Di sebalik tragedi kemalangan membabitkan seorang jururawat desa, Hajarul Aswad Mat Kar, 34 yang menaiki kenderaan Perodua Kancil dengan dua orang anak Nur Alya Nisrina, 12 tahun dan Muhammad Azam Tamim, 6 bulan ada cerita yang menyayat hati.
Biarpun ibu itu kini dilaporkan dalam keadaan semakin stabil. Kepedihan kehilangan dua permata hati serentak akibat pertembungan dengan sebuah pacuan empat roda tidak dapat menyembuhkan luka di dada.
Keadaan kenderaan Perodua Kancil akibat kemalangan.
Jalani Pembedahan Buang Darah Beku
MW cuba menghubungi suami mangsa, Azamin Setapa, 39 untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kemalangan yang berlaku di Kilometer 57, Jalan Kota Bharu Gua Musang, di hadapan masjid Keroh, Kelantan yang berlaku pada 24 Oktober lalu.
Namun, ketika ini Azamin masih masih dalam kehibaan dan tidak mampu berkongsi apa-apa yang berkaitan kemalangan, memandangkan dia sendiri masih sukar mengawal emosinya.
Bapa saudaranya, Mohd Syukri Said, 57 tampil membantu kami, mewakili Azamin untuk menceritakan apa yang berlaku.
Ketika ini, Hajarul telah menunjukkan kesan positif apabila mula menggerakkan kaki dan tangan sejak 31 Oktober lalu.
Sebelum itu dia telah menjalani pembedahan untuk membuang darah beku pada 28hb Oktober. Kemudiannya pada 30hb Oktober, sekali lagi Hajarul menjalani pembedahan untuk pemasangan besi pada rahang bahagian atas mulutnya kerana terdapat kecederaan.
“Manakala pada 31hb Oktober lalu, Hajarul menjalani dialisis bagi mencuci buah pinggang yang turut mengalami kecederaan. Ekoran daripada perkembangan yang positif, Hajarul telah dipindahkan daripada ICU (Unit Rawatan Rapi) Trauma ke wad ICU biasa.
“Tiub yang dipasang di kepala untuk mengeluarkan darah beku juga telah dicabut pada 2hb November lalu.
Ads
“Dia juga telah membuka mata biar pun tidak sedar sepenuhnya. Nampaknya keadaan Hajarul makin positif. Cuma baru-baru ini, dia demam disebabkan bengkak susu.”
Tentulah kehilangan ini amat memberi kesan pada suami isteri ini. Puas pasangan ini berusaha untuk mendapatkan cahaya mata. Sebenarnya, anak sulung pasangan ini, anak lelaki meninggal dunia selepas dilahirkan.
Kemudian, lahirlah anak kedua iaitu arwah Nur Alya Nisrini. Dan mereka menanti dekat 12 tahun untuk dapatkan arwah Azam Tamim pula.
Sungguh besar ujian Allah buat Azamin sekeluarga. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku.
Minta Azamin Redha Dan Ikhlas
Menurut sumber terdekat, pada hari kejadian, Hajarul keluar bersama dua orang anak untuk membeli barang keperluan. Sambil membeli barang, barangkali hendak bawa anak-anak meronda.
Ads
“Siapa sangka, berlaku kemalangan. Iyalah, benda nak jadi,” cerita Mohd Syukri sedih.
Mohd Syukri, bapa saudara yang rapat dengan Azamin. Sejak hari pertama kejadian Azamin banyak berkongsi perasaan dengannya.
Tatkala berada di atas ambulans ketika membawa Hajarul dan anak-anak ke hospital, Azamin menghubungi bapa saudaranya itu.
Dia seperti hilang arah ketika itu dan memerlukan sokongan terutamanya daripada bapa saudaranya yang telah dianggap seperti bapanya sendiri.
Sebagai orang terdekat, dia banyak memberi sokongan pada Azamin dan meminta anak saudaranya itu redha dan ikhlas dengan segala yang berlaku.
Ads
Pihak hospital juga banyak membantu Azamin dengan memberi kaunseling untuk membantunya mengawal emosi seterusnya positif untuk meneruskan hidup demi isteri tercinta.
Ketika ini Hajarul masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian kelantan.
Sebelum itu, Hajarul dirawat di Hospital Kuala Krai, dan dipindahkan ke HUSM pada 28 Oktober untuk rawatan dan pembedahan susulan.
Jalan Itu Kawasan ‘Panas’
Jarak Lokasi Kejadian dengan tempat tinggal mereka cuma 500 meter. Kata Mohd Syukri, jalan itu memang kawasan ‘panas’ kerana sering berlaku kemalangan.
Menurut penduduk setempat, lebih sepuluh kemalangan dah berlaku di situ sepanjang tahun ini. Laluan itu merupakan jalan besar atau jalan utama untuk pengguna yang berulang alik dari Kuala Krai ke Kota Bahru.
Foto : Koleksi Azamin Setapa
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kehidupan berpoligami tidak mudah diterima oleh setiap wanita yang bergelar isteri. Apabila suami membuat keputusan untuk berpoligami, terasa bagaikan diri dikhianati dan tidak lagi disayangi.Kisah perkongsian wanita ini mengenai bagaimana dia tangani suaminya yang mahu berpoligami wajar dijadikan panduan buat wanita lain. Kematangan ilmu rumahtangganya dan tindakan bijak wanita ini, berjaya membatalkan hasrat suaminya untuk terus berpoligami, bukan hanya sekali tetapi dua kali.
Salam admin. Minta hide profile saya yer. Sekadar ingin berkongsi pengalaman saya mengendalikan seorang lelaki bernama suami yang ingin berpoligami.
Saya seorang perempuan, saya tahu naluri orang perempuan (saya berumur 40 tahun) dan suami berumur 46 tahun. Saya selalu cuba memahami dan mendalami perasaan suami saya. Alhamdulilah, saya telah berumahtangga lebih dari 22 tahun (saya kahwin ketika umur saya 18 tahun seusai saja tamat SPM) dan telah dikurniakan 10 orang cahayamata.
Untuk pengetahuan puan, semenjak kahwin saya tak pernah bergaduh dengan suami saya, petuanya ringkas, ikut kehendak suami dan jangan bantah selagi tidak bertentangan dengan perintah agama sekalipun ia mungkin bertentangan dengan kehendak kita.
Lepas tu baru kita beri pendapat kita dan kehendak kita pulak, tentu suami akan sejuk hati dan juga akan mengikut kehendak kita. (of course pilihan awal pun kena lah tepat, nak pilih suami pun janganlah main sapu jer, mentang mentang tengok dia kereta besar terus setuju. Kalau dah cari suami hidung belang, kena lah tanggung sendiri akibatnya).
Orang lelaki juga kadang-kadang seperti budak budak perangai dia. Lagi kita resist, selagi tu dia akan insist. Sama dengan newton’s law of motion i.e action equals to reaction. So kalau kita ikut kehendak dia, dia akan lebih tenang dalam membuat keputusan dan segala urusan akan lebih mudah.
Untuk makluman, suami saya ni dah jadi jutawan pada umur 40 tahun walaupun pada asalnya ketika kami mula mula bernikah dia cuma memandu Proton Saga. Beliau seorang yang berjimat dalam segala hal. Memang duit cash simpanan dia dah melebihi jutaan ringgit dan dia ada beberapa buah rumah sewa dan sebagai isteri saya tak pernah meminta apa-apa pun dari dia, semuanya atas ihsan pemberian dia.
Saya bersyukur kerana Allah temukan saya dengan sorang suami yang baik bila saya compare dengan orang lain yang mendapat suami yang tak bertimbangrasa. Alhamdulillah, sejak kami kahwin dan dikurniakan ramai anak, hidup kami tak pernah kesempitan kerana saya percaya berkatnya rezeki kami dan saya qanaah dengan apa yang ada.
Walaupun saya tak bekerja sejak kahwin, rezeki kami sentiasa bertambah especially selepas kami menunaikan haji. Semasa pergi ke Mekah menunaikan haji 10 tahun lalu, yang saya minta cuma hidup aman yang berpanjangan bersama kasih sayang anak dan suami. Dan Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya.Tapi kita kena faham, orang laki ni bila banyak duit, banyak pula cabarannya.
Memang ada kawan kawan dia yang menawarkan perempuan lawa dan janda muda untuk di jadikan isteri kedua. Tetapi seperti yang saya cakap, kalau kita berterus terang dengan suami kita, dia juga akan berterus terang dengan kita.Dia pernah mengajukan pada saya hasrat nak kahwin lagi atas alasan nak menolong seorang janda muda anak tiga. Saya dengan tenang cakap pada dia, kalau itulah yang lebih membahagiakan hidup dia, saya izinkan dan saya redha.
Seperti yang saya cakap, kita jangan lawan. Hati perempuan mana yang ingin berkongsi suami. Samalah seperti saya. Tapi kita kena simpan perasaan kita tu dulu, kita kena setuju dulu dengan kehendak dia. Kemudian kita kena tunjuk pada dia kasih sayang kita yg tak berbelah bahagi walaupun dia telah menyatakan hasrat dia untuk kahwin lagi. Kita pelu cuma memenangi hati dia kembali. Mungkin ada kekurangan pada kita menyebabkan dia cuba mengalih arah.
Nak tahu apa yang saya lakukan selepas dia menyatakan hasratnya untuk tambah cawangan? Tak ada piring terbang.Tak saya suruh dia tidur di luar….. Tak saya tidur membelakangi dia…tapi..Saya cuba untuk memberikan dia layanan yang lebih baik.Kalau biasa bangun pagi-pagi kita take for granted..makan-minum pagi suruh dia ambil sendiri atas meja, kali ni saya hidangkan..buat yang terbaik untuknya. Utamakan dia dari anak-anak. Buat seketika tu jer….
Sebelah malam pulak, pakai pakaian cantik cantik dan berwangi wangian …Semasa tidur peluk dia jangan lepas lepas sampai pagi …biar dia tercungap cungap pun tak apa….kalau dia tanya, cakap kata yang kita sayang sangat kat dia. So selagi dia masih ada kita seorang dalam hidup dia cakaplah kita nak ambil peluang sebanyak mungkin untuk bersama dia, sebab bila dia kawin lagi satu, kita akan berkongsi suami. Jadi masa tu nanti kita cuma ada separuh masa dengan dia (Lupa nak cakap…sebenarnya sebelum itu saya telah meminang calon isteri untuk suami saya atas permintaannya).
Sambung cerita tadi…. Buat macam tu berterusan selama 2 minggu, dan jangan lupa bangun sembahyang malam, minta doa pada Allah. InsyaAllah, selepas 2 minggu dia akan berubah hati dan membatalkan niatnya. Saya telah buktikan. Selepas 2 minggu perempuan itu minta diputuskan tunang.Itu cerita masa saya ada anak 5. (Masih lawa lagi aih…pun suami dah menggatal).
6 tahun kemudian, suami berkenalan pulak dengan seorang anak dara umur 25 tahun. Masa tu saya dah umur 35 tahun. Saya di uji lagi. Dengan zaman internet yang canggih, dia diperkenalkan dengan anak dara yang 15 tahun lebih muda darinya oleh seseorang dan mereka berhubung melalui FB.
Kali ini saya tidak mengetahui kerana dia sudah berjanji dengan saya kalau dia nak tambah cawangan dia tak akan beritahu saya lagi kerana dia kesiankan saya. Dia kata kalau dia beritahu saya, mesti tak jadi punya. So, dalam senyap senyap dia berhubung melalui applikasi FB messenger sampai ke peringkat dia telah menetapkan tarikh pernikahan dengan gadis itu. Mereka bercadang untuk melangsungkan perkahwinan di Selatan Thailand.
Tetapi Allah Maha Kaya. Sehari sebelum hari yang mereka rancangkan ditakdirkan saya jatuh sakit dan terpaksa di admit ke hospital Kuantan. Maka suami pun memberitahu si gadis minta menunda rancangan perkahwinan mereka (tanpa pengetahuan saya).
Si gadis tak bersetuju dan menekan suami saya supaya meneruskan juga rancangan. Bila suami berkeras mengatakan dia perlu menjaga saya di hospital, si gadis mula menggunakan kata-kata kesat terhadap suami yang tak sepatutnya keluar dari mulut seorang anak dara.Dari situ barulah suami mulai sedar siapa si gadis itu. Suami terus memutuskan hubungan dengan gadis tersebut dan barulah diceritakan semuanya pada saya. Saya cuma ucapkan kata-kata syukur pada Allah, walaupun saya dimasukkan ke hospital, rupanya ada hikmatnya dan sekali lagi Allah telah menyelamatkan saya dari menjadi madu.
Kalau sekarang pun suami saya kata nak kahwin lagi, saya tak akan larang, tapi of course saya tak akan menggalakkan. Kalau kita benar benar sayangkan suami kita, kita kena berkorban. Dan inilah sebesar besar pengorbanan sebagai seorang isteri.Poligami adalah sesuatu yang dibenarkan. Ia juga mempunyai hikmat dan manfaat yang besar kepada umat Islam khususnya dan manusia umumnya. Sama ada cintakan suami orang tu boleh membawa kebahagiaan atau tidak bergantung kepada sistem pengurusan keluarga kita.
(i) Bahawa seseorang mencintai “suami orang” itu suatu tindakan “merampas”; Allah jadikan suami itu unutk dikongsi.So apa yang nak dirampas?
(ii) Bahawa berpoligami itu sebenarnya akan membawa kepada ketidak-adilan. Bini satu pun kalau jenis suami tak adil, memang tak adil punya.
(iii) Bahawa bagaimana hendak “membahagikan” kasih-sayang. Sebenarnya “kasih-sayang” ibarat hujan. Ia tidak dibahagikan tetapi semua orang akan basah jika ditimpa hujan walaupun berada di tempat yang berlainan. Bukan bererti dua orang yang berada di suatu padang akan basah separuh sahaja apabila ditimpa hujan;
(iv) Berpoligami itu akan menimbulkan masalah. Apakah perkahwinan monogami tidak menimbulkan masalah?
Walau apapun, adalah lebih elok jika perkahwinan berkenaan bermula dengan kerelaan semua pihak. Isteri pertama jangan menganggap bahawa dia lemah, tak pandai jaga laki dan sebagainya apabila ada “kawan” baru. Dan paling penting, suami yang mempunyai lebih daripada satu keluarga mestilah berlaku adil.
Walaupun tidak mudah untuk berlaku adil tetapi tidak mustahil, jika dimulakan dengan niat atas dasar iman. Adil bukan maksudnya semuanya sama (equal) tetapi setiap pihak mendapat haknya mengikut keperluan dan kedudukan (equitable).
Akhir sekali, perlu ada kesepakatan tentang “conflict resolution mechanism” kerana setiap kehidupan akan terdedah kepada konflik. Banyak konflik besar bermula daripada konflik kecil yang tidak terkendali. Apatah lagi jika emosi menjadi perkasa semasa konflik.Mohon komen yang murni murni saja yer. Yang elok jadikan teladan, yang buruk kadikan sempadan.
Akhir kata, jadilah menjadi wanita yang penuh bermaruah,berfikiran matang tak perlu semakkan kepala dengan pinjaman cinta dunia yang hanya sementara. Meskipun kelihatan kalah pada awalnya, namun sebenarnya kemenangan tetap milik kita.
Berat sekali ujian keluarga Norhayati Saad, 41 dan suaminya, Mat Yusop. Dalam kegawatan ekonomi, dan anak kelima, Auni alami cerebral palsy serta perlu membesarkan 5 anak yang lain, ibu bapa ini sanggup berbuat apa saja.
Kelahiran Auni Zakirah dinanti dengan penuh harapan oleh ibu dan ayahnya. Diharapkan kelahiran anak kelima mereka ini dapat lagi memeriahkan keluarga yang menanti.
Norhayati dan Mat Yusop tak pernah menyangka Auni akan menjadi insan paling istimewa dalam kehidupan mereka. Kini dalam usia 8 tahun, Auni, anak istimewa di kalangan anak-anak mereka seramai 6 orang. Auni berbeza dan perlukan sepenuh perhatian.
Hujan turun dengan lebatnya sewaktu penulis melawat keluarga ini di kedai kecil tempat mereka mencari rezeki di Desa Mentari 3, Petaling Jaya, Selangor.
Bunyi dentuman guruh di langit yang cukup kuat menakutkan sesiapa saja terutama anak kecil. Tapi berbeza sekali dengan Auni. Dia akan tersenyum dan ketawa merai bunyian guruh. Sedikitpun tak ada perasaan takut dalam diri.
“Berbeza sungguh dengan adik bongsunya Amani yang takut dengar guruh. Auni memang suka dengar bunyi-bunyi. Semakin kuat semakin dia suka.”
Melihatkan wajah suci Auni, sudah pasti ramai yang akan berasa sayu. Wajah tanpa sepalit dosa ini memang tidak mengerti apa yang berlaku di sekelilingnya.
Tatkala rakan sebayanya sudah mula bersekolah dan bermain sesama sendiri, Auni hanya mampu berbaring di atas tilam.
Ibunya redha dengan ketentuan Ilahi. Dia sedar takat kemampuan anaknya ini. Selagi nyawa dikandung badan, dia akan berusaha memberi yang terbaik buat Auni. Azam yang sama turut dipegang oleh Mat Yusop.
“Kami perlu kuatkan semangat demi anak-anak. Kehadiran Auni ini membuatkan kami lagi sabar dan kuat semangat. Anak istimewa ini banyak menguji kesabaran. Bila ada orang bagi pandangan negatif kami buat tidak tahu sahaja.
“Mulanya kami tidak tahu jenis penyakit Auni, Nak beri rawatan macam mana pun tak tahu. Sedikit demi sedikit kami belajar sampai boleh lalui bermacam cabaran.”
Menurut doktor Auni mengalami masalah Hemimegoloencephaly dan Hypomelanoris of Hito. Atau dalam bahasa mudahnya, Auni mengalami masalah kesihatan yang dikenali sebagai cerebral palsy.
Cerebral palsy adalah gangguan gerakan, otot atau postur yang disebabkan oleh cedera atau perkembangan abnormal di otak, paling sering terjadi sebelum kelahiran.
Mengimbas semula permulaan perjalanan kehidupan Auni, menurut Norhayati, memang banyak masalah yang dialaminya sewaktu mengandungkan Auni.
“Dari awal kehamilan saya ada mengalami pendarahan, dan leaking. Masa dilahirkan pun, dia lemas. Tetapi pada masa itu doktor kata semua ok. Namun selepas dilahirkan dia terus dimasukkan ke dalam inkubator.
“Hari kedua, doktor beritahu anak saya ada sawan. Bermula dari situ, kami buat follow up sehinggalah umur Auni tiga bulan. Kemudian barulah doktor merujuk kes di hospital kerana ketika itu hospital swasta ini tidak dapat melakukan sebarang rawatan lanjut.
“Setelah diberi ubat, sawan yang dialami oleh Auni tetap tidak berkurangan. Sewaktu di hospital doktor mencadangkan pembedahan. Sawannya teruk sangat dan doktor telah mencuba sembilan jenis ubat namun tidak ada tindak balas yang berkesan.
“Sawan Auni amat kerap. Kadang-kadang dua minit sekali. Sehari dalam 40 hingga 50 kali sawan itu dikesan daripada EEG yang ditunjuk oleh doktor. Masa itu umur Auni tiga bulan.
“Bila dia sawan, ada komplikasi lain. Doktor cadangkan pembedahan tetapi kami tak sanggup kerana dia masih kecil ketika itu.
“Kami berulang-alik ke hospital sampai usia Auni tiga tahun. Masa itu kami sudah menyerah sahaja pada doktor kerana sudah cuba macam-macam. Akhirnya kami berserah pada doktor dan membenarkan pembedahan dilakukan ketika dia berumur tiga tahun.”
Waktu itu Auni perlu menjalani pembedahan pada otak kanan untuk hentikan sawannya. Norhayati dan suaminya perlu menyediakan RM40,000 untuk membiayai kos pembedahan.
Pembedahan pula perlu dilakukan di hospital swasta kerana pada masa itu tidak ada pakar saraf kanak-kanak di hospital kerajaan.
Demi anak, mereka terpaksa refinance rumah bagi mendapatkan wang untuk membayar kos pembedahan tersebut.
Selepas pembedahan perubahan dan perkembangan yang positif dilalui Auni. Sawannya telah berhenti. Norhayati bersyukur pembedahan itu berjaya.
“Sebelum itu, Auni tidak boleh meniarap mahupun berguling. Setahun selepas pembedahan barulah dia boleh meniarap dan berguling. Kami juga membawa Auni menjalani terapi saraf bagi melancarkan perjalanan oksigen dan darah.
“Banyak perubahan yang berlaku padanya. Sebelum rawatan terapi dijalankan Auni makan melalui tiub yang dipasang di perutnya. Selepas itu, dia cabut tiub itu kerana tidak selesa. Bermula dari saat itu Auni mula makan seperti biasa,” cerita Norhayati.
Bukan Auni sahaja yang perlu diberi perhatian. Mereka ada lima orang anak lain yang perlu dibesarkan.
Sejak dua tahun lalu, pasangan suami-isteri ini telah membuka sebuah kedai fotostat dan kedai roti di Desa Mentari 3. Ini lokasi baru setelah berpindah dari lokasi lama yang terletak di Shah Alam.
Pelaksanaan GST, menjejaskan bisnesnya. Biarpun pelanggan makin berkurangan, mereka tak berputus asa.
Setiap hari selain mengharapkan masyarakat setempat menggunakan khidmat fotostat, mereka akan menjual roti dan burger berwarna.
Setiap petang Mat Yusop akan menjual burger di hadapan kedai. Roti burger dibuat sendiri oleh Norhayati.
Norhayati juga boleh membuat pelbagai jenis roti lain. Setiap kali menerima tempahan, Norhayati akan mula membakar roti pada malam hari sehinggalah siap keesokan harinya.
Bagi mereka yang ingin merasa burger dan roti jualan Norhayati bolehlah melawat ke kedai beralamat 11-G-68, Blok 11, Jalan PJS 2D/1, Desa Mentari 3, Petaling Jaya, Selangor.
Foto: Nor Yanti Saharuddin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Beratnya ujian yang dilalui ibu tunggal ini. Rasyidah Binti Mujari, 31 terpaksa melalui saat-saat getir diceraikan suami ketika masih menuntut di semester 2 pengajian IPTA, 3 bulan kemudian ayah yang kuat memberi sokongan meninggal dunia.
Sebulan selepas pemergian arwah ayah, anaknya pula diarahkan oleh doktor untuk melalui pembedahan tonsil di hospital. Dalam serba kepayahan wanita ini tak putus harap. Hari ini nasibnya berubah.
Susah senang itu dikongsikan dengan Mingguan Wanita. Dengan impian mahu menyuntik semangat kekuatan kepada wanita yang sedang melalui ujian dalam hidup mereka.
“Ketika semester kedua saya diceraikan. Sangat sukar untuk saya lalui. hari-hari menangis kenangkan anak kat kampung.
“Duit tak ada untuk makan. Kadang berlapar. Selepas bercerai bapak saya ambil tanggungjawab bantu dari segi financial.
“Genap 3 bulan saya bercerai, Allah lebih sayangkan bapak saya. Dia kembali ke rahmatullah. Saya terduduk, rasa hilang habis kekuatan untuk sambung belajar.
“Saya fikir semula. Kalau bapak tengok saya belajar tak habis tentu dia sedih. Saya kuatkan semangat. Teruskan juga belajar. Lepas sebulan bapak meninggal, anak saya kena jalani pembedahan tonsil.
“Sekali lagi saya hanya mampu menangis. Maklah jadi kekuatan saya. Abang saya pun banyak juga membantu. Keluarkan duit untuk pembelajaran saya.
“Saya cuma belanja RM300 saja sebulan. Lagi RM200 saya gunakan untuk tengok anak saya di kampung setiap minggu.
“Alhamdulillah berkat kesabaran, semangat yang kuat dan support dari anak dan famili saya berjaya sampai ke tahap sekarang dan diterima bekerja di syarikat Jepun.”
Kerjaya tenaga pengajar bidang automotif menjadi periuk nasinya kini. Sudah 8 tahun dia bergelumang dengan dunia yang dimonopoli kaum lelaki
“Tak mudah untuk wanita macam saya mengendalikan kenderaan berat. Macam-macam perangai dan ragam manusia saya temui.
“Disayangi pelajar-pelajar sampailah pernah berdepan dugaan dengan lelaki dan tak terlepas dari gangguan seksual dari manusia-manusia yang tak boleh menahan nafsu.” Itu antara kenangan pahit manis yang perlu ditempuh.
Akuinya, sepanjang mengajar dia tak berhadapan masalah bergaul dengan pelajar. Apabila melibatkan sesuatu yang berat semasa sesi latihan praktikal dia tetap memerlukan tenaga lelaki.
“Mengalah sebelum mencuba itu bukan cara saya. Kena kuat semangat, mental dan fizikal. Setiap kali hampir patah semangat, saya fikir ada famili anak umur 5 tahun yang perlu diberi makan.
“Dari situ saya bangkit majukan diri. Pegang jati diri dan fikir tanggungjawab sama.”
Kata anak kelahiran Pahang ini zaman sekarang bidang automatif yang sinonim kepada kaum lelaki amat luas peluang kerjayanya.
“Saya bermula waktu umur 18 tahun sampailah sekarang. Kalau perempuan terlibat kerjaya ini pun, masyarakat dah boleh terima.
“Saya sendiri, belajar dari sijil sampailah degree. Belum pun habis study saya dah terima offer dari banyak syarikat automotif di Malaysia.
Tambahnya jangan sesekali menganggap wanita tak mampu melakukan kerja yang dimonopoli oleh kaum lelaki. Wanita juga kuat.
Buang perasaan malu, seorang ibu sanggup mengetepikan rasa malu apabila anaknya meminta untuk makan buah durian. Apa yang menyentuh emosi, dia meminta untuk berhutang demi dapatkan sebekas durian kampung dengan alasan belum menerima gaji.