Bukan semua wanita hamil itu beruntung dapat melahirkan dengan ditemani suami. Biar pun tidak berada di dalam bilik bersalin, ada suami di sisi untuk menenangkan dengan iringan doa dan sentuhan pelega resah.
Ada wanita hamil yang perlu melalui saat bersalin sendirian. Malah, menempuh tempoh berpantang juga tanpa suami untuk membantunya. Sebagaimana yang dikongsikan Sabiha Biey ini, ketika mengandungkan dan bersalinkan anak keduanya, dia terpaksa PJJ (perhubungan jarak juah) dengan suaminya.
Suami di Singapura, cuma voice call saja jadi penghubung mereka dan anak-anak. Sungguh, pengalaman bersalin itu tidak mudah dan memerlukan pengorbanan yang cukup tinggi dari seorang isteri.
Bersalin Sendirian, Tidak Ada Suami Menemani..
Assalammualaikum, Hari ini (ketika perkongsian ini bertarikh 16 March 2021) genap setahun kami berjauhan dan tak berjumpa lagi. Anak sulung saya berusia 4 tahun dan anak kedua saya berusia 4 bulan. Ini kisah saat-saat saya melahirkan anak kedua sampai emergency caeser.
Memori tak mungkin aku lupakan.
Tahun 2020.
Check in wad sebab dah buka jalan tapi masih belum 5cm. Sepanjang berhari-hari dalam wad aku berjalan je walaupun sakit tak kerap lagi. Punya nak hilangkan sakit dan niat kat hati bagi cepat sikit. Memang jarang takde kat katil. Dan memang keje duk tawaf je sambil usap perut doa banyak-banyak “Ya Allah kau permudahkanlah dan kau akhirinya dengan baik” hmm still tawaf lagi.
Pagi-pagi check jalan masih 3cm tu pun dah buat S&S 2 kali plan doc punya. Baru 3 cm air pun tak turun lagi. Tetap tak putus asa still berjalan je. Hari-hari waktu melawat, ada suami kawan-kawan datang. Aku pandang je sambil senyum. Yang tersimpan dalam hati tiada siapa yang tahu melainkan Allah.
Hanya kakak je yang datang hantar makanan. Itu pun mula je guard bagi masuk, hari kedua memang makanan dan pakaian hanya bagi pada guard. Guard bagi kepada aku. Sebak nak menitis air mata tengok suami kawan-kawan ada datang sembang-sembang dengan isteri masing-masing.
Usap perut sambil dalam hati berkata sabar.. sabar.. positif.. Aku tau kalau suami aku ada pun mesti dia awal-awal dah datang. Macam masa anak first dulu sanggup dia tidur dalam kereta kat parking bawah. Tapi sedih aku kejap je. Aku bukan jenis suka sedih lelama pastu positif balik.
Mengandung Anak Kedua, PJJ Dengan Suami
Dari start mengandung anak yang kedua ni PJJ dengan suami. Suami di Singapura, aku di Johor Bahru. Segala urusan aku uruskan sendiri ke hulu ke hilir. Aku memang suka berdikari tanpa menyusahkan sesiapa.
Walaupun hanya laut memisahkan kami,
Tapi kasih sayang kami tak pernah pudar. Saling mengingati antara satu sama lain. Dan saling video call tanya khabar.
Mula-mula anak first tu macam janggal sikit bila ayah dia tak balik-balik. Tapi hari-hari aku ingatkan dia ayah work cari duit nak beli susu baju kakak. Lama-lama dia mula faham. Sampai dia sarung baju ayah dia. Tunggu ayah depan pagar rumah. Setia menanti kepulangan ayah tersayang.
Pepagi dah buat CTG, kul 7 baru check jalan lagi still 3cm nak masuk 4cm. Dengan harapan aku masa tu cepatlah 5cm.
Pastu tengahari tu dia check lagi baru 4cm.Dan doc kata, “saya masukkan nama awak dalam list labour room, tak petang karang.. malam. Awak terus tolak ke bawah eh. Kita pecahkan air ketuban kat bawah je.”
Ads
Aku pun senyum je dan aku tak peduli dah dengan kesakitan. Apa yang penting nak cepat keluar je. Masa petang tu, aku dah siap mandi makan semua buat apa yang patut. Tak lama tu ada dah nurse datang bawa wheelchair.
“Puan saya nak tolak puan ke bawah ni.. boleh dah nak call suami bagi tau suruh turun labour room.”
“Suami saya takde. Dia masih di Singapura nurse.”
“Takpela puan nanti kami maklumkan waris yang terdekat.”
Aku pun wasap suami, kakak cakap nak turun labour room dah. Doakan untuk aku ye. Masa dia nak tolak tu aku nak menitis air mata sekejap menahan sebak.
Kuat Semangat Awak!
Nurse yang tolak aku kat labour room tu kata sian awak dari mengandung lagi sampai sekarang PJJ dengan suami. “Kalau saya tak sekuat awak.. sangat kuat semangat awak hadapi semua ni.” Aku hanya membalas senyuman.
Sampai je labour room aku pun baring. Doc pecahkan air ketuban dia pun kata, “Puan saya pecahkan air ketuban ni tau.. puan anak yang first ke?”
“Tak lah, anak no 2 dah ni.”
“Oh! ok puan ada pengalaman la ni.” Aku pun senyum lagi.
Lepas dia pecahkan air ketuban beberapa minit kemudian dia check baru 6cm masa masuk tu kul 6 petang. Dari 6 petang nak masuk 9 malam masih 6cm. Aku pun kata dulu anak first masuk ubat drip doc pun kata kejap lagi pun saya akan bagi ubat drip kat puan (ubat tulaa paling menyengat) nasiblah dah tau camna nak lawan sakit.
Sambil sakit tu aku duk borak la ngan sister, nurse doc doc. Padahal tengah sakit tu.
Nak dekat pukul 12 check lagi baru 6cm lagi. Doc labour room, doc siti pun berbual dengan aku. Sebab dia tau aku dari Johor Bahru.
Dia pun kata, “Puan suami memang kat Singapura la ye dari PKP aritu ye puan.”
“Aah doc..”
“Kesiannya puan, puan dengan anak sulung perempuan jela yee.”
“Aah doc..”
“Kuat semangat puan, berdua je dengan anak..” Doc pun kata, saya tengok puan tenang je bagus puan ni.
Ads
Terbayangkan Wajah Suami Dan Anak Sulung
Sister pun datang. Aku pun kata dekat doc & sister.
“Saya terbayangkan wajah suami saya dan anak perempuan sulung sayalah kat depan dinding ni. Tu yang buat saya kuat semangat ni.”
Sister kata kuat semangat ye puan, macam-macam la berbual dengan sister masa tu padahal yang kat bawah ni menyengat-nyengat sangat dah.
Tpi aku pulak malas layan sangat sakit masa tu. Bilik lain semua menjerit-jerit. Aku pun tanya sister bilik yang jerit tu dah bersalin ye sister? Sister pun kata taklah. Tengah tahan sakit tu. Tu menjerit menangis-nangis tu.
Aku pun suh doc check baru nak 6cm je. Makanya jam nak dekat kul 2 pagi. Aku kata hausnya nurse, doc. Puan takleh minum ye takut emergency caeser. Aku pun dah terketar sebab lama dalam labour room. Aku pulak bukan jenis tahan sejuk… banyak kali suruh doc & nurse kalau dah check aku selimut balik aku.
Doc pun keluar dia kata kat nurse, “Eh! bilik no. 10 tu tenang je tak menjerit-jerit. Padahal contraction banyak kali dah tu. Tapi baby duk tepi saya tolak still nak duk tepi.” Aku pun kata, “Saya dah penat dah takde tenaga dah ni kalau nak teran pun… jalan masih 6cm.”
Doc masuk balik check-check pun sama. Baby duk tepi. Last doc kata, “Puan terpaksa emergency caeser ni puan.”
Aku pun kata, “Caeser pun caeser la doc. Saya betul dah penat ni.”
Akhirnya Terpaksa Dibedah Juga
Doc terus call doc bilik bedah untuk emergency caeser. Dan doc lain pun datang kat aku bagi borang terangkan aku komplikasi bila operation. Aku dengan hati yang tenang ambil pen tangan terketar sebab dah sejuk aku pun sign. Doc nak call suami nak maklumkan tak dapat, yang dapat call kakak aku je.
Doc bagi tau aku terpaksa emergency caeser. Rasa mencucuk 6cm tu dah macam 9cm macam masa bersalin ke kakak dia ni dulu. Masa dia tukar baju nak tolak aku ke bilik bedah aku kata, “Ya Allah kau permudahkanlah untukku”
Sampai depan pintu bilik bedah doc interview lagi. Macam-macam soalan tanya. Dia bagi pen suruh sign lagi sekali. Aku sign (dalam hati cepat laa bagi bius selagi tu mencucuk tak hilang rasa). Sampai bilik bedah doc bedah doc Ashraf terus angkat aku pindah katil lain lepas tu cucuk bius separuh epidural dekat aku. Lepas tu aku pun baring beberapa minit kemudian rasa kebas datang. Ada doc sorang tu kata puan saya nak cucuk kat bahu ni. Aku pun kata dengan mamai “Cucuk laa nak cucuk mana-mana pun.”
Ads
Tak lama 3.16 am keluar la seketui baby boy. Dia tunjuk kat aku boy atau girl. Ni puan boy aku kata.Dah siap jahit semua. Dia bawak keluar aku. Aku dah muntah, mata pandang syiling berpusing-pusing je. Lama juga mabuk tu.
Sedang elok nak Subuh tu dia tolak naik wad. Kakak aku pun datang Subuh tu ambil uri, hantar aku makanan. Dapatlah cakap dengan suami pagi tu call dia. Masa tu mamai lagi ntah la apa yang aku cakap. Yang aku dengar suami aku macam sebak nak nangis aku cerita detik-detik cemas kena emergency caeser.
Semoga Jadi Anak Soleh..
Pengalaman normal/Ceaser……2017/2020
Syukur lahirlah anakanda ibu, Aqil Farrel Zayyan Bin Nor azahar. Semoga anak ibu sentiasa sihat. Semoga jadi anak yang soleh buat ibu dan ayah. Ayah, ibu kakak sayang adik. Suka kakak bila dapat adik. Ibu kata, “ni la kawan kakak nanti kat rumah. Suka sangat dia.. 3 tahun dia sorang je.”
Semoga semua ni jadi kenangan dan pengalaman buat ibu. Ibu kuat kerana kakak walaupun ayah jauh dengan kita. Kakaklah pengganti ayah. Semoga di sebalik kesabaran ibu ni nanti Allah satukan kembali keluarga kecil kami.
Tahun 2020 begitu hebat ujian dariNya untuk ibu. Alhamdulillah ibu mampu hadapinya.
Walaupun kami jauh hati kami tak pernah jauh.
17 Mac 2020
17 Mac 2021
MW : Sesungguhnya ibu ini tabah melahirkan, biarpun tidak ada suami di sisi menemani sepanjang mengandung hingga melahirkan. Sememangnya pandemik ini banyak menguji kita untuk menjadi lebih kuat dan tabah.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan https://t.me/bangkitwanitaMW
Tudiaaaaaaa..antara webinar yang sedang berlangsung. Nak daftar sebagai peserta boleh ke :
“Jika terasa jauh dengan anak-anak, cubalah makan dalam satu talam. Amalkanlah setiap hari. Sekalipun anak-anak sudah besar. Nampak kecil tapi impaknya sangat hebat. MasyaAllah!” saran Puan Siti Maisarah Saifuddin, ibu kepada 5 orang anak lelaki.
Maklum Bendahari RNP dalam statusnya sebelum ini, beliau mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada dermawan yang memberi sumbangan talam dan bekas minuman untuk anak-anak RNP.
Walaupun ia sekadar derma talam, namun kisah di sebaliknya menyuntik inspirasi kepada ramai ibu-bapa.
Satu Talam, Satu Rasa, Satu Gelak Tawa Yang Sama
Kata Maisarah, talam digunakan untuk anak-anak menjamu selera cara sunnah nabi. Berkongsi rasa yang sama, bergelak ketawa bersama. Semasa belajar, ada yang mengantuk. Anak ini disediakan air masak sebagai bekalan oksigen untuk membaca dengan baik.
“Projek talam ini asalnya projek sampingan kami. Selalunya selepas habis waktu kelas mengaji, ada makanan yang didermakan untuk anak-anak ini. Jadi ada sahabat saya, Puan Haznieza yang merupakan pengasas Pusat Pengajian Alquran Tahfiz Solahuddin AlAyyubi di Paka mengesyorkan agar saya menggunakan talam sewaktu Makan.
“Kita lebih maklum, talam ni adalah salah satu sunnah baginda yang sangat unik. Makan talam itu sunnah. Sunnah berjemaah. Dan dapat eratkan hubungan dengan berkongsi rezeki apa yang ada.
Ibarat Kata, 2 bungkus nasi belum tentu cukup untuk 4 orang kanak-kanak yang nak makan. Tetapi dengan talam, ia lebih dari cukup. Kelebihannya untuk anak-anak, anak-anak akan saling berebut, menikmati rasa yang sama, mendapat rezeki secara adil berkongsi.
“Sambil makan, mereka akan bergurau senda, cuba menghabiskan makanan. Kerana mereka saling berkasih sayang dalam berkongsi rezeki.
“Berkongsikan rezeki adalah mulia. Jemaah itu turunnya rahmat dan mahabbah sesama kita. Sebenarnya bukan talam yang spesifik. Tapi lebih kepada makan bersama dalam satu bekas.”
Cara Terbaik Didik Anak Agar ‘Suka Berkongsi’
Makan satu talam simbol kasih sayang yang sangat hebat. Pernah kita jumpa bukan anak-anak yang tidak suka berkongsi.
Ada anak-anak yang tidak suka memberi. Ada anak-anak yang merasakan ini aku punya. Ada anak-anak yang sangat cerewet memilih makanan. Tapi bila tiba waktu makan, dia dengan sendirinya memilih makan bersama. Berkongsi segala rasa.
Ada yang siap suap menyuap. Kalau suami isteri pula, waktu makan itulah Allah turunkan mahabbah sesama pasangan. Kerana dalam rezeki ada keberkatan. Tidak semestinya talam. Pinggan pun memadai untuk berkongsi bersama. Saat jari jemari bertaut, saat menghadap rezeki, saat itu Allah berikan rahmatnya. Jarang makanan tidak dihabiskan.
Sebaliknya mereka berlumba untuk saat mengenyangkan. Saya yakin menghidupkan amalan Rasulullah SAW dalam banyak perkara, memberi ruang bahagia yang lebih besar buat kita semua.
Rumah Ngaji Paka
Suami Maisarah, Mohamad Russaini menerima amanah daripada seorang hamba Allah Tuan Haji Azman bin Mustafa untuk membuka kelas mengaji Al Quran dengan kerjasama Rumah Ngaji Malaysia.
“Hasil kerjasama team yang hebat, kami mewujudkan Rumah Ngaji Paka. Dengan visi nak melahirkan masyarakat yang Baca, Faham dan Amal Al Quran dengan misi membawa Al Quran dan mesej ke hati.
“Kami gunakan kaedah tadabbur dan tazakkur Al Quran. Kelas Al Quran kanak-kanak pula di ajar dari peringkat Asas Al Quran. 1 jam anak-anak belajar Al Quran dan 30 minit solat fardhu berjemaah.
Dalam slot wuduk dan solat, anak-anak diajar cara solat yang betul dan tertib dipantau sepenuhnya oleh ustaz atau ustazah yang mengajar. Cara mengambil wuduk dengan betul diajar satu persatu. Kelas bergerak secara harian. Ibu bapa akan hantar ikut waktu yang ditetapkan.”
Buat masa ini pelajar berdaftar mencecah 40 orang untuk kelas pengajian Al Quran sesi petang dan malam dengan 2 orang guru. Anak-anak ini terdiri dari kalangan fakir miskin, yatim piatu yang diberi percuma sepenuhnya.
Selaku pengurus kelas Al Quran sepenuhnya, Maisarah turut dibantu team hebat dan mendapat tunjuk ajar daripada Puan Haznieza, pengasas Pusat Pengajian Al Quran dan Tahfiz Solahuddin AlAyyubi Untuk Kanak-kanak.
80% Sumbangan Orang Ramai
Setakat ini kami sudah mempunyai 6 buah talam. Beberapa hari lepas, saya mencari penyumbang talam dan bekas minuman.
Alhamdulillah, serentak itu juga, Allah hantarkan hamba Allah yang Dermawan untuk menyumbang. Insyallah dalam masa yang sama, kami masih memerlukan sumbangan lain terutama Al Quran, dan lain-lain.
Maisarah bekerja bukan kerana dibayar gaji. Akuinya dia tidak mendapat gaji dengan apa yang diusahakan itu. Mereka adalah sukarelawan yang banyak membantu tanpa sebarang updah dan wang.
Sumbangan membangunkan RNP juga adalah hampir 80% berdasarkan sumbangan orang ramai. Lalu kami buka kelas ngaji untuk kanak-kanak, dewasa dan warga Emas.
“Beberapa minggu lepas, bila ada yang berebut sponsor wiring, kipas dan lampu. Saya tanya, kenapa pilih 3 benda tu? Jawab hamba Allah ini.
‘Apabila tangan yang memetik suisnya, Apabila mengalirnya elektrik , Apabila berputarnya kipas berkali-kali tanpa henti, Dan apabila insan lain merasa sejuk dari dinginnya.
‘Begitu jua lampu. Moga cahaya yang menerangi di saat anak-anak kecil membaca Al Quran sepanjang malam, menjadikan kamar abadi saya bercahaya.
“Moga Allah tembakkan pahala itu selaju arus yang mengalir, sekuat kipas yang berpusing, menjadikan kubur saya satu masa nanti sedingin yang dirasai mereka.” Subhanallah! Hanya Allah yang tahu perasaan saya.
Terima kasih Jutawan dermawan! Jutawan senyap yang hebat pulangannya!
Dermawan Talam
Begitu juga kisahnya dengan Dermawan talam dan bekas minuman ini. Mungkin ada yang tidak mampu memberi makanan setiap hari.
Biarlah talam sebagai ganti tangan yang menadah untuk mengisi perut mereka yang berjihad menuntut ilmu Al Quran.
Biarlah gelas yang mengisi minuman dapat menghilangkan dahaga mereka yang kehausan kerana menyebut huruf Al Quran. Dan pastinya setiap kali ia digunakan, pahala itu mengalir bagai air salju yang mendinginkan. Nampak kecil tetapi masyallah hebat pulangannya!
“Saya sangat mengalukan dan berterima kasih Kepada Jutawan hebat , para Dermawan yang tidak putus Memberi sumbangan dari awal sehingga akhir. Sumbangan tenaga dan Wang. Harta dan ilmu pengetahuan. Ya Allah, murahkan rezeki mereka, sihatkan tubuh badan mereka, dan Panjang kan usia mereka. Amin.”
Dan tak dilupakan buat pemilik bangunan, Tuan Haji Azman Mustaffa yang mengizinkan kami di Rumah Ngaji Paka. Kata azimat beliau yang masih saya ingati,
“Saya Nak kongsi pahala sahaja. Untuk saham saya di akhirat. Buatlah sebaiknya. Insyallah Allah permudahkan.”
Anda yang mahu menghulurkan sumbangan bagi membangunkan Rumah Ngaji Paka boleh salurkan ke:
Maybank Rumah Ngaji Paka : 5630-8212-2119
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hati ibu mana yang tidak luluh apabila anak lelaki bongsu kesayangan keluarga terbabit dalam kemalangan sekali gus meninggalkan keluarga tanpa sebarang kata terakhir. Itulah yang perlu dihadapi oleh Zainariah binti Omar, apabila Muhammad Nor Azam bin Zuldhar meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuh raya PLUS berdekatan Bangi pada 3 Jun lalu.
Impian yang tidak tercapai
Terbabas
Dalam kemalangan sekitar jam 4.00 pagi itu, arwah anaknya yang berusia 17 tahun bersama rakan baiknya yang juga jiran mereka, Amirul Zafree bin Norazam, maut selepas motosikal mereka terlanggar pembahagi jalan di Bangi. Kedua rakan ini dipercayai terbabas dalam perjalanan membeli persiapan hari raya.
Zainariah, 55, yang kelihatan tenang saat berkongsi kenangan arwah anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia sudah redha menerima segala ketentuan Allah.
“Kata kawan-kawannya, semasa mereka bergerak dari Danau Kota menuju ke Bangi, arwah ada berkata, doakan perjalanannya selamat. Tapi kemudian arwah ada berkata, kalau hendak meninggal, atas jalan raya pun boleh. Tak sangka, itu kata akhirnya dan ternyata ia menjadi kenyataan,” katanya memulakan cerita.
Sambung Zainariah, arwah anaknya yang juga pelajar tingkatan 5, Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar, Jalan Maarof, Bangsar itu seorang yang baik.
“Sebelum ke mana-mana, dia akan minta izin dahulu. Kalau buat silap, dia akan minta maaf kerana sikapnya memang begitu dari dulu. Cuma sebagai ibu, saya tidak perasan perubahan pelik ditunjukkannya kecuali dia ada berkata mahu membeli kelengkapan hari raya terutama seluar yang harganya sangat murah, tidak seperti kebiasaannya.
“Semasa kemalangan itu berlaku, saya ada di rumah. Kami sedang tidur dan kemudian dikejutkan oleh anak yang memaklumkan tentang kemalangan itu,” katanya yang kemudian bergegas ke Hospital Serdang kerana maklumat dari rakannya memberitahu arwah anaknya sudah ada di sana.
“Saya dan ayahnya ke Hospital Serdang tapi anak saya satu kereta lain menuju ke lokasi kejadian. Sesampainya anak-anak di sana, arwah sudah meninggal di tempat kejadian, begitu juga kawan baiknya itu,” katanya yang tinggal di Blok D, PPR Kerinchi di tingkat 13 sementara arwah Amirul, pelajar tingkatan 3 SMK Vivekeanda, Briekfield pula tinggal di tingkat 11 blok yang sama.
Video Muhammad Nor Azam bermain gitar sambil menyanyi menjadi pengubat rindu keluarga
Hajat Ke Tanah Suci
Berkongsi kenangan lagi, jelas Zainariah, anaknya begitu berhajat untuk ke tanah suci Makkah malah angannya itu ditanam sejak dari kecil lagi.
“Bila ajak berjalan ke Sabah dan lokasi-lokasi lain, Adik (arwah dipanggil adik di kalangan ahli keluarga) akan menolak. Tak mahu katanya. Sampailah saya berazam untuk mengumpul duit dan ada suarakan kepadanya untuk ke Makkah penghujung bulan 11 ini. Ketika itu Adik nampak gembira betul tapi kemudian dia berkata, itukan ketika peperiksaan SPM sedang berlangsung.
“Adik sanggup tak nak pergi ambil periksa asalkan dapat jejak kaki ke Tanah Suci tapi saya kemudiannya berkata, tarikh itu boleh dianjak ke tahun hadapan. Tapi ternyata hajatnya itu tidak kesampaian,” katanya memaklumkan anak bongsunya itu agak rapat dengan seluruh ahli keluarganya.
Pandang Wajah Anak Seperti Bayi – Ibu
Sebagai ibu yang melahirkan, dua tiga bulan sebelum anaknya itu dijemput Ilahi, ujar Zainariah, di kala anaknya itu tidur, dia sering memandang wajah anaknya dengan penuh perasaan kasih dan sering ada ketika dia menganggap anaknya masih lagi seperti bayi kecil yang pernah berada dalam dakapannya suatu ketika dahulu.
“Allah hadirkan perasaan sebegitu dalam hati saya. Bila arwah tidur, saya pandang wajahnya. Nampak seperti dirinya masih bayi. Bila dia tidur mengereng, saya akan luruskan. Ada ketika saya suruh dia masuk ke bilik. Nak dukung tak larat, kejutkanlah saja. Ada masa saya teringin memeluknya umpama ketika dia masih bayi. Rupanya itulah petanda-petanda yang Allah hadirkan di hati saya sebelum kemalangan itu terjadi,” katanya memaklumkan anaknya itu sempat khatam al-Quran pada Jumaat itu sebelum meninggal pada 3 Jun bersamaan hari Ahad.
Tipulah jika dia tidak sedih tetapi kata Zainariah, dia banyak belajar dari pengalaman orang lain yang pernah kehilangan anak. Begitu juga konsep redha yang dipelajarinya dari pengajian agama dihadirinya.
“Kata orang, hidup ini semuanya ujian. Saya redha dengan ujian ini. Alhamdulillah hati boleh tenang melaluinya,’ katanya yang bekerja di Universiti Malaya.
“ Mensyukuri kerana urusan anaknya sebelum pulang ke pangkuan Ilahi, kata Zainariah, bermula dari hospital, diikuti urusan jenazah, segalanya dipermudahkan. Arwah juga memiliki lesen motosikal dan segalanya lengkap,” katanya memaklumkan, jenazah anak dan rakannya itu dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Sh: Tidak Sempat Beli Persiapan Raya
Semasa meminta izin keluar membeli persiapan hari raya, anaknya sudah meminta izin keluar dan dia memberikan keizinan. Anaknya itu memaklumkan ingin ke Uptown Danau Kota, Setapak sebelum menuju ke Bangi.
Menurut anak ketiganya, Nurul Ain Ashikin, mereka sekeluarga merancang dan memilih tema baju raya berwarna hijau tetapi perjalanan adiknya itu tidak kesampaian.
“Memang sedih dengan apa terjadi. Kami difahamkan, sebelum kemalangan berlaku, arwah dan rakan pemboncengnya itu sempat menoleh seketika di belakang. Mungkin untuk melihat kawan-kawan di belakang sebelum terlanggar pembahagi jalan,” katanya yang sempat mengusap kepala adiknya di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital.
Menyifatkan adiknya itu sangat baik, manja dan suka bergurau dengan semua orang, ramai rakan-rakan sekolah termasuk guru begitu sedih ketika menziarahi jenazah adiknya itu di rumah.
“Ada guru mengajarnya, Ustazah Aisyah yang sampai meminta sehelai bajunya. Mungkin hubungan baiknya dengan guru-guru dan rakan pelajar buat dirinya disenangi,”katanya memaklumkan, mereka sekeluarga sedih dengan kejadian berlaku. Masa yang sama, kakak-kakak arwah iaitu Nurul Ain Khairiah, 29, Nurul Ain Ashikin, 27, Nurul Ain Shuhada, 25 dan Nurul Ain Zulaikha, 24 setia menemani ibu mereka tatkala temu bual diadakan. Malah kesemua berkata, arwah adiknya itu sangat manja dan baik dan mereka sempat memasakkan rendang seperti mana dihajati oleh arwah.
Keluarga ini akan merindui wajah dan suara anak bongsu kesayangan ramai.
Al-Fatihah untuk arwah Muhammad Nor Azam dan arwah Amirul Zafri, kedua rakan baik ini. Semoga syurga Firdausi tempat keduanya.
Foto : Ahmad Shahir Othman dan koleksi peribadi keluarga Zainariah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sesi persekolahan akan bermula, maka bermulalah episod drama sewaktu nak kejut anak bangun pagi antara ibu dan anak.
Ada sesetengah anak siap menangis dan buat perangai setiap pagi kalau kejut nak pergi sekolah. Kadang ada yang tiba-tiba bagi alasan demam!
Ya, masalah bangun pagi di kalangan anak-anak sering kali menjadi mimpi ngeri buat kaum mak-mak tetapi sebenarnya tak susah pun kalau anda tahu teknik yang betul.
Jangan risau, mungkin mak-mak boleh dapat jawapan daripada perkongsian Pengasas Abounur Kids, Puan Nur Khairunnisa Iskandar ini…
Kejut Anak Bangun Pagi
Kenapa ada anak yang susah, nangis bangun pagi, kadang buat perangai sampai dalam kereta… sebab tak mahu pergi ke sekolah?
Yang peliknya. Yang buat ibu tak habis fikir. Bila sampai sekolah, ok je anak. Lupa sudah tangisan pagi.
Esok pagi, drama mula lagi. Ini masalah global dengan sebab yang global juga.
Semuanya berasaskan 3 sebab berikut:
1- Mahu lari dari sesuatu
2- Mahu dapatkan sesuatu
3- Tidak jelas mahu lari atau dapatkan apa
5 soalan untuk bantu kita dapatkan 50% penjelasan bagi masalah di atas.
1. Apakah “mindset anchoring” yang kita buat setiap kali kita tidurkan dan kejutkan anak ?
2. Adakah anak kita mmpunyai nilai, kepercayaan dan dorongan yang betul tentang makna belajar?
3. Adakah bank emosi anak dipenuhkan secara sihat dan produktif oleh ibu ayah waktu dia berada di rumah?
4. Adakah kita meraikan kekuatan dan mendorong upgrade kelemahan mereka…
Atau
Melihat enteng kekuatan anak dan pada masa yang sama tanpa sedar mendodoi dan mencari “kesilapan siapa” yang mmbuahkan kelemahan anak?
Bagaimana cara kita bertindak dan berkomunikasi dengan anak selama ini?
5. Adakah kita berkongsi energi dan rasa excited untuk ke sekolah dan menunjukkan minat, kesungguhan dan komitmen dengan melibatkan diri secara fizikal dalam program yang dianjurkan oleh sekolah?
Insya Allah.
Bila kita sudah clear dengan jawapan untuk soalan2 ini, mudah untuk kita bantu anak, mudah untuk kita faham situasi, mudah untuk kita berkomunikasi dan brainstorm bersama guru sekolah bagi mndapatkan lagi 50% baki penjelasan.
Rabbuna yassir umurana
Bismillah. Tawakkaltu AlaLLah.
Sedikit Nota Tambahan:
PETUA KEJUT ANAK BANGUN PAGI
Anak lelaki sukakan sentuhan. Kejutkan mereka dengan sentuhan lembut di kaki, tangan atau bahu. Lebih berkesan jika tangan ibu sedikit basah.
Anak perempuan sukakan pujian. Kejut mereka dengan kata-kata pujian. “Anak ibu yang bijak ini, bangun nak… kita bersiap pergi sekolah.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ibu dan anak kecil ditemui hampir reput dalam rumah, sudah bercerai dengan bekas suami. Bau busuk dari sebuah rumah berkunci menemukan sesuatu mengejutkan iaitu...