Siapa sangka… di sebalik nama “Aminah Mahmood” yang tertera di senarai peserta Pertandingan Masakan Acar Buah, rupanya ia milik Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pertandingan yang diadakan sempena Karnival Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Pahang di Taman Tasik Maran itu menyaksikan 11 hidangan acar buah dinilai oleh barisan juri. Salah seorang juri utama, Hajah Siti Rokiah Lebai Rahmat, 74, yang juga bekas guru masakan KEMAS berkongsi rasa terkejut dan bangga saat mengetahui bahawa juara pertandingan itu adalah air tangan diraja.
“Saya terkesima. Masa nama diumumkan, kami semua sangka beliau hanyalah peserta biasa. Tapi bila Baginda sendiri bangun ambil hadiah… terus semua terpaku. Kami memang tak tahu langsung itu air tangan Baginda,” katanya.
Menurut Hajah Siti Rokiah, juri tertarik bukan hanya pada rasa semata-mata, tetapi juga keseimbangan bahan, teknik penyediaan dan sentuhan tradisi yang terserlah dalam setiap suapan.
“Kuah dia tak berminyak, rasa buah dan rempah ratus seimbang. Ini acar buah yang betul-betul cukup syarat — bukan sahaja sedap, tapi sempurna. Jarang sangat saya jumpa acar buah dengan rasa begini sepanjang 39 tahun saya jadi juri pertandingan,” katanya lagi.
Baginda yang menggunakan nama samaran “Aminah Mahmood” dilihat rendah diri dan tidak mahu meraih kelebihan sebagai Tengku Ampuan. Semua peserta diberi syarat sama, perlu menyediakan hidangan siap dari rumah tanpa bantuan profesional, dan tiada sesi masakan langsung di lokasi.
Baginda hadir mencemar duli ke karnival selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung WI Pahang di Dewan Jubli Perak, sambil turut ditemani YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz.
Tangisan tidak selalu datang bersama air mata. Kadangkala, ia terpendam dalam sebaris kata-kata kecil yang keluar dari mulut seorang anak.
“Babah dah meninggal. Babah di syurga.” Itulah yang dilafazkan oleh Mohamad Adam Haris, 6 tahun, saat dia diberitahu bahawa ayahnya, Allahyarham Koperal Muhammad Akmal Muhamad, tidak akan pulang lagi.
Arwah merupakan salah seorang daripada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas menyayat hati di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan pada 13 Mei lalu. Meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak yang masih kecil, pemergiannya bukan hanya meninggalkan kekosongan, tetapi juga satu ruang sunyi yang sukar diisi.
Kini, Noor Hasliza Mohd Hadzri, 32, isteri arwah, kini memikul tanggungjawab besar membesarkan anak-anak mereka, Mohamad Adam Haris dan adiknya, Nur Aqeela Nadine yang baru berusia lebih setahun.
“Adam nampaknya lebih faham. Tapi Aqeela… dia masih panggil ‘Babah’ berulang kali. Kadang dia pusing-pusing dalam rumah macam tengah cari ayah dia. Hati saya luluh setiap kali tengok.”
Meskipun perasaan kehilangan itu masih segar, Noor Hasliza kelihatan tabah. Namun di balik senyuman itu, tersimpan pelbagai rasa memujuk diri untuk bangun semula demi dua cahayamata yang masih kecil dan bergantung sepenuhnya kepadanya. Ibu kepada dua cahayamata ini bertugas di bahagian pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh kini masih dalam tempoh bercuti untuk menguruskan keperluan keluarga.
Memetik petikan Harian Metro, ada sesuatu yang sayu menyentuh naluri kewanitaannya berkait pemergian suami tersayang.
“Masa saya kenal pasti jenazah… ada darah, tapi saya terhidu bau wangi. Orang kata itu tanda pemergian dalam husnul khatimah. Tapi walau macam mana baik sekalipun pemergian itu… rindu tetap rindu.”
Kata-kata itu keluar perlahan, seolah-olah menyusun kekuatan dari hati yang sedang dipaksa menerima realiti baru.
Selain itu, antara tinggalan arwah yang masih disimpan olehnya termasuklah baju seragam, tag nama dan lambang FRU – simbol kepada pengorbanan dan tanggungjawab yang dipikul arwah sebagai anggota keselamatan negara.
“Saya belum beri anak-anak pegang atau lihat semua barang tu lagi. Tapi saya simpan… sebab satu hari nanti, saya nak mereka tahu siapa ayah mereka. Apa sumbangan arwah pada negara, dan betapa ayah mereka seorang lelaki yang berani.”- Noor Hasliza
Dalam saat paling getir, kasih keluarga menjadi kekuatan. Ibu bapa mentuanya, Muhamad Razali dan Ruzita Razali, kini tinggal bersama mereka buat sementara waktu selepas berpindah dari Kelantan. Kehadiran mereka umpama bahu tambahan yang sudi memeluk cucu-cucu yang sedang mencari kembali rasa selamat.
Jenazah Koperal Muhamad Akmal telah dikebumikan dengan penuh penghormatan polis di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Mubarak, Kampung Teluk Pial, Kuala Kurau.
Dalam suasana penuh hiba dan keinsafan, keluarganya menerima kunjungan YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang turut menziarahi waris mangsa kemalangan melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5, Ipoh.
Konvoi Ziarah KASIH berkunjung ke kediaman 4 anggota yang terkorban iaitu Allahyarham Kpl Akmal Muhamad, Allahyarham Sjn Mohd Roslan Abd Rahim, Mendiang Sjn Perumal Sugunanathan dan Allahyarham Kpl Amiruddin bin Zabri. Kesemua keluarga mangsa menerima sokongan moral serta bantuan awal daripada pihak kementerian melalui JKM dan YKN.
Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan syuhada dan keluarganya terus diberi kekuatan menghadapi hari-hari mendatang.
Dalam hidup seorang wanita, setiap hari adalah perjalanan. Dari menghantar anak ke sekolah, mengejar masa di pejabat, balik memasak, dan kadang-kadang terpaksa ketepikan diri sendiri demi semua orang. Tapi bagaimana kalau ada sesuatu yang benar-benar memahami rentak hidup ini?
Itulah yang cuba disampaikan oleh Proton e.MAS 7 melalui program gaya hidup eksklusif “The Real e.MAS Drive”, sempena sambutan Hari Ibu baru-baru ini.
Meskipun penulis merupakan antara pengguna kenderaan elektrik, namun rasa teruja untuk mencuba kenderaan elektrik negara ini tetap membuak apatah lagi kerana ia didatangkan dalam nuansa kegemaran penulis, Turquoise Green, namun warna Quartz Rose juga menarik perhatian apatah lagi ia amat sesuai untuk pemandu wanita.
“Kami tak mahu sekadar pamer teknologi. Kami mahu wanita rasa difahami, dibantu dan diberi kekuatan untuk terus melangkah,” kata Puan Salawati Mohd Yusoff, Ketua Pegawai Jenama PRO-NET ketika sesi pengenalan kepada beberapa rakan media wanita yang teruja pertama kali memandu sendiri kenderaan elektrik ini.
Diadakan pada 14 Mei 2025 lalu, program ini menghimpunkan media dan pempengaruh wanita untuk merasai sendiri bagaimana e.MAS 7 bukan hanya sebuah kenderaan elektrik tapi sebuah inovasi yang direka dengan memahami keperluan seorang wanita.
Acara bermula di Proton COE, Shah Alam dengan sesi taklimat produk dan keselamatan oleh pasukan e.MAS 7. Apa yang wanita perlu tahu tentang Proton e.MAS 7 ialah ia bukan sekadar kenderaan elektrik tetapi teman pintar yang memahami keperluan harian wanita moden.
Dari aspek keselamatan bertaraf 5 bintang, pengecasan pantas hanya 10 minit untuk tambahan 135km, hinggalah ruang dalaman yang luas dengan 33 ruang simpanan e.MAS 7 direka untuk menyokong wanita dalam pelbagai peranan, sebagai ibu, isteri, pekerja, usahawan atau wanita berdikari.
Dilengkapi teknologi pintar seperti sistem bantuan pemanduan (ADAS), aplikasi peta pengecasan dalam satu platform, dan ciri praktikal seperti fungsi Vehicle-to-Load (V2L), ia membolehkan wanita bergerak dengan lebih yakin, selamat dan bergaya tanpa perlu mengorbankan masa, keselesaan atau kewangan.
Konvoi e.MAS 7 kemudian bergerak menuju Tiarasa Escapes, Janda Baik untuk merasai sendiri kelancaran dan keselesaan pemanduan. Perjalanan dari Shah Alam ke Tiarasa Escapes, Janda Baik bukan sekadar test drive ia adalah simbol kepada perjalanan harian seorang wanita yang perlukan ruang untuk bernafas.
Setibanya di Janda Baik, antara momen paling menarik perhatian penulis ialah demonstrasi fungsi Vehicle-to-Load (V2L), di mana e.MAS 7 digunakan untuk menghidupkan Vitality Juice Bar! Siapa sangka, dari mengecas blender ke kipas mini, semuanya boleh dengan sokongan kuasa daripada kereta ini.
Fungsi V2L yang dipamerkan pada hari itu sangat ‘dekat’ dengan hati wanita — bila kereta boleh jadi sumber tenaga untuk blender jus, kipas kecil atau lampu khemah keluarga, kita tahu kereta ini bukan sekadar cantik di luar, tapi berguna dalam situasi sebenar!
Selain itu, rombongan media dibawa menyertai sesi yoga sambil menghirup udara segar, dan alunan alam memberi satu peringatan, bahawa wanita juga berhak untuk ambil masa untuk berehat seketika dan jaga diri.
Dalam perjalanan pulang, peserta singgah sebentar di Bamboo Hills untuk menyaksikan demonstrasi pengecasan pantas DC Handal. Dengan hanya 10 minit pengecasan, e.MAS 7 boleh menambah jarak pemanduan hingga 135km, cukup untuk satu hari penuh urusan harian.
Lebih hebat, semua maklumat stesen pengecas kini boleh diakses melalui Peta Pengecasan Langsung Bersepadu dalam Aplikasi Proton e.MAS membolehkan wanita tak perlu lagi pening membuka banyak aplikasi untuk mengecas kenderaan. Satu perkara yang perlu diberi pujian!
Sebagai penulis, pengalaman memandu Proton e.MAS 7 bukan sekadar tentang mencuba kereta baharu, tetapi ia adalah perjalanan yang membuka mata tentang bagaimana sebuah kenderaan boleh benar-benar menyatu dengan keperluan seorang wanita moden.
Dari keselesaan tempat duduk, senyapnya kabin, hinggalah teknologi pintar yang mudah difahami, semuanya terasa seperti direka khusus untuk memudahkan hidup. Apabila melihat sendiri bagaimana ia mampu mengecas peralatan luar atau menambah jarak pemanduan hanya dalam beberapa minit, saya sedar… ini bukan sekadar EV, ini adalah revolusi gaya hidup yang patut dinikmati lebih ramai wanita.
Sepatutnya hari ini menjadi hari yang menggembirakan buat keluarga Annuar Yusof — anak sulung kesayangan, Akmal Wafi berjanji mahu pulang ke Kulim bersama adik perempuannya. Tapi janji itu hanya tinggal kenangan.
Annuar Yusof, 55, menahan sebak ketika menceritakan detik terakhir bersama anaknya, Konstabel Akmal Wafi, 27, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh yang maut dalam kemalangan tragis membabitkan trak pasukan dan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan.
Nahas itu meragut nyawa sembilan anggota termasuk Wafi — anak sulung daripada lima beradik yang sering menjadi tempat bergantung keluarga.
“Tiga hari lepas Wafi buat panggilan video. Dia ceria seperti biasa. Kami sekeluarga termasuk adik perempuannya, Nor Wardina, 26, berborak panjang. Katanya nak balik kampung… nak tumpang kereta adik dia dari Shah Alam, singgah di Ipoh. Tapi hari ni… kami terima jasadnya, bukan senyumannya.”
Annuar mengimbas kenangan dua minggu lalu, kali terakhir dia bersua muka dengan anaknya yang peramah dan suka menghabiskan masa dengan rakan-rakan lama setiap kali bercuti. Tiada langsung petanda Wafi akan pergi buat selama-lamanya.
“Waktu saya dapat tahu pasal kemalangan, saya tengah sarapan dengan kawan. Tengok gambar dan video yang tular… tak sangka anak sendiri ada di dalam tu.”
Hatinya mula gelisah bila panggilan telefon kepada Wafi tidak dijawab. Gerak hati seorang ayah mula meronta, sehinggalah panggilan ke tempat kerja anaknya mengesahkan berita paling menyakitkan itu.
“Selalu dia kongsi video dan cerita pasal kerja dengan kami… kali ni dia senyap terus.”
Proses bedah siasat yang bermula pukul 2.30 petang itu melibatkan tiga doktor pakar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. Jenazah anggota beragama Islam disembahyangkan di Surau Ar-Rahman sebelum dibawa ke Markas FRU Unit 5, Sungai Senam, Ipoh bagi istiadat penghormatan terakhir.
Lapan daripada sembilan mangsa dikebumikan di Perak dan seorang di Lunas, Kedah.
Allahyarham Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim, 46, dikebumikan di Meru, Ipoh manakala Koperal Mohd. Pozli Jaudin, 41, di Kampung Pantai Besar, Batu Kurau.
Jenazah Koperal Amiruddin Zabri, 38, dikebumikan di Kampung Sungai Itek, Gopeng; Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38, di Masjid Simpang, Taiping dan Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35, di Kampung Parit Teluk Piai, Kuala Kurau.
Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, dikebumikan di Tanah Perkubutan Islam Kampung Kepayang, Ipoh
Jenazah Konstabel Akmal Wafi Annuar, dibawa menaiki van jenazah berasingan dan bertolak pada jam 10 malam dari Jabatan Forensik hospital itu.
Difahamkan, jenazah akan dibawa ke Surau Ar-Rahman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk disembahyangkan dan akan dibawa ke Markas Unit 5 FRU Sungai Senam untuk acara penghormatan terakhir. Jenazah Konstabel Akmal Wafi Annuar akan dikebumikan di Lunas, Kedah.
Al Fatihah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!