Ada sesetengah anak tak rapat dengan mak ayahnya sedangkan kita lihat anak-anak orang lain anak sentiasa menjadikan ibu bapanya sebagai tempat rujukan dan bermanja walaupun sudah mencapai usia dewasa.
Malahan masih ada sebilangan mak ayah menganggap dirinya ada kuasa veto pada anak-anak. Pantang anak-anak buat silap terus sergah dan marah walau depan orang ramai.
Tetapi tahu tak sebenarnya anak-anak yang sentiasa dimarah dan disergah akan menjadi seorang anak yang pasif, tidak mempunyai keyakinan diri dan paling teruk dia akan sentiasa memberontak semata-mata untuk mendapat perhatian daripada kita.
Jadi dalam kes ini, macam mana anak nak rapat dan meluah pada mak ayah kalau mereka ada masalah? Cuba renungkan dan betulkan cara mendidik anak dengan perkongsian daripada Pengetua Genius Aulad Saujana Utama, Puan Ashikin Hashim…
Tip Rapat Dengan Anak
1. Salam dan peluk anak – biasanya dilakukan selepas solat berjemaah atau ketika anak nak pergi sekolah. Boleh juga kita buat setiap kali sebelum tidur.
2. Usap kepala anak – Usap kepala anak tak kira waktu. Waktu berselisih dengan anak di rumah, cepat usap kepalanya. Anak pasti balas dengan senyuman
Ads
3. Ucap terima kasih – Walau kecil bantuan yang diberikan, ucaplah terima kasih.
4. Mohon maaf – Usah ego. Jika kita bersalah, mohon maaf pada anak.
5. Offer bantuan – Selalu offer bantuan pada anak. Contohnya kita tengok dia susah nak butang baju. ” Wajdi boleh ke tu. Nak ummi tolong? ”
6. Kongsi makanan – Sedikit atau banyak makanan yang kita ada di rumah atau di luar, dikongsi dan dirasai bersama.
Ads
7. Raikan kejayaan walau kecil – contohnya ketika anak mendapat keputusan peperiksaan. Apa jua keputusan anak ketika peperiksaan pertengahan dan akhir tahun, raikan bersama. Sekurang-kurangnya belanja aiskrim! 🙂
8. Luangkan masa bercerita dan berbual mesra setiap hari – balik kerja memang semua orang penat. Cuba ambil sedikit masa duduk bersama dan tanya khabar anak-anak hari ini. Macamana di sekolah, kawan ok ke tak, best tak sekolah. Kadang kita tak tahu pun anak kita merana di sekolah. Tak enjoy. Dia nak cerita pun tak tahu. Kesian kan?
9. Bermain dan berguraulah dengan anak! – Maafkan saya sedikit menegur. Saya perhatikan ramai ibu ayah yang kekok bergurau dan bermain dengan anak. Even nak ketawa pun susah. Inilah yang membuatkan kita jauh dengan anak. Anak rasa ayah seperti orang luar. Takut nak tanya. Takut nak bergurau. Akhirnya apabila anak dah bijak sedikit, dia akan suka berjalan rumah kawan. Cari orang lain sebagai mentor dalam kehidupan.
10. Rancangan percutian atau sesi jalan-jalan cari makan dengan anak sekurang-kurangnya sebulan sekali – tak perlu yang mahal-mahal. Cukup yang termampu bagi kita. Pergi padang permainan pun sudah cukup membahagiakan anak.
Ads
11. Berikan hadiah sekali sekala sekurang-kurangnya ketika hari lahir anak – tak perlu yang hebat dan mahal pun. Sekeping kad pun kadang-kala sudah buat si anak rasa benar-benar dihargai.
Anak Lelaki Atau Perempuan Lebih Rapat Dengan Siapa?
Orang kata anak perempuan lebih rapat dengan ayah dan anak lelaki pula lebih selesa nak bermanja dengan ibunya. Tetapi bila disoal kepada Puan Asyikin sendiri, yang mana dia ada 3 orang anak lelaki dan seorang perempuan, ini jawapannya…
“Kalau dari segi masa saya lebih banyak masa dengan anak-anak.
Tapi dari segi rapat saya rasa balance sebab ada certain perkara suami yang handle. Saya pula handle perkara lain.
Contohnya bab baligh, (anak saya yg sulung baru baligh) jadi suami saya akan handle dengan anak sulung.
Walaupun masa mereka lebih banyak dengan saya (tuntutan kerja suami yang very tight sebagai pegawai bank) saya sengaja tidak mahu handle semua. Beri juga peluang untuk suami supaya dia pun ada part dalam pembesaran anak-anak.”
Haaa… nampak tak cara yang betul nak bagi anak tu makin dekat dengan kita? Apa pun sentiasalah berdoa pada Allah supaya anak-anak membesar jadi anak yang mendengar kata dan rapat dengan mak ayah. Dan sebenarnya mana-mana anak pun, semuanya memerlukan perhatian dan kasih sayang mak ayah.
Semoga mendapat manfaat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tak dapat digambarkan dengan kata-kata jika dikhabarkan dengan berita sebegini. Pilunya rasa hati, apabila kehilangan empat orang ahli keluarga secara serentak, lebih-lebih lagi melibatkan orang-orang tersayang. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah perasaan Mohamad Fazzli Toriman, 30 yang kehilangan empat ahli keluarganya serentak selepas terbabit dalam kemalangan maut membabitkan lori dan kereta di Sabak Bernam, semalam.
“Dalam tempoh dua jam, saya kehilangan empat ahli keluarga tersayang, terutama anak sulung (Aniq Anaqi) yang baru sahaja memasuki usia enam bulan,” katanya.
Mohamad Fazzli yang juga suami kepada Munira Abd Rahim, 30, salah seorang mangsa kemalangan maut Kilometer (KM) 43, Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang, tengah hari semalam.Turut terkorban ibu bapa Munira, Abd Rahim Abd Ghani, 61 dan Siti Fatimah Amat, 55 yang juga maut di lokasi kejadian. Kejadian itu turut mengorbankan anak sulungnya Aniq Anaqi, yang meninggal dunia dunia di Wad Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ).
Ketika ditemui pemberita di Bilik Mayat HTAJ, Mohamad Fazzli berkata, dia sempat mencium dan memeluk anaknya sebelum bertolak ke tempat kerja di Teluk Intan.
“Saya sempat berpesan kepada isteri (Munira) untuk berjumpa di kampung Khamis ini sebelum mereka bergerak dari rumah pada jam 10 pagi.Namun, tidak sampai dua jam, saya mendapat panggilan dari abang, Mohamad Fauzie, 36, yang memaklumkan isteri saya, anak dan ibu bapa mentua terbabit dalam kemalangan dan ketika itu, saya berasakan dunia gelap sebentar,” katanya.
Sementara itu, adik ipar mangsa, Mohamad Faeeiz, 22 berkata, dia tidak menyangka panggilan yang diterima dari telefon bimbit Munira adalah panggilan yang mengejutkan buat mereka sekeluarga.
“Pada mulanya, saya ingatkan kakak ipar (Munira) menghubungi saya kerana ada perkara mustahak. Namun, jangkaan itu meleset selepas orang awam menggunakan telefon bimbit kakak ipar dan memberitahu dia dan ahli keluarga lain terbabit dalam kemalangan.
“Malah, saya meminta individu itu mengesahkan kejadian berkenaan dan dia membacakan maklumat kad pengenalan kakak ipar. Ketika itu, badan terasa lemah apabila mengetahu kejadian itu,” katanya.
Mohamad Faeeiz berkata, dia turut terkilan kerana tidak sempat berjumpa Aniq Anaqi sejak anak saudaranya itu lahir enam bulan lalu. Jenazah keempat-empat mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lorong Tujuh, Kampung Sungai Sireh, Sabak Bernam, malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata,
“Siasatan awal mendapati kereta Perodua Kancil terbabit terbabas ke laluan lori sebelum merempuh bahagian hadapan kenderaan berat itu, namun siasatan lanjut masih dilakukan.
“Ketiga-tiga mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, manakala bayi terbabit meninggal dunia di hospital.”
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurut Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Alimaddia Bukri, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati salah seorang penumpang hadapan Perodua Kancil itu tersepit.
“Anggota kami kemudian menggunakan alat pemotong hidraulik bagi mengeluarkan kesemua mangsa,” katanya.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga terus tabah dan diberi kekuatan menghadapi ujian yang menimpa. AlFatihah.
Isu doula hangat diperkatakan kebelakangan ini. Terbaru, melibatkan kes kematian bayi yang dilahirkan dirumah disebabkan komplikasi.Perkara ini, mendapat perhatian meluas di media sosial termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri. Mohon para mak-mak yang pernah berhasrat untuk mendapatkan khidmat doula dan bersalin ikut ‘pandai’ sendiri dirumah fikirlah sedalam-dalamnya. Proses bersalin bukan perkara main-main, ia melibatkan dua nyawa ibu dan anak.
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula.
Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1].
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula:
Doula Antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula Labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin.
Manakala, Doula Postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional.
Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.
Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan TANPA pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.
Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”(Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”.
Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018
Jodoh setiap orang tak sama. Apabila Allah sudah menetapkan jodoh dengan wanita berusia, itulah ketentuanNya yang perlu anda terima. Semua itu adalah rahsia Allah. Cuma Dia yang tahu alasan, sebab dan musababnya, mengapa isteri lebih berusia jadi jodoh anda.
Jangan menolak ketentuanNya. Sekali anda sudah memiliki jagalah pasangan dengan sebaik-baiknya. Ada yang kata rezeki akan jadi lebih murah. Anda juga akan jadi lebih tenang dan sabar. Wanita berusia ini matangnya lain macam. Haa. sebab itu kena selalu positifkan diri.
Wahai suami, jika wanita berusia sudah menjadi jodoh anda nak pastikan agar hubungan jadi lebih mesra dan lebih bahagia cuba ikuti 7 tip yang dikongsikan ini.
Sebagai suami, anda bertanggungjawab kepada kerukunan rumah tangga yang dibina. Fahami isteri anda dan jadikan diri lebih matang. Itu tidak bermaksud anda harus tinggalkan perangai ‘gila-gila’. Anda masih boleh menjadi diri anda, cuma perlu ‘mendewasakan’ sedikit pemikiran dalam beberapa perkara.
Mungkin semasa bercinta anda tidak memahami sepenuhnya sifat isteri anda. Untuk membantu anda menilai dirinya disarankan mendekati rakan-rakannya.
Dari situ anda dapat melihat bagaimana perwatakan isteri anda. Selain itu, elakkan sikap cemburu buta apabila isteri anda meluangkan waktu bersama rakan-rakannya.
Berkahwin dengan isteri lebih tua miliki tuahnya yang tersendiri. Mana tidaknya, isteri lebih ‘makan garam’ berbanding anda yang lebih berusia muda.
Namun jangan harap isteri anda tahu semuanya dan mengambil semua tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh anda. Jadi apa salahnya untuk menyaingi ilmu dan pengalaman yang ada pada isteri.
Sebagai suami, anda mesti menghadapi masalah untuk memasuki zon atau era zaman isteri. Untuk membantu anda memahami isteri apa kata anda buat perubahan sedikit pada diri.
Bergaul dengan golongan yang jauh lebih berusia, secara tidak langsung anda akan mula terikut-ikut cara ‘orang dewasa’ bergaul. Jadi, lebih mudah anda mengenalinya.
Ini apa yang harus anda harungi, perlu lebih sensitif apabila berkata-kata. Jangan mudah terikut-ikut darah muda, ada kalanya mudah melatah dan suka cakap lepas.
Mungkin bagi kawan-kawan sebaya ia tidak menjadi masalah kerana mereka faham trend ketika itu dan hanya dianggap gurauan. Tetapi harus diingat tidak semua orang boleh terima cara itu, lagi-lagi bagi orang yang berjiwa sensitif. Fahami jiwa isteri anda.
Bertolak ansur dalam perhubungan membuatkan rumah tangga anda aman. Ia bukti yang boleh ditunjukkan betapa besarnya kasih sayang anda padanya. Jika anda berdua mengamalkan perkara ini, percayalah, hubungan anda akan sampai ke akhir hayat.
Memang rumit ada sahaja yang tidak kena, lagi-lagi bila isteri anda cuba mengubah anda menjadi seseorang matang. Tidak salah jika anda banyakkan bersabar dan cuba ikuti caranya.
Tetapi, jika isteri anda cuba mengubah diri anda sepenuhnya, rasanya lebih elok anda berhenti. Mungkin untuk masa terdekat isteri anda suka dengan perubahan itu, namun lama-kelamaan ia akan bosan apabila anda tidak ada jati diri dan pegangan hidup.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
"Jangan sebarkan benda yang tak betul. Kalau tak tahu cerita baik diam. Jangan sebar fitnah kalau tahu tahu apa-apa," katanya yang mengakui kakaknya tersilap memberi ketiga-tiga anaknya ubat methadone.