku kepada pakcik guard sambil aku meneruskan CPR ke atas pesakit.
Setelah diberitahu keadaan ayah mereka yang mana tidak dapat diselamatkan lagi, lalu aku arahkan mereka supaya ajarkan mengucap sebelum kami hentikan CPR.
“Encik boleh ajar mengucap untuk ayah ya,” ujarku sambil CPR.
Tangisan anak-anak dan isteri pesakit terhenti.
“Eh! Di mana mereka ramai-ramai tadi,” soalku kepada seorang kakitangan.
Semua hilang setelah suruh ajar mengucap. Ke mana mereka semua? – aku bermonolog dalam hati.
Jika Ahli Keluarga Sedang Nazak
Masuk salah seorang dari anak pesakit.
“Encik boleh ajarkan ayah mengucap sekarang.” Sekali lagi aku mengarahkan supaya dia ajarkan mengucap.
“Kami tak pandai mengaji, doktor.”
“Saya bukan suruh encik mengaji tapi ajar mengucap kalimah syahadah.”
“Macam mana tu doktor?”
Kemudian aku sendiri yang ajarkan mengucap kalimah syahadah kepada ayah mereka.
Tadi ramai betul masuk dan menangis. Disuruh keluar kerana aku dan rakan-rakan cuba nak bantu ayah mereka, aku dan rakan-rakan pula dimarahi.
Sekali suruh ajar mengucap, semua cabut. Berkali-kali juga aku suruh namun seorang pun tak dapat lakukan.
Ajar Mengucap ‘Lailahaillallah’
Apa yang patut kita lakukan jika saudara atau kenalan tengah nazak adalah:
1. Ajar mengucap ‘Lailahaillallah’
2. Bacakan surah Yasin dan Ar Ra’du
3. Berdoa
4. Membaca Al-Quran
Caranya adalah dengan memangku (jika boleh) atau berada di sisi saudara yang tengah nazak dan ajarkan mengucap. Jika kita tidak berada di sisi, kita boleh bacakan surah Yasin, Surah Ar Ra’du, berdoa dan baca Al quran.
Semoga arwah berada di kalangan orang-orang yang beriman.
Dr Zek
Mingguan Wanita : Sememangnya bukan mudah berdepan dengan saat-saat kehilangan insan tersayang. Namun di waktu genting sebegini lakukan yang terbaik untuk dia, paling kurang ajarkan dia mengucap.
Salah satu cabaran bila jadi mak-mak adalah nak bagi anak kecil makan ubat tanpa menolak, silap gaya boleh keluar balik ubat atau mungkin tumpah sebab kena tolak dengan anak.
Jadi nak senang, mak ayah boleh cuba tip yang dikongsi Doktor Ezairy M.Sallih ini. In shaa Allah anak akan lebih senang makan ubat.
6 Langkah Mudah Bagi Anak Kecil Makan
Mungkin ada antara anak-anak kita yang memang susah untuk makan atau minum ubat. Masalah ini biasanya lebih kerap berlaku kepada peringkat umur bayi dan kanak-kanak. Tidak hairanlah jika ada ibu bapa yang mengambil berbagai-bagai alternatif bagi memastikan si anak tersayang dapat menelan ubat. Persoalannya bagaimana?
Saya akan kongsi 6 cara berkesan berdasarkan pengalaman para ibu bapa pesakit untuk kita cuba amalkan di rumah :
1. Guna picagari. Elak menggunakan sudu. Dos ubat yang diberitahu oleh doktor perlu diikuti. Justeru penggunaan syringe atau picagari adalah perlu bagi memastikan anda memberi ubat mengikut kuantiti yang betul dan ia sebenarnya jauh lebih mudah berbanding cara lain. Pastikan juga menggunakan syringe sesuai mengikut kuantiti yang akan diberi. Biasanya 3ml atau 5ml.
2. Teknik yang sesuai dan betul. Saya nasihatkan letakkan anak di dalam pangkuan. Untuk bayi atau anak kecil, pastikan mereka berada di posisi duduk atau separa duduk. Posisi baring menelentang dilihat mudah untuk memberi ubat, namun ia akan meningkatkan risiko ubat untuk masuk ke salur pernafasan dan seterusnya ke peparu. Ini bahaya!
3. Cari ruang dan kawasan yang tenang. Kita pun kalau nak buat sesuatu perkara perlukan ruang yang selesa. Beri ubat kepada anak pun begitu. Penting bagi kita sebagai ibu bapa untuk mencari ruang yang selesa dan cukup pencahayaan. Memberi ubat sama seperti memberi makan atau minum kepada anak. Sekiranya ruangnya sempit, kita juga akan cenderung memberi ubat dengan cara yang tidak betul. Kuantiti ubat yang bakal diberi juga akan terganggu.
4. Jangan paksa anak anda yang sedang meronta-ronta. Ini akan menyebabkan anak anda tersedak dan muntah. Beri peluang mereka tenang dan beri ubat.
5. Beri peluang anak pegang picagari ubat dan letakkan ke dalam mulutnya sendiri. Cara ini banyak membantu ibu bapa. Anda kemudian bantu untuk pastikan ubat dimasukkan ke mulut anak anda.
6. Minta nasihat doktor. Anda boleh minta pandangan dan nasihat daripada doktor yang memeriksa anak anda. Beritahu kepadanya bahawa anak anda mungkin jenis yang amat sukar untuk diberi ubat. Perlu dipegang tangan, kaki dan dipaksa baru boleh diberi. Doktor ini tuan puan, manusia juga. Kami akan cuba beri ubat yang paling sesuai dari segeri kekerapan, kuantiti dan jenis kepada anak dan bayi. Yang penting, komunikasi antara ibu bapa pesakit bersama doktor mesti ada.
Semoga perkongsian kali ini mendatangkan banyak manfaat. #Kongsikan kepada orang yang anda sayang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tukar duit raya di mesin ATM tanpa stres beratur, ini 29 lokasi khusus untuk pengguna CIMB. Masuk je penghujung Ramadan, antara difikirkan ialah misi...