Saban tahun setiap kali menjelangnya Ramadan, meskipun banyak kes yang dilaporkan padah bermain mercun, namun masih ramai anak-anak yang tak serik-serik dengan akibatnya.Keseronokan yang hanya sekejap, namun azab sengsara terpaksa ditanggung seumur hidup!
Pasti luluh rasa hati seorang mak apabila anak yang dilahirkan cukup sifat dan sempurna tubuh badan, menjadi orang kurang upaya (OKU) gara-gara menjadi mangsa mercun. Jika selalu membaca berita anak orang lain yang cedera, tak sangka kali ini anak sendiri yang menjadi mangsa.
Seorang pelajar Tingkatan Dua buta mata kanan dan hancur lima jari kiri serta satu jari telunjuk kanan selepas belerang mercun bola diletakkan dalam botol kaca meletup atas bara api di Kampung Panji, Kota Bharu, Selasa lalu.
Ads
Mangsa Mercun Pertama Di Kelantan
Kejadian 11 malam itu menjadikan Eiman Najwan Anwar Fuad, 14, mangsa mercun pertama di Kelantan ketika dia bermain bersama dua rakan berdekatan rumahnya.Serpihan letupan kaca itu turut terkena kaki seorang rakannya.
Ibunya, Rozita Zakaria, 41, berkata, kejadian berlaku ketika beliau sedang melipat kain di rumah.
Ads
“Saya terdengar bunyi letupan kuat dan terus berlari keluar melihat seorang budak lelaki jatuh bersujud dalam keadaan berlumuran darah.
“Saya terus memeluk budak lelaki itu dan pada masa itu, saya tidak tahu mangsa adalah anak sendiri. Saya terus pengsan kerana melihat terlalu banyak darah.
“Namun, selepas sedar baru saya tahu mangsa mercun yang parah itu anak sendiri sebelum saya dan suami membawanya ke unit kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di HUSM,semalam.
Serpihan Kaca Meletup
Rozita berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu terkena serpihan kaca yang meletup selepas diisi belerang mercun bola yang terjatuh ke atas bara api. Katanya, ketika itu, anaknya berada berdekatan bara api itu dan tidak sempat melarikan diri.
“Kejadian itu menyebabkan mata kanan anak tidak dapat diselamatkan, manakala lima jari tangan kiri serta satu jari telunjuk tangan kanan hancur.
“Sebelum kejadian, anak saya ada meminta wang RM1 untuk membeli air dan saya memberinya. Pada masa itu, rakan anak ada mengajaknya keluar dan anak menolaknya kerana mahu berada di rumah.
“Namun, saya tidak sangka kejadian ini terjadi kepada anak sendiri kerana sebelum ini, hanya membaca laporan anak orang lain cedera terkena mercun,” katanya.
Rozita berkata, anaknya kini stabil dan masih mendapatkan rawatan susulan.
Semoga mangsa kembali pulih seperti sedia kala. Buat mak ayah mohon lebih memantau pergerakan anak pada bulan Ramadan ini.Selalu ingatkan mereka bahaya bermain mercun ini dan tunjukkan akibatnya pada kejadian-kejadian yang pernah berlaku sebelum ini.Semoga anak-anak kita terhindar darpada malapetaka seperti ini.Ngeri!
Pagi tadi Mingguan Wanita ada kongsikan kisah ibu tunggal, Kak Rasidah yang tinggal dalam rumah bekas kandang kambing bersama 6 orang anaknya. Terkini pengasas thirdforce, Raja Shamri Raja Husin yang lebih senang dipanggil Abangraja memaklumkan perkembangan terkini berkenaan kes yang baru dikendalikan oleh sukarelawan Thirdforce itu.
Bermacam maklumbalas yang diterima organisasi NGO itu. Wujud ketegangan, sehingga Abangraja membuat posting terbaru untuk menjelaskan pendirian thirdforce dalam kes ini.
1. Sukarelawan kita telah mengunjungi mereka lagi petang semalam bersama pesanan juadah berbuka yang dikirim oleh orang awam dan plan cadangan bantuan segera yang telah dipersetujui oleh Abangraja.
2. Berlaku ketegangan bila mana ada individu yang datang memaki hamun dan memarahi sukarelawan, bila mana kisah ibu tunggal ini sudah jadi viral. Makluman dari sukarelawan, beliau adalah orang politik (Bukan YB) yang mungkin rasa tak selesa bila mana kisah kemiskinan di kawasan beliau diketahui umum. Mungkin beliau merasa malu bila mana ada netizen yang kata “tak buat kerja” dan sebagainya.
3. Sukarelawan yang terlibat masih dalam keadaan trauma dan kita doakan adik-adik sukarelawan yang hanya ingin membantu ini dapat bertenang dan bersabar. Sukarelawan yang rata-rata bergerak sendiri demi untuk membela nasib orang miskin ini sangat malu dan merasa tertekan. Justeru, update dan gambar kunjungan petang semalam masih belum dapat dikongsikan.
4. Sebenarnya, posting awal kita berkaitan kes ini tidak menyentuh / mengkritik / menghentam / mencari salah mana-mana pihak sekadar mengajak netizen untuk sama-sama membantu dan berkongsi kisah masyarakat untuk sama-sama kita bermuhasabah diri.
Seringkali komen-komen dari netizen yang pelbagai menjadikan ada individu / pihak yang “panas punggung” dengan komen-komen berkaitan posting tersebut walhal kita tak ada menyentuh mana-mana pihak pun di dalam posting kita.
5. Posting kita tidak menyebut lokasi / alamat ibu tunggal ini kerana pengalaman kita yang lepas setiap kali kita bagi tahu lokasi asnaf maka kita akan diserang oleh JKKK / ketua kampung / penduduk kampung / orang politik. Tapi walaupun kita tak bagi tahu alamat asnaf ni dimana akhirnya netizen dapat tahu juga lokasinya setelah kisah ini tersebar.
6. Asnaf ini tiada no akaun dan kita menunggu masa yang sesuai untuk bawa beliau ke bank untuk buka akaun. Kita juga ingin mencadangkan orang awam tidak memberikan sumbangan kewangan yang banyak kerana asnaf perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan “pengurusan kewangan” serta untuk mengelak tarikan kepada penjenayah.
7. Abangraja mencadangkan 3 plan bantuan untuk ibu tunggal ini :-
a) Bina rumah untuknya dari sumbangan awam jika dia ada tanah. Jika tanah tersebut tanah pusaka dan ada banyak nama maka sekeping surat persetujuan yang ditandatangani oleh semua penama perlu disediakan disaksikan pesuruhjaya sumpah dan mati setem. Atau
b) Sewakan rumah untuk mereka anak beranak dari sumbangan awam selama setahun bagi memberi masa kita pihak agensi berkaitan (JKM / MAIK / KESEDAR dan lain lain.) membina rumah untuk mereka ATAU kita sendiri bina rumah untuk mereka jika agensi-agensi ini dilihat lambat dan banyak birokrasi. Atau
c) Pindahkan asnaf ini ke perumahan Thirdforce di Batu Balai Kuala Krai yang sedia untuk masuk bila-bila masa. Urusan pindah sekolah anak-anak boleh dilakukan kemudian. Lori thirdforce boleh berkhidmat dibantu oleh orang awam untuk gotong royong pindah. Kita boleh beli motor untuk ibu tunggal ini bekerja dan kita boleh tolong carikan kerja untuknya di Kuala Krai.
8. Abangraja suka menasihatkan dalam suasana ini agak tak sesuai ramai datang melawat / ziarah asnaf ini kerana ianya akan jadi cultrure shock kepada asnaf ini. Sumbangan duit kepada asnaf ini juga membuka ruang kepada kejadian jenayah sebab rumah dia sekarang ni sangat dhaif memang tak selamat. Sesiapa sahaja boleh masuk dengan mudah.
9. Lawatan netizen yang berpusu-pusu ke sini juga telah menimbulkan ketegangan dengan “orang politik” yang mana rasanya akan jadikan asnaf juga lebih tertekan.
10. Berikanlah ruang masa untuk thirdforce menyelia kes ini dan ini bukan kes pertama seumpamanya bila mana kita di maki hamun dan diaibkan dalam proses nak buat pahala dan membantu orang miskin. Ianya pernah berlaku di negeri-negeri lain juga sebelum ini.
11. Kita akan update semua program bantuan di facebook ini dan juga dari masa ke semasa. Thirdforce mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang telah mendoakan dan menyatakan kesanggupan untuk membantu. Sesungguhnya niat kita semua inipun sudah dikira pahala di sisi Allah.
Kepada orang politik / extreamist parti / bekas JKKK / ketua kampung / pengarah mana-mana agensi berkaitan, thirdforce ingin mengajak kalian semua untuk berlapang dada dan datanglah sama-sama bantu.
Dah banyak kali dah cakap macam ni masih tak paham-paham. Kalian sendiri akan dapat mileage jika itu yang kalian nak. Berlapang dada hubungi kami dan sama-sama kita bincang apa yang terbaik boleh dilakukan.
Rakyat akan tengok keterbukaan dan jiwa besar kalian serta kebersamaan kalian menggalas amanah dari rakyat. Sikap kalian yang menghentam NGO yang tak ada apa-apa kepentingan ini hanya akan menambahkan kebencian netizen kepada parti / organisasi tuan/puan.
Ini kerana kita hidup di zaman dunia tanpa sempadan ini kampung kita bukan lagi kampung kita seorang. Kampung kita boleh juga jadi kampung orang lain di Afrika. Ada sesetengah tempat lain bila mana kita reveal kes kemiskinan di kawasan mereka orang politik tak kira parti datang bersama-sama kita meraikan program bantuan tersebut.
Pegawai JKM / Baitulmal juga sama-sama turun bantu. Akhirnya asnaf dapat bantuan dan dibantu secara holistik dengan cepat. Orang politik dan parti mereka juga yang dapat nama. Rakyat nampak mereka mempraktikkan politik yang matang. Rakyat suka.
Demikian juga dengan pegawai-pegawai dari agensi yang terlibat yang mana mereka juga yang dapat recognition dan kepuasan. Berlapang dada dan jommm jadi orang baik-baik. Nantikan update program bantuan untuk ibu ini apabila kita lancarkan nanti dan pada masa itu bolehlah kita sama-sama berganding bahu membantu seadanya.
Sumber/Foto : Raja Shamri, Abangraja ((h/p: 017-387 2232) Founder The 3rd Force
Soal anak, jodoh, berat badan adalah antara perkara sensitif untuk dijadikan bahan gurauan mahupun topik bersembang. Dalam meraikan Aidilfitri ketika ditebak dengan soalan-soalan ini oleh makcik-makcik bawang, memang boleh hilangkan mood untuk terus beraya.
Baru-baru ini, pelakon Siti Elizad ada meluahkan perasaan berang dan terkilan didalam ig story dan twitternya dengan tindakan segelintir tetamu yang sering bertanya soalan berkaitan cahaya mata kepadanya ketika sedang sibuk meraikan Aidilfitri. Elizad atau Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 34, menyifatkan soalan-soalan yang diajukan tersebut sebagai sensitif dan tidak menghormati perasaan orang lain.
“Kepada makcik-makcik bawang, yang kepochi (kepoh) masa beraya, ini aku nak cakap sikit bagi lekat dekat kepala. Soalan di hari raya, bila nak ada anak? Bila nak buat anak? Tak ikhtiar ke? Cara tak betul ke?
“Mari sini aku nak cakap aku ni manusia biasa, jadi tiada jawapan untuk semua itu,” tulisnya di Twitter dan Instagram miliknya pada Selasa.
Elizad telah mendirikan rumah tangga dengan duda dua anak, Shamsul Baharin Rahman, 46, pada 11 Januari 2015. Lebih jengkel lagi kata Elizad, pertanyaan tersebut diikuti dengan tindakan memegang dan mengusap perutnya. Pelakon drama Teman Lelaki Upahan itu berkata, pertanyaan tersebut juga menjejaskan emosinya untuk beraya.
“Sekarang aku faham macam mana budak-budak bujang yang belum ada jodoh, kau sibuk tanya bila nak kahwin? Aku yang sudah kahwin belum ada anak orang sibuk tanya bila nak ada anak?
“Pegang-pegang perut aku sambil cakap belum ada isi ke dalam? Menunjukkan betapa ceteknya didikan kau, kau rasa seronok ke melawak tentang benda tu semua?” ujarnya.
Elizad mengingatkan agar orang ramai tidak lagi bertanya tentang itu kerana ia bukanlah satu gurauan. Tambahnya, sebagai seorang manusia biasa, dia sendiri tidak mengetahui rezeki dan jalan hidup yang sudah disusun untuknya.Malah, dia juga mempunyai harapan untuk dikurniakan cahaya mata seperti mana pasangan suami isteri lain.
“Berhenti bertanya soalan begitu. Kalau tiada soalan nak tanya atau tidak reti bergurau lebih baik diam.
“Belajarlah menghormati perasaan orang sebab itu aku ni jenis tidak lama beraya dekat rumah orang,” katanya.
Ada benarnya apa yang diluahkan oleh Siti Elizad ni. Tak perlulah bergurau atau tanya isu-isu sensitif musim-musim raya ni. Daripada elok nak merapatkan hubungan silahturahim jadi sebaliknya pula, bermasam muka dan berkecil hati.Doakan je yang baik-baik. Semoga Siti Elizad banyakkan bersabar dan dimurahkan rezeki dengan anak satu hari nanti.
Baru-baru ini, pelakon kecil molek berwajah comel Sari Yanti Dato’ Mohamad Nazari,33 atau lebih dikenali sebagai Sari Yanti ada memuat naik gambar lauk kegemarannya iaitu Lawa Kuinin didalam instagram. Punyalah sedap lauk Lawa Kuinin ni, sampaikan ibu kepada Barr Al Aliy,8 dan Basit Al-Haq,6 dan Dariya Inara, 2 bulan berkata dia boleh tambah nasi 8 kali!
Bagi yang mengikuti instagram Sari Yanti, pelakon ini membahasakan dirinya ‘kakak’ buat para pengikut kesayangannya.
“Lauk (Lawa Kuinin) ni kakak boleh tambah nasi 8 kali.”
“Kisahnya hari tu waktu mantai ( sehari sebelum raya) dekat kampung mama buat lauk ni. Jadi waktu orang semua berbuka, kakak tak boleh lah berbuka sama kan.Sebab kena jaga baby, tambahan kakak memang tak puasa. Jadi memang biasanya kalau tak puasa kena makan kemudian.”
“Nak jadikan cerita ada lah mama buat lauk lawa kuinin ni.Kakak tengok lauk tu laju je jalan. Aduh debar-debar hati kakak takut lauk tu habis.Maklumlah kakak time tu baru habis pantang jadi teringat lah nak makan macam-macam. Kuinin pulak musim bukan sepanjang masa. Kalau sentiasa ada tak la kakak risau. kakak dok peteng (tenung/perati) je lauk tu dari tingkap. Sebab tengok cousin ipar kakak @enciksyafa yang baru belajar makan lauk tu memang suka betul. Dia letak lauk depan dia. Pastu dia makan je sampai habis.”
“Mama ternampak kakak macam risau terus cakap. Lawa kuinin tu ada lagi mama dah asingkan dalam almari lauk. Fuhhh .. lega.”
“Kakak harap post kakak yang ni @enciksyafa tak la tengok. Takut cousin kakak @farahidamazlan terpaksa pulak buat lawa kuinin memalam ni. Nak buat tu tak da masalah rasanya. Tapi kuinin tu mana tah nak cari.”
Menerusi perkongsian di ig story pula, Sari Yanti sudi berkongsi resipi Lawa Kuinin yang diminta oleh para pengikutnya.Mudah je rupanya nak buat lauk ni.
Bawang Besar
Cili padi
Santan Segar/ Santan Kotak
Garam
Air panas
1.Potong sedikit bawang besar.
2.Potong cili padi ikut tahap kepedasan masing-masing.
3.Masukkan garam dalam santan segar.Kalau tiada santan segar santan segar pun boleh.
4.Tambah sedikit air panas dalam santan.
5.Tambahkan kesemuanya didalam buah kuinin yang telah dipotong. Siap!
Menurut Sari Yanti, Lawa Kuinin ini tidak perlu dimasak, dihidangkan begitu saja dan cukup mudah disediakan. Boleh juga cuba Lawa Durian, Lawa Terung dan Lawa Jantung Pisang.
Tambahnya lagi, bagi Lawa Terung, terungnya perlu dibakar dahulu atas arang, diperah dengan sedikit limau dan letak sedikit ikan masin yang telah digoreng.Bagi Lawa Jantung pula, jantung pisang tersebut perlulah direbus terlebih dahulu. Namun bagi Sari Yanti, Lawa yang paling sedap adalah Lawa Bacang kerana ada rasa masam-masamnya.
Jadi buat mak-mak yang nak cuba lauk orang negeri sembilan ni, boleh lah cuba resipi lawa kuinin yang Sari Yanti kongsikan.