Sudah tiba ajalnya, walaupun ditinggalkan bermain sekejap segalanya pantas berlaku. Tidak dapat bayangkan betapa luluhnya hati seorang ibu.
Apabila anaknya yang dibawa bersama untuk menghadiri temu duga kerja di sebuah resort di Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah, lemas di kolam renang kawasan berkenaan.
Bukan mudah menerima kenyataan sebegini. Apatah lagi di saat sang ibu memerlukan pekerjaan, anak pula pergi mengadap Ilahi.
Anak lelakinya yang baru berusia lima tahun dikatakan lemas selepas terjatuh ke dalam kolam renang di Pantai Merdeka dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, semalam.
Tinggalkan Arwah Bermain Bersama Anak Sulung
Pada mulanya, anak ini ditinggalkan oleh ibunya yang berusia 19 tahun bersama anak sulungnya berusia tujuh tahun sementara dia masuk untuk ditemu duga.
Namun, sudah sampai ajalnya barangkali, dalam selang waktu yang sekejap anak-anak ini hilang daripada pandangan mata.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata ibu mangsa mendakwa kedua-dua anaknya dibiarkan bermain berhampiran lokasi dia ditemu duga.
“Tidak lama kemudian, dia mendapati anaknya hilang dari tempat berkenaan dan cuba mencari sebelum menemui mangsa terapung di dalam kolam itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Kakitangan resort kemudiannya segera menghubungi ambulans dan mangsa terus dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk menerima rawatan lanjut.
Ads
“Setibanya di hospital, doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal ketika berada di dalam kolam,” katanya.
Anak Bermain Dalam Jarak 30 Meter
Tambah Adzli, siasatan di lokasi kejadian mendapati jarak antara tempat temu duga dengan kolam berkenaan adalah kira-kira 30 meter dan kawasan itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
MW: Pihak kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, semoga keluarga dikurniakan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi ujian ini. Al-Fatihah.
Memilukan apabila murid tahun tiga yang mula bersekolah hari ini meninggal dalam perjalanan ke sekolah pagi semalam. Bertambah sedih apabila ibunya tidak berjumpa dengan mangsa sepanjang PKP berlangsung kerana tinggal berasingan.
Hasrat murid tahun tiga untuk bertemu guru dan rakan selepas hampir empat bulan tidak bersekolah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak kesampaian apabila mangsa maut dalam kemalangan di Jalan Panchor, Durian Tunggal di Alor Gajah, semalam.
Murid Sekolah Kebangsaan Parit Melana, Durian Tunggal, Nur Aqilah Husna Amirul Husaini meninggal dunia akibat terperosok di bawah lori lima tan selepas motosikal ditunggangnya bersama bapanya, Amirul Husaini Muhammad, 33, dilanggar lori.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, Proton Wira dipandu lelaki berusia 28 tahun dan Toyota Alphard dipandu guru lelaki berusia 47 tahun turut terbabit dalam kejadian 7.20 pagi itu.
Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa dan bapanya dalam perjalanan dari Kampung Beringin, Alor Gajah ke sekolah.
“Pemandu lori dipercayai mencuba mengelak tetapi terlanggar motosikal ditunggang bapa mangsa di sebelahnya,” katanya di Alor Gajah, hari ini.
Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa terperosok di bawah lori dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya cedera di kaki.
Pemandu Proton Wira cedera di kepala manakala pemandu lori dan Toyota Alphard tidak cedera, katanya.
Jenazah Nur Aqilah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala bapanya dan pemandu Proton Wira dirawat di hospital yang sama.
Katanya, kemalangan berlaku di jalan satu lorong dua hala dan cuaca ketika kejadian baik.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ibu Nur Aqilah Husna merasa terkilan kerana tidak dapat bertemu puteri sulungnya itu pada Hari Raya Aidiladha ini.
Nur Atiqah Saadin, 31, berkata, dia begitu merindui mangsa, Nur Aqilah Husna Abdullah, 9, setelah tidak dapat berjumpa kira-kira empat bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.
Nur Atiqah dari Tampin, Negeri Sembilan tinggal berjauhan dengan anaknya itu setelah berpisah dengan suaminya iaitu bapa kepada mangsa.
“Sedih dan rindu teramat sangat pada arwah. Sebenarnya saya sudah merancang untuk menyambut Aidiladha kali ini bersama arwah.
“Terkejut bila dapat berita kemalangan ini. Sukar untuk saya percaya tapi saya kena reda,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah.
Menurut Nur Atiqah, lebih menyedihkan apabila dia terkenangkan raut wajah yang sedih ketika dia memberitahu hanya dapat mengambil arwah dan adiknya, Mohd Ammar Darwish Amirul Husain, 4, pada Hari Raya Aidiladha.
“Sepatutnya saya nak ambil arwah dan adiknya dalam minggu ini untuk dibawa pulang ke Tampin, namun sesi persekolahan telah bermula hari ini dan saya janji untuk mengambilnya pada hari raya nanti.
“Saya selalu membuat panggilan video dengan arwah dan masih terbayang-bayang wajah arwah dan suaranya akan saya rindukan selalu,” katanya.
Nur Atiqah berkata, dia juga terkilan kerana tidak dapat mendengar suara Nur Aqilah Husna sebelum melelapkan mata malam tadi kerana anaknya itu tidur awal.
“Malam tadi saya buat panggilan video, ingatkan nak bercakap dengan arwah tetapi dia tidur awal. Jadi saya hanya bercakap dengan adiknya sahaja,” katanya.
MW: Berat ujian buat keluarga ini, apatah lagi buat ibu yang telah sekian lama tidak berjumpa. Rindu yang ditanggung sudah tentu tidak terucap apatah lagi kini anaknya telah tiada buat selamanya. Semoga keluarga ini tabah menerima kehilangan Nur Aqilah Husna. Al-Fatihah.
Manis sungguh, Puan Sri Normala Samsudin ini. Walaupun tanpa secalit colekan, wajah berpeluh dek penat buat kerja rumah, bersenam mahupun berkebun. Tetap cantik, awet muda. Cuma lilit kain lampin baby buat selendang pun menawan betul.
Jangan tak tahu, mantan pengacara dan personaliti TV terkenal ini tak reti duduk diam. Ada saja aktiviti yang akan buatnya bergerak, walaupun cuma berada di rumah.
Akuinya, “Apabila berusia 50-an, wanita cepat berpeluh bila buat kerja rumah, bersenam dan berkebuh dan pelbagai lagi. Berpeluh bagus untuk kesihatan.
Tapi kena sedia kain lap peluh dan jangan guna sebarangan kain, ia boleh radangkan kulit. Kulit saya sensitif jadi saya selesa guna kain lampin baby. Ia lembut dan bau amat sedap. Macam bau baby.”
Pesan beliau lagi,
“Janganlah guna yang terpakai. Beli baru untuk kegunaan sendiri. Murah je kain lampin. Dan kain lampin ini, tak ada sapa sudi guna kalau dalam rumah.”
Ujarnya, “tak semua orang suka kain lampin, sebab stigma untuk baby. Sebenarnya apa juga barangan untuk baby teramat baik untuk orang dewasa.
Saya jenis yang tidak suka ‘share’ towel muka atau apatah lagi towel mandi. NO, saya amat peka!. Musim Covid ini lagilah kena jaga jangan sebarang share betul tak. Ada keterbatasan yang perlu di jaga tentang kebersihan.” Kongsinya yang dah bertahun guna kain lampin bayi untuk lap peluh.
Haa.. patutlah walau sudah mencecah 56 tahun malah dah bergelar nenek, isteri kepada bekas menteri, Tan Sri Azmi Khalid ini bagaikan tak dimamah usia.
Kulitnya tetap cantik dan flawles. Malah, wanita kental ini sebenarnya cukup gemarkan aktiviti lasak. Masuk hutan, mendaki dan meneroka hutan Belantara. Jika tak, masakan Gunung Tahan, Pahang, Gunung Kinabalu, Sabah dan Gunung Batur, Indonesia sudah dijejakinya.
Malah, membesar dalam suasana kampung menjadikannya wanita berjiwa kental. Selamba saja berdepan ternakan kambing di kampung halaman. Serba boleh sungguh!
Kongsinya, “Umur 7 tahun saya dah belajar mengaji Quran, emak guru kami. Bila mak ajar Quran ada je lakonan malas ku drama macam-macam sampai menangis… nauzubilah.. emak sabar sangat. Dia tuntun sikit-sikit walaupun dia keletihan.
Masa itu pengaruh Nasyid kuat, saya join sebab mak-mak sedara yang ajak. Seronok pulak, mak-mak sedara semua johan Qariah Daerah Segamat malu aihh kalau tak katam Quran. Pederas belajar sampai katam.
Pun dah lambat sebab umur 17 baru katam.Mak-mak sedara pesan kita kena katam Quran sebab nanti bila nak kawin kena buat majlis katam Quran. Nawaitu pun kelaut gak.. kini aku baca Quran dan aku hadamkan maksudnya. InsyaAllah.
Sejarahku, bila mula bekerja kita makin hanyut, baca Quran bila perlu dan bila terdesak. Lama juga hanyut di lautan sepi dan bergelora tidak bertemu pantai dan tebing sering melorot. Aku lalui semua itu, aku akui zaman lara itu, zaman yang kalau boleh tidak mahu aku kenang, tidak mahu di ingat kembali walaupun ada manisnya.
Namun siapalah aku untuk mengedit masa lalu itu. Hanya Allah saja yang boleh edit, delete and reset. Moga Allah ampun dosa ku yang lalu dan akan datang.
Sejak 2006, Allah jentik hati ini perlahan-lahan. Bermula dengan pelbagai ujian kecil yang hanya diri sendiri yang faham. Bertatih mengaji, menangis bila teringat bantah emak. Allah mulakan perasaan ini dengan sentuhan Mimpi yang sangat menginsafkan berkali-kali.
Aku perbetul solat, perbetul bacaan dalam solat, dan nekad jangan tinggal solat walau apa terjadi sekali pun. Berjalan lah ke pelosok mana pun. Jauh di sudut hatiku tak cukup dengan itu, aku solat sunat, puasa sunat Isnin Khamis. Kuliah mingguan dan Jemaah di masjid, zakat, fitrah dan segala hutang dan tunai Haji.
Kuliah ustaz-ustazah Youtube pun tak miss. Semua ini untuk memperbetulkan jalan hatiku ini menuju pada Allah. Aku masih bertatih dan masih belajar sebab tak pandai-pandai.
Apa yang nak ku kongsi ini, jadikanlah perjalanan kehidupan Normala Samsudin ini sebagai teladan dan jangan ikut perkara tak baik yang pernah aku lalui. Maafkan aku dan doakanku.”
Nak cantik kena rajin kan.. bersenam salah satunya. Tengok sini Normala ajar cara buat ‘cooling down’ selepas lakukan senaman. Katanya ’Cool Down’ ini wajib dibuat selepas bersenam. Macam mana perut lapar sekalipun.. kena juga buat.
Dari muda Normala gemar menanam pokok bunga, terutama bunga kenanga yang banyak nostalgia dengannya. Katanya walau di mana pun, beliau menetap baik di Perlis, Kuala Lumpur mahupun Segamat pokok bunga Kenanga inilah yang akan ditanamnya.
Tradisi orang dulu, bunga kenanga inilah antara bunga yang dicampur untuk buat bunga rampai. Sekarang ini, minatnya mula mahu menanam sayuran pula. Bermula dengan sawi yang dihadiahkan teman.
Walaupun percubaan pertama buat topeng muka (mask) tetap kemas jahitannya. Teliti sungguh. Dah tak larat nak beli mask pakai buang, sudahnya jahit sendiri mask yang boleh cuci dan jemur untuk anak bujangnya yang sudah pun bekerja.
Ibu kepada Asyraf Roslan, Dr Ruhila Roslan dan Rubilla Roslan ini bukan saja lemah lembut dan manis orangnya, malah karismanya sebagai ikon ‘Wanita Melayu Terakhir’ tetap menawan hati peminatnya sampai hari ini.
Menjadi juri tetap program Ratu Hijabista sekaligus membuat kemunculan semula dalam dunia penyiaran ini pun selepas beliau mendapat ‘lampu hijau’ atau keizinan daripada suami.
Bak kata suaminya, ‘Dalam program itu nanti, dirinya bukan sekadar juri malah umpama seorang ibu yang akan berkongsi pengalaman dengan peserta.”
Program pencarian bakat pengacaraan, Ratu Hijabista ini menampilkan gandingan Uyaina Arshad dan Fikry Ibrahim sebagai pengacara yang disertai 12 peserta berusia di antara 21 hingga 30 tahun.
Sejak Jumaat lalu, panas ruangan media sosial dengan konstroversi pelakon baru, Alya Iman atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil, 19 yang didakwa menjadi perosak rumah tangga.
Kontroversi Alya semakin panas apabila, isteri kepada seorang ahli perniagaan, Penny Salman berkongsi di instagram miliknya mendakwa yang suaminya mempunyai hubungan sejak setahun lalu dengan pelakon yang juga model muslimah ini.
Bagaimana pun, Alya tampil memberi kenyataan yang dirinya sudah bertunang dengan ahli perniagaan berkenaan pada 27 Februari lalu. Dan hubungannya berakhir pada Mac lalu, apabila pertunangannya itu tak mendapat persetujuan isteri ahli perniagaan berkenaan.
Bagaimanapun, Penny mendakwa yang Alya masih lagi berhubungan dengan suaminya. “Dah putus tunang bulan Mac. Hari raya kedua, bersama suami saya lagi.” Terang isteri ahli perniagaan berusia 30 tahun ini di instagram story dan turut berkongsi gambar Alya yang bergambar disamping suaminya.
Susulan pendedahan itu, instagram Alya diserang pengguna laman sosial yang mengikuti cerita kontroversi anak pelakon Allahyarham Azmil Mustapha ini.
Menerusi instagram story, Alya menulis permohonan maaf, “Saya masih muda dan naif. Saya minta maaf pada siapa yang terluka.”
Akuinya, kecaman dan fitnah yang dilemparkan ke atas itu akan lebih mematangkan dirinya.
“Saya terima semua nasihat, kecaman, sindiran dan fitnah sebagai sesuatu yang mematangkan saya. Dan saya akui pernah melakukan kesilapan di masa lalu, tapi saya yakin Allah Maha Adil dan Maha Berkuasa. Saya berdoa dan berusaha agar kehidupan saya menjadi kehidupan yang diberkati dan diredai Allah.”
Malah, Alya turut menjelaskan yang dis sudah pun memulangkan semua hadiah yang diberikan kepadanya.
Naluri pasangan tidak pernah salah. Inilah yang berlaku apabila isteri tak sedap hati kerana tiba-tiba alat GPS milik bekas pemain sepak takraw negara.