
Pesanan buat lelaki dalam mencari calon isteri, pertimbangkan 4 perkara yang dipesan oleh nabi iaitu harta, keturunan, rupa dan agama. Namun demikian selain perkara tersebut, perlu ambil kira juga keadaan rumahnya, keluarganya, serta mak dan ayah wanita tersebut.
Adakah benar-benar boleh menerima dengan hati terbuka selepas berkahwin nanti. Bukan apa, apabila membuat keputusan berkahwin, ia bukan sahaja melibatan dirinya sahaja, kita turut ‘berkahwin’ dengan keluarganya. Jika pada awal lagi, tidak dapat menerima mereka seadanya, ia akan menimbulkan masalah di kemudian hari, mampu membuatkan hati seorang isteri berbelah bahagi. Dalam dilema terpaksa memilih antara ketaatan suami dan tanggungjawab pada orang tua.
Jemput fahamkan perkongsian daripada Firdaus Shakirin ini;
Sebelum mengahwini mana-mana perempuan, tengok rumahnya, tengok keluarganya, tengok kesihatan orang tuanya…
Jangan kahwin dengannya jika kita tidak mampu tinggal didalam rumahnya…jangan kahwin dengannya jika kita tidak boleh terima keluarganya…jangan kahwin dengannya jika kita ingin menghalang dia untuk berbakti kepada orang tuanya…
Jika kita memilih untuk meneruskan jugak hubungan itu, kelak kita hanya akan menerimanya seorang diri sahaja, bukan tempat tinggalnya, bukan keluarganya, bukan orang tuanya..
Kita tidak selesa di rumah mertua, kita tidak balik ke rumah mertua, kita tidak suka kepada orang tuanya, kita tak nak orang tuanya datang ke rumah kita dan kita tak nak dia berbakti kepada mereka.
Sikap dan perbuatan kita tu sebenarnya akan membuatkan hati seorang isteri berbelah bahagi…samada mengikut kata-kata dan kemahuan suaminya sekaligus mengecilkan hati kedua orang tuanya, atau memilih orang tuanya berbanding suami.
Jika ingin menerima seorang wanita itu sebagai isteri yang akan tinggal bersama dengan kita seumur hidup kita, maka terimalah dirinya, tempat tinggalnya, keluarganya, orang tuanya, SEADANYA mereka…
(Begitulah juga sebaliknya sebelum menerima mana-mana lelaki sebagai suami)
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
MW:Memang ada benarnya. Apabila kita membuat keputusan untuk berkahwin, kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan sahaja, malah turut ‘berkahwin’ dengan ahli keluarganya. Adalah amat penting dapat menerima keluarga pasangan sebaik-baiknya dengan hati terbuka, bagi mengelak sebarang masalah berbangkit di kemudian hari.
Sumber: Firdaus Shakirin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
11 Tahun Perkahwinan, Isteri Dato’ Fazley Pernah Keguguran Hampir 10 Kali, Kehadiran Alayna Selma Jadi Penyeri

Bukan mudah untuk memiliki cahayamata apatah lagi jika sering mengalami masalah keguguran.Siapa sangka dalam tempoh 11 tahun usia perkahwinan Dato’ Fazley Yaakob dan Datin Azrene Soraya Ahmad Aziz, isterinya pernah mengalami keguguran hampir 10 kali!
Namun alhamdulillah, meskipun kerapkali mengalami keguguran sepanjang tempoh tersebut, pasangan ini telah dikurniakan dengan 3 orang anak lelaki. Penantian sekian lama, akhirnya mereka dikurniakan dengan rezeki kehadiran anak perempuan, Alayna Selma pada Oktober lalu.
Perkara ini didedahkan oleh Dato’ Fazley sendiri didalam posting instagram yang miliknya.
“11 tahun perkahwinan di antara saya dan @azrene_ahmad kami di kurniakan 3 anak lelaki, keguguran hampir 10 kali dan akhirnya tiba anak perempuan bongsu #Ellie #AlaynaSelma Syukur pada Allah!”

Pengalaman Serba Baru
Ternyata kehadiran puteri kesayangan Alayna Selma (2 bulan) atau lebih mesra digelar Ellie adalah suatu rahmat buat pelakon, chef selebriti, motivator dan usahawan berjaya ini.Mana tidaknya,Dato’ Fazley cukup teruja dengan kehadiran Alayna Selma yang juga anak keempat pasangan ini menjadi penyeri buat kehidupan mereka sekeluarga, yang sekian lama menantikan kehadiran anak perempuan setelah dikurniakan dengan tiga orang anak lelaki, Ahmad Fariedz Shah (Payish)9, Ahmad Fieradz Shah (Piyash),8, dan Ahmad Firudz Shah (Piyush),6. Keluarga bahagia ini , kini lengkap ber-6!

Bagi Dato Dazley, keterujaan dan pengalaman memiliki anak perempuan ternyata berbeza daripada memiliki anak lelaki.Perkara ini turut di kongsikan didalam posting intagram beliau;
“Kata orang2 tua, bila dapat anak perempuan semuanya pengalaman serba baru, saya anak lelaki 3 orang, yang bongsu ni barulah perempuan. Memang ternyata berbeza #AlaynaSelma #EllieFazley”

Alhamdulillah dan tahniah buat Dato Fazley sekeluarga diatas kehadiran puteri kesayangan, Alayna Selma. Semoga keluarga sentiasa dilimpahi rahmat dan kebahagiaan selama-lamanya. Buat wanita lain, yang sering mengalami masalah keguguran, jangan berputus asa,bersabar dan teruslah berusaha.Insya Allah, akan ada rezeki untuk menimang cahaya mata suatu hari nanti.
Sumber: Instagram Dato’ Fazley Yaakob
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isteri Garang Dan Keras Kepala Macam Mana Pun, Lelaki Ini tetap Pilih Untuk Mengalah!

Ramai netizen teruja dengan luahan hati seorang suami, Rahman Marlis tentang isteri garang di status Facebook miliknya. Rata-rata suami isteri terus tagged pasangannya nak bagi si dia lebih memahami perangai seorang wanita bila dah berumah tangga.
Tetapi bila digali setiap patah perkataan yang ditulis tentang perempuan, memang semuanya tepat. Tambah bab merajuk nak dipujuk. Bagi anda yang terlepas dengan perkongsian saudara ini, jemput baca artikel ini dengan hati yang terbuka. Moga kalian mampu memahami hati seorang perempuan dengan lebih mudah…
Isteri Garang Sebenarnya Bagus
Isteri yang KERAS KEPALA dan GARANG ni sebenarnya TAK RAMAI, tapi BANYAK. Apa yang positifnya, mereka ni tegas dalam buat keputusan. Orang sekeliling nak hasut pun payah. Susah nak mempengaruhi mereka ni. Apatah lagi nak pikat hati mereka ni untuk dijadikan isteri.
The best thing here is one of them is my wife.
Perkahwinan aku baru setahun lebih. Normal untuk para suami dan isteri bergaduh kadang-kadang kan. Aku pun sekali sekala mudah melenting kalau tak kena masanya. Kita sebagai suami kena tahu masa bila perlu mengalah dan masa bila perlu bertegas. Jangan asyik mengalah. Nanti nampak yang kita tak boleh memimpin dengan baik.
Ada ketika perlu mengalah,aku banyak mainkan peranan. Turunkan EGO, DIAM, DENGAR dan PENDAM.
Sebab aku tahu keadaan akan jadi lebih keruh kalau aku cakap atau balas apa sahaja. Trust me. Woman always right. So layan kan saje dulu.
Suami kena ingat yang kita bukan perempuan. Kita tak kan dapat paham mereka 100%. Perkara kecil pada mata kita, terasa sangat besar pada mata mereka. Jangan melawan. Jangan ikot ego sebagai seorang lelaki pada ketika itu.
Aku ambil pendekatan untuk bertahan, bersabar. Respon yang aku dapat sangat baik dan berkesan. Isteri makin berubah dan berubah.
Waktu Bergaduh Laki Bini
Mostly bila bergaduh, dia akan cuba bertenang beberapa jam. Give her some time and space. Then, normally dia dengan sendirinya akan datang dan meminta maaf. Dan waktu ni la aku sebagai suami kena turunkan lagi ego ke tahap yang paling rendah. Aku tak akan hentam atau salahkan dia. Sebab pada aku ini la masa yang sesuai untuk aku bersikap tegas pada dia, sampaikan teguran yang sepatutnya kerana hati isteri betul² lembut ketika itu. Then, we forgive each other.
Pernah sekali dulu berperang agak besar tapi melucukan (my wife pregnant masa ni) . Aku macam biasa la cuba mengalah. Ambil wuduk, solat. Lepas solat, tengok isteri dah tak ada kat rumah. Merata mencari. Bawah katil. Dalam peti ais. Dalam tudung saji. Belakang pintu. Luar rumah. Dalam kereta. Pun tak ada.
Handphone, beg, semua ada. Rupanya dia menyorok baring bawah teddy bear. Teddy bear tu pulak memang lagi besar daripada dia. Memang tak nampak la. Itu pun dia sendiri bagi hint, buat bunyi dari gelang tangan dia supaya aku dengar dan datang pujuk dia.
Aku dah on TV dah sebelum dengar bunyi gelang tu, game Liverpool dah nak start kot.
Betul la orang cakap “perempuan merajuk sebab nak dipujuk”
Kenapa aku selalu mengalah?
Aku sentiasa ingat segala pengorbanan dia. Dia banyak berkorban sejak hari pertama dia bergelar isteri aku. Dia seorang yang aggressive, lasak, suka shopping, travel, independent, suka make up.
Once she became my wife, dia tinggalkan semuanya termasuk minat dia dalam modelling sehingga dia berubah jadi apa yang dia dah jadi sekarang.
Kalau aku kat tempat dia pun, belum tentu aku boleh jadi sekuat dia.
My wife membesar dari kecik di bandar besar Kuala Lumpur. Has a great job and suddenly after 4months we married we decide untuk dia berhenti kerja, be full time housewife. Berpindah menetap di Temerloh dengan tak ada kawan-kawan, dia bersedia menerima keluarga aku, menerima environment baru dalam hidup dia.
Aku la kawan dia. Aku la sahabat dia. I could be anything for her.
So aku rasa tak boleh nak kecewakan perasaan dia.
Sebab tu aku banyak mengalah. Aku tahu jiwa dia kadang-kadang memberontak. Tapi demi kasih pada keluarga, dia bertahan. So dia jadi mudah marah. Lama kelamaan, bila dia dah dapat menyesuaikan diri dengan environment baru, aku nampak dia lebih selesa dan tenang.
Bila Dah Ada Anak
A month before our first anniversary, kami di kurniakan seorang anak lelaki. Alhamdulillah. Pengorbanan paling besar seorang isteri adalah melahirkan anak untuk suami tercinta. Aku ingat lagi ayat dia lepas selamat bersalin.
“Masa doctor suruh ayu push lagi separuh anggota badan anak, sebenarnya ayu dah abis nafas, dah tak kuat. Tapi kalau ayu tak push, ayu takut anak kita mati. Jadi ayu tak fikir panjang, ayu cuba sehabis boleh. Biar la ayu hilang nyawa, asalkan anak kita bernyawa”
Aku ada kat sebelah dia,pegang tangan dia masa kat labour room. I feel it.
Aku tak sesabar dia. Aku tak sekuat dia. Untuk tempoh perkahwinan kami yang baru setahun jagung ini, aku dan dia cuba beri yang terbaik untuk keluarga kecil kami. Aku bukan suami yang baik, tapi aku nak isteri yang baik. So aku berusaha menjadi baik.
Aku pilih untuk setia dan sabar. Tiap-tiap orang yang sabar, Allah dah janji kan ganjaran.
Harap ada la ganjaran untuk si suami malam jumaat ni. ??
KEEP CALM AND STAY BE A COOL HUSBAND.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Disangka Tibi, Kanser Paru-Paru Membuatkan Aziah Hilang Suami

Dua kali wanita ini, Aziah Ismail bergelar ibu tunggal. Perkahwinan pertamanya tidak bertahan lama, atas sebab-sebab tertentu dia dan bekas suaminya memilih untuk berpisah. Hasil perkahwinan pertama itu, beliau dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Nur Salman Farizzi yang kini sudah pun berusia 17 tahun.
Setelah 12 tahun menggalas tanggungjawab selaku ibu tunggal, tidak pernah terlintas di benak Aziah untuk kembali berumah tangga. Wanita ini tidak menyangka dia kembali berstatus sebagai seorang isteri apabila kembali bertemu jodoh dengan suami keduanya, Mohd Taufiq Mustafa. Mereka kemudian diijabkabulkan pada 6 September 2013.
Dikurniakan seorang suami yang menenangkan hati, prihatin, penyayang, menerima anak sulungnya seperti darah daging sendiri menjadikan hidupnya diulit bahagia. Panas yang disangka bakal berpanjangan, hadir di tengah harinya badai musibah yang menguji. Siapa sangka suami yang tampak sihat dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius, tiba-tiba diserang sakit dada tanpa sebab munasabah.
Ketika Hamil Anak Kedua, Aziah Diuji Suami Meninggal
Menurut Aziah, ketika usia perkahwinannya menginjak ke angka enam tahun, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan dan hamil anak ke dua berusia tujuh bulan. Belum pun sempat melahirkan anak ke dua, suaminya pula berhijrah selamanya ke alam abadi.
“Siapa yang tak terkejut, dia seorang yang sihat dan tidak merokok. Suami juga tidak pernah mengalami sakit serius yang mengakibatkan dia perlu dimasukkan ke wad untuk tempoh yang lama. Pada mulanya doktor memaklumkan, suami menunjukkan tanda-tanda batuk kering. Saya juga dimaklumkan sekali lagi oleh doktor, suami dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan bagi memerangi kuman tibi.
“Ketika itu saya sedang sarat hamil anak ke dua, ujian ini benar-benar menguji kekuatan dan mental saya. Setelah beberapa rawatan susulan di hospital swasta, atas rujukan dan nasihat beberapa orang terdekat…saya membawa suami mendapatkan pemeriksaan lanjut ke hospital kerajaan. Apa yang mengejutkan, selama ini saya diyakinkan oleh pakar perubatan suami saya mengalami tibi, punya peluang untuk sembuh tetapi mengambil sedikit masa.
“Menggunung harapan disandarkan kepada suami. Saya sentiasa bisikan di telinga suami, kuatlah demi saya dan anak-anak termasuk anak dalam kandungan ini. Saya mengharapkan suami kembali pulih dan dapat menemani saya melahirkan zuriat keduanya kelak. Tetapi impian saya musnah sebaik doktor mengesahkan suami saya bukan mengalami penyakit batuk kering, sebaliknya disahkan sedang mengalami kanser paru-paru dan di tahap empat,”kongsinya dengan getar suara hiba.

Kehilangan abadi yang menyakitkan
Khabar ini amat sukar dihadam Aziah. Apa yang menyedihkan dan merisaukan sejauh mana masa yang bersisa untuk suaminya terus bertahan. Doktor memberi sela masa sekitar tiga ke enam bulan. Sebaliknya tanpa sempat menyusahkan si isteri menjaganya, kondisi Taufiq kian merosot. Akhirnya lelaki itu kembali ke pangkuan Illahi setelah enam hari disahkan kanser paru-paru.
“Dia bekerja dalam bidang oil and gas. Walaupun rutin kerjanya sibuk, dia suami yang amat menyantuni isteri. Sebaik dia tiba di perkarangan rumah, perkara pertama yang akan dilakukan adalah menyapu dan membersihkan laman rumah. Kemudian dia akan angkat kain di ampaian, dan tanpa disuruh dia akan mula membantu saya mengemas rumah walaupun hakikatnya kita tahu dia baru balik kerja, tentunya dia pun penat.
“Sepeninggalannya ke tempat kerja, saya akan mengambil upah katering bergantung kepada tempahan pelanggan. Lazimnya saya siapkan tempahan itu sendirian. Memori paling sukar nak dilupakan adalah cara dia menenangkan dan menghargai saya. Dengan penuh kasih sayang dia akan mengelap peluh di dahi saya, sambal mengucapkan kata-kata terima kasih kerana sanggup bersusah payah bersamanya.
Dia Suami Yang Baik, Berlembut Dengan Isteri..
“Selalu dia ucapkan pada saya yang saya takkan bersusah-susah selamanya…dia akan bahagiakan saya seadanya. Dia suami yang baik, lemah lembut tutur kata, bagaimana dia menjaga tutur katanya dengan ibunya…begitulah dia menyantuni saya. Anak sulung saya dilayan sebaiknya macam darah dagingnya. Pada orang yang bertanya, dia menerangkan anak sulung saya anak sulung kami berdua. Tidak ada istilah anak tiri buatnya.
“Dia juga merupakan anak tunggal, kematian bapa ketika usianya masih lagi bayi. Pemergiannya secara tiba-tiba, tanpa menyusahkan saya…benar-benar meninggalkan kesan mendalam buat saya dan ibunya. Seperti mana janjinya pada saya, anak-anak dan ibunya…Alhamdulillah segala kebajikan kami dan keperluan kami dijaga baik walaupun dia sudah tiada,”kongsi Aziah tentang sisi istimewa suaminya yang di rindui.
La Tahzan … Innallaha Ma’ana
Usai pemergian suami, tibalah masa dirinya melahirkan zuriat kedua. Jika sebelum ini kelahiran puteri pertama, Sarah Aleesya diiringi suami tercinta, kali ini hanya baju peninggalan arwah suami menjadi penemannya berjuang di kamar bersalin.
“Sedih, rindu dan sayu menjadi emosi yang bermain di fikiran ketika saya perlu berjuang sendirian di bilik bersalin. Tidak ada lagi suami yang menemani. Hanya memori dan baju peninggalan arwah menjadi peneman saya. Atas izin doktor saya membawa baju arwah dan doktor sedia maklum kondisi saya yang baru kehilangan suami. Alhamdulillah, saya berjaya melahirkan zuriat ke dua kami, anak lelaki. Saya namakan anak ini dengan nama pilihan arwah iaitu Muhammad Gibran Umar yang lahir dengan sempurna pada 13 Mac 2019.
“Sebenarnya anak ke dua ini, rezeki tak diduga. Sepanjang kehamilan ke dua saya tidak mengalami sebarang alahan berbanding kehamilan sebelum ini. Suami pernah berkata, anak ini menjadi pengikat kasih kami berdua. Benarlah, anak ini menjadi pengganti dirinya. Ketika sedang berjuang melahirkan Gibran, hanya zikir dan doa menjadi kekuatan diri. Saya pujuk diri dan sentiasa bisikan La Tahzan…Innallaha Ma’ana, yang bermaksud “Janganlah Engkau Bersedih, Sesungguhnya Allah Bersama Kita” sebagai penguat hati.
Aziah Hilang Tempat Mengadu
“Sebaik melahirkan anak kami, saya kemudian di tempatkan di wad sebelum di benarkan keluar. Sepanjang menetap di wad tersebut, saya akan menarik tabir di antara katil saya dengan katil di hadapan terutamanya apabila suaminya datang melawat. Saya tidak ada suami yang akan datang melawat, perasaan itu sukar digambarkan. Saya hilang tempat mengadu, meluah apa sahaja perasaan dan berkongsi rasa. Sejujurnya, sebagai seorang isteri yang kehilangan suami, pesan saya…hargailah momen istimewa semasa anda masih punya suami. Layanlah dia sebaiknya, hargai segala perih jerihnya dan bahagiakanlah dia semampunya.
“Bila rindu datang…sesekali saya akan menziarahi kuburannya. Bersama anak-anak. Sarah seperti biasa akan mengucup nisan ayahnya, setiap kali datang dan sebelum kami berangkat pulang. Ada waktunya saya menghantar mesej ke nombor telefonnya, mengemas kini khabar terkini kami.
“Ya saya tahu, mustahil untuk dia membalasnya. Sebaliknya ia satu medium untuk saya meredakan rasa rindu tak bertepi terhadapnya. Buat arwah suami, terima kasih melayan saya umpama puteri sepanjang enam tahun yang manis. Semoga Allah terus menitipkan kekuatan demi anak-anak dan ibu mertua,” kongsi dengan Mingguan Wanita yang masih lagi menyesuaikan diri dengan kehidupan baru tanpa suaminya di sisi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

