Definisi kecantikan bagi seorang wanita berbeza-beza. Ada yang menganggap bibir tebal, penuh dan besar itu dianggap cantik, seksi dan menawan. Maka tidak hairanlah, ada yang sanggup buat apa sahaja demi mendapat bentuk bibir idaman dengan walaupun berisiko dan berbahaya.
Suntikan Bibir Ke-21
Seorang wanita di Bulgaria sanggup mengenepikan risiko bakal dihadapi, semata-mata mahu dinobatkan sebagai pemilik bibir terbesar di dunia.
Andrea Emilova Ivanova, 22, yang juga penuntut bidang falsafah menjalani prosedur suntikan ke-21 pada bibirnya baru-baru ini, walaupun sudah diberi amaran oleh doktor supaya tidak melakukannya.
Daily Star melaporkan sebelum menjalani prosedur suntikan asid hyaluronik terbaru itu, Andrea sudah memiliki bibir berlipat kali ganda lebih besar daripada saiz asal.
“Doktor bimbang dan mengatakan bibir saya sudah terlalu besar sehingga ingin mengeluarkan semua asid hyaluronik supaya bibir saya lebih kecil dengan bentuk sedikit berbeza.
“Tetapi saya dengan bertegas dan menolak pandangan itu serta mengatakan saya akan terus membesarkan bibir. Saya sangat suka bibir besar,” katanya.
IKLAN
Amaran Doktor
Wanita yang dianggap sebagai patung Barbie hidup itu berkata, doktor memaklumkan asid hyaluronik yang tinggi di bibirnya amat merbahaya, tambahan pula suntikan dibuat begitu kerap.
“Tetapi buat masa ini saya tidak mempunyai kesan sampingan dan komplikasi kesihatan,” katanya.
Tambahan suntikan asid hyaluronik di klinik itu menyebabkan bibir Andrea menjadi terlalu besar hingga hampir menyentuh hidungnya.Namun wanita itu dengan bangga berkongsi gambar aksi ciuman besar dengan 62,100 pengikutnya di Instagram.
Andrea membayar £135 (RM720.74) untuk setiap suntikan dan ini bermakna dia sudah menghabiskan £2,835 (RM15,135.58).
IKLAN
Ketagih Bibir Besar
Wanita itu ketagih memiliki bibir besar dan mula mendapat suntikan pada 2018 dan seronok apabila mendapat pujian.
“Dua minggu lalu, saya melakukan suntikan ke-21 kerana ingin mengekalkan kandungan asid hyaluronik di bibir dan terus menjadikannya lebih besar.
“Asid itu akan diserap di dalam badan dalam tempoh beberapa bulan jadi saya harus terus menambahkannya secara berkala,” katanya.
MW: Macam-macam hal. Tuhan ciptakan dah cukup sempurna tak perlu nak berlebihan.Nak lawa punya pasal silap-silap, bahayakan diri dan beri kesan sampingan di kemudian hari pula nanti.
Ini cerita ajaib tentang seorang suami, bapa bernama Reduan Mohd Noor, 55. Lelaki yang menetap di Padang Jawa, Shah Alam ini pernah terlantar sebulan di katil hospital akibat penyakit saraf tunjang.
Demi anak isteri yang alami masalah jantung, dia kuatkan semangat. Bangun sampai boleh berjalan perlahan. Wartawan Nazwa Selamat mengunjungi kediaman beliau bagi berkongsi kisah inspirasi untuk suami isteri yang berhadapan ujian seumpanya.
Semangat ‘Ajaib’, Reduan Kini Mampu Berjalan
Setiap insan diberi ujian yang berbeza oleh Allah SWT. Walaupun hati berkata tidak atau belum bersedia untuk hadapinya tetapi inilah kayu pengukur bagi menguji sejauh mana letaknya tahap keimanan seseorang.
Bersama tim PERKESO Klang, penulis berkesempatan berkunjung ke sebuah rumah milik Reduan Mohd Noor, 55 di Padang Jawa, Shah Alam.
Laluan masuk yang tidak rata membuatkan pemanduan terpaksa diperlahankan. Sana sini kelihatan lopak air bertakung, menandakan hujan malam tadi. Barangkali lebat.
Mata memandang ke kiri dan kanan, rumah-rumah lot kampung dibina serba sederhana. Mungkin cukup bagi melepas selesa setelah penat bekerja.
Akhirnya, kami tiba di sebuah rumah yang serba sederhana. Di beranda, kelihatan seorang lelaki sedang duduk menyandar kerusi yang kondisinya sedikit usang.
Salam disambut, namun dia tidak mampu berdiri kerana masalah kesihatan. Penulis bermonolog, mungkin inilah Reduan. Orangnya nampak bersemangat tetapi saiz badannya agak kurus.
Dikatakan, dia mampu berdiri dan berjalan tetapi tidak seligat dahulu. Masalah kesihatan yang menimpanya beberapa tahun dahulu seakan meragut kemampuan untuk bergerak.
“Saya redha dengan apa yang berlaku. Memang pada awalnya bukan mudah untuk menerima tetapi saya kuatkan hati dan percaya, Allah duga sebab dia sayangkan hambaNya. Kehidupan sekarang serba sederhana.
“Dulu, saya pernah bekerja dengan sebuah syarikat pembersihan. Lama, rasanya lebih kurang 19 tahun. Alhamdulillah, ada caruman dengan PERKESO. Mungkin inilah hikmahnya bila dah terlantar sakit, ada pula bantuan yang dihulur.
Reduan Jatuh Disahkan Masalah Tulang Belakang
Suatu hari, Reduan jatuh di rumah dan dibawa ke hospital. Doktor kata ada masalah di bahagian tulang belakang (saraf tunjang).
“Disebabkan itu, saya terlantar lebih kurang satu bulan di katil hospital. Sedihnya hanya Tuhan yang tahu.
“Saya tak mampu lagi keluar mencari rezeki dan saya seolah membebankan anak dan isteri untuk datang menjaga.
“Waktu itulah saya bulatkan tekad untuk segera sihat, paling tidak pun dibenarkan keluar dari hospital. Alhamdulillah, Allah makbulkan walaupun kesihatan tidak sepenuhnya pulih,” ujarnya dengan suara yang perlahan.
Anak Kedua Dan Isteri Ada Sakit Jantung
Sayu hati penulis mendengar cerita Reduan. Seakan sudah jatuh ditimpa tangga. Dia yang sebelum ini diharap menjaga keluarga akhirnya tidak mampu melakukan banyak kerja.
“Isteri saya tu bukanlah sihat sangat. Dia ada masalah jantung dan sering berulang alik ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemeriksaan rutin. Ada juga penyakit kencing manis dan darah tinggi.”
Walaupun sakit, isterinya, Norli Samijan, 48, betah berdikari dan bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah kedai 24 jam. Anak yang sulung pun sudah berkeluarga, jadi tidaklah terasa sangat.
“Anak kedua kami yang 23 tahun pun sama. Disahkan masalah jantung dan kencing manis. Waktu umurnya 13 tahun lagi, dia dah ambil insulin untuk kencing manis. Alhamdulillahlah, sebelum saya sakit lagi kami dah bawa dia untuk jalani pembedahan jantungnya.”
“Setidak-tidaknya, saya dapat jugalah tunaikan tanggungjawab sebagai bapa dengan menemankannya di hospital dahulu.
“Kasihan anak kedua saya itu. Dia ada Diploma dari Institusi Pengajian Tinggi Awam di Ipoh tetapi sanggup tak bekerja semata-mata nak menjaga saya di rumah.
“Banyak betul pengorbanannya sampaikan ada ketika saya rasa down sebab tak dapat teruskan tanggungjawab sebagai ayah dengan baik.”
Sampai hari ini, Reduan masih lagi meneruskan rawatan susulan di hospital. Dua bulan sekali, dia akan berjumpa doktor untuk lihat kembali sejarah kesihatan selain melakukan pemeriksaan rutin bagi mengelak timbulnya masalah kesihatan yang lain.
Saya Tak Mahu Bebankan Mereka
Reduan terdiam seketika. Mungkin mencari kekuatan untuk menyambung bicara. Ujarnya lagi, kalau ikutkan hati dia memang susah untuk bergerak semula tetapi disebabkan semangat yang tinggi untuk sihat demi isteri dan anak-anak maka digagahkan juga.
Bila difikir-fikirkan balik, seperti satu kisah ajaib. Seorang yang hanya mampu terbaring akibat masalah saraf tunjang kini dilihat sudah mampu berjalan meskipun perlahan.
“Saya kasihankan isteri dan anak-anak. Saya tak mahu terus bebankan mereka. Yang pasti, hanya mereka penguat semangat untuk saya terus sihat.
Kadang-kadang saya akan berjalan perlahan ke dapur. Malah ada masanya saya akan buat senaman regangan yang mudah di kerusi ini.
“Memang rasa kebas dari bahu ke kaki masih ada sebab penyakit saya ini melibatkan saraf kan tetapi saya kuatkan dan cuba untuk sihat kembali.”
Semangat Reduan datangnya dari isteri, anak-anak, saudara-mara serta rakan taulan.
“Saya berfikiran positif, yakin dan percaya pada keajaiban Allah SWT. Moga ada sinar baru buat saya dan keluarga kelak.”
Sebelum mengakhiri temubual Reduan sempat memaklumkan yang kawasan rumahnya kerap kali banjir akibat sistem saliran yang tidak sempurna.
Difahamkan juga, kira-kira tiga minggu yang lepas, rumah Reduan dan kawasan sekitar dinaiki air hingga ke paras paha. Masing-masing kelam-kabut meletakkan barang-barang penting ke tempat tinggi.
Penulis : Nazwa Selamat
Foto : Nurul Akmar Azimi
Terima kasih kepada Mohd Nazree Khalid dari PERKESO Klang
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Cucur Badak merupakan salah satu kuih tradisional melayu yang tak ramai boleh buat dengan sedap!. Kadangkala, kuih-kuih tradisonal begini memang mampu mengimbau memori dan mempunyai kenangan tersendiri. Lebih-lebih lagi jika ia dibuat oleh insan yang tersayang, seperti mak dan ayah kita.
Sungguh, air tangan mereka memang teristimewa, bila mereka telah tiada, ia tinggal kenangan dan tak dapat lagi dibeli dimana-mana. Hanya peninggalan resipi yang diperturunkan mampu mengubat rindu di dada.
Perkongsian resipi Cucur Badak oleh Zyanne Indulgence, merupakan kenangan beliau bersama arwah abahnya yang juga pakar dalam membuat kuih ini.Lebih istimewa, menurut beliau hasil jualan kuih muih inilah yang membesarkan mereka 4 beradik.
Berikut antara perkongsiannya;
Cucur Badak Abah, Kenangan Mengusik Jiwa
Projek minggu lepas.
Bila tengok cucur badak mesti teringat arwah abah. Arwah abah memang terer. Itulah kepakaran abah. Mak & abah membesarkan kami 4 beradik dengan menjual kuih. Kami 3 beradik dah ada bahagian masing-masing.Subuh-subuh sepi abang kena golek kuih bom/onde-onde pulut dengan lenga/bijan (sebelum abang dapat kerja di PJ). Aku pulak kena gentel inti tepung bungkus, layor daun pisang. Kadang-kadang kena kupas ubi keledek. Adik pulak memang kontrak buat badan karipap & tempa karipap.
Mula-mula mak start berniaga seronoklah nak tolong. Tapi lama kelamaan mulalah rasa bosan. Orang utara kata dah cemuih. Dok tengok muka kuih tiap-tiap hari. Tapi apakan daya kenalah teruskan jugak sebab dengan duit kuih tulah mak & abah membesarkn kami adik -beradik.
Ada le jugak sekali-sekala mulut yang x de insurans ni mengomel “kenapalah kena buat semua ni. Apsallah aku x dilahirkan kaya. Macam-macam rasa tak puas hati. Kawan-kawan senang je nak apa-apa mintak je kat mak bapak diorang. Tapi aku tiap-tiap hari menghadap kuih”.
Masa tu mana reti nak bersyukur dengan apa yang kita ada. Tapi bila tengok mak & abah bersusah-payah carik duit, tido tak menentu kesian pulak tengok. Maka dengan itu aku pun teruskanlah rutin tu tanpa perlu mempersoalkn why why why…. Kita sambung nanti kisah aku anak penjual kuih ni ye.
Jom kita sambung buat cucur badak.
Petua Rebus Ubi Keledek
Petua abah kalau nak rebus ubi keledek tu, air jangan banyak. Sukatannya setengah daripada level ubi tu. Nak sedap campurkan ubi oren & kuning/putih. Kacaulah dari semasa ke semasa supaya ubi yang atas turun ke bawah. Jangan lupa masukkan garam. Nanti tawar lah badan cucur badak kome. X de rasa.
Bila air dah kering, baru masukkan gula. Yang aku buat ni ubinya lebih kurang 5 kg aku masukkan dalam 6 senduk kecik. Apa lagi lecoklah ubi tu sampai hancur.
Dah hancur baru masukkan tepung gandum. Pastikan ubi yang direbus tu tak lembik. Kalau lembik tepung kena bubuh banyak dah jadi keras kejung cucur kome. Abah kata kalau ubi yang digaul dengan tepung dah tak lekat kat tangan maknanya doh cucur kome tu dah cantiklah.
Silalah tempa cucur kome tu. Sukatilah nak buat beso mana. Kalo rajin buat comey-comey. Kalau maleh nak cepat siap tempa jelah sebeso badak. Sebiji makan dah kenyang.
Bila dah siap takkan le kome nak ngap terus. Goreng le dulu. Tips abah minyak jangan terlalu panas.
Mungkin mempunyai sebab yang tersendiri sepasang suami isteri di India menamakan anak mereka sebagai Corona dan Covid sempena kelahiran bayi kembar itu dalam suasana ‘lockdown’ sedang dikuatkuasakan di negara itu susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Lambang Kejayaan
Memetik laporan Daily Mail, bayi kembar itu telah dilahirkan di Dr BR Ambedkar Memorial Hospital pada 27 Mac lalu dan nama Corona serta Covid itu dipilih oleh pasangan tersebut sebagai melambangkan kejayaan di atas kesulitan yang dihadapi.
Verma berkata, dua anaknya itu (kembar lelaki dan perempuan) berjaya dilahirkan selepas berjaya mengharungi segala dugaan menyebabkan dia dan suami mengambil keputusan menamakan anak mereka dengan nama Corona dan Covid.
Tanda Kenangan
Ia sebagai tanda kenangan yang tidak akan mereka lupakan berikutan kemunculan pandemik itu yang sudah menjangkiti ribuan manusia di dunia.
“Virus itu sememangnya berbahaya dan mengancam nyawa tetapi wabak tersebut telah berjaya membuatkan ramai orang sedar soal kuman, kebersihan serta berjaya menanam tabiat-tabiat baik yang lain.
“Disebabkan itulah, muncul idea untuk menamakan mereka (anak kembar) dengan nama ini. Staff hospital memanggil anak lelaki saya Corona dan anak perempuan, Covid,” kata wanita tersebut yang juga telah mempunyai anak perempuan berusia 2 tahun.
Bayi kembar berkenaan dilaporkan dilahirkan secara ‘caesar’ dengan beberapa komplikasi.Bagaimanapun pasangan suami isteri itu memberitahu, mereka berkemungkinan menukar kembali nama anak itu nanti.
Bagi menangani penularan Covid-19, India melaksanakan perintah berkurung selama 21 hari. Data terkini lebih 2,300 kes telah dilaporkan positif Covid-19 di India dengan 56 kematian.
Nahas tragedi helikopter TLDM, lelaki buat hantaran jelik didenda RM23,000. Gara-gara menghina nahas tragedi dua helikopter bertembung di udara dua hari lalu, seorang peniaga...