Benarlah kata Puan Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy, Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK) MA Early, “kanak-kanak walau dalam masjid sekalipun akan tetap menjadi kanak-kanak. Adalah mustahil untuk dia menjadi seperti orang dewasa.”
Jadi, bagaimana sebagai mak ayah mahu melunaskan misi membawa anak ke masjid dengan tenang dan damai. Tanpa perlu mengherdik anak agar duduk setempat. Dan tanpa perlu menahan hati dari melihat jelingan tajam jemaah lain yang berbaur-baur emosi dalam hati mereka itu.
Kerana inilah sifat kanak-kanak, “Dia bersemangat, dia impalsif, dia perlu bergerak, dia belum boleh mengawal diri. Ruang yang luas dan lapang sangat mengujakan bagi dia.”
“Lapar, letih, mengantuk, panas, sejuk, dan bosan akan membuatkan dia meragam.”
Sebelum Bawa Anak Ke Masjid, Mak Ayah Pastikan..
Jadi mak ayah, apabila membawa kanak-kanak ke masjid, adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk:
1) Menyediakan keperluannya supaya dia tidak lapar dan dahaga.
Ads
2) Memastikan keselesaannya supaya dia mempunyai ruang dan tidak kebosanan.
3) Memberi bimbingan kepadanya terlebih dahulu dan dari masa ke semasa supaya dia tahu adab di masjid.
4) Mengajak dan memberi galakan untuk mengikut imam supaya dia dilatih untuk bersolat.
5) Memberi pujian apabila dia berkelakuan elok supaya dia bersemangat untuk terus menjadi baik.
Ads
6) Memberi peringatan jika dia tersalah laku supaya dia memperbetulkan kesilapannya.
7) Menegah jika dia keterlaluan supaya dia tahu dia sudah melampaui batas.
Menjadi tetamu, jangan dilupakan adab berziarah dan keselesaan buat tuan rumah.Pesanan buat mak ayah yang ada anak kecil, jangan lupa bawa plastik kecil untuk membungkus dan mengikat diapers anak selepas menggunakannya. Tak kiralah anak buang air kecil atau air besar.Kerana ia boleh meninggalkan bau dan rasa kurang senang buat tuan rumah jika dibuang begitu sahaja.
Jadilah mak ayah yang prihatin dan empati dengan tuan rumah. Bukan apa, perkara ini mungkin dianggap remeh sebab rasa ia perkara biasa, namun hati tuan rumah juga perlu dijaga demi keselesaan mereka. Silap-silap jika dilakukan boleh bermasam muka pula dengan tuan rumah nanti.
Adab tetamu, tetamu yang tak diundang.
Ni pengalaman ummi Zayd sendiri. Masa tu umur Zayd baru 7 bulan lebih. Berkunjung ke rumah saudara yang takde anak kecik.
Diitakdirkan tengah rancak berbual dengan tuan rumah, Zayd buang air besar dan bau sangatt tak best. Serius busuk sangat sampai ummi pun tak boleh tahan. Ummi dah lupa zayd makan apa.
Ummi Zayd pun minta izin guna toilet dekat dapur untuk tukar pampers.
Bila dah siap tukar pampers, ummi zayd cari tong sampah. Bila nak buang pampers dalam tong sampah kat dapur, ummi jadi serba salah gilerrr. Dalam tong yang terbuka ada sampah sisa makan dan beberapa plastik makanan.
Lama ummi termenung pandang tong sampah tu. Rasa malu dan bersalah sangat nak ‘tumpang’ tong sampah tuan rumah. Inikah adab tetamu? Nak tinggalkan ‘buah tangan’ dan bau yang tak best dekat tuan rumah yang hidang kita makanan best? Layan kita dengan sopan santun dan beradab?
Ummi tak jadi buang. ummi pun mintak plastik, bungkus pamper zayd dan buang on the way balik rumah.
Lesson learnt untuk ummi, sejak dari peristiwa itu, ummi selalu bawak plastik diapers sendiri. Setiap kali tukar pampers, ummi akan bungkus siap-siap, ikat rapat-rapat untuk hilang rasa bersalah dan elakkan berbau.
Kita tak tahu, bolehjadi nampak remeh bagi kita, tapi boleh beri impak besar pada orang lain. Kita taknak orang mengata buruk pasal kita. Ini bukan pasal betul atau salah.
Ini pasal adab dan tanggungjawab menghormati sesama saudara lain supaya kita tidak jadi tetamu yang tak diundang lagi.
Dekat Lazada pun ada jual diapers disposal plastic bag. orang lain mungkin dah lama ada kesedaran, tapi ummi Zayd dapat kesedaran dari pengalaman. Ummi Zayd beli plastik yang murah harga tak sampai RM2. Kuantiti pun banyak dan jimat.
Semoga jadi pengajaran untuk parent lain.
Sekian, coretan ummi zayd.
Belajar dari anak pertama.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan. Adab menjadi tetamu, agar tuan rumah juga perlu rasa selesa. Perkara ini, mungkin dianggap remeh namun besar kesannya. Jadi buat mak-mak yang ada anak kecil, siap sedia beg plastik kecil untuk membungkus pampers anak, ketika datang berziarah di rumah orang.
Bukan semua perkara boleh dikongsikan di media sosial. Akhir-akhir ini, terdapat segelintir mak ayah yang gemar berkongsi video atau gambar kesilapan anak serta hukuman yang diberikan pada mereka disiarkan di media sosial. Ia dilakukan atas alasan untuk mendidik mereka!
Tanpa sedar fenomena ‘Child Shaming’ ini sebenarnya membuka aib, menjatuhkan maruah dan harga diri anak.Walaupun anak masih kecil, kesannya cukup mendalam dan memberi kesan pada mereka.
Jemput baca perkongsian oleh Puan Noor Afidah Abu Bakardari Parent Connect Consultancy mengenai perkara ini sebagai panduan.
MENGHUKUM ANAK ‘ONLINE’.
Antara mendidik dan meraih populariti.
Dunia sekarang semakin aneh.
Di kala ramai ibubapa menggunakan platform media sosial untuk memuatnaik gambar dan video anak-anak yang bijak, keletah, kreatif, inovatif, cergas, tangkas, kritis, dan positif, ada juga ibubapa yang memuatnaik gambar dan video yang membuka aib anak dan menjatuhkan maruah dan harga diri anak kononnya kerana hendak mendidik anak.
Seorang ibu dari Alaska yang dikenali sebagai ‘hot sauce mom’ telah dibawa ke muka pengadilan kerana telah memuat naik video dirinya yang sedang menuangkan sos pedas ke dalam mulut anak sebagai hukuman kepada anak yang berbohong kepadanya. Dia juga memuat naik video menghukum anak dengan memaksa anak berdiri di bawah pancutan (shower) air sejuk. Tindakannya memalukan anak dengan mempertontonkannya kepada umum telah menerima kecaman yang hebat.
Adakah kaedah menghukum dan menyiarkan (punish and broadcast) ini efektif dalam mengubah tingkah laku anak?
Apakah benar semua ini dilakukan atas nama disiplin dan kasih sayang ataupun adakah ia dilakukan kerana ayah atau ibu tersebut inginkan perhatian?
Fenomena ‘child shaming’ atau membuka aib anak ini ternyata semakin mendapat perhatian. Terdapat lebih 30 000 klip video yang memaparkan bagaimana kanak-kanak dimalukan di media sosial oleh ibubapa sendiri atas nama disiplin. Saya lihat ‘trend’ ini juga sudah menular di kalangan ibubapa di negara kita. ‘Trend’ baru ini hangat diperdebatkan kerana ia melibatkan jiwa anak-anak yang masih memerlukan bimbingan dan perlindungan daripada orang dewasa terutamanya ibubapa.
Kesilapan, kenakalan dan kedegilan anak adalah aibnya. Tidak ada manusia yang waras mahu aibnya disebarkan. Cara untuk membimbing kesilapan anak bukanlah dengan mempertontonkan hukuman ke atas anak kepada orang ramai, sebaliknya dengan nasihatinya dan membimbingnya secara tertutup peringkat demi peringkat sehinggalah dia berupaya untuk memperbaiki dirinya.
‘Shaming’ meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri kanak-kanak. Kaedah ini mungkin berkesan untuk jangkamasa yang pendek selama mana ibubapa masih ‘memegang kuasa’. Walau bagaimanapun luka yang dipendam anak boleh menghakis kepercayaan anak kepada ibubapa sedikit demi sedikit sehingga terhakisnya hormat.
Ibubapa adalah satu-satunya insan yang dipercayai anak sejak dia lahir. Walaupun satu dunia berpaling tadah, kita tahu ibubapa kita tetap akan mempercayai dan menyokong kita. Jika kepercayaan itu hilang dari dalam jiwa anak disebabkan sikap ibubapa yang gemar membuka aib anak untuk dipertontonkan kepada umum, bagaimanakah rasanya kepercayaan anak itu terhadap nilai dirinya sendiri?
‘Shaming’ bukannya kaedah yang kreatif untuk mendisiplinkan anak, sebaliknya ia merupakan satu kaedah yang destruktif. Anak yang merasa terhina akan memekakkan telinga kepada sebarang perubahan yang diharapkan.
‘Shaming’ menjadi kitaran penderaan (abusive cycle) yang akan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi, terutamanya apabila ayah atau ibu yang memalukan anak itu berkata “ Abah lakukan (memalukan kamu) semua ini kerana sayangkan kamu.”
Hakikatnya, kasih sayang sebenar akan mendorong ibubapa untuk menutup dan menjaga aib dan harga diri anak-anak. Kasih sayang seharusnya menjadikan kita ibubapa yang melindungi anak, bukannya ibubapa yang memberi ruang kepada mereka yang tidak mengetahui duduk perkara sebenar untuk mengecam dan mengeji anak kita.
Walaupun mungkin kaedah membuka aib anak ini menjadi amalan sejak turun temurun tetapi media sosial memberi impak negatif yang lebih besar kepada anak kerana aibnya ditonton oleh ramai orang termasuk yang langsung tidak mengenali si anak.
Kesan memalukan anak di media sosial berbeza dari kesan menceritakan ‘kenakalan’ anak kepada Mak Piah atau Pak Usop sebelah rumah yang kita percayai untuk meminta nasihat. Penceritaan kepada Mak Piah dan Pak Usop mungkin mencapai capaian hingga tangga rumah sahaja tetapi capaian media sosial merentasi hingga hujung benua, dari kutub utara ke kutub selatan.
Di mana anak mahu meletakkan mukanya?
Anak kecil juga mempunyai maruah dan harga diri.
Kawan-kawan mengejek dan orang sekeliling memandang sinis kepadanya.
Aib ini akan timbul kembali dari masa ke semasa seumur hidup anak kerana ia sudahpun menjadi ‘digital footprint’ anak yang tidak akan boleh dipadamkan lagi.
Tidakkah kita kisah?
Kadang-kadang dalam kita beria-ia membuka aib anak, dalam kita teruja memperolehi banyak ‘like’ dan ‘share’ di media sosial, dalam kita berbangga kerana kita dianggap oleh segelintir pihak sebagai ibubapa yang berjaya mendidik anak kerana menghukum anak, kita tidak sedar yang kita sebenarnya membuka aib diri kita sendiri kepada mata dunia.
Jika ibubapa perlu bergantung kepada kaedah membuka aib anak di media sosial supaya diadili oleh orang asing, itu bermakna ibubapa itu sendiri tidak pandai menguruskan anak-anak dan keluarga hingga menyebabkan anak menjadi susah dikawal.
Kenapa harus dipertontonkan aib kita, anak-anak kita dan keluarga kita secara sukarela kepada orang ramai sedangkan Allah SWT sentiasa menutup aib kita.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dijadikan panduan buat para mak ayah dalam mendidik anak-anak. Bukan semua perkara perlu dikongsikan di media sosial, apatah lagi mengaibkan dan memalukan anak sendiri.
Ini aturan pelan pemakanan untuk ibu menyusu sepanjang bulan Ramadan. Lima panduan ini bantu ibu dapatkan jumlah susu badan dan pemakanan yang cukup untuk diri sendiri dan keperluan bayi.
Elakkan ikut nafsu makan ya mak-mak. Tak perlu pun sebenarnya nak makan berganda semata bimbang tak berdaya di siang hari.
Kongsi RuQayyah Muhd, Dietitian dari USM ini, sebenarnya, dengan panduan yang betul, mak menyusu boleh makan secara sederhana tapi cukup bertenaga keesokan hari sepanjang menunaikan ibadah berpuasa.
“Puan, boleh buat menu plan untuk saya tak puasa ni? Saya nak turun berat sekurangnya dua kilo puasa ni.” Tanya pesakit saya.
Puasa, bulan apabila semua menu yang jarang-jarang ada, akan memunculkan diri dengan meriahnya. Bulan apabila syaitan diikat dan manusia akan diuji dan teruji dengan nafsunya, terutamanya nafsu makan.
Bulan puasa tidak seharusnya diet harian berbeza daripada bulan-bulan lain. Hanya ditambahbaik dan diperbaiki agar memudahkan proses penurunan berat badan.
Berikut adalah sedikit tips berpuasa dengan lebih baik agar mudah untuk beribadat di siang dan malam harinya.
Pilih makanan yang tinggi serat dengan memasukkan makanan seperti bijirin milpenuh ke dalam hidangan harian. Sebagai contoh masukkan oats ke dalam susu, atau gunakan roti mil penuh atau beras perang. Lagi tinggi serat lagi bagus.
Oats juga bertindak sebagai galactogouge yang menggalakkan penghasilan air susu. Oh ya.. Jangan lupa masukkan sayur dan buah sekurangnya kurma di dalam hidangan sahur.
Makanan tinggi serat berfungsi untuk memberikan rasa kenyang yang lebih lama di waktu pagi. Aras gula juga akan lebih stabil dan tidak mencanak naik selepas makan. Tapi, awas. Kawal porsi hidangan. Makan banyak, gula pasti naik banyak, kalori apatah lagi.
Ambil kurma dan segelas air beserta sedikit hidangan yang ringkas seperti seketul kuih atau bubur.
Semasa berbuka puasa, disarankan mengambil makanan yang mudah di hadam dan mempunyai kandungan gula ringkas agar makanan ini dapat memberikan tenaga segera selepas berpuasa melebihi 14 jam.
Sebagai contoh, kurma, jus buah asli, kuih manis. Tapi awas, elakkan makan dengan melampau.
Apabila makan, kunyah makanan perlahan-lahan. Badan mengambil masa 15-20 minit bagi menghantar isyarat kenyang ke otak.
Antara hikmah disarankan makan sedikit dan solat Maghrib adalah untuk memastikan isyarat separa kenyang sudah dihantar ke otak. Ini akan menghalang kita makan dengan gelojoh dan berlebihan.
Pastikan ambil makanan di dalam porsi yang berpadanan. Jangan berlebihan. Dan pastikan hidangan yang seimbang dan sihat.
Senggang antara solat Maghrib dan terawikh akan memberikan tempoh untuk perut menghadamkan makanan dengan baik. Pilih makanan yang rendah ke sederhana kalori.
Makanan yang tinggi kalori seperti murtabak, kuih dan air manis tidak disarankan kerana ia menggalakkan pengambilan kalori berlebihan. Ini tidak akan membantu menghilangkan berat yang dikumpul semasa mengandung.
Badan akan menghasilkan urin lebih banyak apabila air diambil di dalam jumlah yang banyak pada satu masa seperti semasa berbuka puasa.
Membahagikan pengambilan dengan sekata akan mengelakkan kerap ke bilik air terutama ketika solat terawikh dan mengganggu ibadah di malam hari.
Tidak mengambil air yang mencukupi juga akan menyebabkan urin menjadi pekat warnanya dan bahan buangan tubuh tidak dapat disingkirkan dengan baik. Ibu yang menyusu perlu minum air yang mencukupi bagi memastikan badan tidak mengalami dehidrasi kerana menyusukan anak.
Cukupkan keperluan air harian.
Puan Ruqayyah Muhd juga berkongsi info mengenai diet ibu menyusu di bulan Ramadan di dalam buku Diet Mak-Mak.