Haa.. sebab masa inilah suami nak balas jasa isteri mengandung 9 bulan dan bertarung nyawa dalam bilik bersalin. Jangan bila dah selamat keluar bayi itu, suami pun lepas tangan terus ke mak, mak mentua atau bibik jaga.
Itulah pesan suami ini, Ariff Ismail yang berkongsi tip macam mana dia dengan senang hati amalkan 5 tip jaga isteri berpantang bersalin.
5 Tip Suami Mantain Cool Jaga Isteri Lepas Bersalin, Dalam Pantang
“Kisah ni adalah pengalaman saya dari kisah kehidupan yang lalu sebagai seorang suami dan bapak kepada Affan Dzikri.”
1. Masakkan Makanan Pantang Isteri
Jangan bagi alasan “aku tak pandai masak bro“.
Kau main PS4, Mobile Legend, PUBG terus pandai ke brother.
Kena tahu tak semua sayur dan ikan atau sewaktu dengannya isteri boleh makan lepas bersalin. Kena elakkan sayur yang boleh bagi angin dan sejuk, badan isteri tengah lemah lepas beranak.
Antara sayur yang senang korang nak masak adalah sawi dan lobak putih (ni boleh tolong tambah susu badan).
Lagi satu lepas bersalin tak boleh makan ikan yang gatal or boleh mendatang kan alergik. Luka kat dalam bro mana kita nampak. Pilihan ikan yang terbaik adalah salmon dan ikan selar (tak tahu sila google).
Rebus kan kurma cina dan longan kering dan ada satu tu merah kecik kecik tak ingat lah pulak nama (boleh beli kat kedai ubat cina) letak gula batu bagi isteri minum untuk tambah tenaga dan susu badan.
2. Belajar Mandikan, Siapkan Isteri Dan Anak
Ni benda paling penting para suami mithali, kau kena mandikan isteri dan mandikan baby, kena belajar cara nak mandikan baby sebab baby sangat fragile masa di awal kelahiran.
Air tak boleh panas dan sejuk sangat. Kena rasa pakai siku korang kepanasan air untuk mandikan baby.
Masa isteri dalam pantang tak boleh pakai baju ketat ketat, kena pakaian longgar dan selesa. Rambut isteri kena tolong sikat dan ikat kemas. Kena letak pilis ( betul rasanya bahasa ni ) atas dahi bini, ni tak reti buat boleh beli kat kedai jamu.
Ads
If anak lelaki korang kena tuam bebird beliau supaya tak kena angin pasang (ni pon ada jual). Isteri pun korang kena tungku kan. Tak pandai sila bayar service tukang urut pantang, boleh google je sekarang.
3. Tanam Uri Tu Part Paling Best
Part ni paling best, sapa mabuk darah boleh pengsan (kalau beranak kat private hospital diorang dah tolong basuh kan). Korang kena cuci bersih uri tu dengan air dan garam kasar serta limau supaya hilang bau (ada yang guna asam jawa) jangan lupa selawat sambil basuh.
Lepas siap basuh semua tu tanam kat tempat yang sesuai dan kedalaman yang sesuai. Pastikan uri tu ditanam sempurna dan tak da haiwan yang korek.
Jangan korang kurafat pulak letak pen la pensel la apa la sebab konon konon nanti anak jadi cerdik. Boleh tengok kat utube gak cara nak basuh dan tanam uri baby.
Bapa bapa sekalian tolong kesian kan isteri, lepas bersalin isteri tak ada tenaga, kita lah yang kena jaga malam malam. Tidur dengan anak jangan biarkan isteri pulak yang tidur dengan anak (alasan senang nak bagi susu).
Kesian isteri brother, mengandung dah 9 bulan, beranak lagi sabung nyawa lepas tu kau biar dia yang handle anak. Tak susah pon jaga baby malam malam, buat susu dan tukar lampin. Kalau susu badan masa dia nak susu tu baru hantar kat isteri.
Bagi isteri ruang rehat secukup nya.
Anak kalau menangis biasa nya ada 3 sebab; lampin basah, lapar atau kembung perut. Kena ada ilmu buat susu dan tukar lampin serta cara nak bersihkan baby after tukar lampin. Ilmu perut baby kembung pun kena belajar. Sentiasa kena ada minyak yuyi cap limau.
5. Aturlah Jadual Kerja Sepanjang Suami Jaga Isteri Dalam Pantang
Setiap suami mesti ada kerja hakiki (aku dulu ada advantage sebab kerja sendiri tapi bukan alasan tak buat kerja). Kena susun atur jadual kerja kita sebab dah ada tangungjawab baru.
Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. Alhamdulillah, hari ini adalah hari keempat umat Islam meraikan hari kemenangan. Bagi yang masih berada di kampung, teruskan amalan kunjung-mengunjung yang sudah menjadi sebahagian tradisi masyarakat Melayu. Bagi mereka yang sudah pulang ke kota itu bukanlah alasan untuk tidak meneruskan sambutan Syawal.
Seperti mana orang lain saya dan keluarga juga meraikan Aidilfitri dengan penuh kemeriahan. Bukan sekadar pulang ke kampung, malah Syawal juga menjadi medan pertemuan sanak dan saudara. Apatah lagi buat mereka yang susah untuk mendapatkan cuti. Tatkala inilah peluang diambil untuk bersama anak-anak saudara.
Apabila semua keluarga berkumpul masing-masing ada kerenah tersendiri. Tapi disebabkan hari raya jadi tidak ada yang ambil hati apabila ada yang terlepas cakap, malumlah baru saja bermaaf-maafan pada pagi raya. Pengalaman hari raya rata-rata masyarakat kita lebih kurang sama. Di sini saya nak kongsi antara 8 perkara menarik sepanjang keluarga kami berkumpul. Walaupun ada kekurangan namun masing-masing tidak pernah serik berhari raya bersama-sama setiap tahun. Bila diingatkan momen ini, memang indah dan menjadi sejarah dalam kamus keluarga besar kami. Inilah Hari Raya kami!
1.Masih Berkumpul Walaupun Orang Tua Telah Tiada
Ibu dan ayah beserta abang sulung kami sudah tiada. Walaupun mereka telah tiada namun adik beradik yang lain tetap mengambil inisiatif untuk berkumpul bersama-sama. Malah anak buah arwah abang sulung kami juga akann beraya bersama-sama. Jadi hilanglah rasa sedih mereka pada arwah bapa dan ibu mereka yang sudah tiada.
2.Berkunjung ke Rumah Ibu & Bapa Saudara
Walaupun arwah ayah sudah lama kembali ke ramahtullah. Bagaikan satu tradisi arwah ibu semasa hayatnya akan membawa kami ke rumah ibu dan bapa saudara kami sebelah arwah ayah untuk beraya. Bila kami lewat sampai pakcik akan hubungi kami dan bertanya mengapa tidak datang beraya ke rumah mereka. Setelah arwah ibu tiada, kami akan berkonvoi bertandang ke rumah ibu dan bapa saudara di Melaka pada hari raya kedua.
3.Tidur Berhimpit
Menjadi tradisi kami semua sanak saudara, akan tidur di rumah ibu mentua kakak kedua yang kami panggil nenek di Tanjung Bidara. Tiada siapa pun dibenarkan menginap di hotel atau rumah rehat. Bayangkan, dengan jumlah adik beradik, anak saudara serta cucu saudara yang ramai kami semua perlu tidur di dalam satu rumah. Tapi hakikatnya pengalaman ini sangat menyeronokkan. Masing-masing akan tidur berhimpit. Pandai-pandailah cari port untuk tidur. Tapi kaum wanita dikhaskan tidur di dalam bilik.
4.Berborak Sampai Ke Pagi
Walaupun letih seharian berjalan raya namun masing-masing tak boleh nak lelapkan mata sebab seronok berborak-borak. Ada saja cerita yang akan dibualkan apatah lagi rumah nenek berdekatan dengan laut jadi sambil berborak kami mendengar bunyi ombak.
5.Berebut Bilik Air
Bila bangun tidur pula, masing-masing akan berebut gunakan bilik air. Memandangkan jumlah kami ramai, jadi masing-masing kena bersabar menunggu giliran untuk mandi. Mereka yang malas nak tunggu giliran tu ada yang sempat ke pasar dulu kemudian barulah mandi.
6.Gotong Royong Memasak
Memandangkan ramai orang dalam satu rumah, jadi masing-masing kena tolong memasak. Tak kira lelaki ke perempuan. Paling best bila masing-masing tunjuk skil memasak. Jadi bila tengah hari banyak juadah yang terhidang. Bila dah makan anak-anak terutama yang remaja kene basuh pinggan jadi makcik-makcik dan pakcik-pakcik bolehlah berehat.
7.Kira Duit Raya
Hari raya ni paling seronok sudah pasti kanak-kanak. Anak-anak saya sendiri rasanya dalam sehari lebih 30 kali mereka kira duit raya. Kadang-kadang tu sampai ada yang ‘menyakat’ dan sorokkan duit raya mereka. Apa lagi satu rumah bergegar bila masing-masing cari duit raya mereka yang ‘hilang’. Memang riuh rendahlah.
8.Main Bunga Api
Sebelah malam pula, masing-masing menunggu main bunga api. Yang kelakarnya ada yang sanggup tak nak tidur awal sabab menanti nak main bunga api. Gembira sungguhlah semua anak-anak dan cucu-cucu saudara yang masih kecil.
Ternyata Syawal tidak akan meriah jika masing-masing tidak berkumpul bersama sanak saudara. Amalan ini kami lakukan setiap tahun, agar anak-anak juga akan lakukan tradisi ini di kemudian hari. Selamat hari raya Aidilfitri!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suami bila berfikir memang takkan sama dengan cara isterinya fikir. Sebab itu bila isteri minta lain, lainlah nanti yang suami sediakan. Bila isteri marah-marah, suami bingung.. tak faham kenapa isteri marah-marah,
Sudahnya, terjadilah perbalahan kecil. Yang lama-lama kalau tak dibendung boleh jadi besar. Sebab masing-masing saling menyalahkan. Pengalaman berdepan situasi cara fikir yang tak sama inilah dilalui Puan Rohamiah Muda.
Kisahnya cuma minta suami pasangkan plug dalam rumah saja. Rupanya ada banyak pengajaran yang isteri boleh ambil positif dari kisah ini.
“Abang, plug di dapur dah rosak. Pasang je, satu rumah black out,” adu saya kepada suami lebih kurang tiga bulan lepas.
“Erm… .”
Itu sahaja jawapan suami.
Kegunaan utama plug di dapur adalah untuk menghidupkan oven.
Saya menunggu juga, kalau-kalau suami memanggil seseorang untuk membaiki plug di dapur.
Tiada. Sehinggalah Ramadan tiba.
Jadi, solusinya, saya terpaksa menyambung dua extension ke plug lain untuk panaskan lauk. Wayar itu bersambung-sambung.
Agak leceh juga kerana wayar extension mengganggu ketika saya ingin membuka pintu peti ais.
Itulah tugas saya sepanjang Ramadan. Dini hari, terpaksa sambung dua extension. Kemudian, kemas semula extension yang telah dipasang. Ia memakan masa sebenarnya.
Nak tak nak, terpaksa buat.
Sekali lagi saya mengadu kepada suami, “Abang, susah la plug dapur ni rosak. Nak panaskan lauk pun leceh.”
“Ya, nanti baiki,” jawab suami.
Hati sudah rasa gembira dengan jawapan itu.
Saya masih menanti bilakah masanya plug akan dibaiki. Dalam fikiran saya, mungkin esok atau lusa plug itu akan dibaiki.
Tunggu.
Tunggu.
Tunggu.
Ramadan sudah ke penghujung.
“Abang, bila nak baiki plug?” Saolan saya sudah berubah.
Suami diam. Soalan saya tiada jawapan.
Saya pasrah. Tunggu sahaja. Sampai masa suami pasti akan memanggil tukang baiki.
Saya mengambil tindakan untuk bersabar. Lagipun, saya tidak suka bangkitkan isu yang remeh. Biarlah masa yang menentukan.
Jika ingin menggunakan oven, saya akan menyambung dua extension ke plug lain.
Rupanya, apabila kita biasa dengan kesusahan, ia menjadi mudah.
Soalan saya kepada suami untuk baiki plug seolah sudah dilupakan.
Dan…
Rupanya, apabila kita lupa perkara itu, ketika itulah masalah itu akan berakhir.
Akhirnya, semalam plug dibaiki.
Masya-Allah.
Saya suka sangat!
Sebab plug di bahagian tengah, suami meminta tukang baiki memasang plug dua pin.
Sebelumnya, semua plug tiga pin.
Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah.
Sebenarnya kan, inilah perbezaan antara suami dan isteri. Kadang isteri inginkan tindakan yang segera daripada suami.
Tapi, suami berfikir lain. Sampai masa dia akan ambil tindakan. Tapi, mungkin tindakan itu agak lambat.
Rupanya, suami mencari masa yang sesuai untuk baiki semua kerosakan yang ada di rumah. Semalam, setel semua masalah.
Jika isteri tidak bersabar dengan sikap suami, peluang inilah yang akan digunakan oleh syaitan untuk menghasut isteri supaya marah atau menjadi punca pertelingkahan.
Jika kita lihat pergaduhan dalam rumah tangga, ia berpunca daripada isu yang sangat kecil. Contohnya, isu ubat gigi, isu kain baju yang dibiarkan di atas lantai, isu stokin dan sebagainya.
Isu-isu inilah kadang membawa kepada perbalahan antara pasangan.
Inilah pentingnya kesabaran dalam melayari hidup berumahtangga.
Raikan perbezaan antara pasangan. Memang suami dan isteri sangat berbeza dari segi tindakan dan perasaan.
Moga semua yang membaca nukilan ini bahagia hingga jannah bersama pasangan masing-masing. Aamiin.
Sumber/Foto : Rohamiah Muda, Bercita-cita untuk bercinta hingga ke syurga. Penulis buku Diakah Jodohku.
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bukan mudah untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga. Beginilah yang dialami oleh gadis bernama Aimi, melahirkan kerisauan maknya bakal berkahwin lagi dan dia bakal mendapat ayah tiri. Luahan hati gadis ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang gadis berusia 27 tahun dan bekerja sebagai akauntan. Masih bujang dan anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Di dalam adik-beradik, hanya saya seorang saja yang masih belum berkahwin.
Saya juga seperti gadis lain, yang ingin bergelar isteri dan ibu. Namun setakat ini, rezeki saya belum tiba. Bukan tidak berusaha tapi mungkin belum tiba masanya. Pernah sekali gagal dalam percintaan dan kami terputus hubungan selepas SPM. Masing-masing bawa hal sendiri demi mengejar cita-cita.
Sejak kehilangan ayah kira-kira 20 tahun lepas, saya memang rapat dengan mak. Mungkin ayah pergi ketika saya masih lagi kecil, jadi mak lebih memberikan perhatian sepenuhnya pada saya. Tambahan pula, saya amat rapat dengan arwah dan mak tak ingin saya rasa kehilangan selepas ayah tiada. Jika mak perlu bekerja di luar daerah, apabila cuti sekolah, saya akan menemani mak kerana saya tinggal di rumah bersama mak, manakala kakak dan abang tinggal di asrama. Jarang benar saya ditinggalkan bersama pembantu rumah.
Sebagai anak bongsu, saya rela memilih sebuah universiti tempatan yang berhampiran dengan kampung, membolehkan saban minggu saya balik rumah. Demi mak, saya rela melepaskan impian untuk belajar di luar negara walau pun telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di United Kingdom kerana keputusan cemerlang saya. Demi mak juga, saya rela melepaskan cita-cita asal saya ingin menjadi seorang jurutera demi meneruskan legasi mak yang merupakan seorang akauntan. Kalau ikutkan saya sukakan kerjaya yang lasak. Kata mak, perempuan tak payahlah cari kerja yang lasak sangat. Mak umpama sahabat baik saya. Banyak saya kongsikan dengan mak.
Pertengahan tahun lepas, mak ada bercerita dengan saya, dia bertemu kembali dengan seorang rakan lelaki lamanya, ketika belajar di universiti dahulu dalam satu majlis reunion. Sejak itu sering kali mereka berhubung dan sering kali juga saya akan bercakap dengan lelaki itu menerusi telefon. Lelaki itu, uncle Zack, rupanya sudah lama menetap di Australia dan berkahwin di sana. Punya seorang cahaya mata. Selepas kematian isteri dua tahun lepas, dia mulai tawar hati untuk tinggal di sana kerana rindukan kenangan bersama arwah isterinya. Manakala anak tunggalnya pula sedang belajar di sebuah universiti di sana.
Saya tak pernah halang mak berhubung dengan Uncle Zack kerana sedar mereka sama-sama kesunyian. Lagi pun, saya rasakan hubungan hanya sekadar itu saja. Tak sangka, ketika hari jadi mak Mac lalu, uncle Zack turut hadir ketika majlis makan-makan di kediaman kami. Kali pertama lihat uncle Zack, orangnya masih segak dan handsome walau usianya sudah pertengahan 50-an. Ramai tetamu mengusik, sepadan dengan mak yang masih lagi lawa. Hati saya mula rasa tak sedap.
Rupa-rupanya uncle Zack sudah kembali menetap di Malaysia sejak awal tahun ini. Puan, daripada gerak geri mereka, saya dapat tangkap mereka berdua saling menyukai antara satu sama lagi. Saya tak tahu apa perasaan saya ketika itu. Saya rasa sedih memikirkan kasih mak bakal beralih kepada lelaki lain. Tak cintakah lagi mak pada arwah ayah? Selama ini mak boleh setia, kenapa sekarang tidak?
Saya sedar saya tak patut halang mak mencari kebahagiaannya setelah 20 tahun bersendirian tapi entahlah. Saya susah nak terima kenyataan ini. Tapi saya tak cakap apa-apa pada mak kerana tak nak dia kecil hati. Cuma sekarang ini saya sengaja menjauhkan diri daripada mak. Bila mak ajak keluar bersama, jarang saya terima sedangkan kalau dulu kami macam belangkas. Mak tak syak apa-apa kerana kebetulan saya juga sedang mengambil sambung pengajian, memang agak sibuk.
Saya sedar, hubungan mak dengan uncle Zack makin serius dan saya dapat rasakan ada sesuatu yang abang dan kakak sembunyikan daripada saya. Hati saya kuat mengatakan yang mak dan uncle Zack akan berkahwin tak lama lagi namun semua orang belum memberitahu saya apa-apa. Puan, saya sayangkan mak saya dan nak dia bahagia. Tapi saya juga risau saya akan ‘hilang’ dia seperti saya hilang arwah ayah saya dulu.
Aimi, Subang Jaya, Selangor.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Semoga pada masa kini saudari berada dalam lindungan dan rahmat Allah. Apabila membaca kisah saudari, alangkah bertuahnya saudari punya seorang ibu yang amat menyayangi saudari. Sedangkan ramai anak yang tiada punya kasih ibu… sama ada ibu membiarkan tanpa didikan, diserahkan anak kepada orang lain hanya kerana memburu kehidupan lain, atau membuang anak kerana dosa yang dilakukan dan anak yang kematian ibu bapa.
Bagi pihak ibu saudari pula…bayangkan seorang wanita yang telah kehilangan suami mengambil keputusan tidak berkahwin hanya semata-mata tidak mahu kasih yang dimiliki anak berumur 6 tahun hilang kasih sayang daripada ibunya pula setelah pemergian ayah yang terlalu rapat dengannya. Pengorbanannya selama 20 tahun hanya semata-mata untuk kasih kepada anaknya yang bongsu tidak dinafikan sesuatu yang hebat. Kekosongan dalam hidupnya tanpa berteman yang dinamakan suami telah sekian lama tidak diisi. Hanya kerana kasihkan anak dan memberi keutamaan dalam segala hal mengatasi keperluan sendiri.
Ramai juga saya temui ibu yang tidak berkahwin apabila kematian suami dengan alasan tidak mahu kasih terhadap anak terabai jika berkahwin lagi. Pada ibu sebegini, kasih terhadap anaknya mengatasi segalanya. Namun sering juga saya lihat anak yang sebegini ramai yang hanya memikirkan tentang dirinya sahaja, bukan untuk ibunya (maafkan saya, bukan bermaksud saudari). Ini pengalaman yang saya lihat. Mungkin disebabkan terlalu sayangkan anaknya, mungkin anaknya tidak tahu menghargai…mungkin juga kurang matang dalam erti kata membalas jasa dan pengorbanan.
Berbalik kepada kisah saudari, saya boleh menyimpulkan daripada apa yang saudari lahirkan. Frasa lebih kurang seperti .. “saya sayangkan mak dan mahu dia bahagia…dan tidak mahu dia kahwin kerana takut kehilangan kasih”. Boleh saya andaikan beberapa analogi seperti “saya nak anak sendiri, tetapi tidak mahu mengandung”…atau “saya nak dapat ijazah tetapi tak nak belajar di Universiti”. Atau beberapa anologi yang kita boleh simpulkan bahawa kalau mahukan sesuatu tidak boleh ada apa-apa syarat dikenakan. Rasanya bolehkan kita mendapatkannya? Mungkin ada, namun terlalu jarang.
Kalau saudari boleh bayangkan pengorbanan ibu saudari, dan mahukan dia bahagia, pastinya saya rasa saudari akan memberi keizinan kepada ibu untuk berkahwin. Bahkan kalau saudari seorang yang bijak dan matang serta bersifat pengasih, maka sejak dari dulu lagi saudari akan menyuruh ibu berkahwin.
Saudari seorang terpelajar, cuba takrifkan apa maksud sayang dan mahu orang yang disayangi itu bahagia? Memang benar kalau kita sayangkan seseorang itu, kita mahu dia bahagia. Dan pastinya kita tahu apa yang membahagiakannya …dari segi keinginan dan hajatnya …Ramai orang melihat sayang itu dari kaca mata dirinya……dia melihat dari perspektif dirinya yang mahukan segala-galanya…. bukan sangat dari kaca mata orang yang disayangi. Tidak tidakkah itu namanya “hanya fikirkan tentang dirinya “? Mungkin saudari tidak tergolong dalam kategori itu.
Namun, cuba fikirkan semula. adakah sebenar-benarnya saudari sayangkan ibu atau saudari hanya fikirkan tentang diri bahawa jika ibu berkahwin kasih itu akan hilang? Dan lagi adakah ibu saudari melakukan dosa besar? Tahukah saudari jika saudari menghalangnya bermakna saudari boleh membawa ibu saudari melakukan dosa dengan menghubungi lelaki yang bukan mahram, walaupun berhubung secara kenalan biasa? Terjaminkah hubungan itu sebagai kenalan biasa? Mahukah saudari lihat ibu saudari diundang dosa? Saya rasa saudari boleh membuat analisis sendiri.
Sekarang saya membuat andaian saudari mengizinkan ibu berkahwin. Maka saya bantu saudari untuk belajar bagaimana menguruskan emosi saudari untuk tidak merasa kehilangan kasih ibu. Pertama, fikirkan yang positif sahaja, usah difikir takut kepada kehialngan. Fikirkan saudari telah dewasa dan matang, fikirkan bahawa sudah sampai masanya saudari boleh urus emosi dan diri sendiri. Fikirkan bahawa jika ibu bahagia, dia juga akan membahagiakan saudari. Telah 20 tahun dia membahagiakan saudari. Tidakkah cukup? Pada masa inilah saudari perlu buat persiapan menuju alam dewasa.. perlu belajar urus diri, urus fikiran dan emosi. Ini penting apabila saudari berkahwin nanti.
Walaupun belum ada pasangan, tetapi persiapan ini amat penting. Dalam pengalaman yang saya lihat, salah satu masalah rumah tangga yang dihadapi oleh wanita yang baru berkahwin adalah kerana kurang bijak urus fikiran dan emosi . Dan ini salah satunya disebabkan ibu bapa yang terlalu menyayangi anaknya hingga menhyebabkan anaknya tidak pandai urus emosi dan “tidak pandai memberi kasih”. Sejak kecil dia hanya disayangi, tetapi tidak diajar bagaimana menyayangi. Bila dia terlebih disayangi, dan tidak tahu bagaimana menyayangi, maka apabila timbul masalah atau ujian, dengan sendirinya dia rapuh dan cepat kecewa kerana orang yang hampir dengannya (orang yang dikahwininya) tidak seperti ibu atau bapanya.
Dalam hidup kita perlu banyak belajar “memberi” dan “menyayang”. Belajar menyayangi ibu bapa khususnya, makhluk-makhluk lain dan pastinya mengasihin Allah yang paling utama. Ini kerana jika dia mengasihi Allah, maka dia akan banyak memberi kerana itu yang Allah suka. Malah Allah amat menyukai anak yang membahagiakan ibunya, bukan yang mengabaikan, melukakan atau menderhaka kepadfa ibunya. Mungkin saudari pernah mendengar pepatah; ”lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita dapat”.
Maka lagi banyak kasih yang saudari beri kepada alam sejagat ini khusunya ibu, maka akan lebih banyak kasih yang saudari akan dapat, dan akan membahagiakan saudari. Dan apakah yang paling bahagia dalam kehidupan seseorang? Iaiitu apabila hatinya tenang … bagaimana untuk mendapat ketenagan itu ? Dengan banyak mengingati Allah…dan ingat apa yang Allah suruh…antaranya berbuat baik kepada orang tua… siapa yang beri ketenangan itu? Pastinya Allah. Maka saudari tidak perlu risau jika ibu berkahwin. Ingatlah bahawa kehidupan seorang anak itu menjadi tidak ternilai apabila ibunya meredhainya kerana Allah ada menyatakan bahawa redhaNya bergantung kepada redha ibu bapa terhadap anaknya.Maka pohonlah agar saudari diredai Allah melalui redha ibu terhadap saudari dengan cara membahagiakan ibu…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!