Hari yang sepatutnya menjadi detik paling bahagia dalam hidupnya bertukar menjadi perpisahan yang paling menyayat hati.
Siti Nur Syamira Samsol, gadis manis yang sedang menghitung hari untuk diijabkabulkan dengan lelaki pujaannya, tidak sempat mengecap manisnya hidup berumah tangga. Cinta yang diimpikan, kasih yang disulam bertahun-tahun, semuanya terhenti sekelip mata apabila dia pergi buat selama-lamanya—hanya dua hari sebelum hari persandingannya.
Sabtu ini sepatutnya menjadi hari paling membahagiakan buat Siti Nur Syamira Samsol. Hari di mana dia bakal bergelar isteri kepada lelaki yang dicintai sepenuh jiwa. Namun, siapa sangka, takdir Ilahi mengubah segalanya.
Syamira pergi dijemput Tuhan dua hari lebih awal—dalam satu kemalangan tragis yang meragut nyawanya di Kilometer 93.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, sekitar jam 8.30 pagi Khamis lalu.
Dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Kampung Benaung, Mersing bersama tunangnya, Muhammad Aiman Abdul Rashid, arwah berhasrat memenuhi janji kepada ibunya untuk membeli persiapan terakhir menjelang hari bahagia mereka, selain menghadiri majlis tahlil arwah bapanya.
Ads
“Dua tahun lalu kami kehilangan abah… kini adik pula,” luah Siti Nor Syamila Samsol, kakak kepada arwah, dalam nada sebak yang sukar disembunyikan. “Kesedihan kami belum sembuh sepenuhnya, tiba-tiba diuji lagi dengan kehilangan orang yang kami sayang.”
Syamira, gadis yang penuh kelembutan dan sopan santun, sempat dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), namun takdir lebih awal menjemputnya. Hati mana yang tidak luluh apabila insan yang begitu teruja menanti hari bahagia akhirnya dijemput pulang ke negeri abadi.
Ads
Menurut kakaknya lagi, segala persiapan perkahwinan telah pun siap sepenuhnya—dari barang hantaran, pelamin hingga ke kad undangan digital yang dibuat sendiri oleh arwah. Malah, kad jemputan itu sudah pun diedarkan kepada para tetamu.
“Dia uruskan semuanya sendiri. Dia teruja sangat, makin dekat hari majlis makin berseri wajahnya. Tapi bila dapat berita ni… kami semua hilang kata.”
Kini, hanya kenangan dan doa yang mampu mengiringi pemergian Syamira. Seorang anak, adik dan bakal isteri yang tidak sempat bergelar ratu sehari.
Ads
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan insiden tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut laman Facebook Alwiyah Talib yang menziarahi keluarga mangsa di Kampung Benaung, Mersing, Majlis esok (3hb Mei) tetap diteruskan kerana ibu arwah memberitahu memang hajat arwah hendak menjamu orang makan.
The Faith Conference 2025 baru-baru ini membuka tirai dengan penuh gilang-gemilang, mengumpulkan ribuan pencinta ilmu dan pencari kebenaran dari segenap pelusuk tanah air. Bertempat di ibu kota, acara ini dianjurkan oleh Faith Events dengan kerjasama CIMB Islamic selaku penaja Platinum.
Acara spiritual yang sangat dinanti-nantikan ini menampilkan tiga tokoh terkemuka dalam dunia dakwah antarabangsa, Mufti Menk, Dr Muhammad Salah, dan Shaykh Wael Ibrahim. Ketiga-tiga penceramah membawa satu mesej yang sama bahawa agama bukan sekadar teori, tetapi perlu dizahirkan dalam bentuk amalan harian yang ikhlas dan berterusan.
“Lakukan kebaikan sebanyak mungkin. Jadilah refleksi keindahan akhlak Islam,” antara seruan yang ditekankan oleh para ilmuan ini.
Pesan mereka menyentuh jiwa – tentang pentingnya keikhlasan, kejujuran, dan amalan yang konsisten dalam setiap aspek kehidupan; sama ada sebagai isteri, ibu, anak perempuan atau wanita berkerjaya. Mereka menyeru agar Islam dipraktikkan bukan sahaja dalam ibadah khusus, tetapi melalui tingkah laku harian yang membentuk peribadi unggul.
Turut memeriahkan majlis ialah Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic serta Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang. Kehadiran mereka menyerlahkan komitmen terhadap pembangunan rohani dan etika masyarakat.
Menurut Ahmad Shahriman, acara ini adalah lanjutan daripada inisiatif berterusan CIMB Islamic, termasuk program-program semasa Ramadan. “Kami mahu memupuk bukan sahaja celik kewangan, tetapi juga kesedaran spiritual dalam pengurusan harta dan kehidupan,” ujarnya. CIMB Islamic memperkenalkan pendekatan holistik – di mana nilai akhlak Islam diterapkan dalam produk dan perkhidmatan perbankan mereka.
The Faith Conference 2025 juga memberi peluang kepada usahawan dan peniaga kecil. Terdapat pelbagai booth jualan termasuk buku-buku ilmiah, pakaian patuh syariah, makanan dan minuman sunnah serta minyak wangi.
Booth CIMB Islamic turut menjadi tumpuan ramai, memperkenalkan produk-produk yang menekankan nilai-nilai Islamik dalam pengurusan kewangan, satu pendekatan yang wajar diberi perhatian oleh setiap wanita dalam mengurus ekonomi keluarga.
Pernah melalui penangguhan pembinaan Teedo Resort Bagan Datuk, Perak pada 2018 tidak melemahkan semangat Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suami, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff menubuhkan hotel mesra bajet di ibu kota. Hotel yang diberi nama Hotel Teedo menawarkan bilik direka untuk memberi pengalaman seperti hotel bertaraf tinggi, tetapi dalam lingkungan harga mampu dimiliki.
Membangunkan hotel bertaraf tiga bintang, Nurulhidayah mengakui, konsep penginapan itu juga terinspirasi daripada realiti bahawa masih ramai individu tidak pernah merasai pengalaman menginap di hotel.
Berkat usaha tanpa mengenal penat lelah, baru-baru Hotel Teedo menerima anugerah Distinguished Consumer Confidence Award sempena IDEA 2025, baru-baru ini. SEMPENA Anugerah Tertinggi Usahawan Islam atau ‘Islamic Distinguished Enterprise Award’ (IDEA 2025).
Seramai 51 usahawan dan tokoh daripada pelbagai bidang menerima pengiktirafan anugerah emas dan perak.
Beroperasi sejak November tahun lalu, Hotel Teedo terletak di bangunan Pudu Sentral, Kuala Lumpur menyajikan pengunjung pemandangan bangunan kedua tertinggi di dunia, Menara Merdeka 118.
Bercerita lanjut, Nurulhidayah memberitahu, hotel tersebut sebelum ini dikenali sebagai Hotel Ancasa Express dan popular dalam kalangan pelancong dan mereka yang berkunjung ke Kuala Lumpur untuk urusan perniagaan atau percutian singkat.
Setelah dua tahun terbiar akibat pandemik Covid-19, hotel itu akhirnya mendapat peluang untuk diubah suai dan dijadikan hotel baharu.
Berkongsi lanjut mengenai pemilihan bidang perhotelan Nurulhidayah berkata dia dan suami berkongsi minat sama malah berharap lebih banyak kemudahan hotel mampu milik disediakan di negara ini.
“Kami jenis suka bercuti, suami pun suka bercuti. Kalau bercuti kami tidak pergi ke hotel besar-besar sebab kita nak rasa pengalaman itu.
“Saya merasakan kita perlu lebih banyak hotel tiga bintang ini sebab ia mampu milik. Mudah kalau orang luar atau orang Malaysia nak tidur satu atau dua malam sebelum transit ke mana-mana bandar dalam Malaysia ni. Saya rasa apa yang penting murah dan selesa,” katanya ketika ditemui usai menerima anugerah itu di Hotel Le Meridien pada malam Sabtu.
Pengasas dan pemilik Ikhlas.Com, Ikhlas Kamarudin pula berkata kejayaan menerima Crown Of Commerce Brand Award pada anugerah itu melambangkan perkara baik buat mereka sebagai syarikat gaya hidup versi Islam.
“Pencapaian ini membuktikan kita telah menjalankan sesuatu yang memberi impak kepada ummah dan komuniti dalam Malaysia dan luar Malaysia.
“Jadi sekarang juga kami telah melancarkan kempen umrah 1,000 asnaf. Di mana 1,000 orang asnaf akan ditaja oleh Ikhlas.Com pergi umrah secara percuma 100 peratus.
“Jadi Alhamdulillah perkara-perkara ini juga apabila kita menang anugerah menunjukkan mesej kami ini sampai kepada orang Islam dalam dan luar negara,” katanya.
Seramai 51 penerima anugerah dalam pelbagai kategori diiktiraf pada majlis itu.
Anugerah diserikan dengan kehadiran Tunku Laksamana Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan dan Presiden Dewan Perniagaan Muslim Insiders, Prof Adam Richman.
Adam dalam ucapannya berkata penganjuran kali ini bukan semata-mata untuk meraikan kejayaan syarikat tetapi untuk menginspirasikan lebih banyak perniagaan agar berani mengamal prinsip Syariah dalam operasi harian mereka.
“Jalan-jalan di tamu Tuaran Silik-silik baju tradisi Unduk Ngadau Tidak sabar mau tunggu Tadau Kaamatan Ramai sumandak sumandak sibuk menunggu”…
Bulan Mei di Sabah tidak seperti bulan-bulan biasa. Di negeri bawah bayu ini, Mei adalah bulan yang menyatukan jiwa-jiwa Borneo dalam satu perayaan paling agung iaitu Pesta Kaamatan.
Tourism Sabah mengajak orang ramai untuk menyelami keajaiban pesta ini, di mana warisan budaya dipersembahkan penuh jiwa dan semangat yang tulus. Pesta Kaamatan saji pelbagai budaya & keunikan Sabah.
Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) di Hongkod Koisaan Cultural Unity Centre Penampang merupakan lokasi utama sambutan Pesta Kaamatan. Setiap tahun, KDCA membuka pintunya kepada pengunjung dan menjemput semua untuk berkongsi kegembiraan, perpaduan dan tradisi pesta Kaamatan yang diraikan pada 30 dan 31 Mei.
Sepanjang dua hari cuti umum ini, sambutan Kaamatan di Kota Kinabalu dan kampung-kampung di seluruh negeri mencapai kemuncaknya sekaligus menarik kedatangan penduduk tempatan, warga perantau Sabah dan pengunjung dari semua lapisan masyarakat.
Bagi masyarakat Kadazandusun dan Murut, Kaamatan bukan sekadar upacara menuai padi, tapi sebuah lambang syukur dan cinta kepada bumi yang memberi kehidupan.
Menerusi pesta tersebut, pengunjung dapat menyaksikan upacara tradisional yang dikendalikan oleh Bobohizan, pendeta wanita yang memimpin ritual menghormati ‘semangat padi’ atau Bambarayon di Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) di Hongkod Koisaan Cultural Unity Centre Penampang iaitu tempat utama sambutan berlangsung.
Setiap nyanyian dan gerak isyarat membawa makna mendalam, menghubungkan manusia dengan alam dan tradisi turun-temurun. Pesta Kaamatan sambutan penuh kemeriahan.
Selain itu, persembahan tarian seperti Sumazau, Maragang dan Mongigol menyemarakkan suasana dengan keindahan budaya setiap suku kaum Sabah.
Keunikan ini terus dipertontonkan dalam pertandingan Unduk Ngadau yang bukan hanya memaparkan kecantikan, tetapi juga kebijaksanaan dan kecintaan terhadap warisan budaya.Pelbagai aktiviti, interaksi, makanan tradisional dan hasil seni.
Suasana bertambah meriah dengan pertandingan nyanyian Sugandoi, di mana suara-suara terbaik Sabah bersaing dalam bahasa ibunda mereka.
Semasa Kaamatan, suasana menjadi lebih meriah dengan kehadiran peniaga tempatan yang menawarkan pelbagai hidangan etnik istimewa serta buah-buahan bermusim yang segar, memperlihatkan kekayaan kulinari dan sumber makanan Sabah.
Antara sajian yang wajib dicuba ialah hinava (kerabu ikan mentah), bosou (ikan atau daging yang diperam secara tradisional), serta linopot(nasi yang dibalut daun). Untuk pencuci mulut, hidangan manis seperti hinompuka – kuih beras pulut kukus yang lembut, dan penyaram yang rangup pasti menambah pengalaman pesta kaamatan.
Tamu Kaamatan pula menjadi pusat aktiviti dan interaksi, menawarkan pelbagai kraf tangan dan juadah tradisional seperti hinava, bosou dan linopot, memberi peluang kepada pengunjung menikmati rasa asli Sabah.
Bulan Mei di Sabah membawa satu pengalaman yang tidak boleh dilepaskan iaitu Pesta Kaamatan, perayaan terbesar dan terpenting masyarakat Kadazandusun dan Murut.
Di sebalik pemandangan dan kemeriahan bunyi-bunyian, kemesraan orang ramai lah yang benar-benar menjadikan Kaamatan begitu istimewa dan sukar dilupakan. Rakyat Sabah terkenal dengan sikap mesra mereka, sentiasa mengalukan pengunjung untuk bersama-sama meraikan perayaan Kaamatan dengan penuh rasa syukur. Bagi anda yang ingin menikmati sambutan Kaamatan dengan lebih selesa, berikut adalah beberapa panduan berguna:
Semasa musim Kaamatan, penginapan dan pengangkutan terutama di sekitar KDCA dan Kota Kinabalu sering habis ditempah. Oleh itu, anda sebaiknya membuat tempahan hotel atau homestay dengan lebih awal. Untuk kemudahan akses ke festival, anda juga boleh pertimbangkan untuk menginap di kawasan Penampang yang berdekatan dengan perkarangan KDCA.
Bersiar-siar di Kota Kinabalu dan Penampang semasa Kaamatan biasanya mudah, tetapi boleh menjadi sesak terutama pada waktu kemuncak. Aplikasi e-hailing seperti Grab, Maxim, dan AirAsia Move sangat popular kerana dapat membantu mengelakkan masalah tempat letak kereta. Namun, perkhidmatan ini sering mendapat permintaan tinggi terutamanya pada waktu puncak. Oleh itu, rancanglah perjalanan anda dengan lebih awal untuk mengelakkan kelewatan. Selain itu, berkongsi kereta bersama keluarga atau rakan juga merupakan cara terbaik untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas. Ramai pengendali pelancongan turut menawarkan pakej lawatan sehari termasuk pengangkutan, lawatan berpandu, dan akses eksklusif kepada tarikan budaya, sesuai untuk pelawat kali pertama atau mereka yang mahu merasai pengalaman lebih mendalam semasa Kaamatan.
Pastikan anda berpakaian sopan dan selesa. Namun jangan berasa segan untuk memakai pakaian tradisional! Pakaian tradisional selalunya menjadi pilihan dan menjadi kebanggaan ramai yang membangkitkan lagi semangat perayaan. Pastikan juga anda menghormati dan menghargai setiap hidangan serta menjaga peralatan ritual dengan berhati-hati, kerana pembaziran makanan dianggap sebagai satu penghinaan kepada semangat Bambarayon. Semasa upacara berlangsung pula, tumpukan perhatian kepada arahan pemandu acara kerana mereka akan membimbing anda agar dapat menyertai keseronokan dengan cara yang betul!
Jangan malu untuk mencuba kemahiran anda dalam permainan tradisional atau sertai persembahan tarian. Penduduk tempatan sentiasa mengalu-alukan penyertaan daripada pengunjung dan bersedia membimbing tetamu. Jangan lepaskan peluang menyaksikan pertandingan akhir Sugandoi, di mana suara-suara terbaik Sabah bersaing sekaligus merayakan tradisi lagu dan bahasa asli Sabah. Sambil menikmati suasana, jangan lupa untuk mencuba pelbagai juadah tradisi kerana pesta Kaamatan adalah pesta visual dan deria!
Jomlah datang ke Sabah dan rasai sendiri keajaiban Pesta Kaamatan sekaligus membawa pulang kenangan penuh makna dari warisan budaya yang hidup dan berjiwa ini.
Maklumat lanjut di www.sabahtourism.com
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!