Kadangkala, yang wanita perlukan hanyalah satu ruang, untuk bernafas semula, menilai diri, dan bangkit menjadi versi yang lebih baik daripada semalam.
Itulah yang dirasakan oleh ribuan peserta wanita yang hadir ke Transformasi360, program pembangunan diri dan kewangan anjuran RichWorks bersama Astro, yang berjaya mengumpulkan lebih 3,500 peserta dari seluruh Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Daripada ibu tunggal yang mahu menstabilkan kewangan keluarga, wanita bekerjaya yang hilang arah, hingga ke suri rumah yang selama ini menyimpan impian untuk berdikari, semua hadir dengan satu harapan: mahu kembali mencintai diri sendiri dan memimpin hidup dengan lebih yakin.
Sambutan Luar Biasa
Menurut Pengasas dan Presiden RichWorks, Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman, sambutan
luar biasa yang diterima kali ini sangat mengejutkan, malah pihak penganjur terpaksa
menyediakan kerusi tambahan bagi menampung kehadiran yang melebihi jangkaan.
Ads
Turut hadir, Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Dr. Radz Mohd., Ketua Pegawai
Operasi, Richworks Consulting Group Sdn. Bhd. (RCG), Suley Nordyana Yahya, Ketua
Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail dan (POSITION) Datin Norashikin Habibur Rahman.
“Kami jangka 2,500 peserta… tapi yang hadir 3,500. Mereka datang dari Kelantan, Kedah, Sabah, Sarawak, malah dari Brunei dan Singapura. Ini bukti bahawa ramai yang dahagakan perubahan,” jelas Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman, Pengasas RichWorks.
Program selama tiga hari di IDCC Shah Alam ini bukan sekadar seminar, tetapi satu pengalaman transformasi holistik — dibina khas untuk membantu peserta mengenali potensi diri, membina kekuatan dalaman, dan mengatur langkah ke arah kejayaan sebenar yang seimbang antara kewangan dan kehidupan peribadi.
Bagi ramai wanita yang hadir, inilah ruang untuk berhenti sejenak dan bertanya kembali pada diri: “Ke mana arah hidup aku sebenarnya?”
Teknologi AI yang digunakan dalam program ini membolehkan peserta mengetahui profil personaliti dan tindakan paling sesuai untuk mereka. Bukan lagi motivasi kosong — tapi data yang membantu setiap wanita memahami apa yang sebenarnya ‘mengikat’ mereka selama ini.
Ads
“Ada peserta menangis. Bukan sebab lemah, tapi kerana mereka akhirnya sedar… mereka boleh jadi kuat, boleh jadi berani, dan boleh mulakan semula,” kata Azizan.
Transformasi360 menyatukan komuniti sokongan yang kuat wanita bantu wanita, manusia bantu manusia menjadikan perjalanan perubahan ini tidak lagi sunyi.
Melihat sambutan dan impaknya yang sangat besar, RichWorks bakal mengadakan siri kedua Transformasi360 pada September ini, bagi memberi peluang kepada lebih ramai wanita yang ingin mengubah naratif hidup mereka.
Untuk dapatkan info lanjut, layari www.transformasi360.com bagi menjadi orang yang
pertama bila tawaran dibuka nanti.
“Jalan-jalan di tamu Tuaran Silik-silik baju tradisi Unduk Ngadau Tidak sabar mau tunggu Tadau Kaamatan Ramai sumandak sumandak sibuk menunggu”…
Bulan Mei di Sabah tidak seperti bulan-bulan biasa. Di negeri bawah bayu ini, Mei adalah bulan yang menyatukan jiwa-jiwa Borneo dalam satu perayaan paling agung iaitu Pesta Kaamatan.
Tourism Sabah mengajak orang ramai untuk menyelami keajaiban pesta ini, di mana warisan budaya dipersembahkan penuh jiwa dan semangat yang tulus. Pesta Kaamatan saji pelbagai budaya & keunikan Sabah.
Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) di Hongkod Koisaan Cultural Unity Centre Penampang merupakan lokasi utama sambutan Pesta Kaamatan. Setiap tahun, KDCA membuka pintunya kepada pengunjung dan menjemput semua untuk berkongsi kegembiraan, perpaduan dan tradisi pesta Kaamatan yang diraikan pada 30 dan 31 Mei.
Sepanjang dua hari cuti umum ini, sambutan Kaamatan di Kota Kinabalu dan kampung-kampung di seluruh negeri mencapai kemuncaknya sekaligus menarik kedatangan penduduk tempatan, warga perantau Sabah dan pengunjung dari semua lapisan masyarakat.
Bagi masyarakat Kadazandusun dan Murut, Kaamatan bukan sekadar upacara menuai padi, tapi sebuah lambang syukur dan cinta kepada bumi yang memberi kehidupan.
Menerusi pesta tersebut, pengunjung dapat menyaksikan upacara tradisional yang dikendalikan oleh Bobohizan, pendeta wanita yang memimpin ritual menghormati ‘semangat padi’ atau Bambarayon di Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) di Hongkod Koisaan Cultural Unity Centre Penampang iaitu tempat utama sambutan berlangsung.
Setiap nyanyian dan gerak isyarat membawa makna mendalam, menghubungkan manusia dengan alam dan tradisi turun-temurun. Pesta Kaamatan sambutan penuh kemeriahan.
Selain itu, persembahan tarian seperti Sumazau, Maragang dan Mongigol menyemarakkan suasana dengan keindahan budaya setiap suku kaum Sabah.
Keunikan ini terus dipertontonkan dalam pertandingan Unduk Ngadau yang bukan hanya memaparkan kecantikan, tetapi juga kebijaksanaan dan kecintaan terhadap warisan budaya.Pelbagai aktiviti, interaksi, makanan tradisional dan hasil seni.
Suasana bertambah meriah dengan pertandingan nyanyian Sugandoi, di mana suara-suara terbaik Sabah bersaing dalam bahasa ibunda mereka.
Semasa Kaamatan, suasana menjadi lebih meriah dengan kehadiran peniaga tempatan yang menawarkan pelbagai hidangan etnik istimewa serta buah-buahan bermusim yang segar, memperlihatkan kekayaan kulinari dan sumber makanan Sabah.
Antara sajian yang wajib dicuba ialah hinava (kerabu ikan mentah), bosou (ikan atau daging yang diperam secara tradisional), serta linopot(nasi yang dibalut daun). Untuk pencuci mulut, hidangan manis seperti hinompuka – kuih beras pulut kukus yang lembut, dan penyaram yang rangup pasti menambah pengalaman pesta kaamatan.
Tamu Kaamatan pula menjadi pusat aktiviti dan interaksi, menawarkan pelbagai kraf tangan dan juadah tradisional seperti hinava, bosou dan linopot, memberi peluang kepada pengunjung menikmati rasa asli Sabah.
Bulan Mei di Sabah membawa satu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan iaitu Pesta Kaamatan, perayaan terbesar dan terpenting masyarakat Kadazandusun dan Murut.
Di sebalik pemandangan dan kemeriahan bunyi-bunyian, kemesraan orang ramai lah yang benar-benar menjadikan Kaamatan begitu istimewa dan sukar dilupakan. Rakyat Sabah terkenal dengan sikap mesra mereka, sentiasa mengalukan pengunjung untuk bersama-sama meraikan perayaan Kaamatan dengan penuh rasa syukur. Bagi anda yang ingin menikmati sambutan Kaamatan dengan lebih selesa, berikut adalah beberapa panduan berguna:
Semasa musim Kaamatan, penginapan dan pengangkutan terutama di sekitar KDCA dan Kota Kinabalu sering habis ditempah. Oleh itu, anda sebaiknya membuat tempahan hotel atau homestay dengan lebih awal. Untuk kemudahan akses ke festival, anda juga boleh pertimbangkan untuk menginap di kawasan Penampang yang berdekatan dengan perkarangan KDCA.
Bersiar-siar di Kota Kinabalu dan Penampang semasa Kaamatan biasanya mudah, tetapi boleh menjadi sesak terutama pada waktu kemuncak. Aplikasi e-hailing seperti Grab, Maxim, dan AirAsia Move sangat popular kerana dapat membantu mengelakkan masalah tempat letak kereta. Namun, perkhidmatan ini sering mendapat permintaan tinggi terutamanya pada waktu puncak. Oleh itu, rancanglah perjalanan anda dengan lebih awal untuk mengelakkan kelewatan. Selain itu, berkongsi kereta bersama keluarga atau rakan juga merupakan cara terbaik untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas. Ramai pengendali pelancongan turut menawarkan pakej lawatan sehari termasuk pengangkutan, lawatan berpandu, dan akses eksklusif kepada tarikan budaya, sesuai untuk pelawat kali pertama atau mereka yang mahu merasai pengalaman lebih mendalam semasa Kaamatan.
Pastikan anda berpakaian sopan dan selesa. Namun jangan berasa segan untuk memakai pakaian tradisional! Pakaian tradisional selalunya menjadi pilihan dan menjadi kebanggaan ramai yang membangkitkan lagi semangat perayaan. Pastikan juga anda menghormati dan menghargai setiap hidangan serta menjaga peralatan ritual dengan berhati-hati, kerana pembaziran makanan dianggap sebagai satu penghinaan kepada semangat Bambarayon. Semasa upacara berlangsung pula, tumpukan perhatian kepada arahan pemandu acara kerana mereka akan membimbing anda agar dapat menyertai keseronokan dengan cara yang betul!
Jangan malu untuk mencuba kemahiran anda dalam permainan tradisional atau sertai persembahan tarian. Penduduk tempatan sentiasa mengalu-alukan penyertaan daripada pengunjung dan bersedia membimbing tetamu. Jangan lepaskan peluang menyaksikan pertandingan akhir Sugandoi, di mana suara-suara terbaik Sabah bersaing sekaligus merayakan tradisi lagu dan bahasa asli Sabah. Sambil menikmati suasana, jangan lupa untuk mencuba pelbagai juadah tradisi kerana pesta Kaamatan adalah pesta visual dan deria!
Jomlah datang ke Sabah dan rasai sendiri keajaiban Pesta Kaamatan sekaligus membawa pulang kenangan penuh makna dari warisan budaya yang hidup dan berjiwa ini.
Maklumat lanjut di www.sabahtourism.com
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam hidup seorang wanita, setiap hari adalah perjalanan. Dari menghantar anak ke sekolah, mengejar masa di pejabat, balik memasak, dan kadang-kadang terpaksa ketepikan diri sendiri demi semua orang. Tapi bagaimana kalau ada sesuatu yang benar-benar memahami rentak hidup ini?
Itulah yang cuba disampaikan oleh Proton e.MAS 7 melalui program gaya hidup eksklusif “The Real e.MAS Drive”, sempena sambutan Hari Ibu baru-baru ini.
Meskipun penulis merupakan antara pengguna kenderaan elektrik, namun rasa teruja untuk mencuba kenderaan elektrik negara ini tetap membuak apatah lagi kerana ia didatangkan dalam nuansa kegemaran penulis, Turquoise Green, namun warna Quartz Rose juga menarik perhatian apatah lagi ia amat sesuai untuk pemandu wanita.
“Kami tak mahu sekadar pamer teknologi. Kami mahu wanita rasa difahami, dibantu dan diberi kekuatan untuk terus melangkah,” kata Puan Salawati Mohd Yusoff, Ketua Pegawai Jenama PRO-NET ketika sesi pengenalan kepada beberapa rakan media wanita yang teruja pertama kali memandu sendiri kenderaan elektrik ini.
Diadakan pada 14 Mei 2025 lalu, program ini menghimpunkan media dan pempengaruh wanita untuk merasai sendiri bagaimana e.MAS 7 bukan hanya sebuah kenderaan elektrik tapi sebuah inovasi yang direka dengan memahami keperluan seorang wanita.
Acara bermula di Proton COE, Shah Alam dengan sesi taklimat produk dan keselamatan oleh pasukan e.MAS 7. Apa yang wanita perlu tahu tentang Proton e.MAS 7 ialah ia bukan sekadar kenderaan elektrik tetapi teman pintar yang memahami keperluan harian wanita moden.
Dari aspek keselamatan bertaraf 5 bintang, pengecasan pantas hanya 10 minit untuk tambahan 135km, hinggalah ruang dalaman yang luas dengan 33 ruang simpanan e.MAS 7 direka untuk menyokong wanita dalam pelbagai peranan, sebagai ibu, isteri, pekerja, usahawan atau wanita berdikari.
Dilengkapi teknologi pintar seperti sistem bantuan pemanduan (ADAS), aplikasi peta pengecasan dalam satu platform, dan ciri praktikal seperti fungsi Vehicle-to-Load (V2L), ia membolehkan wanita bergerak dengan lebih yakin, selamat dan bergaya tanpa perlu mengorbankan masa, keselesaan atau kewangan.
Konvoi e.MAS 7 kemudian bergerak menuju Tiarasa Escapes, Janda Baik untuk merasai sendiri kelancaran dan keselesaan pemanduan. Perjalanan dari Shah Alam ke Tiarasa Escapes, Janda Baik bukan sekadar test drive ia adalah simbol kepada perjalanan harian seorang wanita yang perlukan ruang untuk bernafas.
Setibanya di Janda Baik, antara momen paling menarik perhatian penulis ialah demonstrasi fungsi Vehicle-to-Load (V2L), di mana e.MAS 7 digunakan untuk menghidupkan Vitality Juice Bar! Siapa sangka, dari mengecas blender ke kipas mini, semuanya boleh dengan sokongan kuasa daripada kereta ini.
Fungsi V2L yang dipamerkan pada hari itu sangat ‘dekat’ dengan hati wanita — bila kereta boleh jadi sumber tenaga untuk blender jus, kipas kecil atau lampu khemah keluarga, kita tahu kereta ini bukan sekadar cantik di luar, tapi berguna dalam situasi sebenar!
Selain itu, rombongan media dibawa menyertai sesi yoga sambil menghirup udara segar, dan alunan alam memberi satu peringatan, bahawa wanita juga berhak untuk ambil masa untuk berehat seketika dan jaga diri.
Dalam perjalanan pulang, peserta singgah sebentar di Bamboo Hills untuk menyaksikan demonstrasi pengecasan pantas DC Handal. Dengan hanya 10 minit pengecasan, e.MAS 7 boleh menambah jarak pemanduan hingga 135km, cukup untuk satu hari penuh urusan harian.
Lebih hebat, semua maklumat stesen pengecas kini boleh diakses melalui Peta Pengecasan Langsung Bersepadu dalam Aplikasi Proton e.MAS membolehkan wanita tak perlu lagi pening membuka banyak aplikasi untuk mengecas kenderaan. Satu perkara yang perlu diberi pujian!
Sebagai penulis, pengalaman memandu Proton e.MAS 7 bukan sekadar tentang mencuba kereta baharu, tetapi ia adalah perjalanan yang membuka mata tentang bagaimana sebuah kenderaan boleh benar-benar menyatu dengan keperluan seorang wanita moden.
Dari keselesaan tempat duduk, senyapnya kabin, hinggalah teknologi pintar yang mudah difahami, semuanya terasa seperti direka khusus untuk memudahkan hidup. Apabila melihat sendiri bagaimana ia mampu mengecas peralatan luar atau menambah jarak pemanduan hanya dalam beberapa minit, saya sedar… ini bukan sekadar EV, ini adalah revolusi gaya hidup yang patut dinikmati lebih ramai wanita.
Genius Aulad, jenama prasekolah Islamik terkemuka di Malaysia baru-baru ini menyambut ulang tahunnya yang ke-25 dengan penganjuran Family Fun Run 2025 bertempat di MAEPS Serdang. Acara ini menghimpunkan hampir 10,000 ibu bapa dan anak-anak daripada lebih 45 cawangan Genius Aulad.
Bertemakan “It’s a Small World After All”, larian santai sejauh 2.5 kilometer berorientasikan keluarga menampilkan titik pemeriksaan (checkpoint) interaktif yang diinspirasikan daripada bandar mini seperti pejabat pos, balai bomba, hospital dan bakeri yang menawarkan pengalaman secara langsung yang menyeronokkan.
Bersenam bersama keluarga bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah memberi impak besar terhadap perkembangan kognitif anak-anak. Aktiviti fizikal yang dilakukan secara berkumpulan merangsang otak anak melalui koordinasi, fokus, dan penyelesaian masalah dalam suasana yang menyeronokkan.
Kajian turut menunjukkan bahawa kanak-kanak yang aktif secara fizikal cenderung mempunyai daya tumpuan dan prestasi akademik yang lebih baik. Selain itu, rutin bersenam sekeluarga mengajar anak tentang disiplin, kerja berpasukan dan gaya hidup sihat sejak usia muda – asas penting dalam membentuk minda cerdas dan emosi stabil.
Sambutan ulang tahun ke-25 ini lebih bermakna dengan kerjasama rakan komuniti seperti Pos Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) yang menghidupkan acara ini melalui aktiviti interaktif yang mendidik dan menginspirasi minda para peserta.
Salah satu detik istimewa sempena perayaan ulang tahun ke 25 itu ialah pelancaran rasmi Lagu Sekolah Genius Aulad yang dicipta khas sempena sambutan Jubli Perak ini. Lagu ini melambangkan komitmen teguh Genius Aulad terhadap pendidikan awal kanak-kanak dan hubungannya yang erat bersama keluarga di seluruh negara.
“Acara ini bukan sahaja meraikan legasi Genius Aulad selama 25 tahun, tetapi juga
menyemarakkan semangat pembelajaran awal usia, kreativiti dan kebersamaan keluarga yang sentiasa kami semai dalam diri setiap anak,” ujar Zaliza Alias, pengasas Genius Aulad.
Sambutan diteruskan selepas larian dengan festival yang meriah menampilkan trak makanan,ruang berkelah, reruai bergambar, aktiviti bersama penaja serta penyampaian medal dan hadiah.
Sementara itu, Zaliza yang juga aktivis pendidikan berkongsi luahan rasa mengenai isu realiti semasa sistem pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia yang kini berada di bawah pelbagai agensi, termasuk JKM, KPM dan lain-lain perlu diberi perhatian khusus.
“Sudah tiba masanya kita menyatukan sistem ini di bawah satu entiti yang memfokuskan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, bermula dari tadika hingga ke sekolah rendah,” luahnya lagi.
“Saya rasa Kementerian Pendidikan perlu memandang bahawa pendidikan swasta terutamanya pendidikan awal kanak-kanak, perlukan satu kesinambungan yang jelas daripada pendidikan awal kanak-kanak ke peringkat sekolah rendah. Kena ada kesinambungan yang jelas dan bukannya diasingkan.
“Sokongan yang perlu diberikan bukanlah tentang ikut sahaja silibus yang disediakan kerana setiap kanak-kanak itu berbeza. Latihan atau kursus yang perlu diberikan kepada guru dan ibu bapa juga berbeza.
Zaliza turut menyeru agar diberikan pengiktirafan yang setara terhadap profesionalisme pendidik awal kanak-kanak.
“Apabila kita bercakap soal pra sekolah, biasanya kita bercakap pra sekolah bawah Kementerian Pendidikan tetapi kita tidak menyentuh tentang pengusaha-pengusaha pendidikan di sektor swasta.
“Jadi dalam hal ini amat perlu satu agensi untuk keselarsan,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.