Pernah kita dengar orang cakap, belajar tinggi-tinggi tapi tak ke mana pun. Last-last, jadi surirumah, urus anak dan keluarga. Sedihnya bila ada yang memperlekeh-lekehkan perkara ini.
Cuba hayati dan fahami apa yang dikongsikan oleh Ruang Aksara dalam coretannya tentang seorang surirumah.
Ada yang berkata macam ni,
Saya seorang suri rumah, saya tak berjaya seperti orang lain..
Orang lain kerja, saya tak ada kerjaya.
Orang lain kerja lepas graduate, saya duduk rumah jadi surirumah lepas graduate.
orang lain ada income ribu riban setiap bulan. saya setiap bulan hanya menunggu. Duduk rumah sahaja.
Orang lain kerja, pakai duit sendiri, beli baju cantik, saya kat rumah, tak ada semangat nak bercantik cantik.
Dalam fikiran, aku gagal, aku gagal, aku tak ada apa-apa. Aku tak macam wanita lain yang bekerja selepas grad. Lepas grad aku duduk rumah jaga anak, rutin sama sahaja setiap hari. Tak keluar bekerja.
Kejayaan Yang Tidak Diraih
Ini khas buat anda, wanita cantik yang bergelar suri rumah..
Ads
Tak ada kejayaan?
Anda dapat berkahwin dengan pasangan anda itu sebenarnya satu kejayaan besar. Ingat lagi saat hati anda berdebar menunggu hari bahagia dan anda berjanji untuk berazam bersama pasangan anda sehingga ke syurga?
Anda berjaya!
Ada orang tak mampu nak kahwin, anda berjaya kahwin dengan pasangan anda. Itu kejayaan besar.
Anda melahirkan anak, ingat itu kejayaan besar dalam kehidupan anda, bukan senang melahirkan anak, bertarung nyawa, anda lah pejuang, melahirkan zuriat.
Ads
Anda berjaya!
Ingat bukan semua orang mampu melahirkan. Andai diletakkan lelaki untuk mengandung pun, belum tentu mereka mampu menanggung satu nyawa baru selama 9 bulan 10 hari. Inilah keistimewaan yang Tuhan berikan kepada wanita.
Bukan sehari dua wahai wanita cantik! 9 bulan hampir nak dekat setahun tu.
Anda berjaya!
Anda di rumah seharian mengurus rumahtangga, Mengurus anak-anak, membantu suami, menjaga anak dengan penuh kasih sayang.
Anda gagal kerana tidak bekerja?
Tidak anda berjaya! Penat menjaga anak anak dan rumah itu andai dikira dengan pahala, pasti tak berhenti mengalir bagai air.
Letih. stress, rasa gagal kerana tidak bekerja?
Puteri kesayangan Rasulullah, Fatimah az-Zahra, pun tak terlepas daripada rasa stress jadi isteri yang uruskan rumahtangga. Bukan sekadar isteri. Isteri yang penuh tanggungjawab. Lalu dia pun jumpa Rasulullah dan mengadu. Lantas, rasulullah pun kata, “mahu kah kamu aku ajarkan sesuatu yang lebih baik dari berikan seorang pembantu rumah?” Fatimah pun hairan.
Ads
“Wahai ayah, apa yang lebih baik daripada pembantu untuk ringankan kerja-kerja rumah ni?”
Dan Rasulullah membalas, “Bertasbihlah (Subhanallah) pada Allah sebanyak 33 kali. Bertahmidlah (Alhamdulillah) pada Allah sebanyak 33 kali. Bertakbirlah (Allahuakbar) pada Allah sebanyak 33kali. Bila ia diamal setiap hari, maka Allah akan mudahkah urusan dunia dan akhiratmu. Dan itu lebih baik daripada seorang pembantu.”
Powerful sangat kan kisah ni?
Masya Allah! Betapa sebenarnya mulianya tugas seorang surirumah. Fatimah kesayangan Rasulullah pun rasa apa yang dirasakan seorang surirumah, seorang isteri.
Setia Urus Rumah Tangga
Hebatnya surirumah yang tak pernah lelah tetap setia mngurus rumahtangga sambil menunggu kepulangan suami, atau seorang wanita berkerjaya yang tak lelah mencuba yang terbaik di rumah.
Menyiapkan makanan, menjaga anak-anak, dalam keletihan tetap teguh. Andalah pejuang yang berjaya wahai surirumah!
️ MW: Jangan malu untuk mengatakan kerjaya kita hanya seorang suri rumah. Inilah kerjaya yang cukup hebat. Suami pun belum tentu dapat memikulnya. Kan!
Sumber: Ruang_Aksara
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tugas isteri bukan sekadar memasak, menyapu sampah dan mengemas rumah. Sedangkan tugas yang dapat dilihat dengan mata kasar inilah sentiasa dipandang oleh pasangan atau bergelar suami. Padahal, kerja-kerja yang melibatkan emosi langsung tidak difikir. Lebih teruk kurang dapat penghargaan daripada keluarga.
Apakah yang dikatakan ‘invisible labor’. Ia bukanlah kerja-kerja rumah yang melibatkan fizikal tetapi kerja mental yang tidak terfikir oleh para suami. Kalau bab memasak, membersih rumah dan sebagainyadiangap kerja rutin isteri. Sebaliknya, bila isteri banyak memikirkan tentang keperluan rumah, susun jadual keluarga dan barangan keperluan anak beranak. Ini sudah cukup memenatkan isteri. Kiranya, dalam kelapa isteri, macam-macam yang difikirkan sematya-mata untuk kebahagiaan keluarga.
Benar juga yang dikatakan oleh Dr Redza Zainol dalam perkongsiannya. Katanya, tugas isteri bukan hanya kerja fizikal tetapi melibatkan kerja-kerja halimunan.
Semua Untuk Keluarga
“Saya nak buat kek hari ni. Abang nak?”
Apa lagi, terus melompat la saya.
“Mestilah nak!” penuh semangat saya jawab.
Terus dia kata jom keluar cari barang. Ahh macam tu je saya termakan umpan isteri. Baru ingat nak duduk rumah hari ni.
Sampai di pasaraya, isteri masuk ke lorong minyak masak, sos cili dan kicap. Satu-satu dia ambil dan masukkan dalam troli.
“Nanti mak abang nak datang kan. Saya beli ni ya.”
“Anak punya ubat gigi pun dah habis.”
Pusing punya pusing, sekejap dah penuh troli tu. Sambil beratur di kaunter pembayaran, saya tanya isteri mana barang untuk buat kek.
Rupa-rupanya, nak beli barang kek kena pergi kedai yang lain. Saya pun gelak aja, dah faham permainan isteri saya.
Akhirnya, kami singgah ke 4 buah kedai. Macam-macam urusan kami selesaikan. Yang paling saya perasan, muka isteri saya jadi berseri-seri. Tersenyum dan nampak dia lega sangat.
Antara kerja yang yang memenatkan isteri bukanlah kerja fizikal tapi kerja yang melibatkan mental.
Isteri saya yang banyak fikirkan barangan di rumah, barang untuk anak. Dialah yang banyak susun jadual kami sekeluarga.
Kerja begini dipanggil sebagai Invisible Labor. Kerja ni wujud pada semua keluarga tapi tak nampak dengan mata kasar.
Yang sedihnya, kerja halimunan ni yang paling kurang dapat penghargaan dari keluarga. Kita hanya nampak kerja yang berbentuk fizikal seperti masak, menyapu dan basuh baju.
Bila kita bantu isteri untuk selesaikan beban halimunan ni, lapanglah kepala isteri. Barulah dia boleh fikir benda-benda gembira pula.
Suami pula dapat tunjuk teladan pada anak lelaki yang teman isteri beli barang, angkat barang dan menyantuni kehendak isteri, itulah contoh baik seorang ketua keluarga.
Pahala dapat, kek pun dapat!
MW: Jangan fikir, isteri hanya buat kerja rumah yang asas sahaja. Bukan itu sahaja memeantkan tetapi dalam kepala isteri kerja-kerja ‘halimunan’ inilah yang menambahkan lagi kepenatan isteri. Kena ingat ya para suami.
Baru-baru ini di sebuah akhbar mendedahkan punca remeh temeh dan ada yang tidak masuk akal berlakunya perceraian. Antaranya, isteri suka membasuh baju pada waktu malam, punggung isteri menggerutu, suami tidak suka isteri makan dalam kereta, lambat menyediakan makanan dan banyak lagi.
Kenapa institusi kekeluargaan hari ini terlalu longgar? Sehingga begitu senang untuk suami melafazkan cerai? Malah perceraian yang berlaku dalam masyarakat seolah-olah menjadi seperti perkara mainan sahaja.
Menurut Inspirator Psikologi Kejayaan, Puan Saleha Idris, “Kata kunci pada perhubungan rumah tangga adalah KENAL dan FAHAM. Apabila kita sudah kenal dan faham barulah kita dapat berkomunikasi dengan baik.
“Membina rumah tangga bukan mudah seperti disangka. Semua alasan yang diberikan untuk meruntuhkan rumah tangga adalah selalunya perkara yang tidak boleh diterima.
“Di dalam psikologi, itu hanya dipanggil sebagai proses adaptasi dan akomodasi. Adaptasi adalah proses penyesuaian pasangan dengan alam perkahwinan.
“Yang mana apa sahaja berlaku kita perlu mengubah cara fikir dan sudut pandang kita sebelum ini dipanggil akomodasi.”
Contohnya seorang isteri atau suami yang kahwin mereka sudah lama membina cara fikir iaitu atas faktor cara kita dibesarkan, sekolah, budaya dan sebagainya.
Ini Punca Suami Mudah Melafazkan ‘Cerai’
Jadi dalam perkahwinan kita perlu ada matlamat untuk memulihkan dan membina keseimbangan di dalam personaliti, gaya hidup, komunikasi dan sebagainya.
1. Selalunya penceraian yang tanpa alasan yang tidak konkrit hanyalah kerana emosi negatif yang melebihi logik. Atau ketidakcerdikan dalam melayari rumah tangga.
2. Kolam jiwa yang penuh kelodak keegoan. Masing-masing menuding jari pada pasangan, isteri tidak faham suami dan suami tidak faham isteri.
3. Mungkin bagi sesetengah pihak merasakan perkara ini melucukan tetapi inilah realiti. Ada kalanya mereka memberikan alasan yang tidak munasabah untuk bercerai, adakah kerana masyarakat kita pada hari ini terlalu memikirkan soal yang remeh temeh?
Soal remeh temeh ini adalah disebabkan gaya hidup kita bukan kepada ketuhanan tetapi lebih kepada materialistik.
4. Apabila seorang isteri melihat suaminya lebih rendah dari sudut pendidikan, kewangan, cara hidup dan sebagainya. Mereka mudah memperlekehkan suami dan tidak tahu untuk hormat.
Suami pula dengan keegoan dan kurang kesabaran akan menyebabkan mereka tidak ada kesatuan dan keserasian.
5. Mudahnya mereka ingat lafaz dan akad yang dihasilkan hanya sebagai mainan duniawi bukan sebagai membina hubungan terus kepada Tuhan hingga ukhrawi.
Perkahwinan tiada matlamat yang jelas hanya untuk membina impian penuh tipuan.
6. Setiap fasa perkahwinan ada ujian tersendiri. Jika tak kuat dan tiada ilmu nak harungi setiap fasa dalam perkahwinan : fasa awal, fasa pertengahan dan fasa akhir maka penceraian yang jadi.
7. Faktor diam sendiri dalam menyelesaikan masalah dan tiada perbincangan dengan yang pakar dan pengalaman membuatkan mereka terjerat dalam kasih yang dibina. Keputusannya CERAI.
Antara penyelesaian yang boleh diambil pertama, terus menerus memenuhi diri dengan ilmu. Hanya dengan ilmu dapat membantu kita. Kedua, ada diskusi dengan kaunselor atau yang lebih berpengalaman.
Apabila berjumpa dengan orang yang lebih pakar, nasihat mereka umpama mutiara yang berharga dapat mengubah sedikit sebanyak mindset kita yang tepu dan kurang ilmu.
Ini Kesannya..
1. Pada Anak-anak
Bagi pasangan yang sudah mempunyai anak, anak yang masih kecil itu menjadi mangsa akibat kebodohan keputusan yang dibuat oleh ibu dan ayah yang hanya pentingkan diri sendiri.
Mereka umpama kain putih suci dan murni. Kita yang mencorakkan kesedihan dan keburukan kepada mereka.
Dalam psikologi, keperluan pertama dalam membina personaliti dan watak diri yang baik adalah bermula saat mereka kecil. Apakah keperluan? Iaitu kasih sayang yang baik dari penjaga anak itu.
Semak kembali anak kita.
Adakah mereka dibina dalam ruang persekitaran kasih sayang atau permusuhan. Akan ada perbezaan personaliti keduanya.
I. Anak yang dibina dalam persekitaran kasih sayang dan positif membesar lebih gembira, sihat dan personaliti yang baik.
II. Anak yang dibina dalam persekitaran sebaliknya akan mudah sedih, sakit dan watak diri yang tidak baik.
2. Kewangan Pun Terganggu
Untuk pasangan yang muda pula, kewangan, dan psikologi diri juga akan terganggu. Mungkin mereka lebih berhati atau ada rasa kerisauan dalam membina rumah tangga yang seterusnya.
Suami Isteri Fahamkan Ini
1. Jangan ingat bila seseorang itu berkahwin, ilmu rumah tangga hadir sendiri. Ia perlu dituntut dan diperoleh.
2. Semua pihak terus mengambil langkah untuk membina kerukunan rumah tangga, institusi kerajaan, swasta terus mengambil langkah supaya statistik penceraian tidak berleluasa.
Matlamat membina keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah itu dituntut di dalam al-Quran dan juga agama lain. Lafaz penceraian adalah mudah dan yang dapat mengharungi rumah tangga adalah yang kuat jiwa mental dan emosi.
Dengar Apa Kata Mereka
Suami Jangan Jatuhkan Hukum Membuta Tuli
“Punca utama penceraian adalah kerana asas kehidupan yang tidak kuat iaitu pendidikan agama. Ramai yang cetek ilmu agama dan salah guna mengikut keperluan mereka dan bukannya supaya kita dapat kembali ke landasan yang betul.
Bila isteri buat silap dalam agama, wajib sang suami yang perbetulkan. Cari pendekatan supaya teguran diterima oleh isteri.
Bukan cari kesalahan isteri dan seterusnya hukum dengan penceraian. Lelaki kenalah jadi khalifah dalam rumah tangga bukannya jadi hakim yang menjatuhkan hukuman secara membuta tuli.
“Tak kurang juga dengan dugaan dekat luar terutamanya di tempat bekerja. Isteri zaman sekarang banyak berkerjaya, nak uruskan rumah tangga, anak-anak dan urusan keluarga yang lain.
Isteri bekerja untuk sama-sama bantu suami, tapi berapa ramai suami yang bila balik kerja sama-sama uruskan urusan rumah?
Kalau perkara asas ini seperti tanggungjawab dan sebagainya dikupas sejak sebelum nikah dan mereka dalaminya, Insya-Allah kes penceraian dapat dibendung dan dikurangkan,” Sharifah Othman
Remeh Pada Orang Luar Tapi Tak Untuk Suami Isteri
“Bila seseorang itu belum berkahwin,ia menganggap isu seperti ini remeh untuk dijadikan alasan bercerai.
“Walau bagaimana pun, situasi berbeza pada pasangan yang sudah berkahwin. Malah, dalam hubungan suami isteri, kadang-kadang ada perkara yang dianggap remeh oleh orang luar tetapi ia boleh menjadi masalah besar jika sudah hidup bersama.
“Oleh itu, kemungkinan alasan tersebut diguna pakai kerana sudah terlalu lama dipendam hingga mendatangkan kesan negatif dalam hubungan perkahwinan tersebut,” Nurul Shamira Rashikin
Jangan Pendam.. Bincanglah Suami Isteri
“Tak dinafikan memang wujud alasan-alasan bercerai yang tak munasabah seperti fizikal isteri yang tidak menepati cita rasa suami dan sebagainya.
Bagi saya itu mungkin disebabkan pengaruh media massa terutamanya televisyen. Isteri pun sama juga, sebab suami tak menepati ciri-ciri yang mereka mahukan maka itu dijadikan alasan untuk berpisah setelah berumah tangga.
Namun begitu, kadang-kadang itu hanya sekadar alasan untuk diberikan kepada orang ramai atau hakim ketika proses penceraian berlaku, mungkin ada alasan lain yang tidak dapat dikongsi.
Bukan itu sahaja, bagi saya keadaan ekonomi dan sara hidup yang tinggi pada masa kini juga menyumbang kepada punca penceraian yang tinggi dalam masyarakat hari ini.
Maka komunikasi itu amat penting dalam sesebuah perhubungan. Kalau ada yang tak kena jangan dipendam dan berbincanglah demi kesejahteraan rumah tangga yang dibina,” Mahadi Ibrahim
Jangan Ungkit, Nanti Konflik Pun Terhindar
“Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya diredhai Allah SWT. Oleh yang demikian, setiap pasangan seharusnya saling melengkapi setiap kekurangan pasangan.
Bagi saya antara perkara yang perlu dititik beratkan dalam menjaga keharmonian rumah tangga ialah jangan melihat ke belakang.
Contohnya, asyik mengungkit alasan saat awal perkahwinan, berfikir secara logik kerana konflik boleh mengheret hal lain yang sebetulnya tidak terlibat, lihat kelebihan pasangan dan bukan sebaliknya.
Insya-Allah dengan berbuat demikian rumah tangga yang terbina akan lebih harmoni dan bahagia,” Mohd Azli
Penulis : Norhayati Suboh & Shahrina Azlin Abdullah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebelum kahwin, dok tanya bilakah aku nak kahwin. Macam-macamlah berangannya. Tapi bila masa dah berdua, harungi pahit manis ditambah pula bila ada anak-anak, timbul rasa mengeluh dengan kehidupan ini.Jangan sesekali menyesal dengan aturan yang Allah berikan ini. Semuanya telah ditentukan. Bersyukurlah dengan apa yang kita dapat hari ini dan lalui dengan penuh keseronokan.
Malah, setiap kita yang normal ingin menikmati keseronokan dalam hidup berkeluarga. Keseronokan ini berhubung dengan soal hati, perasaan dan pengalaman hidup seharian dalam kalangan pasangan suami isteri yang telah mendirikan rumah tangga.
Dengan adanya suasana keseronokan hidup berkeluarga, seseorang itu akan sentiasa bermotivasi untuk pulang ke rumah, berehat di dalam rumah, beriadah di rumah, menghiasi rumah. Namun timbul persoalan iaitu “banyak yang ingin seronok hidup berkeluarga namun tidak bersikap menyeronokkan ahli keluarganya. Ini yang dikupaskan oleh Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga.
Kenapa Tidak Seronok?
Kata pepatah orang Inggeris ada menyebutkan being happy doesn’t mean that everything is perfect. Sebagai manusia biasa, kita bukan maksum (terjamin bebas daripada lakukan salah dan dosa). Justeru, kita semua mesti bersikap baik hati, empati dan sabar dengan kelemahan orang lain khususnya oleh pasangan hidup dan juga kalangan anak-anak kita.
Terdapat beberapa punca wujud gejala rasa tidak seronok hidup berkeluarga adalah disebabkan oleh soal hati, pemikiran dan tingkah laku. Di antara perkara berkaitannya yang menyebabkan timbul gejala tidak seronok hidup berkeluarga ialah;
Niat tidak betul (Iradiyyah) – Misalnya berkahwin dengan niat untuk merampas, mencuri atau merompak harta bakal suami atau isteri.
Ilmu tidak cukup – Di antara ilmu penting sebelum mendirikan rumah tangga ialah ilmu munakahat, kepimpinan keibubapaan, psikologi lelaki dan wanita, personaliti dinamik suami isteri mithali dan kesantunan berbahasa dalam hidup berkeluarga.
Konsep kendiri lemah – Konsep kendiri lemah misalnya tidak miliki jiwa beragama, tidak menghayati sunnah Nabi s.a.w, hidup bermatlamatkan hiburan, wang, kepuasan nafsu dan kecantikan semata-mata.
Hati busuk – Ia akan menyerlahkan imej seorang yang pendengki, pengadu domba, prejudis akan bakat dan rezeki orang lain, menangguhkan kerja, penuh muslihat, kesumat dan menjadikan diri sendiri dan orang lain yang mendampinginya rasa tidak seronok dan tidak bahagia.
Sikap individualistik – Orang begini hidupnya mementingkan keutamaan diri, kepuasan diri dan keuntungan dirinya sendiri sahaja. Lawan sikap individualistik ialah sikap yang prihatin yang menimbulkan nilai empati, bertanggungjawab dan penyayang.
Bukan mudah untuk membasmi gejala tidak seronok hidup berkeluarga ini kerana ia melibatkan soal hati, perasaan, kepercayaan dan budaya hidup seseorang setiap hari. Apabila bersikap baik, ia memberi impak positif kepada perwujudan keseronokan hidup berkeluarga buat beliau seisi keluarga.
Seronoknya Hidup Berkeluarga
Bila kita rasa seronok dengan keluarga dan kehidupan kita, secara tidak langsung:
Badan sihat yang menjadikan seseorang itu kekal berdisiplin memelihara solat dan ibadah lain dalam bentuk berjemaah.
Adanya sokongan daripada setiap ahli dalam institusi keluarga yang akrab, saling tolong menolong dan hormat menghormati di antara satu dengan yang lain.
Adanya ketua keluarga yang miliki sahsiah terpuji, personaliti yang mampan dalam aspek membina dan membawa hala tuju setiap ahli keluarga ke mana sahaja.
Memiliki minda dan akal fikiran yang normal dan sihat
Jiwa yang bersih, sihat dan berfokus kepada membina daya usaha yang gigih untuk mencapai impian yang telah dibina.
Tenteram & Bahagia
Dari segi psikologi, mereka yang alami ketidakseronokan dalam hidup berkeluarga khususnya alami krisis dengan pasangan masing-masing akan melakukan “represi” iaitu sengaja melupakan kepahitan hidup yang sedang dialaminya. Mereka yang melakukan “represi” akan cenderung untuk menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti yang menguntungkan diri misalnya melukis, berniaga, bersukan, berkebun dan seumpamanya.
Menurut Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al Attas (1995) pula menyatakan bahawa keseronokan hidup seseorang yang akan menyumbang ke arah keluarga yang bahagia itu terdiri daripada tiga perkara iaitu:
Aspek diri (Nafsiyyah ) – Memiliki tubuh badan yang sihat dan sempurna, bebas daripada penyakit berbahaya.
Aspek badan (badaniyyah) – Memiliki imej diri yang baik, wajah yang menarik, keterampilan yang berkarisma dan berwibawa.
Aspek luar diri manusia (Kharijiyyah) – Memiliki harta benda yang mencukupi dan membantu diri seseorang itu menikmati kelangsungan hidup dengan sempurna dan bahagia.
KESIMPULAN
Perasaan seronok dalam menikmati hidup berkeluarga setiap hari amat penting. Ia boleh menjana kesihatan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Keseronokan lawannya kesedihan. Kesedihan hidup yang berpanjangan mengundang masalah kendiri dari segi kesihatan mental, emosi dan batin.
Jika tidak dirawat dan dicegah, ia boleh mengundang krisis psikososial yang lebih besar misalnya isu peningkatan kadar perceraian dalam kalangan masyarakat, keganasan dalam rumah tangga dan adanya isteri atau suami yang rasa tidak selamat hidup dalam rumah sendiri.
Realitinya, keseronokan hidup berkeluarga juga boleh dirancang sama ada sebelum mahupun selepas berkahwin. Ia banyak bermula daripada niat dan tindakan yang ikhlas dan betul. Dalam banyak perkara, golongan lelaki selaku suami mesti memainkan peranan penting bagi mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia Suami yang baik bukan sahaja hebat memimpin ummah malah sepatutnya hebat memimpin setiap ahli dalam rumahnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ibu hilang ingatan akibat komplikasi bersalin anak ke-18, "semua benda tak ingat kecuali Qurannya...". Insiden seorang lelaki kurang upaya dibelasah di Terengganu cukup mendatangkan...