
Tragedi 4 Beradik Maut Kebakaran, Ibu Baru 10 Minit Keluar Beli Kelengkapan Berbuka. Sunggguh menyayat hati insiden kebakaran yang menyebabkan 4 beradik berusia 8 hingga 3 tahun maut petang semalam.
Hajat seorang ibu yang meninggalkan kesemua anaknya di kediaman demi keluar mencari kelengkapan berbuka puasa berakhir tragedi apabila keempat-empat beradik itu ditemukan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dalam kejadian 7.49 malam itu, mangsa, Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam bilik air di bahagian dapur kediaman mereka.
Ibu Keluar Pergi Kedai
Menurut Raiz Mukhliz, ketika kejadian, ibu mangsa berusia 31 tahun terpaksa keluar sebentar untuk ke kedai berhampiran, manakala bapanya yang berusia 30 tahun bekerja di sebuah restoran di sekitar bandar, di sini.
“Maklumat awal oleh ibu mangsa mengatakan keempat-empat anaknya ditinggalkan sementara di rumah dalam keadaan pintu bahagian dapur tidak berkunci.
“Bagaimanapun, kita percaya keadaan api marak menyebabkan empat beradik ini gagal mencari jalan keluar sebelum kesemua mayat ditemukan di dalam tandas dipercayai. Mereka (di situ) bagi tujuan menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Sabar Awor, Jalan Ismail, di sini, malam tadi.
Baru Keluar 10 Minit
Beliau berkata, ibu mangsa yang baru keluar selama 10 minit mengetahui mengenai kebakaran itu selepas dihubungi jiran.
“Kebakaran dipercayai berpunca akibat litar pintas, namun ia masih dalam siasatan lanjut pihak bomba. Mangsa sudah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan setakat ini, kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Terdahulu, 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dan BBP Bukit Gambir dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.
Raiz Mukhliz, bomba mengambil masa lima minit bagi mengawal kebakaran yang sudah merebak sehingga 70 peratus.
“Pemadaman berjaya dilakukan beberapa minit kemudian dengan kemusnahan sebanyak 80 peratus.
“Setelah api padam sepenuhnya, bomba bertindak membuat pencarian mangsa sebelum menemukan mayat dua kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki,” katanya.
Mesti Baca:Tragedi Selepas Berbuka, 4 Beradik Berusia 3-8 Tahun Meninggal Dalam Kebakaran Di Rumah
Baca Lagi Di Sini:“Kita Dah Tak Ada Apa-Apa Harta Lagi Mak…”, Tangisan Anak Saksi Kereta Terbakar Cetus Simpati
Artikel Menarik:2 Beradik Rentung Dalam Kebakaran, Cuba Lari Keluar Namun Terperangkap Di Sebalik Pintu Jerigi
Mingguan Wanita:Allahuakabar, besar sungguh ujian buat mak ayah 4 beradik ini. Bukan mudah untuk reda dan menerima kehilangan kesemua anak tersayang. Semoga di beri kekuataan dan kesabaran tinggi dalam menghadapi musibah tragedi duka ini.
Sumber: Hmetro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Masuk Singapura Cara Jimat Naik Bas Je, Pastikan Ikut 10 Guideline Ini

Hajat hati nak masuk Singapura, tapi tak tahu cara. Bimbang pula dengan kadar matawang Malaysia dengan Singapura yang jurangnya semakin besar. Takut-takut sampai sana bajet pula lari dan tak mencukupi. Lagi-lagi kalau ini trip pertama kali anda ke Kota Singa.
Rupanya ada tip and trick untuk masuk Singapura dengan cara jimat. Caranya menaiki bas. Inilah yang dikongsikan oleh Cik Puan Asma Swan yang melawat Singapura bersama keluarga kecilnya baru-baru ini.
“Bila terdengar nama negara Singapura mostly semua dah tahu yang negara ni adalah negara LUAR NEGARA YANG PALING DEKAT, dan matawangnya agak tinggi. Betul tak?
“So bila MATAWANG TINGGI, maka semestinya kita ni sebagai Rakyat Marhaen Malaysia lagi mesti teringin nak masuk tapi nak masuk dengan kos yang SUPER JIMAT DUIT. Betul tak?”
Buat anda yang teringin sangat nak masuk Singapura tapi tak termasuk-masuk sebab takut and so on dan tak tahu nak masuk macam mana, Cik Puan Asma kita sediakan panduannya.
Pengalaman Sendiri Masuk Singapura Menaiki Bas
✅ Sebab tak perlu bayar $35 VEP FEES which duit kita dalam range RM105~RM108 tau huhuhu.
✅ Sebab tak perlu nak bayar $2.90 toll fees (Dalam RM9-10 duit Malaysia yek)
✅ Sebab tak perlu nak bayar $12.90 RECIPROCAL Charge (Dalam RM40 duit kita huhuhu)
✅ Sebab tak perlu bayar tol charge kat imigresen Malaysia (tak sure exact amount but will recomfirm later on next entry post)
✅ JIMAT BANYAK WEH! Bayangkan naik kereta mahal nak pengsan uolsss! So yes naik jelah bas yek, memang JIMAT!
✅ Cuma perlukan kos dalam RM8-RM20 sahaja untuk pergi (start dari JB immigration) dan balik singapore. (Asma bagi tour guide ni sampai a destination only)
Sebelum Itu Wajib Pastikan Barang-barang Ini Ada
Bila nak masuk Singapore pastikan anda PERSIAPKAN DIRI DENGAN,
✅ PASSPORT YANG SAH (jangan palsu tau! Singapore sangat strict tak pasal-pasal nanti kau kena pancung kang)
✅ Jangan lupa bawa IC ye incase ada apa-apa nanti. .
✅ Tukar duit dulu! Make sure ada dalam minimum $20 dalam tangan anda. Kalau boleh pesan kat orang money changer tu untuk pecahkan salah satu $10 nanti kepada ;
$1 = 5 keping,
50 cent = 4 keping
20 cent = 10 keping
10 cent = 10 keping
Total ; $10 (YOU WILL NEED THIS CHANGE and DUIT PECAH INI)
✅ Sediakan bekal makanan (roti ke biskut ke) and minuman – sebab makanan dalam Singapura ada yang bit pricy tau huhu ingat! Duit dia TIGA KALI GANDA duit kita.
✅ Simpan dalam beg PEN sebatang – sebab nanti if you baru firstime masuk singapura you kena isi satu borang form putih ni kat checkpoint Singapore.
Okayyy dah cukup cukup!
Yang lain tu kalau nak bawa masing-masing punya keperluan ya. Kalau Asma siap kena angkut cengkerang Kura-kura masuk Singapore. (beg anak bawa pampers air semua lah ada dalam tu)
Perjalanan Masuk Singapura Dengan Bas Pun Bermula
(Asma guide start dari JB Central. JB Central ni berhadapan City Square, JB)
1). Dari JB Central
Lepas itu cari route, jalan yang menghala ke Woodlands. Uolsss ikut je signboard WOODLANDS tu. Sambil tu ikut semua orang yang jalan depan awak.
Tak tahu? Tanya! Sana ramai gila orang and polis pun ada. Tanya je tak ada orang nak makan awak pun!
Ikut SIGNBOARD WOODLANDS tu sampai kau jumpa tempat cop-cop pasport ya.
2). Dah Sampai Tempat Cop Passport
Pergi kat area kaunter Pasport Malaysia atau pakai je Biometric Machine sebelah KIRI SEKALI dekat sana tu.
3). SETTLE! Pi Jalan Terus Sampai Hujung
Akan ada dua escalator untuk turun ke tempat bas, turun bawah. Okay kat sini you ada dua option untuk bas. (asma jenis tak ber-option sangat, asalkan mana bus sampai dulu, ku naik je)
i) First bus you boleh cari bas Causeway Link (Warna Kuning ada logo senyum tuh) tak kisah mana-mana CW1 ke CW2 ke naik saja cakap nak pergi ke imigresen singapura atau woodlands. Tambang dia RM1.80 seorang. Kanak-kanak bawah 7 tahun FREE. (Umar naik free jew hihi)
Okay bas ni Asma selalu naik untuk bantu ku seberang ke singapura je. Sebab dia berhenti di Kranji and Queen Street (which nama-nama tempat ini adalah pelajaran seterusnya nanti kan ku ajar sebab ni advanced sikit)
ii) Bas kedua option kedua you ialah, boleh cari bus SMART warna MERAH PUTIH. Nombor bas kat atas signboard besar akan tulis 950 Woodlands Interchange.
Yes, usually bus ini menjadi pilihan Asma sebab bas ni lah akan bawa anda sampai ke destinasi anda perlu pergi iaitu dia Woodlands Interchange (di mana syurga bas pokok pangkal bas semua di sana)
So ada duit $20 tadi kan? Ingat tak tadi Asma suruh pecah-pecahkan kecik-kecik? Haaa now keluarkan $1.40 masukkan dalam tempat letak duit depan driver tu and cakap, “Woodlands Interchage”
Kachingg! Dia akan keluarkan satu tiket dari tempat keluar tiket tu and sila SIMPAN! Incase ada checking tak adalah awok kena bayar dua kali kos. Okay nak pilih mana-mana bas sila pilih! Yang penting kita kena settle kan seberang ke Singapore Checkpoint nih dulu.
4). Seberangilah JB – Singapore Dengan Selamat
Dan bus driver akan turunkan anda di Woodlands Checkpoint. Sila jangan jakun and sila jalan terus sebab sekarang banyak polis Kastam Singapura jaga kat bawah ni. Jangan buat perangai pelik-pelik nanti kena tangkap kang! (Ok gurau jek hihihi)
5). Sampai Je Atas Naik Escalator Semua
Masuk ke pintu masuk (sila ikut orang ramai ya ikut je ikut) KELUARKAN PEN Asma suruh standby kan tadi tu and pi berhenti kat tepi kaunter kecil belah kanan you akan notice.
Cari SATU FORM PUTIH KOSONG ni, dan isikan details selengkapnya mengikut Passport uolss. Semua dah ada dalam passport tinggal isi saja.
Sebaik settle isi, pergi beratur kat kaunter mana-mana you suka yang tulis “ALL PASSPORT”
6). Settle Dah Cop Cop Passport
Turun semula ke bawah ikut je semua orang turun, haaa awak pun turun lah ya ikut pintu keluar and escalator tu.
7). Sampai Je Kat Bawah Escalator
Jangan terus! Pergi ke belah belakang escalator sebab di situlah semua bas-bas anda terletak. Yang terus tu cuma untuk bas-bas pekerja. So jangan terus! Dah tu, pergi cari lane beratur untuk bas 950 ya! Dan beratur molek-molek. TAK TAHU TANYA! BAS 950 Woodlands Interchange ye. Bas sampai naik je.
8). Bas Akan Bergerak For Few Minutes Je
Memang tak jauh pun Woodlands Checkpoint and Woodland Interchange. Macamana nak tahu kita dah sampai? Woodlands Interchange adalah LAST STOP untuk bas ni. Which nanti SEMUA PENUMPANG akan turun di stop Woodlands Interchange ni.
9). Then, Bila Sampai Kat Woodlands Interchange Ni
You akan perasan bas akan semakin perlahan and you nampak BANYAK bas bas lain kat bustop tu, memang tempat perhentian bas gitu. So yes you dah sampai! Maka di mana you nampak semua orang turun, you turun lah ya.
10). ALHAMDULILLAH! TAHNIAH!
Anda sudahpun selamat tiba di Bumi Singapura dan boleh jalan-jalan start dari sini. Boleh pi cari bas mana-mana awak nak pergi. Or boleh pergi Causeway Point betul-betul dekat atas Woodlands Interchange tu. You kena pergi cari pintu masuk or Signboard Causeway Point.
And boleh SHOPPING COKLAT anda dis SYURGA COKLAT sana!
Dengan 10 guideline yang Cik Puan Asma kongsikan ini tentu anda tak berasa risau atau takut-takut nak masuk Singapura dengan bas. Boleh jimat belanja perjalanan. Ada peluang datanglah ke sana banyak tempat menarik yang boleh dilawati dengan anak-anak dan keluarga.
Sumber/Foto: Facebook Asma Swan
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
50 Hari Bergelar Isteri Kepada Penyelam, Allah Uji AhTeng Dengan Berita Kematian Suami

Tepat 50 hari Fatin Nor Afirah atau mesra disapa AhTeng bergelar isteri kepada penyelam profesional dan bekas tentera, Kapten Sazali Sakiran, Allah menguji wanita ini. Pada sambutan ulang tahun kelahiran ayahnya, dia harus akur apabila takdir Allah sudah tertulis buatnya.
Takdir yang sama sekali tidak boleh berubah sampai bila-bila. Takdir yang memisahkan dirinya dan suami di dua alam yang berbeza. Hanya ada air mata dan kerinduan selepas suaminya menemui ajal akibat diving related injury di mana paru-parunya pecah selepas naik ke permukaan air dengan terlalu cepat selepas menyelam pada kedalaman 60 meter.
Suaminya keluar mencari rezeki buat keluarga, dia diupah mengambil sample pasir pada kedalaman itu dengan harga RM1000.
Menziarahi kubur suami, kembali menyelam dengan baju kurung yang dipakai raya setahun sebelumnya. MW menghubungi dirinya dan berkongsi segala kenangan.
Pesan Agar Dikebumi Di Kampung
Mereka sama-sama meminati dunia diver ini dan terlalu banyak kenangan dikumpul biar pun diberi kesempatan sebumbung cuma untuk 50 hari sahaja. Mungkin tempoh itu tidak lama tetapi semasa berkenalan, Kapten Sazali atau mesra disapa Capt sudah “memanjakan” AhTeng.
Dia sanggup mengambil AhTeng di rumah sewa di subuh dinihari, kemudian menghantarnya ke stesen komuter Seremban. Dia melepaskan gadis disayanginya itu dengan pandangan mata kasih dan menjelang petang, tepat jam 6.30 petang, lelaki ini sudah setia menunggu di hadapan pejabat AhTeng yang terletak di Pantai Bharu, Kuala Lumpur.
Bukan saja-saja tetapi Capt inginkan masa bersama kerana dia tahu dirinya semakin kesuntukan masa. Saat indah diijabkabulkan sebagai suami isteri dengan tiadanya majlis persandingan seperti permintaan AhTeng, rutin itu tidak pernah berubah malah lebih manis lagi, selain bekerja, tugas dirinya sebagai isteri hanyalah memasak sahaja. Lain, semuanya suaminya uruskan.
Bukan tak pernah AhTeng menggosok, mengemas rumah dan sebagainya tetapi suaminya merajuk. “Kalau ko buat semua kerja, aku nak buat apa pula di rumah,” itu balas suaminya yang mana bahasa percakapan mereka lebih kepada gaya orang Sabah bercerita.
Pada pertemuan itu, kongsi AhTeng, dua hari sebelum kejadian dia ada bergurau dengan suami, andai dirinya meninggal, dia bertanya di mana suaminya itu mahu mengebumikannya?
Ternyata soalannya membuat suami di sebelah merajuk. Selepas terdiam beberapa lama, suaminya pantas menjawap, di kampungnya, Kampung Api-Api Kuala Selangor.
“Kemudian suami berpesan jika suami pula yang meninggal dunia, dia mahu dikebumi di kampungnya. Biar jarang pulang ke kampung tetapi di situ ada kubur emak, ayah, adik dan anaknya.
“Selepas mendengar jawapannya, saya pula yang terdiam kerana berasa sebak,” kata AhTeng sambil menambah, kerana suaminya bersetuju menerima pekerjaan mengambil sample pasir di Lumut, demi keselamatan, suaminya telah menghantar dirinya ke rumah keluarga di Sungai Buloh, Selangor.
“Ketika ini, nampak arwah seakan tidak bersedia melepaskan saya pergi. Selepas bersalam dan memeluknya seperti biasa arwah bergerak ke keretanya. Dia masuk dan saya juga sudah mengunci pintu pagar tetapi arwah keluar semula dan memeluk saya sekali lagi, seolah-olah ingin memberitahu itulah pelukan terakhirnya, dunia dan akhirat.
Tidak Sedarkan Diri
Pagi esoknya, sama seperti hari-hari biasa, 20 Mac itu, AhTeng memulakan tugas di pejabat. Sekitar jam 2 petang, dia mendapat panggilan telefon daripada rakan arwah mengenai kemalangan berlaku. Bertalu-talu dia menyoal soalan kepada pemanggil. Sebagai penyelam, sama seperti suaminya dia tahu semua prosedur namun dirinya berasa sedikit lega apabila dimaklumkan yang arwah stabil.
“Saya dimaklumkan arwah suami naik terlalu laju ke permukaan udara. Kalau ikut peraturan menyelam, pada kedalaman 60 meter, penyelam cuma ada beberapa saat sahaja di dasar sebelum perlu naik ke atas. Biasa pada kedalaman 45 meter, kita cuma ada masa di antara lima minit sahaja dan kalau lebih dalam, masanya lebih pendek.
“Buat saya sedikit terkilan, tank spare cuma ada satu sedangkan yang pergi berdua. Laju saya memecut dari Kuala Lumpur menuju ke Lumut, Perak selepas mengambil isteri kepada kawan suami yang sama-sama menyelam dengannya itu.
“Ketika sampai di hospital, arwah suami sudah tidak sedarkan diri kerana ada tanda-tanda dia mengalami masalah decompression sickness, pulmonary barotrauma dan arterial gas embolism. Dan kata doktor, arwah tidak boleh dipindahkan ke alat kebuk oksigen (recompression chamber) yang ada di Hospital Angkatan Tentera Lumut kerana keadaannya tidak stabil. Dalam suami bertarung nyawa itu seorang lagi rakan selamnya sudah dimasukkan ke situ.
“Jam dua pagi, barulah arwah suami dimasukkan ke alat kebuk oksigen ini. Tujuannya bagi membuang nitrogen yang berlebihan dalam badan kerana tubuhnya memerlukan 100 peratus oksigen. Mungkin Allah sudah menulis segalanya buat suami. Dia stabil dan saya berada lega mendengarnya. Semalaman saya tidak dapat tidur, berdiri dan memandang mukanya yang belum juga sedar. Sekitar jam 7 pagi, saat mahu melelapkan mata seketika, doktor menghampiri dan memaklumkan yang suami seperti tiada harapan untuk sembuh.
“Allah, hanya itu mampu saya ucapkan. Air mata saya sudah kering sebelumnya dan saya sudah tidak mampu menangis lagi. Saya hubungi anak-anak suami dan bekas isterinya terdahulu. Arwah pernah berkahwin tiga kali dan mempunyai lima orang anak.
“Saya adalah isterinya yang terakhir seperti mana dia bersumpah, sayalah yang terakhir buatnya. Rupanya, janji Allah itu indah. Memang saya yang terakhir dalam hidupnya. Sebelum itu, kata arwah, kalau dia meninggal dunia, dia mahu anak-anak duduk menghadapnya. Allah kabulkan doanya. Allah atur cantik-cantik kehidupannya. Sempat anak-anak mengelilinginya. Lepaslah hajatnya,” kata AhTeng.
Mimpi Tentang Kematian
Semasa mengenali suaminya, AhTeng akui dia mendapat terlalu banyak mimpi-mimpi tentang kematian.
“Bila mimpi, saya kongsikan dengannya. Saya cakap saya nampak dia meninggal dunia. Dia tinggalkan saya tanpa anak, saya uruskan syarikatnya dan saya akan hidup sendirian. Bila saya beritahu, katanya serah kepada Allah segalanya.
“Bukan sekali tetapi banyak kali. Pernah saya terjaga dari tidur, saya pandang muka suami yang sedang lena tidur dan saya menangis. Dia bangun dan tenteramkan saya. Dia selalu memujuk saya dengan kata-kata positif dan jiwa saya akan jadi tenang.
“Benar, bagaimana keadaan saya hari ini, itulah mimpi yang dipertontonkan kepada saya. Kini saya duduk seorang diri. Saya tak ada anak dengannya. Pernah seminggu selepas abang meninggal dunia, dia datang dalam mimpi saya. Dia dengan pakaian selamnya, katanya dia minta maaf berkali-kali. Dia cakap masanya tidak lama dan mahu saya halalkan segalanya. Saya dapat rasakan air matanya panas lagi ketika itu. Bila sedar, saya menangis, saya meraung sekuat hati. Banyak kenangan manis kami ciptakan. Dia manjakan saya, dia ajar saya tentang banyak perkara dalam hidup.
“Biasa bila menyelam, kita mesti berpasangan. Sejak mengenalinya tahun lepas, suami menjadi pasangan saya. Bila arwah tak ada, menggigil lutut saya menyelam seorang diri. Menangis seorang diri dalam air tetapi sebagaimana laut mengambil nyawa suami, saya tidak boleh menyalahkan alam dan takdir ini. Cuma saya sangat terasa sejak kehilangannya,” katanya memaklumkan bakal berhenti kerja kerana mahu meneruskan perniagaan suami.
Luahan Di Facebook
Ironinya laut bagai rumah pertama pasangan ini. Ada kata-kata suaminya yang kalau boleh dia ingin mati di laut dan doanya itu diterima Allah. Raya tahun lepas dengan baju Melayu kuning dan baju kurung ungu, kedua-duanya menyelam menyambut hari raya di pulau.
Tahun ini, dalam kesedihan, AhTeng kembali ke laut, namun hanya baju mampu dibawanya, bukan tubuh atau jasad suaminya. Laut bagaikan sudah sejiwa dengannya malah dia sendiri berazam, andai laut menjadi saksi kepada nafas terakhirnya, dia redha atas segalanya.
Kenangan bersama suami, biar hanya 50 hari tetapi kekal utuh di sanubarinya. Malah AhTeng pernah menulis di laman Facebooknya, suaminya, Kapten Sazali Sakiman Sakiran adalah lelaki terakhir hadir dalam hatinya, sebagaimana janji suaminya yang menjadikan dia wanita terakhir suri hatinya.
Al-Fatihah untuk arwah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman soleh.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Anakku Yang Cantik Baru Meninggal Dunia, Tak Tahu Bagaimana Aku Hendak Bersedih,”

.”Katakan padaku bagaimana hendak bersedih ketika kami tidak diizinkan untuk mengadakan pengebumian … ketika mayat anakku menghilang di belakang sebuah van mini rumah pengebumian, tidak akan dapat dilihat lagi.”
Ikuti luahan hati Mary Hagen Roberts di huffpost.com setelah anak perempuannya Laura meninggal dunia pada 23 April 2020 lalu.
Anak perempuan saya meninggal dunia pada hari Khamis, 23 April, jam 1:11 pm, dan saya tidak bersamanya ketika dia meninggal.
Namanya Laura. Dia berusia 33 tahun pada bulan Mac. Dia meninggal kerana barah gastrik yang merebak. Tetapi kerana penyebaran COVID-19, saya – mama bear dia, panggilannya kepada saya di peringkat akhir penyakitnya – tidak bersamanya.
Ya, dia meninggal kerana barah. Tetapi kerana timbulnya sesak nafas, demam dan batuk secara tiba-tiba – gejala yang muncul pada awal April – dia diklasifikasikan sebagai “kemungkinan COVID-19.”
Beberapa hari terakhirnya di hospital, dia memanggil saya, kecewa dan menangis terisak-isak, kerana tidak ada yang diizinkan di hospital untuk menolongnya – bukan saya, atau tunangnya yang setia, Brett.
Pihak hospital tidak mengizinkannya membawa pakaian atau pakaian dalam. Rambutnya yang panjang dan cantik itu kotor dan kusut akibat peluh yang panas dan tidak dapat tidur. Dia menangis bahawa walaupun dia dapat mandi, dia tidak diberikan perapi rambut atau sikat rambutnya.
Dia benar-benar sendirian di bilik hospitalnya, dengan hanya jururawat yang terlalu banyak bekerja untuk membantunya. Doktor juga tidak melawat, katanya. Kerana dia di “diagnosis COVID-19”, mereka juga takut mendekatinya dan hanya akan memanggilnya melalui telefon atau memeriksanya melalui tingkap kaca bilik hospitalnya.
Laura hanya mahu pulang.
Menderita Sakit Perut Berbulan-bulan
Laura dibenarkan keluar dari hospital pada hari Ahad, Easter, 12 April, dan dihantar pulang untuk pulih dengan oksigen tambahan dan lawatan penjagaan kesihatan rumah sekali-sekala. Dia terus mengajar bahagian biologi dan kimia sekolah menengahnya melalui pembelajaran jarak jauh sepanjang penyakitnya.
Mengajar adalah minat Laura. Semasa kecil, selepas pulang dari tadika, menyusun anak patung dan boneka haiwan dalam bulatan, dan memberi mereka kerja rumah dan ujian. Dia selalu memberikan boneka kegemarannya, Judy, A untuk semua tugasnya, sementara Nico, selalu memperoleh C.
Laura menderita sakit perut selama berbulan-bulan pada musim gugur 2017. Dia berjumpa doktor, diberi ubat antasid dan dinasihatkan oleh rakan-rakan yang baik untuk mengambil makanan “bebas gluten.”
Walaupun sakit gastrik sekejap-sekejap, dia dan Brett melakukan perjalanan ke Andalusia, Sepanyol, semasa cuti percutiannya pada tahun 2017, di situ jugalah Brett melamar Laura untuk menjadi isterinya. Dia sangat gembira merancang perkahwinan dan membina keluarga mereka sendiri.
Sepanyol sangat istimewa pada Laura. Pada awal kerjayanya, dia meninggalkan pekerjaannya di makmal penyelidikan di Utah untuk mengajar anak-anak di sekolah dwibahasa di sebuah bandar kecil di pergunungan di luar Córdoba.
Laura didiagnosis menghidap barah pada Januari 2018, berikutan pembedahan rutin. Dia bertindak balas terhadap serangan itu dengan cepat. Dia memutuskan apa yang penting baginya: terus mengajar, orang tersayang dan kemampuannya untuk terus meneroka dunia dengan Brett di sisinya.

Gemar Mendaki
Dia menjadualkan rawatan kemoterapi, dan kemudian percubaan klinikal imunoterapi, di sepanjang memenuhi jadual sekolah dan perjalanannya dan dapat menjalani hidupnya dengan bersemangat dan sesuai dengan keputusannya.
Anakku gemar minum ‘craft beer’, tabiat yang dia dapat semasa belajar di Corvallis, Oregon. Dia kecewa berikutan rawatan kemoterapi dia tidak boleh mengambil minuman sejuk.
Laura gemar mendaki dan berjaya memasuki gim pendakian sekerap mungkin jadualnya membenarkannya, walaupun terdapat neuropati yang disebabkan oleh kemoterapi. Dia pernah memberitahu saya, “Ibu, gim pendakian adalah satu-satunya tempat yang tidak ada yang tahu bahawa saya ‘Cancer Girl.'”
Setelah Laura pulang dari hospital pada hari Easter, pada hari dirinya baik, dia mengajar, memasak, mengemas bilik mandi, dan membawa Delilah, anak anjing barunya berjalan-jalan. Kami berkongsi resipi makanan selesa “tinggal di rumah”, dan dia sangat gembira apabila, pada hari lahirnya, saya memberinya buku panduan perjalanan ke Paris yang dia minta.
Tetapi dia terus menggunakan oksigen tambahan, dan keperluan oksigennya terus meningkat.
Pada hari Sabtu, 18 April, ketika Laura sedang berjalan-jalan dengan anjing, dia pengsan dan jatuh. Ketika saya mendengar apa yang berlaku, saya menghantar teks, “Adakah kamu ingin ibu turun dan turut risau dengan / untuk kamu?” Dia menjawab, “Saya tidak mahu mengambil risiko ibu mendapat korona.” Saya menghantar teks, “Sial virus.” Dan saya menunggu.
Kanser Telah Merebak Ke Paru-Paru
Laura dijadualkan menjalani bronkoskopi pada hari Isnin 20 April berikutnya. Dua hari selepas ujian, dia menelefon sambil menangis terisak-isak. Hasil dari bronkoskopi sangat teruk. Kekurangan oksigennya sebenarnya tidak berkaitan dengan COVID-19, tetapi dengan sesuatu yang jauh lebih menakutkan: Kanser telah merebak ke paru-parunya. Tanpa rawatan agresif, dia diberitahu bahawa dia mungkin hanya tinggal sebulan untuk hidup.
Kami membincangkan pilihan – membincangkan bagaimana dia mempunyai beberapa hari untuk memilih sama ada dia mahu terus “berjuang bersungguh-sungguh.” Atau tidak.
Saya memberitahunya bahawa saya menyayanginya dengan sepenuh hati dan akan menyokongnya. Saya mula mengemas untuk bersamanya pada keesokan harinya, dan dia menghantar SMS kepada saya untuk “menelefon dulu.” Saya mengemas untuk berjaga-jaga. Saya memakai anting-anting yang dibelinya untuk saya di Colombia musim panas lalu. Kami berdua menyangka kami mempunyai masa.
Laura meninggal beberapa minit sebelum saya tiba pada hari musim bunga Colorado yang indah di rumah, dengan Brett memeluknya.

Saya diberitahu bahawa dia bercakap dengan jelas dan menghirup smoothie sebelum dia meninggal. Seorang jururawat bersamanya untuk membincangkan pilihan hospis sekiranya Laura memutuskan rawatan paliatif. Jururawat itu tiba sekitar tengah hari, dan dia segera meningkatkan ubat sakit dan kegelisahan Laura kerana Laura semakin sukar untuk bernafas. Pada satu ketika, tepat setelah pukul 1 pm, Laura berdiri, berjalan beberapa langkah, rebah dan terus tidak bernyawa.
Dan saya tidak bersamanya.
Dan saya tidak tahu bagaimana hendak meneruskan kehidupan sekarang setelah dia sudah tiada atau apa yang harus saya lakukan dengan kesedihan yang tidak mampu saya tanggung ini.
Seseorang perlu memberitahu saya bagaimana untuk bersedih, kerana saya mendapati diri menjerit kepada orang-orang kerana tidak memakai penutup hidung dan mulut atau merungut pada orang-orang yang menolak dan mengerumuni saya di kedai-kedai Colorado yang kini dibuka.
Meratapi Kehilangan
Beritahu saya bagaimana bersedih ketika kita tidak diizinkan untuk mengadakan upacara pengebumian atau peringatan, ketika mayat anak saya yang menghilang di belakang sebuah van mini rumah pengebumian, tidak akan dapat dilihat lagi.
Saya mahu upacara berkabung yang telah diamalkan oleh masyarakat kita – yang saya – percayai untuk memproses kesedihan.
Saya rindu untuk memegang cucu-cucu lelaki saya. Saya ingin memeluk adik saya dan melihat adik beradik lelaki saya yang tinggal sejauh ribuan batu. Saya rindukan kawan-kawan saya.
Saya ingin pergi ke brew pub kegemaran Laura dan memesan sliders berminyak dan satu jag IPA sambil berkongsi dan menangis bersama rakan dan rakan sekerjanya.
Saya ingin menerima kaserol misteri dan brownies coklat yang jiran saya, apabila dipanggil, akan datang berkumpul dan bawa bersama rasa simpati dan sayang mereka.
Tetapi kerana saya berumur 64 tahun dan ada penyakit Addison, saya takut untuk membuka pintu
Buat masa ini – sebagai ganti upacara peringatan, sebagai ganti upacara pengebumian- keluarga kecil kami meratapi kehilangan yang tidak tertahan. Kami mengimbas kembali cerita kisah-kisah zaman muda Laura dan kehidupan pendeknya yang mengkagumkan.
Kami menangis, dan kami bercakap dan mengutuk virus ini dan penyebarannya. Tetapi sekarang saya bangun setiap pagi dan tidur setiap malam dengan lubang di hati saya, dan saya tidak tahu bagaimana saya akan meneruskan kehidupan.
Mary Hagen Roberts adalah ahli patologi bahasa pertuturan yang telah bersara dan tinggal bersama suaminya, John, di Salida, Colorado. Dia seronok mengajar berenang di kolam air panas tempatan (ketika tidak ditutup kerana COVID-19) dan sukarelawan dengan Central Colorado Conservancy.
Sumber: www.huffpost.com
Baca sini juga: bersalin-dalam-koma-lawan-covid-19-akhirnya-pegang-anak-buat-pertama-kali
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI