Melayan isteri dengan baik bukanlah bermaksud tak boleh langsung untuk mendidik dan menegur isteri. Ya, sebagai seorang wanita, isteri suka dimanjakan.
Salah satu cara untuk memanjakannya adalah dengan memberi gelaran yang baik-baik buat si isteri.
Bukan ke Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa sallam pun memanggil Siti ‘Aisyah dengan panggilan manja “Ya Humaira” (wahai si merah jambu)?
Percayalah dari hati yang ‘cantik’ itulah keluar kata-kata, perilaku, dan sikap yang baik-baik.
Nak lagi dekat, jemput renungkan situasi rumah tangga yang digambarkan oleh Puan Nieza Termizi.
Panggilan Baik Buat Isteri
Seorang sahabat FB saya ketika menceritakan detik-detik kematian allahyarham isteri beliau yang menghidap kanser, berkali-kali menyebut isterinya sebagai calon syurga. Tak semena-mena air mata saya menitis.
Subhanallah..pastinya terlalu istimewa seorang wanita apabila perginya dengan redha suami. Serta dalam hati suami kuat ‘merasakan’ bahawa dialah calon syurga. Maka inshaAllah syurgalah tempatnya.
Sewaktu fenomena drama Nur, Ramadan yang lalu, saya tertarik dengan babak pasangan Ustaz Hamadi dan Ecah. Berkali-kali suaminya mengugut,
“Awak tinggi suara dengan saya? Derhaka namanya. Nerakalah tempat awak”
Ads
Dan berkali-kali jugak Ustaz Hamadi menerakakan isterinya bila ada yang tak kena di matanya. Sampai satu masa, bila Ecah dah tak tahan sangat, dia membalas,
“Isteri mana yang tak ke neraka kalau dapat suami macam awak!
Insaf saya dengan watak, dialog dan babak mereka. Ya..ini memang benar berlaku dalam masyarakat kita. Suami menggunakan kuasanya untuk membuta tuli menjatuhkan hukuman. Berdosa, derhaka, neraka.
Cara Terbaik Didik Isteri
Sahabat-sahabat,
Isteri adalah amanah yang dijodohkan oleh Allah pada kita untuk dididik dan ditarbiah. Elok kita, eloklah dia. Sempurna kita inshaAllah sempurnalah dia. Tiada isteri yang menolak untuk dididik. Malah banyak yang ternanti-nanti suami mengajak ke jalan yang baik. Mahu solat bersama, mahu mengaji dan baca taklim bersama, mahu ke kuliah pun bersama.
Benar..banyak suami yang culas.
“Abang, jom baca ma’tsurat sama-sama” “Abang, boleh semak bacaan al-quran saya? “Abang, malam ni kita qiam sama-sama nak?
Jawapannya, kadang-kala mengecewakan hati si isteri. Malas, tak ada masa, bacalah dulu, lain kalilah, dan sebagainya.
Ads
Sesungguhnya impian lelaki dan wanita beriman itu sama. Ibarat mendayung sebuah sampan. Jika seorang mudik ke hulu, seorang mudik ke hilir, dah pastilah sampan tak akan sampai ke destinasi yang sama. Sebaliknya jika sama-sama mendayung ke arah yang sama inshaAllah sampailah kita ke destinasi tujuan.
Membaca buku “Isteriku Bidadariku” tulisan Ustaz Ebit Lew banyak menemukan saya tentang satu formula penting untuk bahagia dalam rumahtangga. Setiap kali ada suami berjumpa ustaz untuk mengadu masalah rumah tangga, soalan yang ustaz tanya sama sahaja,
“Abang ada solat jemaah dengan isteri?
“Abang ada buat bacaan taklim di rumah?
“Abang ada bantu isteri buat kerja rumah? Ada bagi hadiah, bunga atau buat surprise untuk tunjukkan kasih sayang?
Kata kuncinya jaga syariatullah dan sunnatullah.
Syariatullah
Jaga solat jemaah di masjid, kadangkala jemaah bersama isteri, betulkan solat, cari kusyuk dalam solat dan solat awal waktu. Hidupkan majlis ilmu di rumah, buat bacaan taklim, mengaji bersama dan cakap pasal agama.
Sunnatullah
Ambil hati isteri, jaga emosi isteri, sayangi dia, hargai dia dan penuhi keperluan emosinya.
Ads
Itu apa yang dapat saya simpulkan. Dan saya dan suami masih lagi bertatih-tatih dalam mempraktiskan ‘formula’ ini.
Memang dalam hati setiap isteri mahu suami ‘menyumpah’ dia menjadi calon syurga.
Tengok status whatsapp suami dia tulis, “Isteriku Bidadariku”. Itupun hati sudah melompat suka.
Apatah lagi jika suami berkata,
“Abang bersaksi ayang adalah seorang isteri yang baik dan solehah. Syurgalah tempatmu..”
Subhanallah itulah ucapan yang paling dinanti bagi seorang isteri. Ucapan redha seorang suami untuk isterinya.
Menegur Pun Ada Lenggoknya
Ingatlah, suami mithali juga pasti akan berlembut dan berbaik dengan isteri. Wanita yang akan menjadi teman sehidup dan semati itu pasti tidak akan dikasari secara fizikal mahupun emosi.
Berikan didikan agama dan moral pada isteri. Sebelum menegur, berikan pengiktirafan kepada kebaikannya dengan kata pujian.
Kemudian, berikan kata teguran secara lembut dan berhemah yang dapat menjadikan isteri anda insan solehah.
Semoga bermanfaat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap wanita bercita-cita untuk memiliki suami yang dikatakan sebagai Mr Perfect? Malah, rata-rata apabila ditanya apakah ciri-ciri suami idaman pada pandangan matanya? Majoriti akan mengatakan mereka inginkan suami yang kacak, tinggi dan boleh menjaga keluarga, tidak kurang juga yang mengatakan mereka mahukan suami yang beriman dan tinggi nilai agamanya, berharta dan mampu mendidik mereka serta menyayangi mereka tanpa ada sisi kecurangan.
Persoalan yang paling penting, apakah ada lelaki yang dikatakan Mr Perfect ini atau pun yang kerap ditemui wanita adalah lelaki yang bertopengkan Mr Perfect dan terbongkar segalanya apabila sudah berkahwin rupanya si suami adalah Mr Looser. Paling bimbang jika suaminya ini seorang yang terpesong jauh daripada didikan agama, suami yang derhaka dengan Allah SWT. Bagaimana pula boleh isteri hidup dalam keadaan rumah tangga yang bagaikan retak menanti belah. Inilah yang dibincangkan bersama Mohd Shariman bin Che Deris.
Iman Tergelincir Dari Landasan
Suami yang tidak berpuasa di bulan Ramadan, suami yang lebih suka tidur daripada berjemaah solat tarawih suami yang bebelnya panjang seakan tiada kesudahan. Suami yang lebih suka melayani media sosial daripada isterinya. Malah ada banyak lagi yang boleh kita senaraikan. Maklum sahaja, inilah imam yang tergelincir daripada landasannya.
Banyak persoalan yang bermain di fikiran seorang isteri dan dek kerana kegusaran dan ketakutan inilah yang membuatkan ramai isteri berdiam diri, menyembunyikan rasa hati terhadap si suami yang tidak lagi menjadi Mr Perfect di matanya.
Mereka lebih rela dimamah keperitan hidup, dihimpit rasa hati, diserang kebimbangan perasaan daripada nanti rumah tangga dilanda tsunami hanya kerana mereka mahu memperbetulkannya.
Perbetulkan
Adakah ini adil buat seorang isteri? Iye ianya adil jika isteri itu sendiri yang memilih untuk tidak mahu menegur suaminya yang sudah tergelincir landasan. Tidak boleh lagi dijadikan sebagai contoh ikutan dalam rumah tangga.
Ini perlu diperbetulkan, akan adakah rasa bahagia buat seorang isteri dalam rumah tangganya jika imam ini berterusan melayan nafsu diri tanpa ada teguran daripada seorang isteri?
Sebelum rumah tangga ini bertambah parah, isteri perlu bangkit dan tidak hanya menyerah.
Setiap sesuatu itu sebelum ianya berlaku, akan ada corak perubahan tingkah lakunya, bibit benih ini akan mula kelihatan. Isteri perlu bijak menegur dan memperbetulkan ini di waktu awal bunga ini memutik. Sungguh, isteri perlu memerhati suaminya dan perlu segera dikendalikan sebelum ia berakar umbi.
Isteri perlu peka dan lebih cakna dengan perubahan diri si suami.
Perubahan kepada tona suaranya.
Perubahan kepada tingkah lakunya, contoh suami mula pandai keluar malam untuk minum dengan rakan-rakan, mula melewat-lewatkan solat, mula bergaya seakan waktu bujang dulu.
Perubahan kepada cara fikirnya, contoh suami mula bercakap-cakap tentang perubahan lifestyle tanpa ada suara isteri di dalam ceritanya, mula pandai mengkritik masakan, pakaian dan urusan rumah tangga,
Perubahan kepada rutin hariannya, contohnya lebih banyak bermalasan daripada bekerja membantu urusan rumah.
Perubahan kepada semangat dan jiwanya, contohnya suami lebih banyak diam daripada banyak bercakap.
Setiap perubahan kecil ini adalah benih-benih awal yang perlu dilihat dan dibuat tindakan segera sebelum ianya bercambah dan mula berakar umbi kecuali jika perubahan itu akan mendatangkan lebih kebaikan untuk isteri dan keluarga.
Teguran Berhemah
Ada cara tertentu untuk isteri menegur imamnya agar teguran itu diterima dengan baik . ego suami perlu disantuni dan bukan dipertikaikan.
Pilih Waktu Yang Sesuai
Pilihlah waktu yang suami, apabila dia sudah relak, tenang dan berehat, pastikan dia dalam keadaan mood bersedia untuk mendengar dan bercakap-cakap. Bersabar dan jangan gelojoh dalam mahu menyuarakan teguran hinggakan suami sedang baring-baring berehat, isteri dah mula sibuk nak bercakap memang menyinga suami jadinya.
Puji Dulu Baru Tegur
Cara yang paling best apabila menegur suami adalah dengan cara memuji dulu suami sebelum menegur “Best la lauk yang abang bawa balik tadi untuk berbuka puasa, pandai abang pilih, jap lagi kita ke surau jemaah Isya dan tarawih ye bang”Suami akan kata iye, jika tidak malam ni, malam esok. Ini cara isteri menegur suaminya yang agak malas nak solat Tarawih.
Guna Perkataan Yang Straight To The Point
Lelaki ini tabiatnya tidak suka sesuatu yang kompleks dan panjang, dia suka mudah dan ringkas sahaja, tidak menberatkan kepalanya. Jadi apabila mahu menegur suami permudahkan untuk suami menerima teguran. “Abang, boleh abang jadi imam untuk saya dan anak-anak solat Isya’ nanti” .Jika suami menolak, tidak mengapa. Hasrat dan teguran kita dah sampai kepadanya, cuba lagi dan lagi berterusan. Hati-hati jangan sampai mendesak ye.
Tunjukkan Keikhlasan
Hati suami akan mudah cair dan tewas dengan keikhlasan sama ada melalui pandangan mata atau pun kelembutan suara isteri, gunakan kelebihan ini untuk menegur suami.
Tona Suara Dan Perkataan Yang Sesuai
Ini kemahiran yang sepatutnya dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh seorang isteri, tona suara yang lembut, memujuk dan merayu sangat baik dijadikan sebagai senjata ketika mahu menegur suami. Begitu juga dengan perkataan-perkataan yang positif dan ada nilai pengaruh. Tidak boleh hanya semberono sahaja.
Bersangka Baik
Kadang-kadang isteri belum apa-apa dah mula bersangka-sangka dengan si suami, macam-macam yang dibimbangkannya, walhal belum pun lagi tegur kesilapan suami tu. Tidak perlu untuk memikirkan sangat implikasi negatif tu, tujuan menegurkan untuk memperbetulkan kesilapan suami, jadi bersangka baik dan tegurlah demi kebaikan dalam rumah tangga.
Doakan Suami
Iye doakan suami tu, doa dengan penuh rasa dan pengharapan kepada-Nya agar suami ini berubah dan kembali ke landasan yang sepatutnya dalam rumah tangga.
Tidak perlu untuk seorang isteri merasa ragu-ragu dan gusar untuk menegur kesilapan suaminya, yang paling penting adalah teknik dan pendekatan perlu betul kerana untuk mencari Mr Perfect adalah mustahil namun untuk mencipta Mr Perfect ianya memerlukan sentuhan seorang isteri.
Suami tidak akan sempurna, imam ini akan juga tergelincir daripada landasan tanggungjawabnya sebagai seorang suami, di sini lah datangnya peranan seorang isteri untuk memperbetulkannya dan menarik kembali imam ini ke landasan yang betul sebagai seorang suami yang bertanggungjawab dan dicintai.
Kehidupan rumah tangga akan dipenuhi dengan rahmat Allah SWT sekiranya budaya saling tegur menegur kesilapan ini diterima dan menjadi amalan baik, tiada isteri yang sempurna dan tiada suami yang perfect. Apa yang meneguhkan lagi sebuah rumah tangga itu adalah sikap saling menerima kekurangan dan saling pula melengkapi satu sama lain menjadikan rumah tangga ini bahagia dan kekal sehingga ke Jannah-Nya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jika sebelum ini mak ayah pernah dengar tentang tabung masjid, tabung sedekah subuh.. ini pula namanya tabung Lailatul Qadar. Idea ini dikongsikan oleh Coach Smart Parenting Malaysia, Zaid Mohamad.
Katanya, cara untuk menghidupkan amalan bersedekah di dalam kalangan ahli keluarga khususnya anak-anak di akhir 10 Ramadan ini adalah dengan mewujudkan tabung Lailatul Qadar ini. Hadamkan bagaimana konsep yang diterangkan ini.
TABUNG LAILATUL QADAR
Hasil berforum semalam dengan Ustaz Azian (bekas imam Masjid USJ9), beliau cadangkan satu idea yang sangat menarik, praktikal dan menguntungkan.
Salah satu cara mudah untuk “mengena” amalan sedekah kita di malam Lailatul Qadar ialah dengan menyediakan Tabung Lailatul Qadar.
Kemudian minta semua ahli keluarga untuk menyumbang sejumlah wang ke dalam tu SETIAP malam especially di 10 malam terakhir Ramadhan. Jangan putus, setiap hari masukkan walaupun seringgit.
Niatkan bahawa bila habis Ramadhan nanti, hasil kumpulan dalam tabung itu akan diserahkan kepada pihak yang layak (anak yatim, asnaf, masjid dan sebagainya) Tak perlu serah sekarang. Boleh tunggu kemudian.
Tapi deposit setiap malam. Jika terkena deposit kita pada Lailatul Qadar, pahalanya LEBIH BAIK dari seribu bulan. Bukan sama, tapi lebih baik!
Note: of course boleh aje bagi infaq direct setiap malam (eg secara online). Tabung ni lebih untuk mengajak ahli keluarga especially anak-anak kecil untuk turut sama bersedekah.
.
Ini Pengiraannya
Contoh pengiraan kasar ikut Maths moden jika terdeposit hanya RM1 : RM1 x 1000 bulan x 30 hari = RM30K. Kalau nak nilai RM1 juta, boleh deposit RM33 sehari.
Saya dah sediakan tabung tersebut untuk keluarga saya. Jom semua pakat sediakan juga, dan KONGSI gambar tabung anda dan ayat penerangan di atas untuk menggalakkan rakan-rakan FB anda buat juga.
Saya izinkan copy/paste & share, termasuk gambar sekali. Semoga usaha kita mendapat bantuan Allah untuk menemui Lailatul Qadar tahun ini.
Mohon betulkan kalau salah. KONGSI-KONGSIKAN!
MW : Okay, mak ayah.. dah boleh mula sediakan tabung Lailatul Qadar untuk ahli keluarga masing-masing ya. Semoga dimakbulkan apa yang mak ayah hajatkan ya.
Sememangnya kehidupan seorang ibu tunggal agak mencabar. Tambahan pula jika meneruskan kehidupan di ibu kota yang penuh dengan onak dan duri. Apatah lagi bagi seseorang yang suatu ketika dahulu hanyalah suri rumah dan tiada sebarang pendapatan.
Kemelut kehidupan mereka sangat meruncing apabila terpaksa menguruskan anak-anak tanpa wang ringgit. Malah sumber pendapatan yang sedikit membuatkan mereka tidak dapat menikmati kehidupan yang berkualiti dan mewujudkan pelbagai permasalahan di dalam keluarga.
Seorang wanita yang cukup kuat dan kini berjaya dengan kehidupannya sendiri.
Dek kerana itu juga Pengerusi Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Batu Caves, Selangor (WITUS), Zamanila Tukimin, 48 yang berasal dari Ayer Hitam mahu membantu mereka yang senasib dengannya.
“Mereka yang bergelar ibu tunggal haruslah sentiasa berani mengharungi cabaran dan dugaan, sentiasa bersikap positif dan berdiri di atas kaki sendiri tanpa menoleh ke belakang.
“Pelbagai cabaran, kesusahan dan pahit getir sentiasa di hadapi seorang diri tanpa ada perasaan gerun walaupun saya hanyalah seorang wanita. Pepatah mengatakan tangan yang mengoncang buaian dan tangan ini jugalah yang akan menggoncangkan dunia.
“Malah saya juga berazam untuk membantu golongan ibu tunggal yang tiada arah tujuan dengan menubuhkan NGO Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal (WITUS). Iaitu visi dan misi Persatuan kami adalah melahirkan wanita yang berdikari,” ungkap ibu kepada dua orang anak ini.
Begitu gigih membesarkan anak-anak seorang diri, kenangan sewaktu anak-anak masih remaja.
Pernah Hidup Menderita
Mengimbau kembali kisahnya, Zamanila menerangkan pada awalnya dia digantung tidak bertali.
“Oleh kerana saya digantung tidak bertali tanpa apa-apa khabar hampir sembilan tahun hidup bersama anak-anak. Saya hanya memerlukan kurang dari tiga tahun untuk meneruskan kehidupan dan bangkit terus tanpa menoleh ke belakang demi anak-anak.
“Saya bermula dari seorang suri rumah sepenuh masa yang terlalu mengharapkan duit suami dan memberi sepenuh kepercayaan dalam rumah tangga. Di sinilah bermula kisah saya sewaktu mengandungkan anak kedua ketika berusia enam bulan di dalam perut. Di tinggalkan suami tanpa nafkah dan hidup saya sangat menderita.
“Bermula dari situ saya nekad berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki demi menyara anak-anak dengan melakukan pelbagai kerja termasuk menjual kuih, mengecat kereta, menjadi penarik kereta dan menjual kereta terpakai.
“Saya juga pernah tidak makan nasi selama seminggu kerana tidak mempunyai wang. Di sebabkan itu saya hanya mampu membeli sebungkus mi segera dan di bahagikan untuk seminggu. Demi anak-anak dan keazaman yang kuat dalam diri saya dan untuk mengubah kehidupan menjadi yang lebih baik saya nekad dengan melakukan pelbagai kerja sehingga di perkenalkan oleh DBKL dalam kursus kemahiran secara percuma bermula dari urutan tradisional melalui Pusat Rahmat. Disitulah bermulanya pekerjaan baru dan rezeki yang melimpah ruah.
“Pada peringkat awal saya terpaksa memberitahu kepada pelanggan agar mereka membayarkan dahulu tambang teksi memandangkan saya langsung tidak mempuyai wang. Dengan kemahiran juruterapi yang ada, saya membesarkan anak dengan hasil urutan dan saya telah melebarkan lagi sayap perniagaan dengan menjual kenderaan terpakai. Setelah lima tahun saya cambahkan perniagaan dengan perkhidmatan sewaan bas sehingga sekarang,” ungkap ibu yang cukup tabah ini.
Tidak Pisahkan Ikatan Hubungan Anak & Ayah
Zamanila juga menerangkan walaupun berasa teraniaya namun dia tidak pernah memisahkan hubungan antara seorang ayah dan anak.
“Saya tidak pernah memisahkan anak dan ayahnya. Walaupun saya merasakan yang diri saya sangat teraniaya dengan perkahwinan tetapi ikatan anak dan ayah tidak boleh dipisahkan. Syukur alhamdullilah dua orang anak saya masing-masing sangat memahami saya dan sentiasa ada bersama saya saat susah dan senang,” ujar Zamanila yang berasa cukup bangga apabila anaknya tamat belajar dan diraikan dalam majlis konvokesyen baru-baru ini.
Bangga dengan pencapaian anaknya, ketika menghadiri konvokesyen anak kesayangan.
Bangkit Dari Kehidupan Penuh Pancaroba
Akui ibu dan anak-anak yang paling banyak membantu dia bangkit dari kehidupan yang penuh pancaroba. Kini wanita ini sudah berjaya dan mengakui mengambil masa lima tahun untuk berada di zon selesa dengan menjalankan perbagai perniagaan termasuklah menguruskan Perniagaan Kereta Terpakai hinggalah Perkhidmatan Sewaan Bas. Malah dia juga beruntung kerana mempunyai seorang sahabat baik yang banyak membantu dirinya dalam perniagaan.
Menghulurkan sumbangan kepada yang memerlukan, kerana pernah rasa hidup susah.
Berjaya Didik Anak Hingga Menara Gading
Walaupun hidupnya kini sudah semakin stabil namun dia tidak pernah melupakan pengalaman pahit manis yang dilalui sepanjang membesarkan anak-anak.
“Pengalaman pahit di mana saya sangat menderita dan menghadapi tekanan yang luar biasa kerana sering di pandang serong oleh masyarakat dan kesempitan hidup yang amat ketara.
“Pengalaman manis pula saya tak sangka boleh meneruskan hidup sendirian dan alhamdullilah berjaya. Walaupun dulu saya terlalu bergantung kepada suami dan yang lebih manis dalam hidup saya adalah dapat membantu dan melahirkan wanita yang berdikari yang dahulu senasib dengan saya. Saya juga amat bersyukur dan gembira kerana berjaya mendidik dan membentuk anak-anak saya dengan keperitan lampau sehingga mereka ke menara gading,” akhirinya.
RM175 sebulan belanja barang basah, isteri kongsi tip jimat makan sekeluarga. Di kala ramai yang mengeluh harga barang dapur naik melambung, seorang isteri, Nabila ...