Sesungguhnya soal dikurniakan anak, bukan semudah membeli barang di pasar! Itu tuhan punya kuasa.
Jika semudah itu, tentu saja semua orang bahagia memilih anak, mahu berapa orang anak atau mahu berapa orang anak lelaki dan berapa orang anak perempuan. Beli dan bayar.
Bukan semudah itu, segalanya ketentuan Tuhan dan kita sebagai manusia hanya mampu berusaha dan selebihnya berserah kepada Allah SWT.
Jangan dicela mak ayah yang masih belum dikurniakan anak, atau dikomen orang yang memiliki anak perempuan atau lelaki sederet. Jangan!
Soal Dikurniakan Anak
Ikuti perkongsian Ustaz Hisham ini dan hadam baik-baik apa yang cuba disampaikan.
Anak saya yang pertama lahir, lalu dinamakan Nur Aqilah. Begitu terujanya kami menyambut kelahiran anak ini. Kelahiran anak yang semakin mengeratkan simpulan kasih.
Kemudian, lahir pula anak yang kedua. Dinamakan pula Nur Afiqah.
“Dua-dua perempuan ke anaknya?” soalan yang sering diajukan. Kami mengiyakan. Menjawab dengan senyuman.
Berpindah ke daerah lain dan dikurniakan lagi seorang anak. Kami namakan bayi comel yang baunya lebih harum dari minyak wangi yang kami jual dengan nama Nur Afifah. (Bukankah bau bayi adalah bau yang sangat mengasyikkan?).
“Belum ada anak lelaki ya?” Pertanyaan biasa yang sering kami peroleh.
“Kena usaha lagi tu untuk dapatkan anak lelaki.” Begitu antara kata-kata yang kami terima. Kami anggap sahaja kata-kata itu umpama angin lalu. Tidak perlu dikisahkan.
Kemudian lahir pula anak keempat. Sama seperti kakak-kakaknya bertiga. Kami namakan pula Nur Amirah.
Bukan Semudah Membeli Barang Di Pasar!
Itulah anak-anak kami. Empat puteri yang sangat disayangi. Kelak akan menjadi; empat dara duduk di tepi sungai. Duduk menjerat si ketamlah batu. Manis rupa hai elok perangai. Sukar dipilih yang manalah satu. (Tak perlu nyanyi).
Meski terkadang masih ada lagi yang bertanyakan bila pula hendak menimang anak lelaki.
Ads
Tidak ada salahnya mempunyai kesemua anak perempuan. Tidak ada salahnya juga jika anak kita semuanya lelaki. Seorang atau dua orang anak, juga tidak perlu hendak diberat-beratkan dalam perbualan. Tersalah kata, boleh menghiris hati.
Itu Tuhan Punya Kuasa
Soal dikurniakan anak, bukan seperti membeli barang di pasar. Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa. Apatah lagi bila berbicara pada kenalan yang masih belum dikurnia cahaya mata.
Kelak dilihat punya hati bagai pelepah, jantung bagai jantung pisang. Kata-kata yang boleh menyebabkan kesedihan yang berkocak akan kian mengombak di dalam hati kenalan kita.
“Tak ada anak lelaki ke? Nanti bahagian faraid akan dapat kepada orang lain.” Pernah juga ada yang berkata sedemikian.
Saya hanya memasang wajah tanpa emosi. Tidak sepatutnya kata-kata itu dikeluarkan.
Mari sini saya jelaskan tentang faraid. Andaikata saya meninggal dan waris-warisnya seperti ketika ini. Saya ada; ibu, isteri, 4 anak perempuan, 4 saudara kandung lelaki dan 3 saudara kandung perempuan.
Pembahagiannya adalah begini:
Ibu: 44/264
Isteri: 33/264
Setiap seorang anak perempuan: 44/264
Manakala setiap seorang saudara kandung lelaki: 2/264
Dan setiap seorang saudara kandung perempuan: 1/264
Lalu di manakah masalahnya?
Entah mengapa ada yang terlalu memikirkan supaya harta tidak diperoleh oleh adik-beradik. Bukankah adik-beradik itu berkongsi susu ibu yang sama dahulunya.
Menjalani kehidupan susah senang. Mereka bukan orang asing bagi kita. Dengan ihsan yang ada, boleh jadi mereka menarik diri daripada menerima bahagian mereka. Jika mereka hendak menerima, itu adalah hak mereka.
Fahami Ilmu Faraid
Fahami ilmu faraid, pasti kita akan nampak keindahan hikmah yang tersirat. Betapa perlunya hubungan kekeluargaan yang erat. Tahu siapa kaum kerabat. Menjadikan mesyuarat untuk membentuk muafakat.
Sebelum terlanjur bercerita lebih panjang tentang faraid, saya kembali pulang ke cerita asal. Agar tidak teraba-raba mencari titik muasal.
Kepada anak-anak saya, pernah saya berpesan.
Ads
“Kalau ayah meninggal dan belum sempat menjadi wali bagi pernikahan, bapa-bapa saudaralah walinya. Adik-beradik lelaki ayah. Itu kalau memang ditakdirkan ayah tak ada anak lelaki.”
Ia bukan sekadar pesanan biasa. Tetapi saya mahu mengingatkan betapa pentingnya hubungan kekeluargaan. Kita bukan hidup sekadar dalam keluarga yang kecil tetapi ada hubungkaitnya dengan saudara-mara yang lain.
Serahkan Pada Allah
Hari demi hari dan anak-anak semakin membesar. Dalam tidak sedar, ada yang ketinggiannya sudah hendak mencapai ketinggian saya. Yang dahulunya didodoi, kini sudah berlari ke sana sini.
Kesemuanya dengan sifat yang tersendiri. Tanggungjawab kita bukan lagi hal remeh temeh. Bukan lagi tentang susu dan lampin.
Tidak selamanya anak-anak akan kekal sebagai kanak-kanak. Keperluan emosi, rohani, jasmani perlu difikirkan bersama sebagai suami isteri.
Anak-anak dipantau dan diperhati. Ditegur jika ada yang perlu diperbaiki, jika ada tingkah laku yang tidak sesuai agar tidak menjadi sebati.
Kita mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak kita, dan dalam masa yang sama kepada Allah kita serahkan segalanya. Kerana Allahlah tempat sebaik-baik diletakkan pengharapan.
Terima kasih sudi baca.
Mingguan Wanita : Sebelum mencela orang, letakkan diri dalam kasut mereka. Cuba fahami apa yang mereka rasa, selami perasaan mereka. Anak adalah anugerah dan amanah Allah. Hadirnya anak bersama tanggungjawab. Renung-renungkan.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan https://t.me/bangkitwanitaMW
Menjaga anak disamping melakukan tugasan kerja-kerja rumah bukanlah perkara yang mudah bagi seorang isteri.Lebih-lebih lagi jika isteri seorang surirumah dan anak pula ramai.Penatnya hanya tuhan yang tahu.
Sebagai suami,cubalah menghargai penat lelah seorang isteri dengan cuba mencari jalan meringankan bebanan isteri. Berilah pujian, ambil perhatian dan turutlah bantu isteri bagi menghargai si isteri yang bertungkus lumus dirumah sejak pagi.
Kaum isteri ini mudah je sebenarnya para suami nak ‘uruskan’ jika faham apa kemahuan dan hasrat hati mereka. Wanita yang bergelar isteri ni ada masa tertentu akan bertindak mendiamkan diri. Tapi harus ingat iya, diam seorang isteri tu bukan tanda maksudnya semua ok! Situasi inilah para suami harus faham dan kena selami maksud di sebalik ‘berdiam diri’ tersebut.
Berikut merupakan nasihat daripada Puan Nurul Ilyani kepada para suami bagi meringankan bebanan isteri.
Isteri Diam Bukan Tanda Semua ‘OK’
“Hari ini saya mahu cerita. Mungkin suara segelintir isteri. Ya mungkin juga bukan suara semua. Dulu, apabila saya penat semua saya cerita dengan suami. Saya membebel dan bercakap pasal semua penat saya. (MEMBEBEL ya. Bukan MELUAHKAN. MELUAHKAN sangat positif. MEMBEBEL negatif. Baca terus hingga perenggan akhir nanti).
Apabila saya mula mendidik anak sepenuh masa, saya pula belajar komunikasi teknik Nabi saw dalam parenting, saya jadi bercakap perkara-perkara yang penting dan bagus saja. Walaupun hari itu saya lalui dengan teruk sekali. Ia bagus supaya minda saya kekal positif. Apabila saya asyik merungut dan menyebut-nyebut perkara negatif, saya akan jadi lebih negatif.
Diam Bukan Bermaksud Semua OK!
Suami, isteri kalau yang pandai kawal emosi mereka banyak diam. Mereka telan dan selesaikan. Semua masalah hiruk pikuk di rumah semua selesai sendiri. Daripada tak dapat makan dengan tertib, mandi dan urus diri dengan sempurna, semua dia diam. Diam dia bukan dia OK dengan semua ini. Diam dia kerana dia mahu kekal POSITIF menjalankan tugas dia sebagai isteri dan ibu.
Suami, tak banyak pun perlu buat. Apabila balik kerja, beli makanan kegemaran dia. Hari-hari pun tak apa. Suami saya selalu beli nescafe ais ikat tepi kegemaran saya walaupun kadang-kadang lupa. Suami kata tak elok. Tapi saya teringin juga 😀 Air sejuk itu buat saya gembira dan kurang penat.
Kalau isteri gemar makan mahal-mahal, dan kalau hari-hari beli pokai juga :D, beli hadiah kecil-kecil yang comel. Di kedai Hinode pun banyak.Suami, apabila balik kerja, nampak isteri sibuk kalut, terus ambil anak-anak, suruh isteri masuk bilik rehat 30 minit, biar urus diri.
Atau kalau anak-anak sudah besar, bawa keluar jalan-jalan. Sekurang-kurangnya dapat isteri tadi bersosial dengan whatsapp group kawan-kawan solehah dia atau buat posting ilmiah di FB. Itu sebagai BOOSTER untuk tenaga dia sampai keesokan hari.
Puji & Ucap Terima Kasih
Suami, apabila balik, tak banyak, sekali puji dan ucap terima kasih. Ya Allah, isteri, sekali tuan-tuan cakap “Terima kasih jaga anak-anak, sayang memang isteri dan ibu yang bagus”. Percayalah walaupun dia macam malu-malu kucing, dalam hati dia macam ada gendang yang dipalu-palu. Gitu.
Suami, apabila malam sudah tenang-tenang, tanya soalan, “Harini sayang okay?, sayang buat apa?” Walaupun tuan-tuan tahu hari-hari buat benda sama. Ya Allah tak tahu kata apa, isteri walaupun dia jawab nak tak nak tapi dia suka. Kalau dia stress masa ini dia luah semua. Ini baru komunikasi positif.
Sebenarnya, isteri mahu rasa diberi perhatian saja. Rasa diambil tahu. Dia bukan minta rumah 10 biji, emas 1 tempayan, dia mahu PERHATIAN, SECURE dan SAYANG.Barulah jadi suami isteri positif, mendidik anak-anak positif, lahir keluarga positif.
Ummu Ilham
(Yang sentiasa mohon Allah jadikan diri yang positif)
Menerusi status facebook di akaun miliknya, Eyka atau nama sebenar Noraziqah Rohmat mengesahkan tempurung kepala anak tunggalnya, Naufal Amsyar Nabil Fikri retak, tisunya bengkak dan pendarahan termasuk di selaput mata.
Dia yang masih bersedih dengan apa yang berlaku memohon jasa baik orang ramai mendoakan yang baik-baik buat anaknya yang masih di hopsital.
Assalamuaalaikum minta jasa baik rakan rakan doakan anak saya dia sekarang dalam keadaan kritikal moga diberikan keajaiban dan diberikan kesihatan seperti sedia kala. Jasa dan doa kalian hanya ALLAH saja dapat membalasnya. Ummi rinduu naufal sayang, Naufal kuat ummi kuat. Naufal nyawa ummi.
Pihak hospital yang melakukan pemeriksaan terhadap bayi berusia 10 bulan itu telah mengklasifikasikan kecederaan yang dialami Naufal ketika dalam jagaan pengasuh, sebagai ‘kecederaan bukan kemalangan’ atau ‘non-accidental injuries’.
Semalam ibunya juga meluah emosinya di laman media sosial dengan memuat naikkan gambar keadaan anaknya sekarang.
“ALLAH sesungguhnya kami insan yang terpilih, Kau redha kan aku terima segala ketentuan Mu.”
Otak Bayi Membengkak Dan Retak Di Kepala
Pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Dr Muhammad Yusof Sibert berkata, pemeriksaan imbasan juga mendapati terdapat beberapa keretakan di bahagian kepala yang serius.
Pemeriksaan pakar juga mendapat otak bayi berkenaan membengkak, namun pemeriksaan lanjut sedang dijalankan. Pihaknya mengesyaki ia bukan disebabkan kemalangan, tetapi telah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Apabila kami lakukan pemeriksaan imbasan ke atas adik Naufal ini, kami mendapati terdapat retakan pada bahagian kepala. Otak bayi berkenaan juga didapat membengkak atau celebral edema.”
Tambah Dr Muhammad Yusof, pihaknya juga telah merujuk dengan bahagian neurologi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk rawatan susulan.
Namun bayi itu hanya akan dirujuk ke HSA selepas keadaan selain tekanan darahnya stabil.
Sementara itu ibu bapa bayi tersebut menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.
Selasa lalu, Naufal dilaporkan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari buaian di rumah pengasuh.
Naufal mengalami pendarahan mata, retak tempurung kepala serta lebam di dahi kiri.
“Saya terima panggilan daripada pengasuh ketika saya sedang bekerja dan dia beritahu Naufal kini berada di unit kecemasan di hospital.
“Pengasuh itu berkata anak saya tidak boleh bernafas dengan tiba-tiba ketika dia sedang beri makan. Dia kata dia cuba tepuk anak saya tetapi mata anak saya naik ke atas sahaja.
Rupanya Pernah Jatuh Buai
Cerita ibu mangsa, apabila dia sampai di hospital, Naufal sudah kritikal. Masa itu dia tanya pengasuh itu untuk beritahu kepadanya adakah Naufal pernah jatuh?
“Mula-mula dia diam sahaja dan selepas itu baru dia beritahu saya bahawa Naufal pernah jatuh dari buai sebanyak dua kali,” Luah ibu kepada bayi tersebut, Noraziqah Rohmat.
Sehingga kini, Naufal masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Dalam pada itu, bapa kepada bayi itu, Nabil Fikri Anwar berkata dia faham bukan senang untuk menjaga anak kecil namun dia kecewa kerana pengasuh itu tidak jujur.
“Pengasuh kata mata Nawfal terbeliak dan tiada tindak balas. Pada mulanya, dia mengesyaki Nawfal tercekik ketika makan. Tapi kami hanya tahu Nawfal jatuh dua kali dari buaian selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).”
“Saya tak mahu menuduh sesiapa dan saya faham bukan senang menjaga anak orang tetapi saya mahu dia jujur. Saya cuma nak tahu pada hari kejadian, apa sebenarnya berlaku kepada anak saya.”
Pengasuh Ditahan
Terdahulu, polis menahan reman pengasuh wanita berusia 35 tahun itu susulan bayi lelaki berusia 10 bulan disahkan lebam dahi kiri, pendarahan mata dan retak tempurung kepala selepas dirujuk ke Hospital Tangkak di sini Selasa lalu.
Wanita itu ditahan 12.15 tengah malam tadi selama empat hari mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.
Info: Harian Metro & Facebook Ibu mangsa.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
SUSUNAN: NUR SYAZWANI MEHAT ( Terima kasih Pusat Kesuburan Sunway, Sunway Medical Centre)
Masalah kesuburan menjadi isu besar bagi pasangan yang ingin menimang cahaya mata. Data Pusat Kesuburan Sunway menunjukkan bahawa faktor lelaki dan wanita adalah sama dalam menyumbang kepada masalah kegagalan suami isteri untuk hamil.
Menurut kajian pesakit Pusat Kesuburan Sunway lagi, ketidaksuburan lelaki menyumbang kepada kegagalan pasangan untuk hamil adalan 33.33%, wanita 33.33 peratus dan faktor selebihnya 33.33 peratus tidak diketahui.
Dr Hoo Mei Lin
“Ini menunjukkan bahawa beban masalah kesuburan adalah sama antara lelaki dan perempuan. Walau bagaimanapun, di Malaysia dan kebanyakan negara Asia, topik kesuburan sentiasa berpaksi kepada golongan wanita,” ujar Pakar Sakit Puan dan Kesuburan Sunway Dr. Hoo Mei Lin.
Tambahnya, setelah merawat wanita selama hampir dua dekad, dia mendapati bahawa wanita biasanya berusaha mencari rawatan kesuburan berbanding daripada suami mereka.
Malahan, jelas Dr. Hoo beban kemandulan sering dirasakan oleh wanita berbanding lelaki. Situasi ini adalah bertentangan dengan statistik perubatan yang menunjukkan faktor lelaki dan wanita adalah sama dalam menangani masalah ini.
Selain itu, Dr Hoo menerangkan bahawa masalah kemandulan wanita sering disebabkan oleh kegagalan untuk mengovulasi. Ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, yang paling umum ialah sindrom ovari polikistik (PCOS), faktor berkaitan usia yang membawa kepada kadar ovari yang berkurangan dan gangguan endokrin yang membawa kepada gangguan hormon.
“Apabila seseorang wanita itu tidak berovulasi, maka tidak ada telur untuk disenyawakan dan lazimnya wanita itu akan diberi rawatan seperti ubat kesuburan dan hormon untuk meningkatkan ovulasi serta pembedahan jika terdapat penyumbatan pada tiub fallopian.
“Berlainan dengan masalah kesuburan lelaki yang biasanya melibatkan ujian fizikal dan air mani sahaja, diagnosis kesuburan wanita boleh memakan masa yang lebih lama kerana ia melibatkan pemeriksaan sejarah perubatan pesakit, menganalisis kitaran ovulasi, ujian fizikal, ukuran tahap hormon dan sebagainya”, katanya lagi.
Isu Ketidaksuburan Lelaki
Di samping itu, menurut ketua Pusat Kesuburan Sunway, Dr Kannapan Palaniappan pula, seringkali masalah ketidaksuburan lelaki berpunca daripada isu pengeluaran sperma dan penghantaran sperma.
Walaupun statistik masalah kesuburan lelaki adalah sama seperti kesuburan wanita, tahap kesedaran masalah ini masih rendah di Malaysia.
Malahan, dia turut menjelaskan bahawa masalah ketidaksuburan lelaki biasanya berlaku disebabkan oleh sperma yang luar biasa (abnormal), jangka hayat pendek atau mobiliti rendah, jumlah bilangan sperma yang tidak mencukupi serta berhadapan dengan masalah ejakulasi. Penyebab masalah-masalah ini selalunya tidak dapat dikenal pasti.
Oleh itu, jika faktor lelaki dikenal pasti sebagai punca pasangan tidak dapat hamil, pakar kesuburan akan mencadangkan kepada pasangan yang bermasalah untuk menjalani bantuan teknologi pembiakan seperti persenyawaan in vitro (IVF).
Dr Kannapan Palaniappan
“Walau bagaimanapun, sekiranya bilangan sperma suami adalah sangat rendah, tidak bergerak dengan lancar atau mengalami kerosakan DNA yang tinggi, hasil IVF juga akan tergugat.
“Dalam kes sedemikian, kami perlu menjalankan proses pemilihan sperma yang sihat secara manual dan kemudian menyuntikkan sperma tersebut ke bahagian pusat telur si isteri.
“Proses ini dipanggil kaedah Suntikan Sperma Morfologi Intracytoplasma (IMSI). Ia dijalankan oleh pakar embriologi dengan menggunakan mikroskop yang 8,000 kali lebih berkuasa daripada biasa untuk mengesan kecacatan kecil di bahagian kepala sperma yang tidak boleh dikesan melalui cara suntikan Intracytoplasma yang biasa,” katanya lagi sebelum mengakhiri perbualan.
Kenal pasti punca dahulu, kemudian barulah jalani rawatan terbaik untuk hamil.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bekas suami Kim Seri sah ke penjara, "terima kasih Kim Seri, kau kejam, Allahuakbar... Kes penipuan jenayah melibatkan Kim Seri yang menipu pelancongan ke...