Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah memasuki fasa ke-lima sebenarnya memberi pelbagai kesan kepada rumahtangga. Ada setengah pasangan makin bahagia dan mula menghargai isteri apabila setiap hari melihat susah, payah seorang isteri menguruskan rumahtangga.

Sebaliknya ada juga pasangan yang hubungannya makin jauh kerana terlalu lama berada di rumah, 24 jam bersama membuatkan perasaan benci semakin membuak-buak serta sukar dikawal. Bersyukurlah PKP telah mengeratkan hubungan suami, isteri. Jika tidak perhalusilah di mana salahnya.

Ikuti perkongsian Intan Dzulkefli ini dan fahami hikmah di sebalik PKP jika kita benar-benar mahukan keredhaan Allah SWT:

PKP ini sebenarnya memberi ‘rahmat’ yang besar bukan sahaja kepada alam sekitar yang semakin bersih, bahkan kepada insan.

Ada suami yang selama ini curang dalam diam, akhirnya tersedar kesilapan dan kembali jatuh cinta dengan isteri setelah melihat sendiri susah payah dan kesibukan isteri menguruskan rumahtangga selama ini. 24 jam duduk di samping anak isteri akhirnya mengembalikan ‘spark’ dalam hubungan bersama.

Ada pula pasangan yang selama ini tak pernah nak makan semeja, masak sedapur, solat berjemaah akhirnya dapat sama-sama menunaikan apa yang dimahu dan dirindukan selama ini. Sama-sama mainkan peranan masing-masing. Alhamdulillah.

Setengah Orang PKP Adalah Ujian

Namun sebaliknya, PKP juga merupakan ‘ujian’ bahkan ‘kejutan’ buat sesetengah orang lain.

Ada suami, isteri yang makin stres apabila terpaksa 24 jam berdepan sesama sendiri. Ada yang akhirnya pukul isteri. Ada yang asyik bertekak. Jika selama ini stres dan konflik dapat dialih apabila mereka ‘terpisah’, namun kali ini tidak boleh. Ada yang akhirnya ‘meletup’.

IKLAN

Ada isteri yang semakin ‘mental’ kerana suami ambil sikap lepas tangan soal belanja dapur, bayaran komitmen dan urusan rumahtangga. Terpaksa menanggung hati yang sakit apabila ‘biawak’ ada hidup bersenang lenang 24jam di depan mata.

Allahuakbar.

Betulkan Niat Kerana Redha Allah

Suami dan isteri, biar selama mana usia perkahwinan, sentiasa perlu diperingatkan berulang kali kepada diri sendiri.

1. Kenapa saya berkahwin dahulu?
2. Ke mana saya nak bawa rumahtangga saya ini?

Kalau niat kita nak dapat redha Allah. Pasti kita akan usahakan supaya cara hidup berumahtangga kita pun usaha ke arah itu.

Takkan timbul soal mengkhianati, menipu dan menzalimi pasangan. Sebab kita sedar, bukan itu caranya mendapat redha Allah.

IKLAN

Sentiasa muhasabah diri, ke mana saya nak bawa rumahtangga saya ini? Lihat wajah isteri yang makin dimamah usia, lihat anak-anak yang sedang membesar dahagakan didikan, ilmu dan qudwah pasti akan mengingatkan kita tentang peringatan Tuhan dalam surah at-Tahrim.

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar….”

Cukup tegas peringatan ini. Cukup besar amanah ini. Orang-orang yang faham hakikat ini tentu akan sentiasa berhati-hati dan beringat-ingat.

Perhalusi Kembali Di Mana Salahnya

Jika kita semakin rapat dan bahagia sesama suami isteri sepanjang tempoh PKP ini, alhamdulillah.

IKLAN

Jika sebaliknya, perlu diperhalusi kembali apa yang tidak kena serta perbaikilah jika perlu pembaikan dari mana-mana.

Memang amat susah apabila mahu merendahkan ego, duduk bertentangan mata dan berbincang solusi dengan matang. Namun, sekali lagi, kalau redha Allah itu matlamat kita, insyaAllah perbuatan kita akan seiring matlamat itu jugalah.

Kerana pada pengakhirannya kita semua hanya nakkan bahagia dan syurga.

Muhasabah saya sendiri, terutamanya.

#intandzulkefli
#randomthoughts

Sumber:Intan Dzulkefli

MW: Setiap pasangan menerima hikmah yang berbeza kesan daripada PKP, sebaiknya ambil masa yang ada untuk mendekati dan memahami hati pasangan. Barulah hubungan suami, isteri bertambah erat dan kasih sayang melimpah-ruah. 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI