Bergelar ibu tunggal seringkali dianggap sebagai sesuatu yang negatif dalam masyarakat kita. Sedangkan, jika kita cuba menyelami keadaan mereka, ia adalah begitu sukar dan perit. Keadaannya sama sekali berbeza dengan mereka yang berpeluang membesarkan anak dengan bantuan pasangan. Jika sesetengah wanita merasakan tanpa lelaki di sisi susah untuk meneruskan hidup, tetapi wanita ini bukan sahaja menganggap apa yang menimpanya sebagai qada dan qadar tetapi sebagai pengalaman yang berharga dan meletakkan diri seseorang individu itu lebih tinggi daripada sebelumnya.
Berkongsi kisah hidup personaliti yang menghiasi ruangan Ibu Tunggal Berjaya kali ini, wanita yang berasal dari Klang dan kini menetap di Melaka merupakan seorang yang cukup tabah. Pemilik nama sebenar Jalilah Hassan, 35 kini merupakan seorang usahawan yang sedang meningkat naik.
Memiliki Master Dalam bidang Visual Komunikasi dan Media Baru dari UiTM, ibu kepada tiga orang anak ini berasa bertuah kerana dirinya cepat bangkit dari kesedihan.
“Saya dan bekas suami sudah berpisah tiga tahun lalu. Pada awal perpisahan memang tanpa sedar air mata akan mengalir bila terkenangkan nasib yang melanda. Alhamdulillah, air mata sudah tidak lagi mengalir dan saya dapat terima dengan reda apa yang berlaku. Bila saya kenangkan tentang anak-anak serta mak dan ayah lagi cepat kesedihan itu berlalu. Jadi saya isikan kehidupan saya dengan perkara berfaedah.
“Saya juga bermuhasabah diri, tidak mahu terus termenung saya isikan masa yang ada dengan berusaha keras mencari rezeki demi insan-insan yang saya sayangi. Syukur alhamdulillah saya dikelilingi mereka yang positif. Di mana merekalah yang membakar semangat saya untuk melangkah lebih berjaya. Pada saya hijrah itu indah, saya mulakan persekitaran baru, kawan-kawan baru bila saya mengambil keputusan untuk berpindah ke Melaka yang juga merupakan kampung halaman mak dan ayah. Sebelum ini saya dan bekas suami tinggal di Johor Bahru,” terang Jalilah yang peramah.
Anak-Anak Permata Hati
Permata hatinya Muhammad Azfar Hadiff, 9, Mardhiah Irdina, 6 dan Muhammad Azfar Harith 4 pada awalnya masih tidak memahami akan perpisahan yang berlaku antara ibu dan ayah mereka. Namun lama-kelamaan masing-masing dapat menerima dengan baik.
“Alhamdulillah, anak-anak nampak lebih ceria sekarang. Awal tu mereka agak keliru juga, masa tu anak sulung baru masuk darjah satu, anak kedua empat tahun dan yang kecil baru setahun, yang si abang baru mula persekolahan di JB tapi dia nampak matang. Anak kedua tu kadang-kadang soalannya di luar jangkaan, “kenapa Mama tak ikut sama, kenapa Abah tak masuk rumah kita dah”. Allah Maha Mengetahui, dulu duduk bersama pun, waktu hujung minggu saja jumpa Abahnya. Jadi tak beza sangat untuk anak-anak nila kami berpusah. Saya dan bekas suami ada giliran, waima hadanah kepada saya, tapi sebulan sekali jumpa juga Abah mereka. Jika hari raya pun sambut raya dengan anak-anak secara bergilir,” tambah Jalilah.
Memandangkan dirinya mencari rezeki seorang diri ditanya bagaimanakah dia mengharungi semua itu, Jalilah terus tersenyum dan akui pada awalnya memang perit untuk mengharungi hidup.
“Saya cuba juga minta bantuan pihak tertentu, mungkin saya duduk bersama mak dan abah yang punya pesaraan, permohonan saya ditolak. Saya anggap rezeki tu mungkin kepada ramai lagi yang memerlukan. Saya buat tuntutan nafkah anak-anak setelah berpisah, setahun enam bulan, alhamdulillah selesai dengan baik dan dapat kerjasama.
“Hendak mencukupkan kehendak anak-anak, saya memang tak boleh duduk diam, saya buat pelbagai jualan online dari rumah, food delivery, jualan pokok bunga, roselle, pokok cili sekitar taman perumahan, jadi stokis produk frozen, pernah jual kupang di pantai Puteri Melaka, dapat bantuan JPM Usahawan Muda 2017 Melaka, sampai kupang tiada stok, saya mula bekerja sebagai ‘Sale Marketing’ Cili Boh Alinah Karim. Cili Boh ini juga dapat memasuki Pasaraya Rembau Family Store, Zemart Rembau dan RosyamMart KL. Saya juga pernah juga jadi juruwang di sebuah pasar raya.
“Alhamdulillah rezeki saya semakin murah selepas terpilih dengan Latihan Berstuktur dari MARA awal tahun ini. Buat masa ini saya juga sudah menerokai bidang fotografi. Semua majlis saya terima untuk 97 Art Studio dan alhamdulillah untuk projek tahun 2020 juga sudah ada yang membuat tempahan. Studio ini terletak di Tanjung Minyak. Syukur juga kerana sewaktu musim Aidilfitri lalu, projek studio raya saya mendapat sambutan yang luar biasa.
“Saya juga memang buat fotografi dan ambil gambar semua event dari zaman belajar lagi, habis program Master saya terus mengajar di Unisel dan MSU. Hijrah ke JB kemudian mengajar di sekolah Seni Johor sekejap, dan bermulanya bisnes online dirumah. Saya juga lakukan COD bersama anak-anak, saya memang sangat minat berniaga. Cuma sekarang ini saya lebih fokus semula bidang fotografi,” luah Jalilah yang kini sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti bersama beberapa grup seperti Geng Usrah, Geng Rumah Ngaji Melaka, Geng GKM Melaka, Geng Homeschooling, Geng Zumba dan Geng Badminton.
Cuma Insan Terpilih Diuji Dengan Perpisahan
Jalilah juga berpesan kepada ibu-ibu tunggal di luar sana agar teruskan hidup anda. Jangan biarkan kesedihan menyelubungi diri.
“Tiada siapa yang mahu menjadi ibu tunggal bila dah berkahwin. Kita yang diuji dengan perpisahan ini adalah insan terpilih. Hendak menangis boleh tapi jangan berlama-lama. Memang fitrah kita rasa sedih, rasa kehilangan, rasa teraniaya ada sebab, ada hikmahnya. Ada yang diuji lagi berat dari kita, ada yang naik turun mahkamah syariah bertahun, jom lekas-lekas bangun, move on! Lihatlah mata anak-anak amanah Allah yang ada. Syukur kita dapat merasa jadi seorang ibu. Kita punya orang keliling yang lebih sayangkan kita. Percaya pada Qada’ dan QadarNya, apa yang penting, dekat padaNya kita buat terbaik untuk mereka,” curah Jalilah akhiri perbualan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI