Hati ibu mana yang tidak luluh apabila anak lelaki bongsu kesayangan keluarga terbabit dalam kemalangan sekali gus meninggalkan keluarga tanpa sebarang kata terakhir. Itulah yang perlu dihadapi oleh Zainariah binti Omar, apabila Muhammad Nor Azam bin Zuldhar meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuh raya PLUS berdekatan Bangi pada 3 Jun lalu.

Kemalangan Maut Pisahkan Mereka, Namun Sikap Tenang Ibu Anak Tujuh Ini Wajib Dijadikan Contoh.
Impian yang tidak tercapai

Terbabas

Dalam kemalangan sekitar jam 4.00 pagi itu, arwah anaknya yang berusia 17 tahun bersama rakan baiknya yang juga jiran mereka, Amirul Zafree bin Norazam, maut selepas motosikal mereka terlanggar pembahagi jalan di Bangi. Kedua rakan ini dipercayai terbabas dalam perjalanan membeli persiapan hari raya.

Zainariah, 55, yang kelihatan tenang saat berkongsi kenangan arwah anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia sudah redha menerima segala ketentuan Allah.

“Kata kawan-kawannya, semasa mereka bergerak dari Danau Kota  menuju ke Bangi, arwah ada berkata, doakan perjalanannya selamat. Tapi kemudian arwah ada berkata, kalau hendak  meninggal, atas jalan raya pun boleh. Tak sangka, itu kata akhirnya dan ternyata ia menjadi kenyataan,” katanya memulakan cerita.

Sambung Zainariah, arwah anaknya yang juga pelajar tingkatan 5, Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar, Jalan Maarof, Bangsar itu seorang yang baik.

“Sebelum ke mana-mana, dia akan minta izin dahulu. Kalau buat silap, dia akan minta maaf kerana sikapnya memang begitu dari dulu. Cuma sebagai ibu, saya tidak perasan perubahan pelik ditunjukkannya kecuali dia ada berkata mahu membeli kelengkapan hari raya terutama seluar yang harganya sangat murah, tidak seperti kebiasaannya.

IKLAN

“Semasa kemalangan itu berlaku, saya ada di rumah. Kami sedang tidur dan kemudian dikejutkan oleh anak yang memaklumkan tentang kemalangan itu,” katanya yang kemudian bergegas ke Hospital Serdang kerana maklumat dari rakannya memberitahu arwah anaknya sudah ada di sana.

“Saya dan ayahnya ke Hospital Serdang tapi anak saya satu kereta lain menuju ke lokasi kejadian. Sesampainya anak-anak di sana, arwah sudah meninggal di tempat kejadian, begitu juga kawan baiknya itu,” katanya yang tinggal di Blok D, PPR Kerinchi di tingkat 13 sementara arwah Amirul, pelajar tingkatan 3 SMK Vivekeanda, Briekfield pula tinggal di tingkat 11 blok yang sama.

Kemalangan Maut Pisahkan Mereka, Namun Sikap Tenang Ibu Anak Tujuh Ini Wajib Dijadikan Contoh.
Video Muhammad Nor Azam bermain gitar sambil menyanyi menjadi pengubat rindu keluarga

Hajat Ke Tanah Suci

Berkongsi kenangan lagi, jelas Zainariah, anaknya begitu berhajat untuk ke tanah suci Makkah malah angannya itu ditanam sejak dari kecil lagi.

“Bila ajak berjalan ke Sabah dan lokasi-lokasi lain, Adik (arwah dipanggil adik di kalangan ahli keluarga) akan menolak. Tak mahu katanya. Sampailah saya berazam untuk mengumpul duit dan ada suarakan kepadanya untuk ke Makkah penghujung bulan 11 ini. Ketika itu Adik nampak gembira betul tapi kemudian dia berkata, itukan ketika peperiksaan SPM sedang berlangsung.

“Adik sanggup tak nak pergi ambil periksa asalkan dapat jejak kaki ke Tanah Suci tapi saya kemudiannya berkata, tarikh itu boleh dianjak ke tahun hadapan. Tapi ternyata hajatnya itu tidak kesampaian,” katanya memaklumkan anak bongsunya itu agak rapat dengan seluruh ahli keluarganya.

 Pandang Wajah Anak Seperti Bayi – Ibu

IKLAN

Sebagai ibu yang melahirkan, dua tiga bulan sebelum anaknya itu dijemput Ilahi, ujar Zainariah, di kala anaknya itu tidur, dia sering memandang wajah anaknya dengan penuh perasaan kasih dan sering ada ketika dia menganggap anaknya masih lagi seperti bayi kecil yang pernah berada dalam dakapannya suatu ketika dahulu.

“Allah hadirkan perasaan sebegitu dalam hati saya. Bila arwah tidur, saya pandang wajahnya. Nampak seperti dirinya masih bayi. Bila dia tidur mengereng, saya akan luruskan. Ada ketika saya suruh dia masuk ke bilik. Nak dukung tak larat, kejutkanlah saja. Ada masa saya teringin memeluknya umpama ketika dia masih bayi. Rupanya itulah petanda-petanda yang Allah hadirkan di hati saya sebelum kemalangan itu terjadi,” katanya memaklumkan anaknya itu sempat khatam al-Quran pada Jumaat itu sebelum meninggal pada 3 Jun bersamaan hari Ahad.

Tipulah jika dia tidak sedih tetapi kata Zainariah, dia banyak belajar dari pengalaman orang lain yang pernah kehilangan anak. Begitu juga konsep redha yang dipelajarinya dari pengajian agama dihadirinya.

“Kata orang, hidup ini semuanya ujian. Saya redha dengan ujian ini. Alhamdulillah hati boleh tenang melaluinya,’ katanya yang bekerja di Universiti Malaya.

“ Mensyukuri kerana urusan anaknya sebelum pulang ke pangkuan Ilahi, kata Zainariah, bermula dari hospital, diikuti urusan jenazah, segalanya dipermudahkan. Arwah juga memiliki lesen motosikal dan segalanya lengkap,” katanya memaklumkan, jenazah anak dan rakannya itu dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Sh: Tidak Sempat Beli Persiapan Raya

IKLAN

Semasa meminta izin keluar membeli persiapan hari raya, anaknya sudah meminta izin keluar dan dia memberikan keizinan. Anaknya itu memaklumkan ingin ke Uptown Danau Kota, Setapak  sebelum menuju ke Bangi.

Menurut anak ketiganya, Nurul Ain Ashikin, mereka sekeluarga merancang dan memilih tema baju raya berwarna hijau tetapi perjalanan adiknya itu tidak kesampaian.

“Memang sedih dengan apa terjadi. Kami difahamkan, sebelum kemalangan berlaku, arwah dan rakan pemboncengnya itu sempat menoleh seketika di belakang. Mungkin untuk melihat kawan-kawan di belakang sebelum terlanggar pembahagi jalan, katanya yang sempat mengusap kepala adiknya di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital.

Menyifatkan adiknya itu sangat baik, manja dan suka bergurau dengan semua orang, ramai rakan-rakan sekolah termasuk guru begitu sedih ketika menziarahi jenazah adiknya itu di rumah.

“Ada guru mengajarnya, Ustazah Aisyah yang sampai meminta sehelai bajunya. Mungkin hubungan baiknya dengan guru-guru dan rakan pelajar buat dirinya disenangi,”katanya memaklumkan, mereka sekeluarga sedih dengan kejadian berlaku. Masa yang sama, kakak-kakak arwah iaitu Nurul Ain Khairiah, 29, Nurul Ain Ashikin, 27, Nurul Ain Shuhada, 25 dan Nurul Ain Zulaikha, 24 setia menemani ibu mereka tatkala temu bual diadakan. Malah kesemua berkata, arwah adiknya itu sangat manja dan baik dan mereka sempat memasakkan rendang seperti mana dihajati oleh arwah.

Kemalangan Maut Pisahkan Mereka, Namun Sikap Tenang Ibu Anak Tujuh Ini Wajib Dijadikan Contoh.
Keluarga ini akan merindui wajah dan suara anak bongsu kesayangan ramai.

Al-Fatihah untuk arwah Muhammad Nor Azam dan arwah Amirul Zafri, kedua rakan baik ini. Semoga syurga Firdausi tempat keduanya.

Foto : Ahmad Shahir Othman dan koleksi peribadi keluarga Zainariah.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI