Dalam suasana penuh adat istiadat dan kemuliaan diraja, hari ini menjadi saksi bersatunya dua jiwa dalam ikatan suci. Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selamat diijabkabulkan dengan Cik Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Menyusuli detik bersejarah itu, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri kepada Cik Afzaa.
“Dengan penganugerahan itu, gelaran rasmi konsort kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor adalah Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz,” titah Datuk Pengelola Bijaya Diraja Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan.
Majlis perkahwinan diraja itu berlangsung dengan penuh keanggunan, dihadiri kerabat diraja, tetamu kenamaan serta dif-dif jemputan. Adat istiadat Melayu Selangor diserikan dengan doa restu, menjadikan penyatuan ini bukan sahaja diraikan sebagai perkahwinan diraja, tetapi juga simbol kasih, tanggungjawab dan harapan bagi masa depan negeri.
Tergamak benar manusia menumpahkan darah di rumah yang seharusnya menjadi tempat berlindung. Tragedi berdarah yang menimpa Allahyarham Sariya Che Hin, 51 tahun, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11 tahun, di Kampung Sekolah, Juru, Seberang Perai, Pulau Pinang, terus mengundang pilu dan persoalan.
Menurut hasil bedah siasat oleh Pakar Perunding Patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Zahari Noor, Sariya dipercayai menjadi mangsa pertama dalam kejadian ngeri itu.
Kesan kecederaan pada tubuhnya menunjukkan wujud pergelutan hebat, seolah-olah wanita tabah itu berjuang habis-habisan untuk menyelamatkan diri, mungkin juga untuk melindungi anak kecil yang amat disayanginya.
“Corak kecederaan menunjukkan mangsa cuba menangkis serangan. Kami percaya berlaku pergelutan antara Sariya dan suspek sebelum beliau tewas di tangan penyerangnya,” ujar Dr. Zahari.
Mayat Sariya ditemukan di ruang dapur rumah sewa mereka dalam keadaan ngeri, kepala hampir putus. Manakala Nur Afrina Alisha pula dijumpai meniarap berlumuran darah di tingkat atas, dipercayai diserang tidak lama selepas ibu angkatnya.
Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia akibat tetakan parang di bahagian belakang leher, dipercayai dilakukan menggunakan senjata tajam sejenis pisau pemotong daging, bukan pisau biasa.
Anak kecil itu, yang sejak bayi dipelihara Sariya, merupakan cucu kepada kakak wanita berkenaan. Sariya sendiri mempunyai seorang anak lelaki berusia 28 tahun hasil perkahwinan pertamanya.
Tragedi ini disedari apabila suami mangsa pulang ke rumah sekitar jam 7.30 malam kelmarin dan menemui kedua-duanya dalam keadaan menyayat hati. Polis kini mengklasifikasikan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Lelaki berusia 57 tahun itu, suami kepada mangsa, telah direman selama seminggu hingga 25 Oktober bagi membantu siasatan.
Selepas bedah siasat selesai dijalankan petang semalam, jenazah Sariya dan Afrina Alisha dimandi, dikafankan dan dituntut keluarga sekitar jam 5.55 petang. Mereka dibawa pulang ke kampung halaman di Jeneri, Sik, Kedah, untuk disemadikan bersama, seorang ibu dan anak yang tidak lagi dapat dipisahkan, meskipun oleh kematian.
Sementara itu, anak kepada mangsa bunuh di Kampung Sekolah Juru, Seberang Perai merayu agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat palsu berhubung insiden tragis yang menimpa keluarganya.
Mohd Noor Hafifi Hassan, 28, anak kepada Sariya Che Hin, 51, dan abang kepada Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, berkata, keluarga mereka masih terkejut, trauma dan sedih dengan tragedi itu yang berlaku semalam.
“Saya harap netizen jangan buat spekulasi atau tuduhan melulu. Kami masih bersedih dan perlukan ruang untuk tenangkan diri,”ujarnya mengakhiri perbualan.
Degup jantung para aktivis kemanusiaan kian deras apabila komunikasi terakhir mereka sebelum terputus kedengaran dingin dan menggerunkan. “See you in jail” – itulah mesej provokasi yang diterima peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF), sebelum talian radio kapal dipintas rejim Israel.
Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana, sempat memuat naik IG Story yang menceritakan detik cemas itu. Menurutnya, tentera Isr4el menyekat talian internet, memadamkan akses komunikasi sebaik sahaja kapal Mikeno yang dinaikinya berada di Zon Merah R3 sejak jam 9 malam waktu Gaza.
“Saya sedang cuba sorok telefon bimbit saya. Tentera Israel sedang sekat semua line internet kami… Kami tunggu masa untuk live semula. Doakan kami dan rakan-rakan kami,” tulis Ardell dalam catatan singkatnya.
Setakat jam 4.30 pagi, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan tiga kapal misi – Alma, Sirius dan Adara – telah ditawan tentera Israel. Malah, lapan amaran kecemasan tahap tinggi telah diaktifkan.
Kapal Alma membawa tiga aktivis Malaysia: Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil, manakala kapal Sirius pula menempatkan Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi.
Namun, status sebenar kesemua aktivis di atas kapal masih belum diketahui. Apa yang pasti, tujuh rakyat Malaysia kini disahkan ditahan secara tidak sah oleh rejim Zionis.
Meskipun berdepan ancaman, Ardell menegaskan bahawa seluruh peserta flotilla tetap berpegang pada matlamat asal mereka: menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat G4z4 yang sedang menderita.
“Belum cukup membongkarkan kegiatan mereka! Ya Allah, selamatkan semua orang awam yang bersama kami untuk hantar bantuan kemanusiaan di G4z4. Walaupun kami telah dikepung, kami yakin Allah bersama kami,” ujarnya penuh reda dan tawakal.
Kini, nasib 23 aktivis Malaysia yang menyertai konvoi pelayaran ini terus menjadi tanda tanya. Dunia menanti dengan debar, apakah khabar mereka yang kini ditawan dalam perjalanan suci membawa bantuan ke bumi G4z4.
3 kapal diserang.
12 kapal aktifkan SOS emergency.
Kapal-kapal kecil disimbah air.
Beberapa aktivis, termasuk 7 rakyat Malaysia, ditahan.
Siaran langsung oleh Haroq, Ardell, Zizi & Farah Lee terputus – hanya Hazwani sempat bersiaran lebih lama.
Semua live berakhir apabila kapal Israel menghampiri flotilla.
Isyarat internet dipercayai diganggu secara sistematik.
Sukarelawan diminta membuang telefon ke laut demi keselamatan.
Usahawan terkenal dan pengasas jenama tudung mewah Bawal Exclusive, Haliza Maysuri terus membuktikan keteguhan empayarnya dalam industri fesyen apabila menyasarkan jualan sebanyak RM10 juta menerusi authorised reseller di negeri Pahang bermula dari pembukaan butik ByQiss by Bawal Exclusive sehingga menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun depan.
Menurut Haliza, keyakinan itu bersandarkan sambutan luar biasa daripada pelanggan setia di butik berkenaan yang terletak di Kuantan sekaligus menjadikan Pahang antara pasaran paling rancak buat jenamanya.
“Dengan pembukaan butik ByQiss yang lebih selesa, eksklusif dan teratur, saya yakin kami boleh capai jualan RM10 juta di negeri ini menjelang Aidilfitri,” katanya optimis.
Menariknya, setiap reseller sah Bawal Exclusive diberikan keistimewaan untuk menampilkan rekaan tersendiri, bagi mengekalkan keunikan dan identiti butik masing-masing di bawah rangkaian jenama itu.
“Kami menitikberatkan elemen eksklusif. Setiap reseller bebas menghasilkan rekaan unik mereka sendiri. Walaupun ini kali pertama ByQiss melancarkan koleksi khas, sambutannya amat luar biasa,” ujar Haliza yang terkenal dengan ketelitian dan sentuhan mewah pada setiap helaian tudung keluarannya.
Lebih daripada sekadar mengejar keuntungan, Haliza menegaskan bahawa empayar fesyen yang dibinanya turut berpaksikan nilai kemanusiaan.
“Saya tidak mahu perniagaan ini berteraskan keuntungan semata-mata. Sebahagian hasil jualan disalurkan kepada mereka yang memerlukan — melalui zakat dan bantuan kebajikan. Lagi banyak kita berniaga, lagi banyak pahala yang mengalir,” jelasnya penuh makna.
Haliza turut berkongsi bahawa beliau antara pembayar zakat terbesar di Selangor dan menganggap usaha itu sebagai saham akhirat yang bakal diteruskan oleh anak-anaknya melalui yayasan yang diasaskan.
“Saya percaya, bila kita memberi dengan ikhlas, pelanggan juga akan terus menyokong. Itu keberkatan sebenar dalam perniagaan.”
Sementara itu, Pengasas Butik ByQiss Pahang, Datin Hamizan Puteh, menzahirkan rasa syukur atas sambutan hangat semasa pelancaran rasmi butik berkenaan.
“Pembukaan butik ini sebenarnya hadir atas permintaan pelanggan sendiri. Lokasinya strategik, memudahkan peminat Bawal Exclusive mendapatkan koleksi terkini dengan lebih selesa,” katanya.
Dalam majlis yang sama, Hamizan turut memperkenalkan koleksi mewah Helaian ByQiss bernilai RM990, yang pertama kali diperkenalkan di Osaka, Jepun.
“Rekaan ini diinspirasikan daripada konsep Yin & Yang — lambang keseimbangan antara kebaikan dan keburukan. Ia juga refleksi perjalanan hampir sedekad saya dalam industri yang penuh suka duka,” ujarnya.
Tidak berhenti di situ, beliau turut memperkenalkan koleksi kedua, Bawal Mizan, yang dinamakan sempena namanya sendiri.
“Empat garisan pada rekaan ini membawa makna mendalam. Perjalanan hidup yang tidak selalu lurus, penuh pasang surut sebelum akhirnya mencapai keseimbangan. Koleksi ini amat dekat di hati saya,” tambah Hamizan dengan senyuman.
Dengan gabungan visi perniagaan berjiwa sosial oleh Haliza Maysuri dan sentuhan kreatif beridentiti lokal oleh Datin Hamizan, butik ByQiss bukan sekadar destinasi membeli tudung mewah, tetapi juga simbol keanggunan, kekuatan dan keseimbangan wanita moden masa kini.