“Tidak pernah rancang berkahwin lain, tinggalkan dia”. Pemandu lori berhenti kerja uruskan isteri. Inilah dinamakan pasangan yang setia, sanggup hadapi segalanya dikala sihat atau sakit.
Pengorbanan yang dilakukan suami ini bukanlah sedikit kerana sanggup melepaskan kerjanya dan memberi fokus sepenuh masa kepada keperluan isteri.
Pemandu Lori
Sudah lebih tiga tahun Fauziah Tajudin terlantar selepas menjalani pembedahan akibat sakit tumor otak, namun dia tidak berseorangan menanggung ujian itu kerana suami, Kamaruddin Ahmad masih setia di sisinya sehingga kini.
Kamaruddin, 47, juga sanggup berhenti kerja sebagai pemandu lori tiga tahun lalu demi menjaga dan menguruskan Fauziah, 46, yang sudah tidak berdaya makan, mandi mahupun bergerak sendiri.
Bercerita lanjut, jelas Kamaruddin yang juga bapa tiga anak itu, Fauziah dulunya suri rumah dan sihat tubuh badan namun segala-galanya berubah selepas disahkan doktor menghidap tumor otak pada April 2016.
Berhenti Kerja Uruskan Isteri
“Pada 1 April 2016, mulutnya (isteri) senget dan saya kemudian membawanya ke klinik untuk pemeriksaan.
“Doktor memaklumkan isteri kemungkinan ada tumor otak dan dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk pengesahan lanjut.
“Doktor di hospital mengesahkannya kemudian pihak hospital beri pilihan untuk saya rujuk isteri ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru atau Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun saya pilih ke Kuala Lumpur,” katanya.
Menurut Kamaruddin, penyakit isterinya kini berada tahap empat dan sudah tiga kali Fauziah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan.
“Kali pertama pada 3 Jun 2016 kemudian 9 Disember 2017 dan yang terakhir 28 Februari 2019.
Ads
“Awalnya isteri masih boleh berjalan cuma tidak kuat namun kesihatannya semakin merosot hingga terlantar selepas pembedahan kali ketiga.
“Keadaannya membuatkan saya nekad ambil keputusan berhenti kerja untuk menjaganya. Memang berat untuk buat keputusan itu namun saya lakukan demi isteri,” katanya.
Kamaruddin berkata, buat masa ini, dia bergantung sepenuhnya dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal yang diterima sejak 2017.
“Saya terima bantuan sebanyak RM800 sebulan, RM500 disalurkan JKM manakala RM300 lagi daripada Baitulmal.
“Ikutkan memang tidak cukup malah pernah kami sekeluarga pernah ikat perut ketika isteri mula jatuh sakit dulu namun cuba biasakan diri hidup sederhana dengan makan apa yang ada saja.
“Ini kerana saya masih perlu menanggung anak bongsu yang masih bersekolah di tingkatan dua manakala anak sulung sudah berkahwin dan ikut suaminya ke Sabah dan anak kedua sudah berdikari dengan ambil upah sebagai buruh binaan,” katanya.
Tambah Kamaruddin, dia tiada masalah melakukan kerja rumah kerana sudah terbiasa dengan rutin itu sebelum isterinya terlantar lagi.
Ads
Bagaimanapun, dia akui berdepan kesukaran menguruskan isteri pada peringkat awal hingga ada ketika ia menguji emosi serta tahap kesabarannya.
“Rutin harian saya bermula selepas solat subuh dengan memberi isteri minum susu pada jam 6 pagi dan perlu ulangi rutin sama setiap 3 jam sekali.
“Jam 3 petang pula, saya beri isteri makan bubur dan begitulah rutin setiap hari selain membawanya ke tandas untuk mandi serta buang najis.
“Jujurnya memang menguji kesabaran terutama ketika mula-mula dulu kerana pernah beberapa kali isteri buang najis pada badan saya ketika mengangkatnya ke tandas namun kini sudah lali dengan semua itu,” katanya.
Kamaruddin mengakui ada yang mencadangkannya untuk berkahwin lagi namun tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berbuat demikian.
“Tumpuan saya kini hanya pada isteri dan anak jadi tidak pernah rancang untuk berkahwin lagi jauh sekali meninggalkan isteri.
Ads
“Jika ada sedikit waktu terluang pun, saya akan main permainan video supaya tidak fikirkan hal selain keluarga.
“Lagipun, isteri perlukan perhatian saya kerana dia juga bergantung dengan ubat darah tinggi dan sawan,” katanya yang turut mendapat bantuan anak bongsunya, Mohd Minzan Shah, 14, untuk menjaga isteri.
Mingguan Wanita : Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian dengan menghubungi Kamaruddin di talian 019-6364188.
ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.
Boleh bayangkan perkahwinan yang di bina atas dasar cinta, makin hari makin hambar dan bosan. Apa yang dibuat dan diandang dari mata pasangan tidak memberi apa-apa makna. Apatah lagi untuk berbual seperti dulu. Umpama duduk serumah tapi buat hal masing-masing.
Mulalah ada asngan yan mencari kehidupan luar yang rasakan lebih baik sekarang ini. Sedangkan tidak diselidiki dan diselesaikan permasalah yang dihadapi atau lebih tepat lagi, pasangan perlulah pandai mengurus emosi.
Perkongsian daripada Fadzli Aziz ini turut memberi pandangan tentang pentingnya bijak emosi suami isteri. Bila suami isteri bijak urus emosi, rumah tangga akan bahagia. Mudah-mudahan.
Pentingkan Bijak Emosi?
“En Fadzli, macam mana nak eratkan hubungan ye? Saya rasa saya dengan orang rumah ini semakin lama semakin hambar pula”.
“Baguslah kalau awak dah tanya macam ni. Sebab awak peka dengan keadaan, peka dengan perubahan emosi diri dan pasangan. Yang paling penting ada usaha untuk perbaiki. Tau tak suami macam awak ni dah tak ramai dah” gurau saya.
“Ye ke En Fadzli?”
“Haah. Tu. Tanda awak ni bijak emosi. Suami isteri kalau bijak emosi ni insyaallah bahagia rumah tangga”.
“Kenapa En Fadzli? Penting sangat ke emosi?”
“Sangaaaaaaattttt penting dalam rumah tangga. Kat luar pun penting juga tapi dalam rumah tangga sangat penting.
Sebab apa? Sebab kita berurusan dengan manusia. Manusia ni unik. Isteri, suami, anak-anak, mak ayah dan saudara mara.
Bayangkan bila kita ada masalah, pasangan kita sedar dan bertanya pada kita.
Bila kita bercerita, pasangan kita jadi pendengar yang baik.
Bayangkan kalau kita merajuk, dia pujuk.
Kalau kita marah, dia jadi penenang dan menenangkan kita.
Bayangkan bila kita rasa sangat ‘down’, dia memotivasikan kita.
Apabila kita buat kerja rumah, dia nampak kita susah dia tolong,
Bayangkan bila kita terasa hati, dia sedar dan cepat minta maaf.
Dia sangat mudah menegur kita, berterus terang dan caranya sangat berhikmah.
Bayangkan dia suka peluk bila di rumah, pegang tangan bila berjalan kat luar walaupun sudah lama kahwin,
Pada masa yang sama, kita juga buat hal yang sama pada dia seperti mana suka apabila dibuat hal tersebut.
Sama-sama saling memberi dan menerima. Ada ‘give and take’. Bukan hanya menanti untuk menerima. Bahkan sentiasa memberi dan terus memberi.
Insya Allah dengan izin Allah akan terus bahagia. Ini komponen dari sudut emosi”.
“Faham….”
“Inilah keperluan emosi yang jauh lebih besar dari keperluan material. Dalam rumah tangga kita akan cari keperluan ini.
Hari ini ramai orang bila dia tak dapat penuhi keperluan emosinya di rumah, maka dia akan cari di luar. Ini yang bahaya.
Salah satu punca curang adalah apabila keperluan emosinya tinggi tetapi dia gagal dapat dari yang halal.
Maka walaupun mungkin secara kebetulan, ada orang yang memenuhinya keperluan emosinya secara tak sengaja, tetapi apabila ianya berlaku secara konsisten, dari tak sengaja akan menjadi sengaja.
Sebab tu menyintai ini tidak susah tetapi untuk terus menyintai ini payah. Kerana ianya memerlukan komitmen sepanjang hayat untuk berusaha sepanjang hayat memenuhi keperluan emosi pasangan.
“Pudar cinta bukan kerana tidak cinta, tetapi kerana tiada lagi usaha untuk mengekalkan cinta”.
MW: Masing-masing kena main peranan supaya hubungan cinta yang dibina selama ini kekal ke akhir hayat. Jangan fikir, selepas berkahwin tiada lagi cinta sebaliknya hanya kepada tanggungjawab. Hati-hati.
Nak berjaya bukan mudah, Anna akui dirinya kena kuat. Heroin drama popular Melur Untuk Firdaus, Anna Jobling kini jadual sehariannya makin padat.
Sebagai seorang wanita bekerjaya terutama dalam dunia glamor, pemilik nama sebenar Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman atau lebih mesra dengan sapaan ini akui bukan saja perlu menjaga penampilan malah harus memastikan dirinya sentiasa kuat.
Nak Berjaya Bukan Mudah, Anna Akui Dirinya Kena Kuat
Menasihati wanita di luar sana, dia yang kini terpaksa bekerja dari pagi hingga ke pagi esok, memastikan diri sentiasa bertenaga.
Malah menurutnya jika tidak punya kekuatan badan bagaimana mahu menyampaikan sesuatu kerja yang diamanahkan dengan baik.
Pelakon jelita ini sebelum ini juga tersenarai sebagai 100 Wajah Tercantik 2022 (100 Most Beautiful Faces of 2022) oleh TC Candler.
Anna juga mempunyai takrifan sendiri tentang kecantikan dimana bagi dirinya kecantikan dalaman adalah lebih penting berbanding kecantikan luaran.
“Hakikatnya cantik itu subjektif. Jika seseorang itu mempunyai sikap terpuji, baik maka secara automatiknya akan menjadikan seseorang itu cantik luar dan dalam.
“Tidak kisah bagaimana rupa paras seseorang, tapi kalau sayangkan diri dan yakin, maka secara langsung dirinya akan cantik segala-galanya,” kata Anna.
Tuah Anna
Bukan itu saja, wanita ini juga cukup bertuah apabila dilantik sebagai duta Jamu Mutyara.
“Selama lima tahun jamu Mutyara sudah membantu wanita mendapatkan tenaga lebih setiap hari dan juga membantu dari segi dalaman.
“Dengan formulasi baru jami ini, sudah pasti akan memberikan lebih banyak khasiat kepada kita. la bebas gula, lebih sihat dan bertenaga,” sambung Anna.
Tya Pilih Anna Wakili Wanita Bekerjaya
Aktres Tya Ariffiin yang juga Pengasas Jamu Mutyara menyatakan pemilihan pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu tepat selain mewakili wanita bekerjaya.
“Saya nampak Anna seperti saya sewaktu di Indonesia dulu. Sebab itulah saya pilih dia dan Anna akan mewakilkan seorang wanita yang bekerjaya dalam masa sama dia memerlukan tenaga.
“Anna adalah wanita dan figura tepat untuk menjadi duta baru Mutyara kerana dia mencerminkan seorang wanita yang mempunyai banyak aktiviti dan memerlukan ‘energy booster’ atau tenaga tambahan harian iaitu jamu Mutyara,” luahnya.
Buat penggemar sushi, berhati-hatilah makan hidangan berasal dari negara Jepun ini. Pastikan makan ditempat yang diyakini bersih, selamat dan seeloknya elak makan makanan mentah seperti ikan, daging dan sebagainya kerana ia boleh membahayakan kesihatan.Terutamanya bagi yang menghidap penyakit kronik, sebaiknya elak makan makanan mentah, dikhuatiri mempunyai bakteria dan sukar untuk disembuhkan.
Menerusi laporan Daily Mail,tangan kiri seorang lelaki berusia 71 tahun dari Korea Selatan terpaksa dipotong kerana dijangkiti bakteria selepas makan makanan mentah, sushi.
Tapak Tangan Bengkak
Dalam kejadian ini, pesakit yang tidak didedahkan identitinya itu berkata, tapak tangan kirinya mula mengalami kesakitan dan bengkak sebesar bola golf selepas 12 jam memakan sushi ikan mentah.
Keadaan menjadi semakin teruk apabila dia mula mengalami demam dan kesakitan yang luar biasa di tangannya dalam tempoh dua hari, dengan tangannya yang juga tidak menunjukkan sebarang tanda untuk pulih membuatkan dia terpaksa meminta bantuan dari doktor di sebuah hospital di Jeonju.
Saiz lepuhan di tangan pesakit berukuran 3.5 cm ke 4.5 cm, anggaran saiz sebiji boleh golf. Jangkitan itu turut menjejaskan bahagian belakang tapak tangan dan lengannya.
Pihak perubatan kemudian mengeluarkan air dalam lepuhan di tapak tangannya dan membuang tisu-tisu yang telah terjejas, serta mangsa diberi ubat antibiotik. Malangnya, rawatan itu tidak berjaya dan keadaan tangan pesakit menjadi semakin teruk dan akhirnya terpaksa dipotong.
Hidap Penyakit Kronik
Menurut sumber, pesakit juga menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang yang memerlukan dia menjalani rawatan dialisis.
Berdasarkan pemeriksaan doktor, pesakit mengalami masalah kesihatan itu kerana sistem keimunan badannya lemah kerana dia menghidap penyakit buah pinggang yang meletakkanya pesakit itu lebih berisiko untuk dijangkiti. Sedangkan orang yang normal boleh sembuh hanya dalam beberapa hari apabila terkena jangkitan bakteria.
Selepas menjalani pembedahan memotong tangan tersebut, keadaan lelaki ini semakin baik dan dia dibenarkan pulang ke rumah.
Semoga bermanfaat! Kongsikan buat penggemar sushi agar mereka lebih berhati-hati.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...