Dalam hidup seorang wanita, bahagia sering kali menjadi sesuatu yang dikejar, tetapi jarang benar-benar dimengerti. Kita dibesarkan untuk percaya bahawa kebahagiaan itu datang bila orang lain menyayangi kita, bila suami memahami, bila keluarga sempurna.
Namun drama Mutiara Dalam Debuan Kabus membawa kita menyelami hakikat yang lebih dalam, bahawa bahagia sebenar itu bukan tentang siapa di sisi kita, tetapi tentang siapa kita di dalam diri.
Kadangkala, untuk menemukan diri yang sebenar, takdir menuntut kita untuk kehilangan segalanya terlebih dahulu. Ingatan, cinta, bahkan nama sendiri. Begitulah nasib seorang wanita bernama Airina, yang hidupnya berubah sekelip mata selepas satu kemalangan tragis.
Segalanya Hilang Sekelip Mata
Apabila dia membuka mata di katil hospital, segalanya kosong. Tiada kenangan, tiada identiti, hanya kekeliruan yang menyelubungi mindanya. Dunia memperkenalkannya sebagai Aslin, isteri kepada lelaki bernama Uzzam Zulkarnain seorang suami yang berjaya namun dingin, dan ibu kepada seorang anak kecil yang hampir tidak mengenalinya.
Namun kehidupan yang ditempuh sebagai Aslin bukan seperti kisah bahagia yang dijangka. Rumah tangganya penuh retak, kasih yang sepatutnya menjadi penyembuh kini bertukar menjadi luka. Dia dituduh curang, dihina sebagai isteri yang tidak tahu menghargai, dan dicemuh kerana gagal menjadi ibu yang sempurna.
Ads
Tetapi di tengah kepedihan itu, Airina memilih untuk melihat kehilangannya sebagai peluang. Dia ingin menjadi isteri dan ibu yang lebih baik. Dia mahu menebus segala kekhilafan yang dia sendiri tidak mengingatinya. Dia mahu mencipta bahagia, walaupun dia tidak tahu siapa dirinya yang sebenar.
Namun takdir sekali lagi datang menguji. Rahsia demi rahsia terbongkar. Airina akhirnya mengetahui bahawa dia bukan Aslin, dan Uzzam bukan suaminya yang sah. Hidupnya yang baharu rupanya hanyalah sandiwara yang diatur oleh tangan-tangan tersembunyi. Lebih menyayat hati, ada mata yang sentiasa memerhati, menunggu masa untuk menyingkirkannya.
Di saat dunia seakan runtuh, Airina belajar sesuatu yang sangat besar iaitu bahagia tidak pernah ditentukan oleh siapa kita bersama, tetapi oleh siapa kita pilih untuk jadi.
Dia boleh terus hidup dalam penipuan, berpura-pura menjadi seseorang yang bukan dirinya. Atau dia boleh bangkit, berani menuntut kebenaran, dan mengenali semula dirinya yang sebenar. Dan itulah yang dia lakukan. Dengan hati yang luka tetapi tabah, Airina memilih jalan yang penuh bahaya . Semata-mata untuk mencari makna sebenar hidup dan cinta.
Ads
Kerana bahagia bukan milik mereka yang disayangi, tetapi milik mereka yang berani menyayangi diri sendiri.Bahagia itu pilihan kita, bukan orang lain. Konflik yang ditonjolkan dalam Mutiara Dalam Debuan Kabus mungkin dikatakan klise tetapi ini adalah realiti sebenar yang dihadapi dalam masyarakat kita.
Dan kadangkala, untuk menemukan kebenaran itu, kita perlu kehilangan segalanya dahulu termasuk siapa diri kita yang kita sangka kita kenal.
Jangan lupa menyaksikan konflik demi konflik menerusi Mutiara Dalam Debuan Kabus setiap Isnin hingga Khamis menerusi slot MegaDRAMA pukul 10 malam di saluran Astro RIA.
Dewan Perniagaan Muslim Insiders dengan bangganya bakal menganjurkan penganugerahan berprestij ‘Islamic Distinguished Entrepreneur’ (IDEA Award 2023) pada 3 November depan di Hotel St Regis Kuala Lumpur.
IDEA Award 2023 adalah bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada usahawan Muslim yang telah mencapai tahap keunggulan luar biasa dalam pelbagai sektor ekonomi.
Iktiraf Usahawan Muslim Unggul & Berkaliber
Tak ketinggalan juga meraikan pemilik perniagaan bukan Islam yang mengamalkan ciri-ciri ‘Muslim-friendly businesses’.
Acara yang bakal menjadi sorotan tahunan ini akan dihadiri dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai tetamu kehormat serta barisan pemimpin konglomerat yang turut sama meraikan para usahawan Muslim terbilang.
Anugerah berprestij ini turut akan memberikan peluang kepada usahawan terbaik untuk menerima pengiktirafan yang mereka layak, dan pada masa yang sama, memperkukuhkan komuniti perniagaan Malaysia Madani.
Waqaf An-Nur, selaku peneraju institusi wakaf korporat yang bertindak sebagai pemangkin pembangunan industri kewangan sosial Islam turut sama bersinergi sebagai penerima wakaf manfaat dalam majlis penganugerahan berprestij ini.
Presiden Muslim Insiders, Profesor (Adj) Haji Adam Richman berkata anugerah ini cukup unik.
“Ini kerana ia tidak hanya mengiktiraf pencapaian dalam bidang perniagaan yang meliputi inovasi, kelestarian perniagaan, impak sosial, dan kepelbagaian, tetapi juga menilai kesediaan usahawan terbilang untuk mengabdikan dirinya kepada Allah SWT melalui perniagaan.
“Sekali gus dalam usaha memenuhi tuntutan fardhu kifayah dengan menyediakan perkhidmatan serta manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya.
Tambahnya lagi, panel juri terdiri daripada dua insan berkaliber.
“Mereka ialah Prof. Madya Dato’ Dr Izhar Ariff Mohd Kashim selaku panel syariah dan Datuk Wan Azmir Wan Majid ( panel perundangan).
“Kedua mereka menilai pencalonan dengan teliti. Tak ketinggalan malam kemuncak itu nanti bakal diserikan Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah dan kumpulan nasyid otai, Hijjaz,” katanya.
Anugerah Berprestij IDEA Award 2023
Untuk rekod, penerima anugerah akan menerima trofi dengan ukiran khat ‘Mari Menuju Kejayaan’ pada puncak trofinya sebagai simbolik pencapaian cemerlang mereka dalam jatuh bangun perniagaan.
Katanya lagi, anugerah ini menjadi platform yang luar biasa untuk mengiktiraf usaha cemerlang usahawan Muslim di Malaysia.
“Kami percaya bahawa usaha ini tidak hanya memberi manfaat kepada perniagaan mereka, tetapi juga masyarakat dan ekonomi Malaysia Madani. Anugerah ini adalah satu langkah penting untuk menyokong pertumbuhan perniagaan komuniti Muslim yang cemerlang dan berdaya saing,” katanya.
Pencalonan untuk anugerqh ini masih dibuka dan calon yang layak dijemput untuk menghantar pencalonan mereka melalui pautan link
Anugerah ini dijangka akan menjadi sebuah acara berprestij yang akan dihadiri oleh tokoh penting dalam dunia perniagaan dan politik, serta membuka peluang kepada usahawan untuk berkongsi pengalaman dan wawasan mereka.
Untuk maklumat lanjut mengenai IDEA Award 2023, sila layari laman web rasmi www.musliminsiders.com. Anugerah ini turut dikoordinasikan oleh Eventopedia dan KNKV Group sebagai rakan strategik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pepatah mengatakan, “Untuk benar-benar mengenali dunia, kita perlu terlebih dahulu mengenal latar belakang sendiri.”
Seiring dengan persediaan negara dalam mengalukan kedatangan pelancong antarabangsa sempena dengan kempen melawat Malaysia 2026, kita perlu merebut peluang ini untuk menerokai destinasi tersembunyi dalam negara.
Anda pasti pernah terdengar tentang Sabah dan destinasi pelancongannya yang menarik dari gunung yang tinggi, hingga ke lautan yang dalam. Sebagai pulau ketiga terbesar di dunia, negeri Sabah yang terletak di bahagian utara kepulauan Borneo, menawarkan banyak tempat-tempat pelancongan yang menarik dan harus dilawati.
Destinasi Versatil
Memang tidak dinafikan lagi, Sabah merupakan sebuah destinasi yang versatil. Sama ada anda gemar menyelam, meredah hutan, meneroka budaya atau pengembaraan, negeri Sabah merupakan destinasi pelancongan yang sesuai untuk perjalanan solo, berbulan madu, aktiviti berkumpulan atau dinikmati bersama keluarga. Kenali 6 tempat yang wajib dilawati di Sabah untuk setiap jenis pengembara.
Si Pencinta Alam
Pencinta alam pastinya akan menyukai khazanah eko di Sabah, dari gunung yang tinggi hingga ke lautan yang dalam. Mari kita telusuri ke salah sebuah hutan hujan di Sabah iaitu Maliau Basin sambil menikmati muzik alam semula jadi. Bermula dari panggilan sang ungka pada waktu pagi hingga alunan bunyi si reriang yang kuat dan membingit telinga pada jam 5 petang.
Tamsilnya, Lembangan Maliau dan kawahnya yang unik merupakan salah satu misteri alam semula jadi terhebat di Borneo. Maliau Basin menawarkan pakej pendakian selama 5 hari, bagi lawatan air terjun yang terkenal, termasuklah merasai pengalaman berkhemah dalam hutan.
Walau bagaimanapun, jika anda belum bersedia untuk menghadapi pengalaman berkhemah, Pusat Kajian Lembangan Maliau juga menawarkan penginapan yang lebih selesa di rumah penginapan mereka. Penginapan ini sesuai bagi mereka yang mengambil pakej pendek untuk melakukan aktiviti seperti safari malam, berjalan menyusuri kanopi dan trekking ringan.
Bayangkan keindahan rantau dan peluang yang bakal dirasai apabila anda dapat melihat hidupan liar di sini. Pastinya percutian ini menjadi pakej yang tidak ternilai bagi pencinta alam di luar sana.
⦁ Destinasi bulan madu
Jika anda ingin menikmati suasana percutian romantik, Bigfin Beach Resort Kota Belud merupakan salah satu lokasi percutian anda yang ideal. Resort pantai yang menarik dan eksklusif ini terletak di atas bukit dengan pemandangan Teluk Mengakabar dan Pulau Pandan yang menakjubkan.
Pasangan bulan madu boleh menikmati pengalaman menyelam dengan persekitaran yang tenang di resort ini yang mempunyai kemudahan pusat menyelam PADI 5 bintang. Aktiviti lain termasuk papan kayuh berdiri, berkayak, snorkeling dan merentas hutan pada waktu malam.
Oleh kerana resort ini hanya mampu menampung maksimum 21 orang sahaja dalam satu masa sekaligus pasangan pengembara dapat menikmati percutian mereka di tepi pantai secara peribadi.
⦁ Kaki makan
Selain makanan tradisional, ramai pelancong gagal menyedari bahawa hampir setiap daerah mempunyai makanan yang unik untuk lokalitinya. Misalnya, bahagian pantai timur Sabah di Sandakan, merupakan destinasi yang sesuai untuk kaki makan merasai pengalaman pelbagai kulinari. Sebagai permulaan, bandar ini terkenal dengan makanan lautnya yang segar dan murah. Antaranya ialah udang, ketam, kerang dan ikan yang dimasak menjadi juadah yang pelbagai. Selain itu, Sandakan juga terkenal dengan tart UFO, yee mee udang Sandakan, nasi kuning dan bah kut teh.
Bagi sesi minum petang pula, lokasi yang digemari ramai termasuklah Kedai Kopi Baru Bar Lok Yuen yang menyediakan ‘roti kahwin’ panas, pilihan pastri dan ayam goreng yang terkenal dari Mee Ngar, dan minuman cincau dari Kedai Yap Syn Kee.
Walau bagaimanapun, disamping keseronokan mencuba pelbagai makanan di Sandakan, terdapat beberapa lokasi yang terkenal di bandar ini yang harus dilawati, seperti Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC), Muzium Agnes Keith dan Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo (BSBCC) di Sepilok bagi peluang melihat maskot hidup TMM 2026.
⦁ Penggemar pengembaraan
Penggemar aktiviti pengembaraan pasti bakal teruja apabila mereka mengetahui tentang senarai pilihan yang terdapat di Sabah. Dari segi sukan lasak, Sabah terkenal dengan penganjuran pertandingan larian denai. Acara tahunan seperti Jejak Ultra TMBT dan Ultra Kadamaian bakal berlangsung tidak lama lagi pada bulan Julai dan Ogos ini di bawah gabungan siri Asia Trail Master. Kebiasaanya, anjuran ini diadakan di kawasan luar bandar kerana hutan hujan pergunungan di Borneo mempunyai rupa bumi berceranggah sesuai untuk larian denai yang mencabar.
Bahkan, ramai pelari yang berlumba akan mengambil kesempatan untuk berehat selepas perlumbaan dengan aktiviti berkhemah, mandi sungai dan menyertai program homestay. Walau bagaimanapun, jika larian denai terlalu lasak untuk anda, terdapat juga aktiviti pengembaraan santai lain yang boleh dilakukan. Antaranya, anda boleh berakit di Sungai Padas, luncur layar di Bukit Kokol, berbasikal di Lahad Datu, atau mengharungi ngarai Sungai Taralamas. Aktiviti ini pasti akan mencetuskan adrenalin yang menyeronokkan dan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.
⦁ Pencinta Budaya
Sesetengah pengembara suka menyelami budaya masyarakat tempatan. Malah mereka menganggap melancong sebagai peluang terbaik untuk mempelajari budaya, sejarah dan gaya hidup komuniti tempatan. Salah satu cara terbaik untuk merasai budaya dan tradisi Sabah adalah dengan menyertai lawatan homestay yang selalunya dikendalikan oleh penduduk tempatan di kawasan luar bandar sebagai inisiatif pelancongan berasaskan komuniti (CBT).
Bahkan, terdapat lebih 30 persatuan pelancongan daerah Sabah yang aktif dalam menawarkan produk CBT seperti inap desa. Sebagai contoh, Homestay Sunsuron di Tambunan menawarkan pengalaman tempatan asli yang dipilih susun oleh tuan rumah Kadazandusun sendiri.
Aktiviti lain termasuklah lawatan ke Pusat Maklumat Rafflesia, lawatan perkampungan, penanaman padi, mendaki ke Bukit Kolindasan dan kelas membuat tapai. Lazimnya semasa malam kebudayaan, tetamu dapat mengambil bahagian dalam tarian dan seterusnya berpeluang mempelajari tarian tradisi. Pengalaman seperti ini sangat menyeronokkan dan memperkaya pengalaman budaya.
⦁ Peminat kemewahan
Bagi pelancong yang mementingkan suasana santai seperti layanan VIP, Gaya Island Resort di Kota Kinabalu merupakan tempat yang paling sesuai untuk dikunjungi. Perjalanan bot yang singkat dari terminal Jesselton Point akan membawa anda terus ke resort pantai tropika yang zen di sudut Taman Marin Tunku Abdul Rahman.
Bahkan, tempat peranginan eko-mewah berhadapan pantai ini berlatarbelakangkan hutan hujan semula jadi. Terdapat juga aktiviti menarik yang boleh dilakukan, seperti berkayak bakau, yoga, perkelahan pantai, dan pengalaman kulinari Borneo, semuanya di kawasan resort peranginan ini, seterusnya memberikan pengalaman yang intim.
Setiap vila di resort ini direka khas dengan keanggunan kontemporari yang luas untuk memberi pengenalan budaya di Sabah. Setiap kakitangan Gaya Island Resort juga berdedikasi untuk menyediakan perkhidmatan hospitaliti yang terbaik mengikut keperluan setiap tetamu. Bagi percutian yang tenang, Gaya Island Resort oleh YTL juga menawarkan pengalaman eksklusif di darat dan laut.
Sama ada anda mendambakan adrenalin atau lebih suka percutian santai, Sabah akan sentiasa menawarkan tempat menarik untuk setiap jenis personaliti pengembara. Negeri ini menawarkan penerokaan, penemuan, dan pengalaman menakjubkan yang bakal mentakrifkan Sabah sebagai destinasi utama untuk budaya, pengembaraan dan alam semula jadi.
Justeru, anda dijemput datang beramai-ramai untuk mengunjungi Pavilion Sabah pada 18 hingga 20 April 2025 di Pameran Pelancongan Matta, MITEC Kuala Lumpur untuk mengetahui maklumat lanjut tentang tempat-tempat menarik di Sabah. Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bersama lebih 40 agensi pelancongan dari Sabah akan mempamerkan pakej-pakej pelancongan menarik ke Sabah.
Bahkan banyak kejutan hadiah yang bakal ditawarkan dan aktiviti menarik seperti permainan Watch & Win and Find Me! Selain itu, dengan tema ‘Teroka Sabah, Dulu Bah’ STB akan memberikan rebat baucar pelancongan sehingga RM100.00, dengan setiap pembelian transaksi yang dibuat daripada mana-mana ejen pelancongan dan hotel Sabah.
Pameran Matta ini juga akan mempamerkan jenama pakaian tempatan Chanteek Borneo dan minuman premium Uinah di Pavilion Sabah. Rebutlah peluang ini dan jumpa di sana!
Maklumat lanjut di www.sabahtourism.com
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sedekad telah berlalu, namun semangat World #QuranHour terus bergema, menyatukan umat Islam dalam satu matlamat – kembali kepada petunjuk Ilahi. Tahun ini, acara penuh keberkatan ini bakal berlangsung pada 24 Ramadan 1446H bersamaan Selasa, 25 Mac 2025, membawa tema #SavingTheUmmah berlandaskan Surah Al-Saff sebagai pedoman utama.
Sebagaimana firman Allah SWT:
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Ramadan & Al-Quran: Dekat di Hati, Dekat dengan Tuhan
Setiap kali Ramadan menjelma, ramai antara kita mengambil peluang untuk lebih akrab dengan al-Quran—bertadarus, berkhatam, dan memperbaiki bacaan. World #QuranHour hadir sebagai satu platform istimewa untuk kita semua berkumpul, berinteraksi dengan kitab suci ini, dan menanam azam untuk terus hidup dalam naungan al-Quran.
Tahun ini, acara utama akan berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 25 Mac 2025, dari pukul 12 hingga 1 tengah hari.
Kenapa Surah Al-Saff?
Dalam Surah Al-Saff, Allah menyeru kita untuk bersatu hati, menjadi insan yang teguh dalam perjuangan, serta mencontohi semangat Hawariyun, para pembantu agama Allah. Surah ini menjadi peringatan buat kita semua—bahawa dalam dunia penuh cabaran ini, hanya dengan bersandarkan kepada ajaran al-Quran, umat Islam mampu kembali kuat dan bersatu.
10 Tahun, 7.72 Bilion Capaian – Al-Quran Mendekatkan Kita
Dalam tempoh sedekad, kempen #QuranHour terus berkembang, merangkumi: ✅ World #QuranHour ✅ Arafah #QuranHour ✅ Malaysia #QuranHour ✅ World #QuranConvention
Sehingga kini, inisiatif ini telah mencapai 7.72 bilion capaian di media sosial dan diadakan di 313 lokasi di 76 negara.
Di sebalik fenomena ini, World #QuranHour mendapat sokongan penuh dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pelbagai rakan sinergi seperti Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Karya Bestari, Rasuah Buster, Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran, dan banyak lagi.
Dari 10 Minit ke 1 Jam Bersama Al-Quran
Inspirasi #QuranHour bermula pada tahun 2014, diilhamkan daripada program Let’s Read Together For 10 Minutes anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Pada tahun 2015, ia berkembang menjadi #MalaysiaNgaji, yang mengajak umat Islam menghabiskan satu jam berinteraksi dengan al-Quran.
Setahun kemudian, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM menjadi saksi pertama kepada pelaksanaan World #QuranHour, membuka ruang untuk ia berkembang menjadi fenomena global yang memberi impak kepada jutaan hati dan jiwa.
Jom, Sama-sama Rebut Keberkatan!
Ramadan datang setahun sekali, dan mungkin ini peluang kita untuk berinteraksi dengan al-Quran lebih daripada biasa. Jadi, ayuh sama-sama sertai World #QuranHour, sama ada secara langsung di lokasi utama atau di mana sahaja kita berada!
Kerana setiap ayat yang kita baca, fahami, dan amalkan, bukan hanya memberi sinar buat diri sendiri tetapi juga untuk #SavingTheUmmah.