“Ibu akan sentiasa menyayangi dan merindui kamu, selalu…”
Itulah bait kata yang menggoncang jiwa seorang ibu yang kehilangan anak gadisnya dalam tragedi penuh tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, semalam.
Dalam satu hantaran di Facebook, wanita itu meluahkan rasa rindu yang tidak bertepi terhadap pemergian anak perempuannya yang baru berusia 16 tahun anak yang selama ini menjadi sumber ketenangan dan kebanggaan keluarga.
“Dia seorang anak yang sangat penyayang, baik hati dan berdisiplin. Sejak kecil, dia tidak pernah membuat kami risau.
Dia sentiasa mengambil berat terhadap ibu bapa dan orang lain, serta tidak pernah meminta apa-apa daripada kami,” tulis si ibu, yang kini hanya mampu berbicara dengan bayangan memori.
Baginya, anak yang pergi itu bukan sekadar darah daging, tetapi cerminan kasih yang paling tulus.
Ads
Luahan Pilu Ibu
“Anak seindah itu, namun ditimpa nasib yang begitu kejam. Saya benar-benar kehilangan kata-kata, hati saya amat sakit. Semoga dia berada dalam keadaan baik di dunia lain, semoga rohnya tenang dan bahagia.”
Luahan itu diakhiri dengan ungkapan yang meruntun hati.
“Ibu akan sentiasa menyayangimu dan merindui kamu, selalu.”
Dalam nada tenang yang menyembunyikan derita, wanita itu turut berterima kasih kepada semua yang mengirim doa dan kata semangat buat keluarganya yang kini berdepan kehilangan paling pedih dalam hidup.
Dalam kejadian sekitar jam 9.10 pagi kelmarin, pelajar perempuan berusia 16 tahun itu ditemui berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman pada badan. Polis kemudian menahan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dan merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian.
“Sariya orang yang baik, tak pernah bermusuh dengan sesiapa… sukar nak terima dia dan anaknya dibunuh kejam begitu.”
Demikian luahan pilu Sara Hamid, 76, ibu saudara kepada Allahyarhamah Sariya Che Hin, 51, yang maut bersama anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11 atau mesra dipanggil Wardah dalam kejadian tragis di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru, Seberang Perai, Pulau Pinang malam semalam.
Menurut Sara, berita pemergian dua beranak itu amat mengejutkan, sehinggakan dia hampir pengsan sebaik dimaklumkan tentang kejadian.
“Wardah itu anak saudara Sariya yang dijaganya sejak kecil. Mereka berdua sangat rapat, macam ibu dan anak kandung.
Tergamak pembunuh itu buat begitu pada mereka… sedangkan Sariya tak pernah ada musuh,” katanya sebak ketika ditemui di Kampung Kuala Jeneri, Kedah.
Sara memaklumkan, sebaik menerima berita, dia bersama ahli keluarga lain bergegas ke lokasi kejadian. Namun, mereka tidak dibenarkan masuk kerana siasatan sedang dijalankan.
“Kami tunggu di luar rumah. Bila diberitahu keadaan mereka… kami tak sanggup nak tengok. Biarlah ingatan terakhir kami pada wajah ceria mereka masa Aidilfitri lepas,” ujarnya dengan suara tersekat.
Tambahnya, Aidilfitri lalu menjadi kenangan terakhir mereka berkumpul sebagai keluarga.
“Dia nampak gembira masa tu. Tak pernah cerita apa-apa masalah, cuma kata dia senang dengan kehidupan sekarang.”
Sara turut menzahirkan harapan agar keadilan ditegakkan dan pelaku kejam itu segera dibawa ke muka pengadilan.
Jenazah dua beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Maarif Jeneri, Kedah, malam ini.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Sariya ditemukan di dapur dengan kepala hampir putus, manakala Wardah pula dijumpai meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.
Suami kepada Sariya, yang berusia 57 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan, kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selamat diijab kabul dengan suri hati Baginda, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Binti Dato’ Abdul Aziz di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pagi ini.
Istiadat pernikahan yang sarat makna itu disempurnakan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Selangor, YAD Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Opir, dengan disaksikan oleh YAM Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Ahmad Shah Alhaj serta YAD Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj.
Akad nikah dimetrai dengan sekali lafaz tepat jam 10.08 pagi, diiringi dengan 11 das tembakan meriam yang bergema sebagai tanda penuh kebesaran dan restu istana.
Upacara ini turut disaksikan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, yang hadir menyaksikan putera sulung baginda menunaikan janji suci.
Walaupun berlangsung dalam suasana tertutup, istiadat ini tetap meriah dengan kehadiran kerabat Diraja Selangor, keluarga pengantin perempuan serta sahabat handai kedua-dua belah pihak.
Suri hati Baginda, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Binti Dato’ Abdul Aziz anggun mengenakan persalinan putih di majlis akad nikah tersebut. Solekan pengantin diraja sentuhan Ahma Dani, rambut oleh Ckay Liow manakala busana pula mendapat sentuhan Adila Long.
Pada pagi penuh bersejarah itu, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Binti Dato’ Abdul Aziz tampil mempersona dalam busana pengantin diraja yang menggabungkan sentuhan tradisi Melayu beradat dengan kehalusan rekaan moden yang penuh eksklusif.
Beliau mengenakan baju kurung moden berinspirasikan klasik, berpotongan terletak indah pada tubuh dengan siluet ringkas namun berwibawa.
Sebagai pelengkap, tudung rona senada dihias dengan veil panjang yang dijahit halus, menambahkan seri wajahnya yang ayu. Rias wajah dipilih lembut dan natural, menonjolkan seri tanpa menenggelamkan keindahan busana.
Keseluruhannya, penampilan YM Datin Paduka Seri Afzaa Fadini pada hari pernikahan bukan sekadar busana pengantin, tetapi sebuah pernyataan elegan tentang tradisi, kesopanan dan keanggunan seorang wanita Melayu berdaulat.
Perkahwinan diraja ini bukan sahaja melambangkan penyatuan dua hati, bahkan menyerlahkan keindahan adat istiadat Melayu yang terus dipelihara. Ia menjadi saksi kepada sebuah ikatan yang diharap menyemai cinta, tanggungjawab dan keberkatan, bukan sahaja buat pasangan diraja ini tetapi juga sebagai teladan buat rakyat.
Suasana pagi di sebuah sekolah menengah yang biasanya riuh dengan tawa pelajar bertukar menjadi ngeri apabila jeritan panik memecah keheningan.
Tiada siapa menyangka hari persekolahan biasa itu akan berakhir dengan tragedi yang meragut nyawa seorang pelajar Tingkatan Empat dipercayai akibat ditikam oleh rakan sekolahnya sendiri yang baru berusia Tingkatan Dua.
“Saya ingatkan ada anjing masuk sekolah sebab tiba-tiba dengar orang menjerit. Bila saya berlari ke koridor tingkat tiga, saya nampak seorang pelajar pegang senjata, bajunya penuh darah…” kata seorang pelajar yang masih terguncang dengan kejadian itu.
Rasa takut dan panik menyelubungi seluruh sekolah. Ramai pelajar berlari keluar dari kelas, tidak tahu apa yang sedang berlaku. Seorang pelajar Tingkatan Satu berkongsi, wajahnya masih pucat mengenangkan detik cemas itu.
“Saya berdebar bila dia masuk kelas kami. Dia pegang senjata, tangan dan bajunya ada kesan merah macam darah. Tapi dia tak ugut kami, cuma diam saja, sebelum dia keluar semula.”
Walaupun tiada pelajar lain dicederakan selepas itu, trauma kejadian tersebut masih meninggalkan kesan mendalam. Ramai pelajar kini hidup dalam ketakutan yang tidak sepatutnya dirasai di tempat yang sepatutnya menjadi ruang selamat untuk belajar dan membesar.
Seorang lagi saksi mendakwa mendengar suspek berbisik kepada rakannya sebelum insiden itu, seolah-olah memberi amaran akan berlaku sesuatu yang tidak diingini.
“Saya terdengar dia cakap ‘you see later, what happen’. Saya masa tu kebetulan di belakang dia.”
Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan satu sidang media khas petang ini bagi menjelaskan kes kematian seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Selangor tengah hari tadi.
Sidang media itu akan dikendalikan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad yang akan berlangsung pada jam 5 petang ini di ibu pejabat KPM di Putrajaya.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad secara jujur mengakui, beliau menemui banyak perkara negatif berkait sistem pendidikan negara ‘disimpan di bawah karpet’, hanya dalam tempoh tiga bulan dilantik ke dalam portfolio berkenaan.
Beliau berkata, antaranya adalah membabitkan aduan berkaitan kes amang seksual dan buli yang dikesan berlaku dalam institusi membabitkan Kementerian Pendidikan (KPM).
Katanya, perkara yang ‘disimpan’ itu kini menjadi tanggungjawabnya untuk dibawa keluar bagi mengelakkan sebarang kejadian yang lebih buruk berlaku.
“Saya memberi peringatan kepada semua, setiap gejala negatif perlu dilaporkan, walaupun setiap hari (sekolah dan guru) menerima aduan sama ada amang seksual dan buli, ia harus diberi perhatian.
Video patung Jepun lama di sebuah kedai bundle tular di Threads hingga mengundang pelbagai reaksi. Ramai netizen tampil berkongsi pengalaman misteri dan kisah unik ketika membeli barangan terpakai.