Macam-macam cara sebenarnya boleh dilakukan untuk meningkatkan keyakinan diri tanpa perlu merisikokan diri. Namun ada yang memilih jalan singkat membesarkan bahagian tubuh tertentu dengan melakukan pelbagai prosedur kecantikan untuk tampak ‘cantik’ dan tingkatkan keyakinan diri.
Suntikan Kali Ke-27
Demi untuk meningkatkan keyakinan diri, seorang wanita dari Bulgaria yang dipercayai memiliki ‘bibir terbesar di dunia’ mahu membesarkan lagi bibirnya dengan menjalani prosedur suntikan kali ke-27 pada Hari Krismas nanti, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Andrea Ivanova, 24, menjadi tajuk utama berita selepas menunjukkan foto bibirnya yang sangat besar.
Wanita yang membelanjakan sebanyak £5,000 (RM27,993) untuk bibirnya sahaja berkata, dia tidak merancang untuk berhenti melakukan prosedur tersebut dalam masa terdekat. Ivanova juga turut merancang untuk memanjangkan wajahnya dan mengubah bentuk dagu serta rahangnya.
Tingkat Keyakinan Diri
Menurut wanita itu, bibirnya yang besar bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri, malah ia juga membantunya mendapatkan 8,000 pengikut di laman sosial Instagram dengan ramai lelaki menawarkan wang kepadanya.
Biarpun kerap melakukan suntikan bibir, Ivanova tidak bimbang bibirnya i ‘pecah’ satu hari nanti.
Ads
“Saya amat menyukainya dan rasa lebih baik dengan bibir ini,” katanya.
Ivanova kali pertama menyuntik bibirnya dengan asid hyaluronik pada 2018 dan akan menambahnya setiap bulan kerana amat menyukai bibir tebal dan mungil.
Wajah asal Andrea Ivanova sebelum menjalani prosedur suntikan bibir.
Mingguan Wanita: Macam-macam cara untuk meningkatkan keyakinan diri. Janganlah sampai membahayakan diri pula bila buat suntikan terlalu banyak untuk besarkan bibir. Aduh, risaunya bibir besar macam ni. Cantik ke?
Pengalaman berdepan dengan banjir, siapkan barang keperluan penting ini sebagai persediaan bencana di masa depan. Mungkin tip yang dikongsikan ini dapat memberi panduan kepada mereka yang kerap menghadapi banjir.
Bencana alam seperti ini sukar mak ayah jangkakan. Oleh itu buat persediaan agar suatu nanti jika terlibat dengan banjir, mak ayah lebih bersedia untuk menghadapi dan tahu apa yang perlu dilakukan dahulu.
Ikuti pengalaman mangsa banjir, Baharin Abd Hamid ini dan fahami apa yang cuba disampaikan:
Assalammualaikum.
Alhamdulillah, kami sekeluarga sudah selamat keluar (saya, Piena Baharin, anak dua orang dan ayah saya). Pengalaman yang sangat dahsyat kalau hendak dibandingkan dengan banjir yang berlaku pada tahun 1995.
Ya, Seksyen 25 (Shah Alam) bukan pertama kali hadapi banjir. Tahun ini saja sudah tiga kali termasuk kejadian kali ini. Tetapi kali ke-3 ini adalah yang paling buruk sebab ramai terkandas dekat rumah.
Asalnya ingatkan air sekadar naik sekitar buku lali atau paras lutut. Rupanya hingga ke paras siling. Syukur sebelum air naik, ayah dan anak lelaki dapat datang ke rumah untuk bermalam di sini. Mereka tumpang 4×4 jiran dan jalan ke rumah kami. Waktu itu hampir 7petang dan air mula melepasi pinggang.
Mana yang rumahnya satu tingkat, harap bertabah. Selamatkan benda penting seperti makanan ringan, kad pengenalan, kad bank dan pelitup muka. Saya sendiri terlupa nak selamatkan facemask semua sebab dah kelam kabut selamatkan barang-barang termasuklah keperluan makanan.
Kadang-kadang beli barang lebih untuk storage ada kelebihannya jika berlaku bencana seperti sekarang. Boleh share dengan jiran-jiran juga.
Kebetulan saya ada camping stove, jadi saya selamatkan beras, maggi, teh, telur dan beberapa barang basah serta peralatan memasak. Syukur sangat-sangat sebab ada camping stove ni. Boleh masak jika perlu.
Jadi saya sarankan anda beli satu camping stove untuk simpanan, gas dia pun tak mahal sangat. 1 tin harganya dalam RM4 hingga 5 saja. Just in case. Tak lupa juga torch light. Saya gunakan jenis yang basikal pakai, kecil, kalis air dan bateri tahan lama(USB charge). Dapatlah suluh apa yang patut ketika hari makin gelap.
Harta benda kami semua habis ditelan banjir, kereta, motor, barang-barang rumah. Allahuakbar! Sebak kami memikirkan bagaimana dengan hari-hari mendatang. Tak apalah, Allah lebih mengetahui. Yang penting kami harus terus bertahan sebelum bantuan tiba.
Malam pertama banjir, kami makan apa yang ada, ramai yang bertanyakan khabar tapi tak dapat nak reply sebab line tak berapa clear. Tambahan pula bateri tinggal sekitar 50 peratus, 30 peratus. Power bank pun tak berapa ada bateri. Mujur ada laptop, jadi bolehlah cas sikit.
Waktu kecemasan macam ini saya gunakan mode ultra battery saver. Jika bateri tinggal 30% boleh tahan hingga 29 jam. Mode ni akan aktifkan aplikasi yang penting je seperti Whatsapp, Call dan Messenger. Fungsi-fungsi lain dia akan hentikan termasuklah ringtone dan wallpaper. Sesuai untuk waktu kecemasan seperti sekarang.
Waktu ni, tiada bot yang lalu. Mungkin mereka baru dalam perjalanan, jalan pula banyak tutup akibat banjir. Jadi bantuan sampai lambat. Tambahan pula banyak tempat-tempat lain di Klang, Shah Alam yang perlukan bantuan juga. Sekitar pagi jam 7pagi pada 19 haribulan barulah ada kelibat 3, 4 bot lalu lalang. Ada yang jerit meminta tolong termasuk uncle sebelah yang ada baby. Uncle tu pun tak berapa sihat sebab dialisis.
Bot yang lalu semua saiz kecil (mungkin persendirian) jadi tak boleh tolong dan risikokan diri. Mereka suruh bertahan dan akan sampaikan mesej pada bot-bot yang lebih besar.
.
Jam 10 pagi, banjir masih tinggi. Bot-bot besar sudah mula masuk. Jiran-jiran juga sudah berjaya dikeluarkan dalam tempoh 2 hingga 3 jam. Matahari pun dah mula keluar. Bot-bot bawa bantuan makanan pun sudah masuk, mereka bawa roti.
Helikopter juga kelihatan berlegar-legar memantau situasi. Air paip di rumah masih ada. Toilet tingkat atas masih boleh diguna. Ketika ni adik saya Aminah Asykin Abd Hamid dan keluarga on the way pulang dari Melaka bersama ibu saya. Jadi kami rancang untuk keluar dan tumpang rumah mereka. Bertemu di atas highway kesas.
Kami diselamatkan sekitar jam 5 petang oleh kawan wife. Terima kasih sangat-sangat buat Abang Sab dan kawan dia. Dayung jauh-jauh hingga ke rumah kami. Bawa 2 bot pelampung. Jadi kami semua dapat keluar dalam 1 trip. Kami di bawa ke darat. Ramai orang di situ memberi bantuan kepada mangsa, tarik bot ke darat, tolong angkat beg, tolong warga emas dan memberi makanan.
Selamat mendarat, kami di bawa ke PPS (Pusat Pemindahan Sementara) Dewan SJK berhampiran. Tapi kami memohon untuk dihantar seberapa hampir dengan highway kesas. Dan kami diturunkan berhampiran lot kedai persiaran kemuning prima. Sesampainya di situ, adik kata tak dapat nak masuk sebab jalan banjir.
Laluan yang boleh diakses adalah highway LKSA. Bermakna kami terpaksa patah balik. Jam sudah menunjukkan waktu 6 petang. Hari mula gelap. Si kecil sudah mula sedih sebab takut tak ada tempat nak bermalam. Oh anak… lemah jiwa baba melihat kamu begitu. Insyallah, baba akan usaha sehabis baik untuk kamu.
Perancangan baru. Kami harus berpatah balik ke PPS. Kerana ianya berhampiran dengan LKSA. Dengan harapan banjir sekitar persimpangan menuju ke LKSA surut agar kami boleh melintas ke situ. Kalau tak, kami akan minta bantuan bot. Patah balik kami jalan sedikit mencari area yang lebih luas untuk tahan kereta meminta tumpang. Ini kerana jalan sesak dengan kenderaan bantuan dan macam-macam.
Alhamdulillah ada satu hilux hantar bantuan menumpangkan kami. Terima kasih pada adik-adik India yang sudi bantu. Sesampai di PPS, keadaannya gelap kerana elektrik telah ditutup sejak senja hari Sabtu. Kelihatan banyak bantuan makanan dan minuman yang sampai.
Kami meneruskan perjalanan untuk melihat keadaan jalan. Syukur Ya Allah, walaupun masih banjir tapj kami boleh mengharunginya dengan berjalan. Air sekitar buku lali dan lutut. Kami berjalan dalam 70 meter hingga ke susur keluar LKSA ke Seksyen 25.
Along! along! Satu suara memekik memanggil saya. Allahuakbar, rupanya adik ipar Adib Razali sudah tunggu di situ. Dengan payung dan juga power bank. Ya Allah rasa nak menitis air mata. Kasihan dekat mereka yang pulang dari melaka dan berjam-jam menunggu kami untuk keluar. Masing-masing menunjukkan rasa lega, ada senyuman terukir di wajah si kecil. Alhamdulillah…
Sesampai di kereta, kami disambut oleh ahli keluarga yang lain. Air mata menyambut kami, memikirkan nasib kami dan bersyukur diselamatkan. Rumah ibu juga ditenggelami air. Kebetulan ibu keluar bersama adik ke Melaka. Tinggal ayah dan anak lelaki saya di rumah ibu. Adik lelaki yang satu lagi dalam perjalanan ketika ini.
Adik ipar akan hantar wife, ibu, adik and anak kecil ke kereta adik lelaki dulu. Bertemu di stesen minyak kesas. Kemudian patah balik untuk yang lain. Ketika tunggu giliran, saya nampak banyak bomba dan bot-bot lain sudah sampai.
Bomba datang dari Kuala Kubu Baru dan Johor. Saya share info-info yang mana ada dengan mereka. Harapan agar yang lain juga dapat diselamatkan. Saya dengar ada juga yang jadi korban banjir, innalillah… Moga dipermudahkan urusan SAR.
Akhirnya, kami semua berjaya diselamatkan. Alhamdulillah segala pujian buat ALLAH. Kami menumpang dirumah adik dulu sementara tunggu air surut.
Kepada ahli keluarga dan kawan-kawan yang hulurkan bantuan doa, bertanya khabar, contact-contact untuk rescue, yang hantar makanan, bantuan bot Abang Sab, yang nak tumpangkan rumah, team-team NGO, ATM, BOMBA dan semua yang terlibat, Terima kasih tak terhingga dari kami. Semoga Allah balas semua jasa anda dengan kebaikkan dan rahmat dari-NYA. Semoga Allah limpah kurniakan anda semua dengan rezeki dan kesihatan serta dipermudahkan segala urusan. Amin Rabbal alamin….
Buat mangsa-mangsa yang seangkatan, semoga diberi kekuatan mengharungi musibah ini. Allah uji sebab Allah sayang, dan juga memberi sedikit peringatan buat kita.
Jangan pernah berhenti berharap dan doa pada-Nya. Insyallah kita mampu harunginya. Akhir kata dari saya, jaga diri, perhatikan sekeliling yang perlukan bantuan dan maklumkan pada petugas-petugas lain. Kita jaga kita.
Mingguan Wanita : Pengalaman ini dapat dijadikan panduan buat mereka yang berdepan dengan musibah ini. Semoga semua mangsa banjir yang terjejas dipermudahkan urusan dan tabah dengan ujian ini.
Demi rakaman gambar sempurna, wanita ini sanggup bahayakan nyawa minta selamatkan kamera walaupun sudah hampir lemas.
Macam-macam kepuasan manusia sekarang, kadangkala demi mengejar “content” dan viral mereka sanggup memperjudikan nyawa sendiri.
Tak dapat bayangkan jika kejadian ini meragut nyawanya, pasti ia menjadi tragedi hitam sepanjang hidup.
Demi mendapatkan rakaman gambar yang jelas dan sempurna, seorang wanita di Indonesia sanggup membahayakan nyawanya dengan bertindak memegang kayu swafoto meskipun dalam keadaan dilambung ombak kuat sehingga hampir lemas, lapor laman berita Suara.com hari ini.
Menerusi satu kilp video yang tular di media sosial, wanita tersebut pada awalnya dilihat sedang merakam gambar menggunakan kamera yang dipasang pada kayu swafoto.
Tidak lama selepas itu, kelihatan ombak besar menghampiri pantai, dan dalam sekelip mata ombak itu memenuhi kawasan darat sehingga menenggelamkan wanita terbabit.
“Saya berlari mengejar waktu supaya dapat merakam detik-detik ini,” kata wanita tersebut dalam video yang dirakamnya.
Meskipun tenggelam timbul di sebalik air laut yang naik ke darat, wanita berkenaan tetap memegang kayu swafoto dalam keadaan dia tersangkut pada dahan pokok dan akar kayu.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki muncul untuk menyelamatkannya, namun wanita berkenaan meminta lelaki tersebut untuk memegang kayu swafoto miliknya dan terus merakam gambar tanpa membantunya.
Video itu menjadi tular dengan ramai netizen memberikan pelbagai komen mengenai kejadian tersebut.
“Sempat lagi dia berbuat begitu. Dia fikir dia berada di kolam renangkah?” komen seorang pengguna.
“Pada waktu dia tersepit pada dahan pokok, dia menyuruh orang menyelamatkan kayu swafotonya,” kata seorang lagi netizen. – AGENSI
Mingguan Wanita : Kisah ini harus dijadikan pengajaran buat anak-anak remaja yang terlalu mengikut pengaruh media sosial atau mengejar viral. Jangan dek kerana hendak mengejar populariti sanggup lakukan perkara tak masuk akal dan membahayakan nyawa sendiri.
“Amanah ini akan dipikul sebaik mungkin.” Lelaki redha jaga isteri lumpuh, empat anak OKU.
Sesungguhnya berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul. Namun itulah takdir yang perlu diterima lelaki ini apabila isteri yang disayangi lumpuh dan kini hanya bergantung harap padanya seorang.
“Saya reda dan amanah ini akan dipikul dengan sebaik mungkin,” kata seorang lelaki yang tetap tabah menjaga isteri dan empat anak lelaki orang kurang upaya (OKU).
Jumahir Masun, 52, berkata empat daripada lima anaknya berusia 16 hingga 25 tahun tidak boleh berjalan sejak berusia satu tahun.
“Anak-anak saya tidak membesar seperti kanak-kanak lain, dulu saya dapat berkongsi tugas mencabar ini dengan isteri, Rohayati Abdullah, 50.
“Namun, kini tugas itu digalas sendirian selepas isteri tiba-tiba tidak dapat berjalan dan disahkan lumpuh sejak empat tahun lalu,” katanya di Felda Kertih 6, Dungun, Terengganu.
Menurutnya, anak sulungnya, Ahmad Arif Aiman, 25, hanya terlantar di atas katil sepanjang masa.
Katanya, sementara Ahmad Ariffin, 23, Ahmad Zainuddin, 17, dan Ahmad Budiman, 16, pula mengalami masalah sendi tangan serta kaki menyebabkan mereka tidak boleh duduk dengan betul.
“Sebelum ini, saya ada membawa anak-anak ke hospital untuk rawatan dan terapi tetapi atas sebab masalah pengangkutan kerana tiada kereta menyebabkan mereka tidak dibawa lagi ke hospital.
“Keempat-empat anak dan isteri terpaksa memakai lampin pakai buang dan itu membuatkan saya terpaksa berbelanja lebih untuk menanggung kos berkenaan,” katanya.
Katanya, sebelum ini dia bekerja mengambil upah mengait kelapa sawit dan kini terpaksa berhenti kerja sejak isterinya lumpuh.
“Isteri dan anak-anak memang memerlukan penjagaan dan perhatian sepenuhnya termasuk menguruskan diri mereka.
“Keadaan itu menyebabkan saya tidak dapat bekerja dan dalam hati ini saya menangis memikirkan keadaan saya dan mereka,” katanya.
Jumahir berkata, dia tetap bersyukur apabila setiap anaknya diberi bantuan bulanan sebanyak RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bantuan itu saya perlu berjimat-cermat untuk perbelanjaan lampin pakai buang mereka dan makan minum kami sekeluarga.
“Duit bantuan itu juga digunakan untuk anak ketiga, Nor Hanisa, 20, yang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diperolehinya perlu digunakan untuk membayar yuran pengajian dan membeli buku-buku pelajaran,” katanya.
Katanya, dia juga bersyukur kerana jiran-jiran yang bersimpati dengan nasib mereka sekeluarga dengan menghulurkan makanan.
“Saya sering menangis sendirian memikirkan nasib dan tidak tahu apa akan berlaku kepada mereka sekiranya umur saya tidak panjang, “katanya.
Mingguan Wanita : Bagi mak ayah yang ingin menghulurkan bantuan buat keluarga ini, boleh menghubungi Jumahir di talian 0145401915. Semoga keluarga ini terus tabah dan kuat menharungi dugaan yang berat ini.
Mengimbas kembali peristiwa menyayat hati, tiada siapa menyangka sebuah pertengkaran yang bermula kerana masalah duit akhirnya meragut nyawa seorang ibu kepada tujuh orang anak.