
Suami meninggal mengejut & ex gratia kematian ditolak JPA, balu terkilan tidak dimaklumkan pentingnya bedah siasat.
Seorang isteri, Hamidah Rapaee meluahkan rasa ralat apabila tuntutan Ex-Gratia kematian arwah suaminya, Herman bin Ferseh yang juga seorang guru yang meninggal dunia secara mengejut tahun lalu tidak dipertimbangkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana tidak disertakan laporan bedah siasat punca kematian.
Apa yang menyedihkan, pada hari suami dikasihi meninggal dunia, 19 Julai 2025 dirinya tidak diberikan nasihat yang tepat oleh pihak berkuasa tentang keperluan bedah siasat dilakukan bagi kematian mengejut.

Suami Meninggal Mengejut & Ex-Gratia Kematian Ditolak JPA
Dalam satu hantaran di media sosialnya, Hamidah berkongsi ingatan buat ahli keluarga khususnya yang bekerja sebagai penjawat awam tentang keperluan bedah siasat dilakukan.
“Peringatan untuk semua yang bekerja bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Jika anda atau pasangan anda penjawat awam di bawah JPA dan pasangan korang meninggal dunia secara mengejut, bukan disebabkan sakit, sila ambil tahu tentang prosedur bedah siasat dan dokumen yang diperlukan untuk tuntutan Ex-Gratia.
“Dapatkan pengesahan terus daripada pihak JPA tentang syarat tuntutan yang berkaitan. Jangan sampai kita terlepas pandang perkara penting yang boleh menjejaskan hak waris.
Tambahnya, nasihat ini juga termasuk kepada pihak berkuasa dan doktor yang bertugas agar memberikan NASIHAT yang tepat untuk pertimbangan waris.
Jelasnya, pada hari dirinya sekeluarga diuji pemergian suami tercinta setahun lalu, tiada pihak yang menasihatinya tentang keperluan bedah siasat dilakukan ditambah ketika itu dia sedang berduka kerana tidak menyangka suami meninggal secara tiba-tiba
sehingga hak anak-anaknya untuk mendapat HAK masa depan dinafikan.
“Dan untuk suami saya Maharaja Mahalanau , masa kematian suami TIDAK ADA sesiapa menasihatkan saya tentang keperluan bedah siasat bagi kematian mengejut bagi penjawat awam.
“Saya menulis bukan kerana saya tidak reda dengan ketentuan Allah. Saya reda dengan pemergian suami saya. Tetapi reda dengan takdir tidak bermaksud saya harus berdiam diri apabila hak anak-anak saya mungkin dinafikan.

Jelas Hamidah, kenapa dia berkongsi kisahnya di media sosial adalah demi masa depan dan hak anak-anaknya, Harraz dan Hariz yang masih di bangku sekolah.
“Ya Rabb, aku seorang ibu yang hanya mahu memastikan hak anak-anak yatimku terbela. Aku tidak meminta sesuatu yang bukan milik kami. Aku hanya berharap agar apa yang menjadi hak kami tidak dinafikan oleh tangan-tangan manusia yang diberikan kuasa dan amanah.
Tambahnya lagi, dokumen berkaitan kematian suaminya juga mengambil masa berbulan-bulan untuk dia mendapatkan salinan dan ternyata apabila hak itu dinafikan, dirinya akui agak kecewa.

“Maafkan Ibu. Ibu dah cuba sehabis daya ibu. Sepanjang setahun lebih ni ibu tak henti-henti usaha, call sana sini, call pergi JPN, JPA Pencen, pergi Pejabat Kesihatan Mukah, email sana sini. Kena bentak, kena marah tak tentu pasal pun ada sebab sound like memaksa sangat.
Anda mungkin berminat dengan
“Tapi ibu ralat. Ralat sebab tak tahu lebih awal. Tak apa anak-anak ibu, ibu kerja. Ibu ada KWSP. Ibu ada insuran hayat. Ayah dah sediakan rumah untuk kita, kita tak melarat. Cuma ibu nak anak-anak ibu tahu ibu dah usaha untuk anak-anak ibu. Tak ada lagi urusannya pada kita. Kita serah kat Allah.
Mengakui akui ralat dengan apa yang berlaku, Hamidah menjelaskan dia sudah berusaha sebaik mungkin, turun naik jabatan dan sebagainya namun apa mengecewakan apabila penolakan terjadi.
“Banyak lagi usaha yang saya buat. Jadi sebelum mengadili dan menyalahkan saya kenapa tak buat post-mortem atau cakap redha sajalahhhh. Diam kejap dan letakkan ihsan anda sedikit. Sebelum mengadili doa-doa yang saya sertakan. Sebab “mereka” tahu dan saya nak mereka insaf dan tidak ambil sambil lewa. Saya percaya saya bukan yang pertama. Tetapi saya berharap saya yang terakhir
Biar melalui episod ini dengan kesukaran, Hamidah sempat menasihati agar menjadikan kesnya sebagai pengajaran.
“Kalau suami yang fit, tak ada sakit apa-apa meninggal tiba-tiba dalam perkhidmatan kurang dari 240 bulan, buatlah bedah siasat. Pandang la muka anak-anak. Mereka memerlukan wang itu untuk masa depan. Kita sebagai ibu perlu berjuang kerana anak-anak masih kecil dan tak boleh nak buat keputusan,” katanya yang turut mengemukakan rayuan selepas permohonannya tidak dipertimbangkan kerana tidak disertakan punca kematian.

download sekarang!
