Setiap wanita bercita-cita untuk memiliki suami yang dikatakan sebagai Mr Perfect? Malah, rata-rata apabila ditanya apakah ciri-ciri suami idaman pada pandangan matanya? Majoriti akan mengatakan mereka inginkan suami yang kacak, tinggi dan boleh menjaga keluarga, tidak kurang juga yang mengatakan mereka mahukan suami yang beriman dan tinggi nilai agamanya, berharta dan mampu mendidik mereka serta menyayangi mereka tanpa ada sisi kecurangan.
Persoalan yang paling penting, apakah ada lelaki yang dikatakan Mr Perfect ini atau pun yang kerap ditemui wanita adalah lelaki yang bertopengkan Mr Perfect dan terbongkar segalanya apabila sudah berkahwin rupanya si suami adalah Mr Looser. Paling bimbang jika suaminya ini seorang yang terpesong jauh daripada didikan agama, suami yang derhaka dengan Allah SWT. Bagaimana pula boleh isteri hidup dalam keadaan rumah tangga yang bagaikan retak menanti belah. Inilah yang dibincangkan bersama Mohd Shariman bin Che Deris.
Iman Tergelincir Dari Landasan
Suami yang tidak berpuasa di bulan Ramadan, suami yang lebih suka tidur daripada berjemaah solat tarawih suami yang bebelnya panjang seakan tiada kesudahan. Suami yang lebih suka melayani media sosial daripada isterinya. Malah ada banyak lagi yang boleh kita senaraikan. Maklum sahaja, inilah imam yang tergelincir daripada landasannya.
Banyak persoalan yang bermain di fikiran seorang isteri dan dek kerana kegusaran dan ketakutan inilah yang membuatkan ramai isteri berdiam diri, menyembunyikan rasa hati terhadap si suami yang tidak lagi menjadi Mr Perfect di matanya.
Mereka lebih rela dimamah keperitan hidup, dihimpit rasa hati, diserang kebimbangan perasaan daripada nanti rumah tangga dilanda tsunami hanya kerana mereka mahu memperbetulkannya.
Perbetulkan
Adakah ini adil buat seorang isteri? Iye ianya adil jika isteri itu sendiri yang memilih untuk tidak mahu menegur suaminya yang sudah tergelincir landasan. Tidak boleh lagi dijadikan sebagai contoh ikutan dalam rumah tangga.
Ini perlu diperbetulkan, akan adakah rasa bahagia buat seorang isteri dalam rumah tangganya jika imam ini berterusan melayan nafsu diri tanpa ada teguran daripada seorang isteri?
Sebelum rumah tangga ini bertambah parah, isteri perlu bangkit dan tidak hanya menyerah.
Setiap sesuatu itu sebelum ianya berlaku, akan ada corak perubahan tingkah lakunya, bibit benih ini akan mula kelihatan. Isteri perlu bijak menegur dan memperbetulkan ini di waktu awal bunga ini memutik. Sungguh, isteri perlu memerhati suaminya dan perlu segera dikendalikan sebelum ia berakar umbi.
Isteri perlu peka dan lebih cakna dengan perubahan diri si suami.
Perubahan kepada tona suaranya.
Perubahan kepada tingkah lakunya, contoh suami mula pandai keluar malam untuk minum dengan rakan-rakan, mula melewat-lewatkan solat, mula bergaya seakan waktu bujang dulu.
Perubahan kepada cara fikirnya, contoh suami mula bercakap-cakap tentang perubahan lifestyle tanpa ada suara isteri di dalam ceritanya, mula pandai mengkritik masakan, pakaian dan urusan rumah tangga,
Perubahan kepada rutin hariannya, contohnya lebih banyak bermalasan daripada bekerja membantu urusan rumah.
Perubahan kepada semangat dan jiwanya, contohnya suami lebih banyak diam daripada banyak bercakap.
Setiap perubahan kecil ini adalah benih-benih awal yang perlu dilihat dan dibuat tindakan segera sebelum ianya bercambah dan mula berakar umbi kecuali jika perubahan itu akan mendatangkan lebih kebaikan untuk isteri dan keluarga.
Teguran Berhemah
Ada cara tertentu untuk isteri menegur imamnya agar teguran itu diterima dengan baik . ego suami perlu disantuni dan bukan dipertikaikan.
Pilih Waktu Yang Sesuai
Pilihlah waktu yang suami, apabila dia sudah relak, tenang dan berehat, pastikan dia dalam keadaan mood bersedia untuk mendengar dan bercakap-cakap. Bersabar dan jangan gelojoh dalam mahu menyuarakan teguran hinggakan suami sedang baring-baring berehat, isteri dah mula sibuk nak bercakap memang menyinga suami jadinya.
Puji Dulu Baru Tegur
Cara yang paling best apabila menegur suami adalah dengan cara memuji dulu suami sebelum menegur “Best la lauk yang abang bawa balik tadi untuk berbuka puasa, pandai abang pilih, jap lagi kita ke surau jemaah Isya dan tarawih ye bang” Suami akan kata iye, jika tidak malam ni, malam esok. Ini cara isteri menegur suaminya yang agak malas nak solat Tarawih.
Guna Perkataan Yang Straight To The Point
Lelaki ini tabiatnya tidak suka sesuatu yang kompleks dan panjang, dia suka mudah dan ringkas sahaja, tidak menberatkan kepalanya. Jadi apabila mahu menegur suami permudahkan untuk suami menerima teguran. “Abang, boleh abang jadi imam untuk saya dan anak-anak solat Isya’ nanti” . Jika suami menolak, tidak mengapa. Hasrat dan teguran kita dah sampai kepadanya, cuba lagi dan lagi berterusan. Hati-hati jangan sampai mendesak ye.
Tunjukkan Keikhlasan
Hati suami akan mudah cair dan tewas dengan keikhlasan sama ada melalui pandangan mata atau pun kelembutan suara isteri, gunakan kelebihan ini untuk menegur suami.
Tona Suara Dan Perkataan Yang Sesuai
Ini kemahiran yang sepatutnya dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh seorang isteri, tona suara yang lembut, memujuk dan merayu sangat baik dijadikan sebagai senjata ketika mahu menegur suami. Begitu juga dengan perkataan-perkataan yang positif dan ada nilai pengaruh. Tidak boleh hanya semberono sahaja.
Bersangka Baik
Kadang-kadang isteri belum apa-apa dah mula bersangka-sangka dengan si suami, macam-macam yang dibimbangkannya, walhal belum pun lagi tegur kesilapan suami tu. Tidak perlu untuk memikirkan sangat implikasi negatif tu, tujuan menegurkan untuk memperbetulkan kesilapan suami, jadi bersangka baik dan tegurlah demi kebaikan dalam rumah tangga.
Doakan Suami
Iye doakan suami tu, doa dengan penuh rasa dan pengharapan kepada-Nya agar suami ini berubah dan kembali ke landasan yang sepatutnya dalam rumah tangga.
Tidak perlu untuk seorang isteri merasa ragu-ragu dan gusar untuk menegur kesilapan suaminya, yang paling penting adalah teknik dan pendekatan perlu betul kerana untuk mencari Mr Perfect adalah mustahil namun untuk mencipta Mr Perfect ianya memerlukan sentuhan seorang isteri.
Suami tidak akan sempurna, imam ini akan juga tergelincir daripada landasan tanggungjawabnya sebagai seorang suami, di sini lah datangnya peranan seorang isteri untuk memperbetulkannya dan menarik kembali imam ini ke landasan yang betul sebagai seorang suami yang bertanggungjawab dan dicintai.
Kehidupan rumah tangga akan dipenuhi dengan rahmat Allah SWT sekiranya budaya saling tegur menegur kesilapan ini diterima dan menjadi amalan baik, tiada isteri yang sempurna dan tiada suami yang perfect. Apa yang meneguhkan lagi sebuah rumah tangga itu adalah sikap saling menerima kekurangan dan saling pula melengkapi satu sama lain menjadikan rumah tangga ini bahagia dan kekal sehingga ke Jannah-Nya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI