Kadangkala, yang wanita perlukan hanyalah satu ruang, untuk bernafas semula, menilai diri, dan bangkit menjadi versi yang lebih baik daripada semalam.
Itulah yang dirasakan oleh ribuan peserta wanita yang hadir ke Transformasi360, program pembangunan diri dan kewangan anjuran RichWorks bersama Astro, yang berjaya mengumpulkan lebih 3,500 peserta dari seluruh Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Daripada ibu tunggal yang mahu menstabilkan kewangan keluarga, wanita bekerjaya yang hilang arah, hingga ke suri rumah yang selama ini menyimpan impian untuk berdikari, semua hadir dengan satu harapan: mahu kembali mencintai diri sendiri dan memimpin hidup dengan lebih yakin.
Sambutan Luar Biasa
Menurut Pengasas dan Presiden RichWorks, Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman, sambutan
luar biasa yang diterima kali ini sangat mengejutkan, malah pihak penganjur terpaksa
menyediakan kerusi tambahan bagi menampung kehadiran yang melebihi jangkaan.
Ads
Turut hadir, Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Dr. Radz Mohd., Ketua Pegawai
Operasi, Richworks Consulting Group Sdn. Bhd. (RCG), Suley Nordyana Yahya, Ketua
Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail dan (POSITION) Datin Norashikin Habibur Rahman.
“Kami jangka 2,500 peserta… tapi yang hadir 3,500. Mereka datang dari Kelantan, Kedah, Sabah, Sarawak, malah dari Brunei dan Singapura. Ini bukti bahawa ramai yang dahagakan perubahan,” jelas Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman, Pengasas RichWorks.
Program selama tiga hari di IDCC Shah Alam ini bukan sekadar seminar, tetapi satu pengalaman transformasi holistik — dibina khas untuk membantu peserta mengenali potensi diri, membina kekuatan dalaman, dan mengatur langkah ke arah kejayaan sebenar yang seimbang antara kewangan dan kehidupan peribadi.
Bagi ramai wanita yang hadir, inilah ruang untuk berhenti sejenak dan bertanya kembali pada diri: “Ke mana arah hidup aku sebenarnya?”
Teknologi AI yang digunakan dalam program ini membolehkan peserta mengetahui profil personaliti dan tindakan paling sesuai untuk mereka. Bukan lagi motivasi kosong — tapi data yang membantu setiap wanita memahami apa yang sebenarnya ‘mengikat’ mereka selama ini.
Ads
“Ada peserta menangis. Bukan sebab lemah, tapi kerana mereka akhirnya sedar… mereka boleh jadi kuat, boleh jadi berani, dan boleh mulakan semula,” kata Azizan.
Transformasi360 menyatukan komuniti sokongan yang kuat wanita bantu wanita, manusia bantu manusia menjadikan perjalanan perubahan ini tidak lagi sunyi.
Melihat sambutan dan impaknya yang sangat besar, RichWorks bakal mengadakan siri kedua Transformasi360 pada September ini, bagi memberi peluang kepada lebih ramai wanita yang ingin mengubah naratif hidup mereka.
Untuk dapatkan info lanjut, layari www.transformasi360.com bagi menjadi orang yang
pertama bila tawaran dibuka nanti.
Jenama mewah kontemporari Amber kembali mencuri perhatian dengan koleksi terbarunya – Amber Oasis Abaya, edisi terhad yang bukan sekadar busana tetapi satu pernyataan seni. Direka khas untuk wanita berjiwa kreatif dan bergaya tinggi, koleksi ini menggabungkan estetika avant-garde dan keanggunan warisan Islamik.
Menampilkan empat rekaan utama – Madeena, Arora, Jumaira dan Sahara, setiap satunya diolah dengan penuh teliti, menepati citarasa wanita moden yang mahukan keselesaan, keanggunan dan eksklusiviti dalam satu helaian.
Madeena tampil dalam warna baby blue, maroon dan purplish gold, menyerlahkan aura klasik yang lembut dan elegan. Arora pula hadir dalam dua versi tekstur – copper brown berlipat dan midnight blue polos – untuk wanita yang sukakan kelainan.
Bagi peminat gaya kasual yang tetap mahu tampak mewah, Jumaira dalam rona putih, hijau pudina dan coklat muda amat ideal. Manakala Sahara memberi pilihan versatil dan mampu milik, dengan warna asas seperti hitam, coklat dan hijau yang tetap mengekalkan sentuhan eksklusif.
Koleksi ini turut diserikan dengan pelantikan tiga selebriti wanita tanah air – Nora Danish, Amira Othman, dan Amyra Rosli – sebagai wajah rasmi Amber. Mewakili pelbagai personaliti wanita Muslimah moden, mereka bukan sahaja bergaya, malah menjadi inspirasi dengan nilai dan prinsip yang mereka pegang.
Nora yang sofistikated sepadan dengan aura mewah Madeena, Amira dengan gaya lembutnya menyerlahkan keayuan Jumaira, manakala Amyra yang berjiwa aktif dan moden sangat serasi dengan keunikan Arora.
Menurut Datuk Adzliana Hasan, CEO Usanita Sdn Bhd, “Amber bukan sekadar jenama, ia adalah simbol keyakinan dan keanggunan wanita Muslimah moden. Kami mahu setiap wanita merasa cantik tanpa mengorbankan nilai atau keselesaan.”
Setiap pembelian didatangkan bersama kotak hadiah berlapik sutera, sijil keaslian bernombor, dan e-pass eksklusif ke Kuala Lumpur Fashion Week 2025. Hanya 500 unit bagi setiap rekaan disediakan – menjadikan koleksi ini benar-benar istimewa untuk wanita yang menghargai keunikan dan gaya penuh makna.
Siapa sangka… di sebalik nama “Aminah Mahmood” yang tertera di senarai peserta Pertandingan Masakan Acar Buah, rupanya ia milik Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pertandingan yang diadakan sempena Karnival Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Pahang di Taman Tasik Maran itu menyaksikan 11 hidangan acar buah dinilai oleh barisan juri. Salah seorang juri utama, Hajah Siti Rokiah Lebai Rahmat, 74, yang juga bekas guru masakan KEMAS berkongsi rasa terkejut dan bangga saat mengetahui bahawa juara pertandingan itu adalah air tangan diraja.
“Saya terkesima. Masa nama diumumkan, kami semua sangka beliau hanyalah peserta biasa. Tapi bila Baginda sendiri bangun ambil hadiah… terus semua terpaku. Kami memang tak tahu langsung itu air tangan Baginda,” katanya.
Menurut Hajah Siti Rokiah, juri tertarik bukan hanya pada rasa semata-mata, tetapi juga keseimbangan bahan, teknik penyediaan dan sentuhan tradisi yang terserlah dalam setiap suapan.
“Kuah dia tak berminyak, rasa buah dan rempah ratus seimbang. Ini acar buah yang betul-betul cukup syarat — bukan sahaja sedap, tapi sempurna. Jarang sangat saya jumpa acar buah dengan rasa begini sepanjang 39 tahun saya jadi juri pertandingan,” katanya lagi.
Baginda yang menggunakan nama samaran “Aminah Mahmood” dilihat rendah diri dan tidak mahu meraih kelebihan sebagai Tengku Ampuan. Semua peserta diberi syarat sama, perlu menyediakan hidangan siap dari rumah tanpa bantuan profesional, dan tiada sesi masakan langsung di lokasi.
Baginda hadir mencemar duli ke karnival selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung WI Pahang di Dewan Jubli Perak, sambil turut ditemani YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz.
“Jalan-jalan di tamu Tuaran Silik-silik baju tradisi Unduk Ngadau Tidak sabar mau tunggu Tadau Kaamatan Ramai sumandak sumandak sibuk menunggu”…
Bulan Mei di Sabah tidak seperti bulan-bulan biasa. Di negeri bawah bayu ini, Mei adalah bulan yang menyatukan jiwa-jiwa Borneo dalam satu perayaan paling agung iaitu Pesta Kaamatan.
Tourism Sabah mengajak orang ramai untuk menyelami keajaiban pesta ini, di mana warisan budaya dipersembahkan penuh jiwa dan semangat yang tulus. Pesta Kaamatan saji pelbagai budaya & keunikan Sabah.
Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) di Hongkod Koisaan Cultural Unity Centre Penampang merupakan lokasi utama sambutan Pesta Kaamatan. Setiap tahun, KDCA membuka pintunya kepada pengunjung dan menjemput semua untuk berkongsi kegembiraan, perpaduan dan tradisi pesta Kaamatan yang diraikan pada 30 dan 31 Mei.
Sepanjang dua hari cuti umum ini, sambutan Kaamatan di Kota Kinabalu dan kampung-kampung di seluruh negeri mencapai kemuncaknya sekaligus menarik kedatangan penduduk tempatan, warga perantau Sabah dan pengunjung dari semua lapisan masyarakat.
Bagi masyarakat Kadazandusun dan Murut, Kaamatan bukan sekadar upacara menuai padi, tapi sebuah lambang syukur dan cinta kepada bumi yang memberi kehidupan.
Menerusi pesta tersebut, pengunjung dapat menyaksikan upacara tradisional yang dikendalikan oleh Bobohizan, pendeta wanita yang memimpin ritual menghormati ‘semangat padi’ atau Bambarayon di Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) di Hongkod Koisaan Cultural Unity Centre Penampang iaitu tempat utama sambutan berlangsung.
Setiap nyanyian dan gerak isyarat membawa makna mendalam, menghubungkan manusia dengan alam dan tradisi turun-temurun. Pesta Kaamatan sambutan penuh kemeriahan.
Selain itu, persembahan tarian seperti Sumazau, Maragang dan Mongigol menyemarakkan suasana dengan keindahan budaya setiap suku kaum Sabah.
Keunikan ini terus dipertontonkan dalam pertandingan Unduk Ngadau yang bukan hanya memaparkan kecantikan, tetapi juga kebijaksanaan dan kecintaan terhadap warisan budaya.Pelbagai aktiviti, interaksi, makanan tradisional dan hasil seni.
Suasana bertambah meriah dengan pertandingan nyanyian Sugandoi, di mana suara-suara terbaik Sabah bersaing dalam bahasa ibunda mereka.
Semasa Kaamatan, suasana menjadi lebih meriah dengan kehadiran peniaga tempatan yang menawarkan pelbagai hidangan etnik istimewa serta buah-buahan bermusim yang segar, memperlihatkan kekayaan kulinari dan sumber makanan Sabah.
Antara sajian yang wajib dicuba ialah hinava (kerabu ikan mentah), bosou (ikan atau daging yang diperam secara tradisional), serta linopot(nasi yang dibalut daun). Untuk pencuci mulut, hidangan manis seperti hinompuka – kuih beras pulut kukus yang lembut, dan penyaram yang rangup pasti menambah pengalaman pesta kaamatan.
Tamu Kaamatan pula menjadi pusat aktiviti dan interaksi, menawarkan pelbagai kraf tangan dan juadah tradisional seperti hinava, bosou dan linopot, memberi peluang kepada pengunjung menikmati rasa asli Sabah.
Bulan Mei di Sabah membawa satu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan iaitu Pesta Kaamatan, perayaan terbesar dan terpenting masyarakat Kadazandusun dan Murut.
Di sebalik pemandangan dan kemeriahan bunyi-bunyian, kemesraan orang ramai lah yang benar-benar menjadikan Kaamatan begitu istimewa dan sukar dilupakan. Rakyat Sabah terkenal dengan sikap mesra mereka, sentiasa mengalukan pengunjung untuk bersama-sama meraikan perayaan Kaamatan dengan penuh rasa syukur. Bagi anda yang ingin menikmati sambutan Kaamatan dengan lebih selesa, berikut adalah beberapa panduan berguna:
Semasa musim Kaamatan, penginapan dan pengangkutan terutama di sekitar KDCA dan Kota Kinabalu sering habis ditempah. Oleh itu, anda sebaiknya membuat tempahan hotel atau homestay dengan lebih awal. Untuk kemudahan akses ke festival, anda juga boleh pertimbangkan untuk menginap di kawasan Penampang yang berdekatan dengan perkarangan KDCA.
Bersiar-siar di Kota Kinabalu dan Penampang semasa Kaamatan biasanya mudah, tetapi boleh menjadi sesak terutama pada waktu kemuncak. Aplikasi e-hailing seperti Grab, Maxim, dan AirAsia Move sangat popular kerana dapat membantu mengelakkan masalah tempat letak kereta. Namun, perkhidmatan ini sering mendapat permintaan tinggi terutamanya pada waktu puncak. Oleh itu, rancanglah perjalanan anda dengan lebih awal untuk mengelakkan kelewatan. Selain itu, berkongsi kereta bersama keluarga atau rakan juga merupakan cara terbaik untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas. Ramai pengendali pelancongan turut menawarkan pakej lawatan sehari termasuk pengangkutan, lawatan berpandu, dan akses eksklusif kepada tarikan budaya, sesuai untuk pelawat kali pertama atau mereka yang mahu merasai pengalaman lebih mendalam semasa Kaamatan.
Pastikan anda berpakaian sopan dan selesa. Namun jangan berasa segan untuk memakai pakaian tradisional! Pakaian tradisional selalunya menjadi pilihan dan menjadi kebanggaan ramai yang membangkitkan lagi semangat perayaan. Pastikan juga anda menghormati dan menghargai setiap hidangan serta menjaga peralatan ritual dengan berhati-hati, kerana pembaziran makanan dianggap sebagai satu penghinaan kepada semangat Bambarayon. Semasa upacara berlangsung pula, tumpukan perhatian kepada arahan pemandu acara kerana mereka akan membimbing anda agar dapat menyertai keseronokan dengan cara yang betul!
Jangan malu untuk mencuba kemahiran anda dalam permainan tradisional atau sertai persembahan tarian. Penduduk tempatan sentiasa mengalu-alukan penyertaan daripada pengunjung dan bersedia membimbing tetamu. Jangan lepaskan peluang menyaksikan pertandingan akhir Sugandoi, di mana suara-suara terbaik Sabah bersaing sekaligus merayakan tradisi lagu dan bahasa asli Sabah. Sambil menikmati suasana, jangan lupa untuk mencuba pelbagai juadah tradisi kerana pesta Kaamatan adalah pesta visual dan deria!
Jomlah datang ke Sabah dan rasai sendiri keajaiban Pesta Kaamatan sekaligus membawa pulang kenangan penuh makna dari warisan budaya yang hidup dan berjiwa ini.
Maklumat lanjut di www.sabahtourism.com
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!