Bila isteri tidak minta izin sebelum keluar rumah, boleh dikatakan isteri nusyuz. Tapi sebaliknya bagi suami, tiada apa-apa kesalahan pun.
Mengikut penjelasan yang telah diberikan oleh Mufti Wilayah dan jumhur ulama yang lain, hukum asal seorang isteri keluar dari rumah tanpa izin suami adalah haram. Bahkan, isteri ini dianggap sebagai nusyuz dan berdosa besar.
Namun begitu, janganlah suami sengaja ambil kesempatan. Mentang-mentanglah isteri kena minta izin sebelum keluar, dia pula sesuaka hati keluar tanpa beritahu isteri.
Jangan anggap isteri tunggul, keluar sesuka hati dan balik tak tentu masa. Apa salahnya kalau beritahu isteri sekali pun. Tak adalah isteri tertunggu-tunggu dan plaing penting risau dengan kesalamatan suami.
Selalu kita diajar, isteri kena minta izin suami sebelum buat apa-apa. Keluar rumah pun kena minta izin suami. Inilah contoh isteri mithali.
Tapi kalau suami minta izin isteri, orang Melayu kata takut bini. Bila kawan kata takut bini, ego suami tercalar. Jadi suami paham buat apa-apa tak perlu minta izin isteri.
Keluar malam balik pagi. Hanya beritahu, abang nak keluar ni.
Pergi mesyuarat waktu cuti, hanya wasap abang ada urusan ni.
Pergi lepak dengan kawan, hanya cakap abang nak jumpa orang ni.
Pergi kerja luar kawasan, hanya tunjuk tiket kapal terbang yang dah dibeli awal sebulan lagi.
Isteri kat rumah terpinga-pinga. Tertunggu-tunggu. Balik bila pun tak bagitahu. Makan malam yang disimpan pun dah basi tak dijamah.
Isteri Bukan Tunggul
Ads
Para suami, isteri bukan tunggul. Bukan patung. Bukan orang gaji kat rumah.
Masa kita kahwin kita setuju nak hidup mati sama-sama. Nak tempuh sama-sama. Nak buat semua benda sama-sama.
Jadi, semua keputusan perlu dibincang bersama. Jangan membelakangkan isteri. Sebab tempat isteri bukan di belakang tapi di sisi.
Perkahwinan menuntut mutual understanding, mutual responsibility. Peranan suami isteri adalah sama penting. Bukan macam majikan dan kuli. Bukan sorang di depan sorang di belakang. Bukan sorang diperintah dan sorang lagi yang menurut perintah.
Rendahkan Ego
Cuba minta izin isteri, rendahkan ego. Isteri akan lapang dada walaupun suami sibuk tahap Perdana Menteri.
Cuba bagitahu awal nak pergi mana. Nak pergi program apa. Nak jumpa siapa. Mungkin suami rasa tak penting untuk beritahu, tapi penting bagi isteri.
Tapi BAGITAHU je tak cukup. Sekadar bagitahu, lepas tu pergi. Bagi saya menyakitkan hati. Cubalah ‘minta izin’.
“Yang, boleh tak abang nak pergi..”
Isteri akan rasa dihargai, rasa dihormati.
Ads
Minta izin bukan sebab suami perlu keizinan isteri. Tak. Suami boleh pergi je tanpa minta izin. Isteri tak ada hak nak halang.
Tapi minta izin sebagai isyarat suami hargai dan hormat isteri sebagai teman hidup. Sebagaimana suami nak dihargai dan dihormati.
Pentingkan isteri, isteri akan pentingkan anda. Utamakan isteri, isteri akan utamakan anda. Hormat isteri, isteri akan hormat anda. Hargai isteri, isteri akan hargai anda
Insya Allah rumahtangga ada sakinah.
Kredit : Masturah Abu Bakar
Mingguan Wanita : Minta izin sekurangnya isteri tahu dan tidaklah tertanya-tanya.
Mak-mak mula berleter ni biasanya sebab dah tak tahan anak ulang kesilapan yang sama. Tetapi yang menyakitkan hati, leteren itu seolah-olah tak ada kesan. Umpama masuk telinga kanan keluar telingan kiri. Agaknya apa yang silap dalam situasi ini sebenarnya?
Haaa… jawapannya ada dalam kupasan Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK), Noor Afidah Abu Bakar kali ini. Jom semak…
MASUK TELINGA KANAN KELUAR TELINGA KIRI.
SOALAN:
“Puan, orang cakap kalau kita mahu sesuatu itu melekat di hati dan ingatan anak, kita perlu ulang banyak kali, barulah anak ingat, barulah anak buat. Saya dah letih berleter, kadang-kadang sampai naik angin hilang sabar tetapi anak tidak buat juga. Tidak disuruh, tidak dibuat.”
KENAPA KITA BERLETER?
*Ada yang berleter kerana kita juga dileteri suatu masa dahulu. Itu sudah menjadi budaya dan amalan keibubapaan dalam keluarga.
*Ada yang berleter sebab tidak tahu cara lain untuk menyampaikan apa yang terbuku di hati.
*Ada yang berleter untuk memberi arahan kepada anak yang tidak mahu patuh.
*Ada yang ingin menunjukkan kuasa dan otoriti walaupun berleter itu seringkalinya masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
*Ada yang berleter sebab rasa panik, kaget dan bersalah dengan diri sendiri. Untuk menutup kegusaran itu maka leteran digunakan.
*Ada yang takut anak mengulangi kesilapan yang pernah kita dilakukan maka cara yang terbaik adalah berleter untuk menutup rasa tidak selamat yang dirasakan.
Kebanyakannya berleter kerana itu adalah cara yang paling cepat dan mudah untuk ‘memaksa’ anak menurut kata tanpa perlu banyak usaha dan perancangan.
Adakah leteran berkesan untuk jangkamasa panjang?
Seperti dalam soalan di atas, selalunya tidak. Ia hanya berkesan ketika saat itu saja.
Perangai yang sama akan diulangi. Anak akan menunggu leteran sekali lagi. Selagi tidak dileteri, selagi itulah perbuatan yang sama diulang.
Perbuatan diulang, berleter lagi. Berleter lagi, perbuatan diulang.
Ia menjadi satu kitaran yang tidak sudah, tidak efektif dan tidak produktif.
Leteran akhirnya menjadi irama dan lagu yang hanya membuai dan mendodoikan tanpa kesan pada anak.
KENAPAKAH LETERAN TIDAK BERKESAN?
Leteran adalah proses mencari silap bukannya proses memperbetulkan kesilapan.
Ia hanya memfokuskan pada apa yang buruk dan apa yang salah pada anak sahaja. Pernahkah dalam leteran itu kita selitkan perkara yang positif yang dilakukan anak?
Tidak bukan? Ataupun jarang-jarang sekali.
Selalunya kita hanya semburkan apa yang negatif sahaja seolah-olah tiada langsung yang baik pada anak. Selalunya kita guna istilah yang ekstrim.
“Kamu tidak pernah….” “Selalu macam ni…” ”Dah berapa kali dah…”
Semua yang ekstrim negatif sahaja dan langsung tidak ada yang positif.
Anak akan berhenti mencuba untuk berubah dan menjadi baik kerana usaha kecil mereka tidak ada nilainya di mata ibubapa di kala berleter.
Kaedah yang lebih efektif untuk membentuk tingkah laku yang baik adalah bukannya mencari silap tetapi mencari kebaikan. Semakin banyak kebaikan yang kita cari, semakin banyaklah kebaikan yang akan kita lihat dalam diri anak.
Ini adalah kitaran positif yang efektif.
Dalam leteran itu juga kita berkemungkinan membuat andaian yang tidak betul dan tuduhan yang melulu tanpa memeriksa terlebih dahulu apa sebenarnya yang menyebabkan sesuatu tingkah laku itu. Ini juga amat mengecewakan anak yang dileteri.
Mungkin harapan kita terlalu tinggi dan anak tidak dapat mencapainya dengan mudah.
Mungkin persekitaran tidak kondusif untuk fizikal anak melakukan apa yang diharapkan.
Mungkin anak tidak faham arahan yang disampaikan kerana cara komunikasi kita tidak kena dengan anak.
Jika inilah sebabnya, maka tidak hairanlah leteran kita masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tuduhan dan andaian tidak akan terkesan di hati. Ia hanya menyakitkan hati.
APA YANG PERLU DIBUAT SELAIN BERLETER?
Jika kita inginkan kerjasama yang berpanjangan, kita perlukan perancangan. Tidak ada penyelesaian segera dalam proses keibubapaan. Semuanya memerlukan usaha, pertimbangan yang teliti dan kesabaran yang tinggi.
Buat perancangan dengan anak. Jemput anak untuk sama-sama menyelesaikan masalah secara diplomasi. Anak-anak harus diajar kesan dan akibat perbuatan mereka ke atas dirinya, keluarga dan orang sekeliling. Tidak perlu tunggu sehingga anak remaja untuk membincangkannya. Anak kecil juga faham jika kita menggunakan bahasa yang mudah mereka fahami.
Adakan peraturan dalam rumah. Sentiasa berbincang tentang peraturan yang ada. Jika anak tidak ikut peraturan ada kesan dan akibatnya. Ini juga harus dibincangkan dari awal bersama-sama dengan anak bukannya dibuat secara rawak apabila anak melakukan kesilapan.
Kita harus berusaha menjadi ibubapa proaktif yang bersedia sebaik mungkin dengan segala kemungkinan dan bukannya menjadi reaktif dengan leteran dan hukuman yang tidak efektif untuk mendidik.
Pastikan sistem pendidikan di rumah adalah yang terbaik untuk anak menjadi seorang manusia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Adat pasangan baru berkahwin, setiap waktu yang dilalui bersama cukup bahagia dan indah-indah belaka. Hinggakan hendak ke bilik air pun dah terasa rindu!Realitinya, seiring waktu berlalu banyak perkara yang akan ditempuhi dan perubahan yang dilalui sepanjang perkahwinan nanti.Ketika ini, mulalah bila jenguk bilik air pun dah kosong dan tak semeriah dulu.
Catatan menarik perkongsian Nur Shazmira Khalid ini menggambarkan realiti perkahwinan yang sebenarnya ramai pasangan suami isteri tempuhi.
Berikut perkongsian beliau;
BILA ISU ‘PERGI BILIK AIR DAH RINDU’
Adik cuma nak cerita, adik nikah masa umur 22 tahun. Umur 23 dah dapat baby. Sekarang dah 27 tahun. Jadi, usia pernikahan kami dah menjangkau 5 tahun. Mungkin kami berdua kecik dan nampak sedikit muda, hakikatnya otak mesti tua (untuk menempuh alam rumah tangga).
Awal Perkahwinan
Fasa di awal perkahwinan semuanya manis. Kentut pon wangi beb! Laki kau pakai boxer koyak pon tetap nampak sweet. Rambut patern macam mana pon kau tak kesah. Setiap masa kau akan tilik laki kau. Siap boleh tolong lilitkan tuala mandi kat pinggang. Mandi kau sabun dia, dia sabun kau. Kau shampoo rambut dia, dia shampoo rambut kau. Kau pakaikan baju dan seluar, potongkan kuku tangan dan kaki, sikatkan rambut, sarungkan stoking, sarungkan kasut, ikatkan tali kasut, startkan enjin kereta/motosikal. Oh! Bahagianya pengantin baru.
180 Darjah Berubah Waktu Mengandung
Tapi hidup kau akan berubah 180 darjah bila kau start mengandung. Masa tu kalau kau ada ‘morning sickness’ kau akan berubah dari segi mental dan fizikal. Kau tak boleh tengok muka dia lah. Kau tak boleh bau badan dia, kau tak boleh tengok patern rambut dia yang tak sedap mata kau. Dia nak makan tom yam tapi kau tak boleh bau langsung tom yam. Sampai bergaduh dalam kereta isu tom yam (masa pregnant kat ikhwan dulu). Hahaha, sabor je lah.
360 Darjah Berubah Bila Ada Anak
Hidup kau terus berubah 360 darjah bila kau dah jadi ibu dan dia dah jadi ayah. Kau dah tak ada masa nak belek kuku dia, sikat rambut dia, lilitkan tuala kat pinggang dia, sabun badan dia, shampoo rambut dia. Masa ni, kau lebih pentingkan diri kau dan anak yang baru lahir.
Dia? Dia kena berdikari sendiri. Masa ni lah suami akan diuji dengan pelbagai ujian dari Allah. Masa ni jugalah akan ada kehadiran (si penumpang kasih yang tak diundang). Lagi-lagi kalau kau berpantang di kampung halaman, suami kau di bandar bekerja dan tinggal keseorangan. Jadi kau yang dalam pantang kena sentiasa berdoa supaya suami kau dilindungi dari wanita yang berniat jahat terhadap hubungan kau. Nauzubillah.
Teknik Kunci Suami
Hidup diteruskan dengan kunci suami. Bila anak dah besar sikit masa ni lah kau kena rapatkan sehabis baik hubungan suami dengan kau dan anak kau. Kau masaklah apa pon walaupon tak sedap suami tetap suka makan sebab tu air tangan kau. Makan dengan suami dan anak di rumah lebih membahagiakan dan meriah kan?
Perlu diingat teknik kunci suami bukan sekadar telan jamu berbotol-botol. Kau wajib teruskan aktiviti pengantin baru dulu. Mandi bersama, lilitkan kembali tuala di pinggang dia, kau sabun dia, dia sabun anak, anak sabun kau. Tak ke bahagia macam tu? Meriahnye bilik air. Tidur masih berbantalkan dada dia walaupon perut dia dah sedikit meninggi mengalahkan kau, eh! Tak apa kerana itu tandanya dia lebih bahagia.
5 Tahun Pertama Fasa Penuh Ujian
5 tahun pertama adalah fasa penuh ujian kiri dan kanan. Tapi perlu diingat masa nilah kau dan suami kena perbaiki hubungan dengan Yang Maha Pencipta. Didik suami jadi imam terbaik kau dan suruh dia bawak anak kau (anak lelaki) pergi berjemaah di masjid. Supaya anak kita cintakan rumah Allah tu.
5 tahun ni kalau boleh suami isteri yang jarang baca Al-Quran dah perlu paksa diri membaca kitab suci peniggalan Nabi Muhammad S.A.W paling sikit Al-Mulk sebelum tidur. Kemudian diteruskan dengan Al-Waqiah selepas magrib dan Al-Mulk selepas isyak. Up grade lagi, Yassin selepas Subuh.
In Syaa Allah hidup akan tenang dan Allah akan merahmati rumah tangga yang dibina. Masa ni sikap redha akan muncul terhadap apa jua yang terjadi walaupon dari pelbagai masalah (kewangan, jatuh bangun dalam business, tempat kerja, kawan-kawan).
Bila Berjauhan
Bagi yang berjauhan? Amalkan setiap kali berjumpa. In Syaa Allah hidup isteri yang berjauhan dengan suami (yang merantau mencari rezeki) akan redha walaupon sentiasa bertemankan air mata rindu.
Berdoalah sentiasa;
“Ya Allah jika kami berjauhan begini akan lebih mendekatkan ketaatan kami pada-MU, kau berkatilah ia dan lindungilah kami di bawah perlindungan-Mu dan rahmat-Mu.”
Jadi, bila jenguk bilik air pon dah kosong dan tak semeriah dulu. Sebagai isteri kau kena dekatkan hati supaya lebih mencintai Allah dan Rasulnya. Percaya bahawa cinta kau dan dia akan dipelihara sentiasa oleh Allah S.W.T.
Bila kau rindukan dia (suami) sedekahkan Al-Fatihah supaya Allah kirimkan rindu kau ke dalam hatinya.
Kisah pasangan curang bukan lagi perkara asing di kalangan isteri. Lantas ramai yang memilih untuk keluar daripada perkahwinan itu dengan alasan tidak dapat memaafkan kecurangan suami. Namun, ada juga yang tetap bertahan. Kenapa ye? Ikuti kupasan daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Relationship Coach daripada Promind training And Consultation, yang juga kolumnis ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.
Hak
Kebanyakan isteri menganggap suami adalah hak milik mutlak mereka. Apabila isteri berkata begitu, maka saya pasti mereka betul. Namun saya juga tahu bahawa poligami itu dibenarkan. Saya ada beberapa rakan-rakan ‘bertuah’ yang bukan sekadar beristeri dua tetapi sudah mencapai kuota penuh!
Dalam kumpulan berbual di media sosial para suami memang tajuk poligami ini mempunyai kuasa paling kuat untuk menarik rakan-rakan lain memberi komen. Walaupun tajuk ini harum dan mekar tetapi terlalu jarang didengar ada rakan-rakan yang ‘upgrade’ diri dengan status beristeri dua, tiga atau empat. Maksudnya kebanyakan sesi tadi hanya ‘sembang sini, habis sini’ sahaja. Itulah lelaki yang bergelar suami ini. Sembangnya kencang tapi isteri tersayang masih di hati.
Perlu Kekuatan
Sebagai ‘Relationship Coach’, salah satu kesempatan yang selalu diambil peserta untuk konsultansi percuma semasa kursus ialah untuk bertanya, “Dulu suami saya ada perempuan lain di luar tetapi semua sudah selesai. Saya boleh maafkan tetapi saya tetap tidak boleh lupa dan terima dia sepenuhnya. Apa yang mesti saya buat? “
Soalan hanya boleh difahami oleh mereka yang pernah melaluinya. Pada kekuatan bagaimanakah seorang isteri boleh memaafkan suami yang pernah curang dengan orang lain? Waktu itu syaitan begitu cepat membisikkan kata-kata beracun yang suami anda sebenarnya menggilai orang lain.
Pada ketika itu peritnya seperti kail tajam bermata tujuh menusuk dan tersangkut dalam hati. Semakin anda menggelupur melepaskan diri, semakin anda meraung kesakitan. Tapi akhirnya kuasa Allah lebih besar. Kail yang tertusuk itu terlepas dan suami kembali ke pangkuan anda. Perkara itu sudah berlalu. Sebagai isteri solehah anda boleh memaafkan tetapi masalahnya sekarang anda tidak boleh melupakan!
Jangan Lepaskan
Semasa anda dikhianati dahulu pasti terasa itulah masalah paling besar dalam dunia. Walau apa yang berlaku, jangan lepaskan tiang seri perkahwinan itu. Jika selama ini anda boleh melayan rasa dikhianati dan dikecewakan maka selepas ini tukar fokus kepada mencari petunjuk yang suami sangat menghargai anda. Ingat bahawa anda hanya akan nampak apa yang anda mahu lihat. Dalam hanya beberapa minit anda menukar fokus itu, perubahan emosi positif akan datang membanjiri emosi anda.
Kerenggangan Emosi
Apabila anda fokus kepada penyelesaian ini maka anda semakin menuju kepada jawapan yang anda cari. Kebanyakan daripada faktor kecurangan suami bukan disebabkan faktor keintiman seksual tetapi lebih kepada kerenggangan emosi.
Dalam ruang yang tidak kelihatan itu, suami merasa terbentang jurang besar yang memisahkan emosi dia dan anda. Untuk mengikat suami lebih kuat kepada anda selepas ini maka belajarlah untuk menarik emosi suami lebih dekat kepada anda. Ada banyak yang boleh anda lakukan. Kata orang tua-tua dulu, jika sayang suami maka sayangilah perut dan penuhilah matanya. Janganlah kerut kening macam itu. Bukan perut dan mata yang saya maksudkan tetapi hati dan perasaannya. Bila perut kenyang maka hati jadi senang. Apa saja yang indah di mata pasti turun ke hati. Itulah lebuh raya menuju keintiman emosi.
Cepat Pulih
Pasangan suami isteri yang pernah melalui cabaran dengan tajuk ‘curang’ akan lebih cepat pulih dengan selalu menghabiskan lebih banyak masa bersama. Menemui perkara baru atau mencari semula kenangan lama adalah cara berkesan untuk anda pulih sepenuhnya. Sebagai contoh kenapa anda menyukai dia dahulu? Kenapa anda memilih dia berbanding orang lain? Dan kenapa anda menerima dia sebagai suami dahulu?
Ini adalah soalan-soalan yang membawa anda kembali ke garis mula perkahwinan anda. Dulu anda dan suami tersilap tetapi sekarang lihat pada masa depan. Apa yang anda mahu? Bayangkan keluarga bahagia dengan anak-anak semakin dewasa. Menyambut kejayaan mereka di Universiti dan menerima deretan cucu-cucu comel. Anda dan suami tentu tidak mahu melalui masa depan itu sendirian, bukan? Anda boleh mencipta masa depan yang indah itu. Dengan berkat doa dan usaha..Insya-Allah itu semua boleh menjadi kenyataan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jururawat hampir kehilangan RM4000 akibat emel palsu, "diminta verify kalau tak akaun Netflix digantung. Seorang jururawat hampir kehilangan wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan...