
Isi Kandungan
ToggleJangan sampai guna duit raya anak untuk kepentingan sendiri ya, mak ayah kena beringat. Perkara ini perlu dipanjangkan sebab memang banyak kes mak ayah terguna duit raya anak bila sudah terdesak.
Awalnya memang niat nak ganti, tetapi akhirnya buat diam dan makan tahun nak boleh ganti balik. Sudahnya cerita guna duit raya anak ini jadi macam mak ayah ambil terus duit anak.
Nauzubillah… kalau pernah terbuat, baca perkongsian ini ya. Hadam dan berubahlah demi anak-anak.
Hukum Guna Duit Raya Anak
Biasalah, anak-anak yang masih kecil dan masih belum pandai menguruskan duit raya yang mereka perolehi. Jadi, inilah tanggungjawab mak ayah untuk menguruskan duit raya anak-anak mereka dengan baik.
Tetapi ingat ya, duit raya anak adalah kepunyaan anak dan mak ayah hanyalah sebagai pemegang amanah untuk menjaga duit raya sehinggalah mereka pandai untuk menguruskan duit mereka sendiri.
Hukumnya haram jika kita menggunakan duit raya anak-anak. Jika keadaan terlalu mendesak, kita boleh meminjam namun adalah wajib dibayar balik.
Sebaik saja mereka mendapat duit raya, kita sebagai ibu bapa perlulah amanah untuk menguruskan wang tersebut.
Tolonglah, tak baik kita sebagai ibu bapa ‘makan’ duit yang orang telah berikan kepada anak-anak kita. Kalau terlalu terdesak, kita gantikan semula. Jangan buat-buat lupa, bimbang di akhirat kelak kita akan ditanya kenapa tidak amanah.
Ustaz Azhar Idrus (UAI) juga pernah menjawab isu yang sama dalam ceramahnya.
“Perkara ini selalu berlaku dalam masyarakat kita. Ada yang menggunakan duit raya anak-anak untuk membeli sport rim, spoiler dan lain-lain.
Haram guna duit raya anak-anak untuk kepentingan diri. Namun boleh gunakan duit raya anak-anak sekiranya dalam keadaan terdesak seperti bekalan elektrik hendak dipotong sebab tak bayar. Yang mana masalah itu juga akan mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak.
Jadi boleh gunakan duit raya anak-anak untuk membayar bil elektrik. Walau bagaimanapun ia perlu dibayar segera.”
Cara Uruskan Duit Raya Anak Dengan Betul
ASINGKAN

Pastikan duit raya untuk setiap anak anda diasingkan untuk mengelakkan percampuran duit raya. Ini adalah bertujuan untuk memastikan setiap anak kita mendapat jumlah duit raya yang sama (kerana biasanya orang akan bagi sama untuk setiap orang)
TABUNG KHAS
Sepertimana tabungan biasa, pastikan setiap anak kita mempunyai tabung yang berlainan. Menyediakan tabung untuk anak kita dapat mengajar anak kita untuk rajin menabung dan dalam masa sama memudahkan pengurusan duit raya anak kita.
SIMPAN DALAM BANK
Setelah habis raya, kira dan simpan duit raya anak kita ke dalam bank yang memberikan pulangan yang baik setiap tahun. Pastikan akaun tersebut dibuat khas untuk anak anda (dengan ibu / bapa sebagai penjaga), bukannya duit raya tersebut dimasukkan ke dalam akaun ibu bapa.
Antara tabungan terbaik adalah di Tabung Haji, tetapi mak ayah juga bebas untuk memilih di mana anda nak simpan duit anak.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak 3 Tahun Tiba-Tiba ‘Mood Swing’, Relaks Mak Ayah Ada 7 Cara Bantu Tangani Tingkah Laku Si Kecil

Isi Kandungan
ToggleKadangkala mak ayah sukar nak memahamkan tingkah laku anak yang tiba-tiba bertukar bila mereka meningkat usia. Si kecil jadi ‘mood swing’ dan masalah tingkah laku ini memeningkan kepala mak ayah.
Mak ayah kena bertenang, sebab ada cara lebih cool yang boleh bantu mak ayah tangani masalah tingkah laku si kecil. Inilah yang dikongsikan pleh Occupational Therapist, Puan Maryam Jamadi.
Contoh Masalah Tingkah Laku
Di bawah ini adalah contoh masalah tingkah laku yang biasa muncul sekitar umur anak 18 hingga 3 tahun.
1. Pukul
2. Gigit
3. Tendang
4. Hantuk kepala
5. Baring di lantai
MAK AYAH FAHAMI FISIOLOGI ANAK
Masalah tingkahlaku memang normal bagi anak berumur 18 bulan hingga 3 tahun kerana fasa ini mereka dah ada kehendak sendiri walaupun kehendak tersebut susah nak ditunaikan dan kadangkala “merepek” seperti nak makan cicah sambal, tarik mak ayah ke pintu untuk keluar rumah di tengah malam, nak minum air panas menggelegak dan sebagainya.
Sebelum ini anak cuma tahu menangis atau ketawa sahaja. Perasaan gembira, kelakar, bahagia dan geli di geletek semua diluahkan dengan cara senyum dan ketawa. Emosi yang tak “best” pula seperti lapar, haus, bosan, cemburu, sakit perut, marah atau panas diluahkan dengan cara menangis.
Mereka belum “pandai” marah lagi semasa bayi disebabkan bahasa yang terhad. Sebenarnya “pandai” marah juga adalah salah satu perkembangan emosi bagi anak ya, jangan risau.
Disebabkan keterujaan dengan emosi baru iaitu marah, mereka jadi pelik dan cuba berlatih meluahkan perasaan marah seterusnya memerhati respon mak ayah. Macam “orang yang baru dapat kaki”, sentiasa nak berlatih. Pantang ada “point” sikit, ada sahaja yang nak dimarahnya, sikit-sikit nak baring di lantai, sikit-sikit nak mengamuk baling barang, semua benda tak kena dan menangis tak tentu pasal.
Anak yang dulunya comel, “behave” dan penyayang, tiba-tiba jadi pemarah apabila masuk umur 18 bulan. Mereka mengalami “mood swing” kerana mereka baru sedar yang banyak cara sebenarnya nak luahkan perasaan bukannya dengan cara menangis dan ketawa. Sebab itu mereka akan cuba pelbagai cara asalkan mereka dapat apa yang dikehendaki.
7 CARA MENANGANI TINGKAH LAKU ANAK
Ada banyak cara sebenarnya nak atasi masalah tingkahlaku sebab setiap mak ayah ada caranya tersendiri untuk mendidik anak. Dibawah ini adalah tips mengatasi masalah tingkahlaku daripada saya:
1. AUTONOMI
Mak ayah perlu faham keadaan anak, cuba bayangkan kita di tempat anak di mana situasi kita di negara asing yang perlukan bantuan tetapi semua orang tak faham apa kita cakap. Puas kita menjerit dan buat pelbagai “body sign”, orang lain masih buat muka “blur” dan kadang-kadang buat tak endah. Mesti rasa nak tumbuk dinding kan?
Sama juga seperti anak, mak ayah yang tidak memahami kehendak anak akan menyebabkan anak cenderung mengalami masalah tingkahlaku. Kena faham, anak umur 18 hingga 3 tahun adalah fasa autonomi vs malu/sangsi dalam perkembangan emosi dan sosial. Satu sahaja yang mereka mahukan semasa fasa ini, iaitu autonomi.
Kebebasan untuk bermain sendiri, makan sendiri, pakai baju dan seluar sendiri, pilih baju sendiri, pakai kasut sendiri, makan lauk yang mereka mahu sahaja dan sebagainya. Masa ini anak dah ada makanan kegemaran, warna kegemaran, patung kegemaran dan watak kegemaran mereka. Perlu faham situasi mereka, baru boleh bertindak dengan betul.
Jangan sesekali menghukum sebelum menyiasat kerana ia akan menyebabkan anak menjadi malu/sangsi tak ada keyakinan diri kelak.
2. MINDSET
Walau cuba pelbagai cara, mindset mak ayah masih tak ke jalan yang benar memang semuanya tak akan jadi. Mak ayah perlu tegas yang “NO MEANS NO” semasa menangani tingkahlaku yang tidak diingini.
Contoh situasi:
A) Anak mengamuk tak mahu kemas mainan walaupun sudah pandai kemas, semakin disuruh semakin mengamuk baling mainan.
Kalau sekali mak ayah layankan amukan anak, disuakan handphone, dipeluk, dibuatnya muka kesian malah siap cakap “sorry” dengan anak. Maka, maksudnya mak ayah dah di “manipulate’ dengan anak. Lain kali bila berdepan dengan situasi sama, anak akan buat “trick” sama dan benda ini akan berulang sampai anak jadi “kebal” tak kemas mainan.
Ditambah lagi bila ada “penyelamat dunia”, lagilah anak bertambah “kebal” tak kemas mainan. Mereka akan letak mindset yang “aku tak salah, mama papa yang salah”. Bila anak dah mindset sebegitu dari umur 18 bulan, cuba bayangkan betapa “kebal”nya anak bila dah umur 5 tahun kelak.
B ) Anak baring di lantai atau pukul apabila tak dapat apa yang dia nak.
Abaikan dia, jangan dipujuk, jangan dipandang atau dialihkan perhatian kerana anak akan belajar dan mindset yang “kalau nak sesuatu, baring di lantai/pukul”. Maka, situasi ini akan berulang dan berulang lagi. Apabila anak dah reda dan bangun, beritahu yang perbuatannya salah. Mulakan seawal anak “belajar” cara sebegini bagi membendung masalah tingkahlaku yang semakin serius.
Untuk mengatasi masalah tingkahlaku anak, mak ayah perlu mindset “Kita tak salah, anak yang salah” dan “kita yang bentuk dia, bukan dia bentuk kita”. Jika betul anak buat salah, tak perlu buat muka kesian atau sedih dan tak perlu cakap “sorry” sebaliknya ajar anak minta maaf. Kalau belum pandai sebut “sorry”, ajar anak salam dan cium tangan setiap kali buat salah.
Saya selalu berjumpa kes masalah tingkahlaku dimana mak ayah yang “takut” anak, takut anak nangis, takut anak sedih, takut anak marah, takut anak mengamuk dan sebagainya. Tolong buang perasaan “takut” kepada anak jika mahu menangani masalah tingkahlaku. Jadilah pemimpin anak, bukan dipimpin anak.
3. PERKATAAN KERAMAT
Nak marah anak pun ada caranya. Kalau anak yang umur 2 tahun cukup sekadar guna 1 perkataan keramat seperti “NO” sambil reaksi muka berkerut dan suara yang tinggi sedikit tetapi bukan menjerit atau menengking.
Perkataan keramat ini juga perlu dihadkan penggunaannya, hanya gunakan semasa terdesak sahaja demi memastikan keberkesanan perkataan ini. Kalau setakat anak minum air tumpah sikit ataupun makan tumpah sikit kita dah marah tinggi suara sebut perkataan keramat, lama kelamaan teknik ini dah tak berkesan.
Anak bawah 3 tahun ini bila kita membebel panjang laju-laju pun mereka tak faham, makin membebel makin mereka “mute” suara kita sebab malas nak dengar. Maka, ckap bahasa mudah dan jelas sudah mencukupi.
4. “CRY IT OUT”
Biarkan mereka menangis bila berdepan dengan keadaan di atas sebab menangis adalah cara untuk anak luahkan perasaan. Mereka perlu belajar terima yang tak semua yang kita nak kita akan dapat. Ia dipanggil “frustration tolerance” iaitu ketahanan anak untuk terima kekalahan. “Frustration tolerance” sangat penting dalam perkembangan emosi dan sosial anak contohnya semasa bermain, hubungan sosial dan sebagainya.

Biarkan anak rasa “frust” sekarang supaya mereka dapat hadapi “frust” di masa akan datang tetapi janganlah pula berlebih-lebihan. Risau pula saya, takut ada mak ayah gunakan alasan ini untuk membuli anak.
Dalam ketegasan kita, perlu juga ada kelembutan. Penerimaan “frust” anak juga ada tahapnya, kalau anak umur 18 bulan beri 10 minit “frust” dah mencukupi selepas itu peluklah anak sambil nasihat jangan lakukan perbuatan itu lagi.
5. ALIHKAN PERHATIAN
Sebenarnya teknik ini memang selalunya berkesan, cuma kadangkala anak akan lupa tentang kesalahan yang dilakukan dan cenderung melakukannya lagi. Terutamanya jika alihkan perhatian dengan gadget. Anak tak “feel” rasa bersalah yang telah dilakukan. Tak ada minta maaf mak ayah dah tarik perhatian dia ke arah tempat lain.
6. PUJUK
Kalau anak menangis sebab benda kecil, boleh dipertimbangkan kaedah pujuk. Pujuk dengan cara peluk seluruh badan anak sambil usap-usap kepala anak.
Tapi kalau dah sampai tahap masalah tingkahlaku mencederakan orang lain dan diri sendiri, TAK PERLU PERTIMBANGKAN kaedah memujuk kerana ini maksudnya masalah tingkahlaku anak dah semakin ‘tebal”.
Pujuk bila anak dah reda dari tangisan dan minta anak minta maaf. Salam dan cium tangan sebagai tanda mereka terima kesalahan yang dibuat. Masa ini adalah masa yang paling sesuai untuk mak ayah buat “sosial story” tentang perbuatan baik dan tak baik.
7. “BUSY BAG”
Normal anak bawah 3 tahun memang suka bermain, bila tak dapat main memang mereka akan meragam dan mengundang masalah tingkahlaku yang tidak diingini. Maka, sangat penting untuk mak ayah kenalpasti punca anak meragam. Kalau sebab nak bermain, memanjat tapi tak dapat seeloknya mak ayah bawa bekal mainan kemana-mana. Boleh google atau cari di pinterest untuk idea busy bag.
Kesimpulannya, pokok pangkal untuk mengatasi masalah tingkahlaku adalah mindset mak ayah untuk menjadi pendidik anak dan bukannya “dididik” oleh anak. Tanamkan niat untuk membesarkan anak yang mendengar kata bukannya dengan niat menghambakan anak kepada mak ayah tetapi belajar menghambakan diri kepada Tuhan juga.
Terima kasih, semoga bermanfaat.
NOTA:
*Anak yang mempunyai masalah tingkahlaku yang serius selalunya mempunyai masalah sensori sama juga dengan kes anak terlewat percakapan. Kalau nak tahu lebih lanjut tentang ini memerlukan penilaian sensori dan tingkahlaku daripada occupational therapist bertauliah.
Sumber/Foto : Maryam Jamadi
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Makan Kat Restoran Mewah Pun Ozlynn Suap Anak “Pakai Tangan Mesti Yang Terbaik, Paling Best”

Isi Kandungan
ToggleMakan kat restoran mewah pun Ozlynn suap anak. Anak merupakan aset dan anugerah yang paling bernilai kepada kedua ibu dan bapa.
Lumrah seorang ibu akan mendahulukan anak dalam setiap apa yang dilakukan. Apatah lagi dalam bab makan, ibu sanggup berlapar dan suapkan anak makan sebelum dia menikmati hidangan.
Begitu juga dengan luahan yang dibuat oleh pelakon Ozlynn Wati, sebagai seorang ibu seperti mana wanita lain dia akan mendahulukan anak-anak di meja makan. Bukan saja di rumah malah tatkala menikmati hidangan di restoran mewah.
Makan Kat Restoran Mewah Pun Ozlynn Suap Anak
Ibu enam cahaya mata dan isteri kepada pelawak, Johan ini juga menerusi perkongsian di akaun rasmi Instagramnya menyatakan walaupun menikmati makanan di restoran mahal namun tetap suap anak-anak menggunakan tangan.
“Mak-mak… bubuh la restoran mahal tang mana pun, kalau kata kena suap anak confirm pakai tangan mesti yang terbaik dan terpaling best.
“Anak kena hadap la kan. Yang pasti mulut tu nak pi mana kemahin luas nganga.
Kadang Tak Sempat Makan
“Kadang kalau makan kat luar, lepas kita suap anak-anak turn kita pula. Lepas itu anak kecil dah nangis, jadi tak sempat la kadang makan.
“Cuma dapat rasa saki baki di jari dan pinggan bekas suap anak sikit terus kenyang,” tulis Ozlynn.
Sememangnya sudah menjadi lumrah ibu-ibu di luar sana yang punya anak kecil mempunyai pengalaman seperti Ozlynn. Namun kenangan tersebut cukup indah dan ibu-ibu yang melaluinya akan rasa rindu apabila anak-anak sudah dewasa.
Menarik Lagi : Tamat Pantang 100 Hari Ozlynn Syukur Kesihatan Dalaman Makin Pulih “Sibuk Shooting Sekali Pam Susu Dapat 6-7oz”
Bilik Rahsia Ozlynn Persis Kedai Runcit, Hanya Mak-Mak Mengerti Keseronokan Ini
“Air Tangan Tu Penting!” Komen Peminat
Menerusi ruangan komen ramai yang memberikan komen dan antara komen yang diberikan menyatakan “Air Tangan Tu Penting!”.
“Yes and puas hati lah kalau suap boleh tau byk mana anak dah makan and setel…weiii nant dah besar dah berkelaurga inilah dijadikan memories buat kita dan anak-anak…air tangan tu yang penting!!” mariaarnais23

Mingguan Wanita: Seronok tengok anak-anak makan banyak bila disuap.
Sumber / Sumber Foto : Instagram Ozlynn
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Terapis Ini Ajar Cara Rangsang Percakapan Anak Sejak Lahir, Untuk Elak Lewat Bercakap

Memang diakui bahawa setiap anak memiliki tahap perkembangan yang berbeza. Begitu juga tahap kemahiran bercakap dan skil bahasa. Mak ayah pastinya bimbang jika anak lewat bercakap samaada tidak mahu bercakap atau bercakap dalam bahasa yang sukar untuk difahami.
Menurut perkongsian oleh Terapis Carakerja, Maryam Jemadi, sebenarnya anak-anak ini perlu diajar dan dirangsang percakapannya sejak dari kecil lagi iaitu dari selepas lahir mengikut tahap-tahap tertentu.
Berikut merupakan antara perkongsian tersebut oleh beliau;
Merangsang Percakapan Dari Selepas Lahir
“Saya tak pernah ajar anak saya bunyi binatang, kalau nampak kucing cakap “kucing” bukan meow meow”. Teringat saya ada seorang ibu yang mempunyai anak lewat bercakap (speech delay) dengan bangga dan yakin kata begitu. Saya cuma mampu membebel dalam hati sahaja .
Mak ayah perlu ingat, setiap skil yang dipelajari anak ada tahapnya, sama juga macam skil motor kasar mula-mula meniarap, merangkak, duduk, berdiri, selepas itu baru berjalan. Dalam skil bahasa pun sama, bukan tiba-tiba anak akan pandai cakap ‘kucing”, “mama”, atau “papa”. Jika kita terus ajar perkataan yang complex, kadang-kadang ia terlampau susah untuk anak belajar terutamanya anak yang mengalami lewat bercakap. Umpama umur 7 tahun diajar subjek darjah 6.
Untuk anak bawah setahun, saya pecahkan kepada 5 tahap umur. Pastikan anak belajar mengikut tahap,
TAHAP 1 (0 HINGGA 3 BULAN)
1. Senyum
2. Buat bunyi “aaaa”, ‘eeee”..
3. Senyap atau senyum setiap kali kita bercakap dengannya.
4. Mengenal suara orang tersayang (mak atau ayah).
5. Suara menangis yang berbeza mengikut keperluannya.
Tip:
– Banyakkan berbual dengan jarak yang dekat sebab masa ini pandangan mereka masih lagi kabur-kabur, pandang mata.
– Belai-belai dan kerapkan mengurut bayi selepas mandi.
– Sikat dan usap rambut sambil menyusu.
– Beli mainan yang ada bunyi dan rangsang anak utk melihat ke arah bunyi.
– Untuk yang menyusu badan, biarkan 10 saat anak merengek sebelum menyusu supaya dia tahu kepentingan komunikasi (secara menangis) untuk dapat apa yang dia nak.
– Kerap menyanyi bersama bayi, buka mulut besar-besar sambil menyanyi tak payah sopan-sopan sangat
TAHAP 2 (3 HINGGA 6 BULAN)
1. Ketawa mengeluarkan bunyi semasa bermain.
2. Berbual dengan mak ayah menggunakan bahasa “alien”
3. Pandai menunjukkan reaksi dan suara suka atau tidak suka (menjerit).
4. Respon dan pandang ke arah bunyi.
5. Kenal mainan yang mengeluarkan bunyi.
6. Fokus terhadap bunyi muzik.
Tip:
– Kerap ketawa bersama bayi.
– Kerap berbual. Bila anak sedang bercakap bahasa “elian”, angguk mengiyakan konon-konon faham. Selepas itu cakap lagi, angguk geleng-geleng lagi. (Supaya anak belajar tunggu giliran untuk bercakap).
– Banyakkan bagi rangsangan bunyi, panggil nama anak dari arah yang berbeza.
– Tunjuk barang atau binatang sambil sebut nama (walaupun orang dulu-dulu tak bagi tunjuk-tunjuk guna jari telunjuk, buat jugak). Tunjuk guna jari penting sebab tahap ini anak belum pandai fokus lagi.
– Menyanyi sambil tepuk tangan.
TAHAP 3 (6 BULAN HINGGA 12 BULAN)
1. Cuba untuk mengikut bunyi.
2. Menyebut “bababa”, “mamamama” seperti panggilan mak ayah tetapi masih lagi belum spesifik.
3. Memahami arahan mudah seperti “datang sini”.
4. Mengenal beberapa barang kebiasaan seperti susu.
5. Pergi ke arah bunyi.
6. Menggabungkan bunyi vokal dan konsonan (dadada, nananna, tatatata)
7. Menyebut perkataan pertama seperti “bye- bye”, “hai” atau “mama”.
Tip:
– Minta anak lihat mulut kita sambil sebut nama benda.
– Ulang-ulang dan ulang.
– Jangan cakap terlampau laju, anak tak dapat tangkap. Panjangkan setiap suku.
– Ajar “flying kiss” bersama dengan gerakan mulut dan tangan.
-Kerap membersihkan dalam mulut bayi, sama ada guna kain lembab atau berus gigi bayi yang lembut.
– Ajar anak minum air guna straw seawal umur 6 bulan (untuk oral motor).
– Beri arahan sambil guna pergerakan badan.
– Sama-sama ikut anak bercakap seorang diri “tatatata” atau “nananana” sebagai tanda kita berminat untuk mendengar.
– Tepuk tangan dan senyum setiap kali anak berjaya sebut.
– Ajar bunyi-bunyi binatang sambil tunjuk ke arah binatang contohnya “Ini kucing, bunyi kucing “meoww””.
– Abaikan hp semasa anak sedang bercakap, kerapkan mendengar dan melayan.
– Banyakkan rangsangan deria rasa makanan, seeloknya buah dan sayur yang pelbagai.
– Jangan cakap pelat dengan anak .
Point paling penting dalam merangsang percakapan anak adalah ELAKKAN GANGGUAN GADGET ATAU TELEVISYEN, banyakkan masa bercakap dengan anak. Ada yang mengadu dengan saya,
Client: “Anak saya speech delay, tapi saya selalu bercakap dengan dia”.
Saya: “Berapa jam buka tv dan gadget di rumah?”
Client: “Memang kerap buka, tapi anak saya tak tengok pun tv”.

Jadi mana silapnya? Ok, anak bawah umur 1 tahun akan menyerap segala bentuk rangsangan yang ada terutamanya bunyi sebab bunyi ada dimana-mana. Walaupun kita kerap bercakap dengan mereka, tapi dengan ada ‘background” tv walaupun mereka tak tengok tetap dikira gangguan. Anak jadi susah untuk fokus bunyi mana yang sepatutnya didengar dan tidak patut (auditory filtering).
Sudah ada kajian pada awal tahun ini terhadap kesan penggunaan gadget terhadap 900 bayi 6 bulan hingga 2 tahun, hasilnya memang terbukti penggunaan gadget boleh meningkatkan risiko masalah lewat bercakap. Setiap 30 minit terdedah dengan gadget meningkatkan 49% risiko lewat bercakap (expressive speech delay).
Dalam menjayakan setiap tahap ini memerlukan kerjasama semua 7 komponen sensori, kalau salah satu komponen sensori yang terlebih atau terkurang akan menyebabkan anak mengalami kecelaruan sensori. Sebab itu dalam tips di atas ada saya masukkan kerap mengurut bayi dan sebagainya
Selalunya anak yang lewat bercakap memang akan ada masalah kecelaruan sensori, jadi disarankan mak ayah untuk berjumpa occupational therapist (OT) untuk penilaian sensori supaya rawatan yang bersesuaian dapat dilakukan secepat mungkin.
Terima kasih, semoga bermanfaat
Maryam Jamadi
Occupational Therapist / Terapis Carakerja
Kredit: Maryam Jamadi
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI