Bertuahnya wanita ini, sepanjang 13 hari berpantang, air tangan suami yang menyediakan menu berpantangnya. Terpukau sungguh Mingguan Wanita melihat menu berpantang yang disediakan suami ringan tulang ini.
Ketika artikel ini ditulis, wanita ini baru menjalani rutin berpantang untuk 13 hari. Dan sepanjang melalui tempoh 44 hari berpantang, suami wanita ini Tuan Azhar Tuan Yacob, 35 tak jemu turun ke dapur. Bagi menyiapkan lauk berpantang untuk isterinya, Puan Rohani Mat Nor, 34. Jadi, mudahlah isterinya menjalani tempoh 44 hari berpantang dengan mudah.
“Bagi saya, tip ini berguna untuk isteri membimbing dan memberi kesedaran kepada suami agar membantu isteri ketika dalam pantang. Itupun sebahagian daripada tanggungjawab suami.”
6 Cara Buat Suami Jadi Rajin Ke Dapur Masa Isteri Berpantang
1. Jangan Beri Suami Tekanan
Pada peringkat awal biar suami buat kerja-kerja remeh dan yang mudah dulu. Jangan beri tekanan pada suami untuk belajar. Walaupun remeh dan dipandang ringan, tapi sebenarnya sangat membantu isteri ketika dalam pantang.
2. Isteri Sentiasa Bersama
Ketika suami membuat kerja isteri hendaklah ada bersama suami. Sebagai tanda sokongan kepada suami agar sentiasa lebih bersemangat menyiapkan juadah isteri berpantang dengan air tangan suami.
3. Senaraikan Barang Dapur, Jangan Lupa Tunjuk Gambar Sekali
Isteri perlu membuat persedian pada peringkat awal. Senaraikan barang-barang yang diperlukan. Jika perlu sertakan sekali gambar agar memudahkan kerja suami. Tidaklah suami tersalah membeli.
4. Ajar Suami Guna Peralatan Dapur
Jika perlu tunjuk ajar suami apa kegunaan barang atau peralatan di dapur jika suami tidak kenal atau jarang turun ke dapur.
5. Menu Isteri Sedia Siap-siap
Sediakan menu-menu sebagai panduan untuk suami senang memasak. Ha.. nanti senanglah nak rasa air tangan suami ni.
6. Panduan Pantang Larang Kena Ada
Senaraikan apa yang boleh dan tidak boleh dimakan ketika dalam pantang untuk panduan suami. Jadi tidaklah suami memasakkan lauk pauk berpantang yang kurang sesuai dengan menu berpantang isteri.
Rutin 44 Hari Penjagaan Berpantang Isteri
Ibu kepada 4 orang anak, Tuan Adriana, 10, Tuan Arissa, 7, Tuan Ariq Ulwan, 2 tahun 8 bulan dan Tuan Ayra Dalili, sebulan ketika ini menjalankan perniagaan atas talian sepenuh masa di rumah dalam bidang bakery dan western.
Buat masa sekarang kami memang bekerja sepenuh masa di rumah. Jadi suami banyak masa bersama keluarga.
7-8 pagi siapkan anak-anak, sediakan sarapan dan hantar anak ke sekolah.
10 pagi sediakan air mandian untuk isteri dan bayi dan mandikan bayi
Ads
11-12 tengah hari masak
1 tengah hari siap masak dan sediakan nasi untuk isteri
2-6 petang siapkan jualan dan hantar pesanan kepada pelanggan
5-6 petang ambil anak balik sekolah @ kelas mengaji (Masa ni saya kat rumah dan saya akan uruskan bayi sendiri termasuk mandikan bayi)
7-8 malam sediakan makan malam
Alah Bisa Tegal Biasa
“Asalnya tidak mahir tetapi selalu belajar dan melihat saya memasak. Tambahan pula sejak 3 tahun lalu kami membuat perniagaan makanan jadi suami banyak belajar tentang masakan.”
“Jadi senanglah untuk dia memasak ketika saya di dalam pantang. Mungkin dalam sejam tu dia boleh sediakan dua menu lauk selain memasak nasi.” Cerita Rohani lagi, ketika anak pertama dan kedua dia berpantang dengan ibu mentua. Waktu itu suami terikat dengan jadual kerja yang terlalu sibuk.
Anak ketiga dan keempat inilah suami mula mengambil alih tugas menjaganya semasa dalam pantang. Lagipun, suami tak lagi terikat dengan kerja luar dan sama-sama bekerja dari rumah.
Ads
13 Hari Menu Berpantang Air Tangan Encik Abang Sayang Rohani
Siakap Stim, sawi stim, oren sunkist, crunchy garlic
Sawi celur, ikan selar bakar, ikan selar singgang, crunchy garlic
Epal merah dan corn flakes+fresh milk
Siakap singgang, sawi celur, crunchy garlic dan sambal halia lada hitam
Cron flakes+kurma, fresh milk.
Tenggiri bakar, sawi celur dan jus anggur
Lempeng gandum+gula
Dinner dengan dessert malam ni. Puding roti tanpa telur dengan minum nestum oat.
Resepi Puding Roti Tanpa Telur
1 cawan fresh milk
2 sudu besar gula
1 sudu besar gandum
1 sudu kecil butter
Kismis@kurma
Choc Rice
Caranya:
Satukan susu, gula, butter dan gandum. Kacau sebati.
Carikkan roti. Masukkan ke dalam bekas sesuai dan tuang adunan susu tadi.
Tabur kismis. Bakar suhu 180c. Selama 30minit.
Selar bakar+sawi celur
Ads
Laddu. Makanan orang berpantang juga. Pedas lada hitam dan manis rasanya. Import dari kelate ni.
Suami baru sampai rumah penat pun tak hilang lagi, isteri terus membebel. Ini boleh jadi perang dingin dan realitinya lelaki manalah yang tahan dengan karenah isteri asyik membebel setiap hari.
Walau kita tahu apa yang dibebelkan kadang ada benarnya, cuma keegoan seorang suami tidak pernah mahu mengakui kebenaran itu.
Namun ada baiknya jika seorang isteri boleh menjaga hubungan suami isteri dengan tip yang dikongsi oleh Puan Nurhidayah Jaafar ini…
Berlatih untuk bercakap 1 hingga 2 ayat sahaja. Contohnya apabila meminta bantuan suami.
“Abang, tolong jerang air.” — cukup.
Tidak perlu sehingga begini.
“Abang, sayang baru balik kerja ni. Nak siap masak lagi. Tak nampak anak tu mengamuk-amuk nak susu. Tolonglah jerang air sekejap. Sudah-sudahlah tengok facebook tu.” — terlebih cukup.
Apabila suami bertanya, “Dinda sudah makan?”
Jawab mengikut skema soalan.
“Belum” atau “Sudah” — cukup.
Tidak perlu sehingga begini.
“Belum lagi. Tadi banyak kerja di ofis. Tak sempat nak makan. Nak masak pun tak sempat. Kita makan kat luar sahajalah!” — jawapan tidak mengikut skema soalan.
Apabila meminta bantuan suami, jangan mengajar-ajar. Jangan beritahu sebab.
“Abang, tolong angkat kain. Nanti hujan, basah.”
(Memanglah kalau hujan turun basah. Itupun mahu beritahu)
Haaa… nampak tak macam mana nak minta tolong suami? Lepas ini, bolehlah kaum mak-mak cuba ya, mana tahu bila guna tip ini suami terus biasa dan esok-esok hari tanpa disuruh pun dia laju buat!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sekarang ini dah canggih, sebelum bayi keluar, mak ayah dah boleh tengok wajah permata hati waktu dalam perut lagi. Mak biasanya yang lebih teruja nak scan 3D/4D bayi dalam kandungannya. Ayah pun boleh merasai pengalaman indah ini. Pengalaman sebegini memang menyeronokkan.
Sebab itu waktu nak buat imbasan 3D/4D ultrasound ayah perlu ada di sisi. Barulah emosi teruja isteri dapat dihayati. Tidaklah, isteri scan babynya sendirian. Nak tahu sebab apa?
Inilah masanya untuk mak-ayah simpan kenangan wajah janin masa dalam kandungan. Sesetengah doktor yang prihatin akan berikan mak-ayah gambar janin versi bercetak. Kebiasaannya mereka cuma dibekalkan dengan gambar-gambar yang disimpan dalam CD.
Waktu disahkan hamil, syukurnya kita pada hadiah Allah ini sukar nak diterjemahkan dengan kata-kata. Bila dapat tengok muka bayi dalam kandungan melalui scan 3D/4D, semakin terasa dekat dengan kekuasaanNya. Bertambah kerdil rasa diri ini melihat sifat ar Rahman Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang.
Pemeriksaan rutin mak-mak dah sedia maklum dengan perkembangan kesihatan bayi dalam kandungan. Dengan scan 3D/4D mak-mak boleh tengok dengan lebih detail tentang hal ini; raut wajahnya ikut siapa, pergerakannya macam mana, air ketubannya terlebih atau terkurang, kedudukan tali pusat atau tulang belakangnya sempurna atau bagaimana, degupan jantungnya dan fizikalnya yang comel-comel belaka.
Bila scan bayi, suami kenalah temankan isteri di sebelah. Waktu scan dibuat, suami isteri akan rasa lebih dekat, lebih kasih setiap kali mendengar penerangan doktor tentang anak mereka. Tapi katakan, suami tak dapat nak meneman. Isteri jangan pula merentan, sebaliknya redha dan jalani setiap keputusan imbasan dengan bahagia.
Sebaiknya lakukan scan 3D/4D ini masa kandungan dah mencecah 7 bulan ke 8 bulan. Jangan lewat sampai 9 bulan, sebabnya nanti tak nampak keseluruhan keputusan seperti yang diharapkan. Kalau awal sangat pun tak digalakkan. Masa itu, pembentukan bayi dalam kandungan belum sempurna. Bimbang ibu terkejut dan patah hati bila tak dapat lihat sebagaimana yang ibu angan-angankan.
Pegang perut mak mengandung 7 bulan. Seronoknya bila dapat rasa gerakan janin ke kiri, ke kanan, atas-bawah. Mak beri salam, “Assalammualaikum sayang…” Lagi laju dia berpusing. Allah… hati mak berdegup bahagia.
Mak dapat rasa, janin dalam perutnya juga merasakan perkara yang sama. Dia mendengar salam ibunya. Dia sambut dengan gerakan bahagia. Rupa-rupanya janin yang duduk di alam rahim pun belajar 3 perkara ini.
Sejak dalam kandungan, bayi telah mengekspresikan perasaan sebagai contoh ketika melakukan ujian imbasan (scan) bayi anda akan tersenyum. Begitu juga dari segi pemakanan, bayi akan cenderung atau gemarkan makanan yang ibunya makan ketika dirinya berada di dalam kandungan.
Pemakanan ini akan mempengaruhi rasanya ketika dilahir kelak. Oleh itu, jagalah pemakanan kerana andalah yang menentukan apa makanan yang anak anda gemari.
Anda salah jika beranggapan bayi mula mempelajari bahasa atau bunyi setelah dilahirkan. Sebaliknya dari dalam kandungan, bayi sudah mula mengenal bahasa di sekelilingnya. Jika tidak, bagaimana dia terasa begitu akrab dengan ibunya sebaik sahaja dilahirkan kerana dia telah mula mengenali suara ibu sejak di dalam perut.
Pada trimester terakhir, mekanisma otak dan pendengaran telah berhubung dengansebaiknya. Oleh itu, berikan ruang buat janin mempelajari sesuatu seperti mendengarkan dia muzik dan memberi kata-kata positif buatnya. Anda perlu sentiasa bercakap dengan bayi yang anda kerana mereka mendengar apa yang anda katakan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Catatan seorang bapa, Muhamad Ammar Kamilin (Ammar Kamilin) tentang anak sulungnya yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR boleh buat empang air mata ini pecah.
Terasa cukup dekat di hati. Andailah si manis Zulfa ini anak kita. Yang sudah berusaha sehabis baik, namun rezeki tidak memihak padanya. Apakah kekuatan mak ayah dapat salurkan agar anak itu tidak remuk hati.
Moga ada kisah pengajaran yang dapat dititip menerusi catatan tulus ikhlas seorang bapa ini.
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, “Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.” Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. “Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini.
Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka.
Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Saya bercakap dalam KONTEKS mengadakan majlis meraikan itu serentak ketika mengumumkan keputusan. Ini yang saya mohon ditiadakan.
Jika mahu diraikan selepas mendapat keputusan. Silakan. Saya sendiri selalu hadir menemani isteri yang menjadi AJK PIBG. Tiada secebis dengki pun.
Kami tumpang bangga dengan anak-anak berpotensi ini.
Sumber/Foto : Facebook Ammar Kamilin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!