Soalan yang paling sensitif, lagi-lagi buat pasangan yang dah lama berkahwin tapi belum dikurniakan zuriat adalah persoalkan bila mereka nak ada anak.
Kerana semua itu berkait dengan rezeki. Andai penanya faham akan konsep rezeki. Tak tergamak kot soalan-soalan sensitif tahap dewa ini keluar dari bibir mereka.
Mereka akan tutup rapat, jaga kemas-kemas.
Peniaga kasut ini, Cik Puan Ammy bukanlah mahu jadi busy body. Malah amat berhati-hati dan takkan sentuh bab-bab tanya pasal nak mengandung, nak ada anak dekat kawan-kawan. Sebab dia sendiri pernah diuji 9 tahun menanti cahayamata lagi.
Tapi itulah.. bila tuhan nak uji. Benda yang paling kita tak suka itulah yang jadi.
Belum Ada Rezeki Miliki Zuriat Sendiri..
Ya Allah.. Kenapa lah celupar sangat mulut saya ni, elok-elok ‘mood’ nak berniaga ‘datang’ tiba-tiba terus jadi satu malam yang muram untuk saya. Ketelanjuran kata-kata saya mungkin telah mengguris hati sepasang suami isteri ini. Saya tidak sengaja. Benar-benar tidak sengaja.
Saya melihat mereka membeli agak banyak kasut budak. Ada yang bersaiz kecil dan ada yang bersaiz besar. Seingat saya mereka pernah datang minggu lepas dan ini kali kedua.
“Anak buah ramai dik, minggu lepas dah datang beli, ni beli lagi..”
Terang si isteri tanpa saya bertanya.
Benar sangkaan saya.
“Emmm.. Minggu lepas tu mesti untuk anak sendiri kan? Minggu ni ‘turn’ anak buah pulak. Moga murah rezeki akak.”
Saya membuat andaian sambil ketawa kecil.
“Eeeemmm.. Anak buah juga dik, yang minggu lepas belah akak, yang ni pulak belah abang, nak harap anak sendiri, entah bila la dik…”
Celah si suami sambil hulurkan duit dalam nada keluhan. Saya melihat wajah si isteri berubah terus air mukanya dari riang kepada suram. Senyum sendu pada saya sebelum ‘menonong’ keluar dari kedai tanpa menunggu si suami.
“Tak pa, ada rezeki tu nanti.”
Itu jer yang mampu saya balas sambil hulur baki RM5.
“Entah lah dik.. Dah 15 tahun tunggu. In sha Allah masin mulut kau dik bulan ramadhan ni.”
Jawabnya dan terus berlalu mengejar si isteri yang mungkin tersentuh jiwanya tadi. Selama ini saya cukup berhati-hati dalam perbualan apatah lagi soal ANAK. Bimbang ada kawan-kawan atau ahli keluarga yang masih belum ada rezeki untuk memiliki zuriatnya sendiri akan berkecil hati jika terlepas kata. Tidak sangka ianya terjadi pada hari ini.
Allahu akbar… Saya benar-benar tidak sengaja.
Macam-macam Kaedah Nak Dapat Zuriat Dah Dicuba
Sebenarnya ada diantara sahabat dan ahli keluarga saya masih belum dikurniakan anak. Mereka tanpa segan silu meluahkan pada saya betapa mereka berharap dikurniakan cahaya mata sebagai pelengkap keluarga kecil mereka. Pelbagai rawatan moden dan traditional telah mereka jalani, daripada kaedah urutan kampung, jamu-jamu dan IVF namun masih tidak berhasil. Akhirnya mereka redha.
“Kalau ada rezeki tu adalah. Kalau tak ada tu, mungkin Allah nak bagi kami rezeki lain.”
Kata-kata yang sering saya dengar daripada mulut sahabat saya. Bukan beliau sahaja, malah anak buah saya juga pernah ucapkan kata-kata yang sama. Saya tahu ianya hanya sekadar memujuk hati namun jauh di dasarnya, tidak putus berdoa dan tetap merindui kehadiran si kupu-kupu syurga itu.
Jadi, saya rasa tidak perlulah kita yang telah pun punyai anak ini bertanyakan soalan-soalan sinis sehingga ‘membunuh jiwa dan raga’ mereka pada tiap kali bertembung atau bertemu dengan mereka. Tidak perlulah bertanyakan soalan tentang anak kepada mereka kerana perasaan orang yang ‘masih menanti’ ini perlu dijaga lebih-lebih lagi buat pasangan yang sudah lama berkahwin namun belum dikurniakan cahaya mata.
“Berdua jer.. Bila nak bertiga?”
“Tak habis lagi ke nak berbulan madu? Usia dah meningkat bila lagi nak ada anak?”
“Kawin dah lama. Seorang anak pun tak ada? Apa lah kau ni..”
“Apasal bro. Aku dah 6 kau sorang pun tak ada? Kau tak power ni bro.”
9 Tahun Menanti Cahayamata Lagi
Walaupun niat kita sekadar bergurau, tetapi sedar kah kita bahawa kata-kata atau soalan kita itu akan menambah ‘remuk’ di hati mereka. Tahukah kita?
Mereka telah puas berusaha. Meminta di setiap ‘sunat hajat’. Merintih di setiap ‘tahajud’.
Sambung lagi pada setiap ‘dhuha’.
Mohon dari Allah SWT supaya dikurniakan anak.
Mengharap hadirnya kupu-kupu syurga itu ke syurgawi rumah tangga mereka.
Kita tidak merasa kerana kita tidak berada di tempat mereka.
Malah tak kurang juga yang menghasut supaya si suami nikah lagi satu semata-mata untuk pewaris.
Wah! Hebat.. Betapa yakinnya bahawa yang bermasalah itu puncanya daripada pihak isteri. Bagaimana pula jika berkahwin lagi satu juga masih belum dikurniakan anak?
Sebenarnya, Allah SWT mendengar doa mereka. Cuma masih berada di genggamanNya. Menanti masa yang benar-benar sesuai untuk dilepaskan satu persatu.
Pengalaman saya sendiri.. Walaupun saya tidak ada masalah untuk hamil, tetapi saya berharap untuk punyai seorang lagi puteri di penghujung usia 35 tahun. Sembilan tahun saya menunggu. Setiap sedekah yang saya hulurkan saya niat untuk hamil.
Tanpa segan silu saya minta di doakan supaya saya hamil ketika menghulurkan sedekah. Minta dari Allah SWT tanpa kenal putus asa. Bernazar jika ada rezki untuk saya. Alhamdulillah awal 34 tahun saya hamil. Allah SWT mendengar doa saya. Itulah dia Mahsuri orangnya.
Sayunya Pandang Wajah Anak-anak Makan Semasa Bersahur
Kerana itu saya faham dan hargai setiap perasaan mana-mana pasangan yang masih mengharap kehadiran ANAK. Meminta anak bukannya sama seperti membeli air nescafe di kedai, bancuh campur nescafe tambah susu terus jadi. Bukan juga semudah memasak nasi goreng ikan masin. Masukkan bahan-bahan, kacau-kacau… Terus jadi.
Punyai duit berjuta juga tidak mampu membeli nyawa seorang anak kandung jika Allah SWT tidak mengizinkan. Jadi siapa lah kita sebagai hamba Allah SWT mempersoalkan tentang rahsia dan ketentuanNya.
Bila pandang anak-anak saya yang sedang menyuap makanan untuk bersahur, sayunya hati kecil saya kerana kadang kala saya memarahi mereka di atas kesalahan yang amat kecil. Abaikan mereka ketika saya benar-benar penat dan lebihkan rasa untuk berihat berbanding melayan kerenah mereka untuk bermanja, berbual dan bergurau senda sedangkan di luar sana masih ramai yang menanti kehadiranya ANAK…
Peringatan untuk diri sendiri juga, cubalah untuk mendiamkan diri daripada bertanyakan soalan-soalan atau bergurau senda dengan pasangan yang masih menanti kehadiran cahaya mata, bimbang secara tidak sengaja akan ‘membunuh’ jiwa dan raga mereka.
Kepada kakak dan abang yang membeli selipar dan kasut di kedai saya semalam. Saya mohon maaf dan ampun. Saya benar-benar tidak sengaja. Jangan serik datang membeli lagi. Saya doakan kalian yang masih menanti kehadiran si ANAK akan perolehi yang terbaik dari Allah SWT di atas kesabaran kalian.
Sesungguhnya yang terbaik itu adalah amat payah untuk dilepaskan kecuali kepada hambaNya yang benar-benar layak.. Amin..
Sumber/Foto : Cik Puan Ammy
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI