
Isi Kandungan
ToggleEmosi anak-anak memang akan jadi bom jangka, bila mak ayah salah pendekatan memujuknya. Pantang anak-anak bila barang mereka dirampas tanpa rela. Kadang kita tak perasan, yang tindakan mendesak sebegitu rupanya membentuk karakter pemberontak dalam diri anak.
Nak ambil barang dari tangan anak ada caranya. Bukan main rampas. Inilah yang dikongsikan Muhammad Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Encik Matt (LelakiBurQa) yang berhadapan situasi anaknya yang digelar ‘adik’ yang dah pandai campak barang.
Anak Tengah Seronok Main, Kita Rampas
Patutlah anak saya dah pandai campak barang apabila diminta. Rupanya mak saudara di rumah selalu rampas barang dari tangan dia.
Perasan tak anak sedang seronok bermain kita rampas, terus dia mengamuk dan menangis.
Rupanya cara kita sangat salah. Merampas barang dari tangan mereka akan develop sifat memberontak.
“Dua minggu lepas anak saya main penyapu, kakak datang terus rampas penyapu, marah adik. Apa lagi meragamlah dia. Menjerit sekuat hati marah kakak balik. Kebetulan berlaku depan saya.”
“Saya cakap kakak bagi balik kat adik. Sini Abi tunjuk macam mana cara supaya adik tidak mengamuk.”
Saya pergi kat anak. Saya duduk sama tinggi dengan dia (melutut). Perlahan-lahan saya pegang penyapu. Saya cakap rajinnya Muhammad nak menyapu sampah ya? Sambil saya senyum. Meh sini penyapu Abi ajarkan. Terus anak bagi dengan muka tersenyum.
Setelah itu saya alihkan perhatian dia pergi luar rumah tengok burung, tengok langit, tengok kereta.
Cara pujukan yang ditunjukkan ayah itu menjadi dan berjaya melembutkan hati anak kecilnya. Sebenarnya nak memujuk anak pun ada tekniknya.
4 Cara Paling Berkesan Pujuk Anak Yang Mula Nak Tantrum
1. Eye Contact
Pandang ke dalam matanya dengan ekpresi muka yang tenang apabila bercakap atau untuk arahkan sesuatu.

2. Body Contact
Samakan kedudukkan kita setaraf dengan mereka. Guna sentuhan yang lembut apabila anak sedang meragam. Rapatkan badan kita dengan anak. Pegang bahu dia sambil gosok-gosok di belakang dan terus peluk, sambil bisik di telinga dia, “Abi dan Umi sayang Muhammad, الله sayang Muhammad”
3. Perkenalkan Kepada Anak Kegunaan Sesuatu Barang Tersebut
Bezakan kepada mereka yang mana boleh main dan yang mana tidak boleh main atau sentuh, terutama alatan tajam atau barangan elektronik.
Sebenarnya bagi kanak-kanak semua barang adalah permainan. Jadi,tugas kitalah untuk fahamkan perbezaan barang-barang tersebut. Contohnya penyapu tadi. Setiap hari ketika menyapu cakap kepada anak penyapu ini fungsinya untuk sapu sampah. Bukan untuk main. (sambil ajak anak)
4. Apabila Anak 2 Tahun Main Barang Yang Salah
Jangan kita berteriak dari jauh. Anak pegang gelas dari jauh kita dah jerit. Akhirnya mereka terkejut terus campak gelas ke lantai. Sepatutnya pergi kepada anak dan ambil gelas dengan berhemah.
Sekarang anak saya mula dengar cakap tidak lagi campak barang. Dia nak main HP sekali pun datang minta izin dengan saya. Rupanya sangat mudah untuk wujudkan emosi yang positif dalam jiwa anak-anak kecil ini.
Moga Bermanfaat kepada tuan puan.
Sumber/Foto : Facebook Muhammad Ahmad , wholeparent.com , everythingfordads.com
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wanita Ini Nasihat Buat Mak-mak Yang Selalu Berdepan Dengan Ayat “Ada Degree Tapi Suri Rumah”, Lepas Baca Mesti Rasa Bahagia!

Ini dilema dan perasaaan normal kebanyakan kaum perempuan, bila belajar tinggi-tinggi dan kerja gaji yang besar tetiba terpaksa jadi suri rumah. Allah… macam-amacam ‘bunyi’ yang nak kena hadap, malah kadang sebab mulut orang hati jadi sedih. Rasa rendah diri sebab tak kerja. Padahal itulah nikmat dan rezeki yang Allah bagi yang mungkin orang lain tak akan dapat.
Buat renungan dan suntik semangat kaum mak-mak suri rumah, baca perkongsian Shiera Firhat ini…
Sebenarnya semua ni Allah dah atur. Allah dah catatkan dah dalam buku kehidupan kita tanpa kita sedar. Rezeki orang lain-lain. Kan?
Dulu, banyak kali cakap nak resign tapi selalu je tak jadi. Sebab takda kekuatan. Tapi, bila kekuatan tu muncul, on the spot terus buat resign letter submit kat boss. Maka dengan rasminya jadilah suri rumah sepenuh masa.
Nak tahu apa/siapa kekuatan tu? Tu haaaa budak kecik sebelah tu. Niat nak jaga dia, nak tengok die membesar depan mata. Alhamdulillah Allah makbul sampai sekarang. Si bujang tu pun dah masuk 1 tahun 5 bulan.
Sendiri pun tak tahu nak jangka, nak agak sampai bila boleh tengok dia besar depan mata, jaga sendiri makan minum dia. Sebab manusia biasa ni tak dapat nak expect apa yang akan berlaku akan datangkan? Tapi yang penting, doa untuk dimurahkan rezeki untuk menjaga dia tak pernah tinggal seusai solat. Dan doa untuk dimurahkan rezeki untuk membantu suami dan mama juga tak pernah lekang dek bibir walaupun hanya suri rumah.
Banyak mulut bercakap, sayaaaaaangnya belajar tinggi-tinggi, tapi dok rumah. Sayaaaangnya gaji besar-besar tapi resign. Sayaaaangnya duit mak ayah hantar belajar dulu tapi tak gunakan apa yang dah ada (degree). Ini paling terkesan. Sungguh, memang ada rasa serba salah dalam hati bila ada yang cakap camtu.

Tapi, ini jalan hidup saya. Allah dah tentukan takdir saya ke sini. Buat masa ni saya terima, saya redha dan saya gembira dengan apa yang saya buat. Ini bukan bermakna saya tak kenang jasa ibu ayah saya. Saya sedang usaha nak buat terbaik untuk diri saya sendiri, untuk keluarga kecil saya, untuk Mama, untuk adik saya dan in laws saya. Walaupun bukan seorang Peguam yang berjaya buat masa ini, saya akan cuba usaha untuk mereka dengan cara saya sendiri, Inshaallah.
Apa yang saya minta, bercakap baiklah selalu. Doakan saya dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki. Berhenti cakap yang tak elok. Untuk suami dan mama, terima kasih sentiasa bantu dan restui apa yang saya pilih.
Untuk suri rumah seperjuangan, tahniah! Anda diberi kekuatan luar biasa untuk membuat keputusan ini. Nyahkan kata-kata negatif, pekakkan telinga. Dan saya juga doakan anda dimurahkan rezeki sentiasa dalam berkhidmat sebagai SUPERMOM!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Anak Malas Berdialog Dengan Kita, Itu Sebenarnya Satu Petanda Buruk!”

Isi Kandungan
ToggleKalau mak ayah ada masak hantar dan ambil anak dari sekolah, curilah masa untuk berdialog dengan anak. Cuma dari perbualan sebenarnya memang banyak didikan yang mak ayah boleh selit sambil berbual kosong.
Macam mana yang Ustazah Sharifah Zahidah pernah kongsikan tentang curi masa untuk berbual dengan anak sebelum ini, mungkin mak ayah sudah berjaya ikut.
Dan kali ini, Ustzah panjangkan perkongsiannya untuk mak ayah terus pupuk budaya berbual dengan anak dengan lebih jauh. Jom semak.
Buang Sikap Pentingkan Diri Sendiri Dalam Diri Anak
Sebelum ini saya nyatakan bahawa kebanyakan masalah dan gejala buruk yang berlaku baik dalam rumahtangga, di sekolah mahupun di tempat kerja atau di mana jua – kesemuanya pasti ada kaitan dengan masalah empati yang telah keras membatu dalam diri, yang akhirnya menjadikan seseorang itu lebih bersikap egois dan pentingkan diri.
Sifirnya ringkas.
BANYAK MASALAH ATAS DUNIA, boleh diselesaikan apabila sikap egois dan pentingkan diri ini berjaya dihapuskan. Atau saya rephrase, bahawa masalah kecil, yang merupakan punca timbul segala masalah majoriti di dunia ini – TIDAK AKAN wujud pun jika sikap egois dan pentingkan diri ini tidak muncul.
Tak percaya? Semak dalam kehidupan kita, dan masalah di sekeliling kita.
Dan lakukan analisa kasar; berapa banyak darinya terbibit, ATAU sekurang-kurangnya terkait dengan masalah PENTINGKAN DIRI SENDIRI ini sebenarnya?
Konflik antarabangsa; peperangan antara negara juga bahkan sebenarnya tercetus kerana wujud motif-motif yang lahir dari pemikiran egois yang sifar empati.
Jadi, apa kaitannya isu ini dengan MENDIDIK EMPATI DALAM DIRI ANAK-ANAK?
Jawapan ringkasnya, EMPATI ADALAH APA YANG AKAN MENUTUP RUANG KEAKUAN MERAJA DALAM DIRI. Keakuan pula adalah pintu yang membuka segala bentuk konflik dan kezaliman.
Cara Nak Didik Empati
Bagaimana empati menutup lubang keakuan dari meraja dalam diri?
Di saat empati itu wujud dalam diri, kehidupan ini tidak lagi semata-mata tentang diri kita dan kita lebih mudah menyelami hakikat bahawa “The world doesn’t revolve around us.”
Hasilnya kita melihat ada orang lain dalam dunia ini, seperti kita. Dunia ini ada kita, dia, mereka, dan semua. Dunia ini bukan cuma ada kita.
Seterusnya, humility – tawaduk dan rendah diri pula akan mudah lahir dalam diri.
Dimensi pemikiran, perasaan dan tindakan kita menjadi luas, menjangkaui apa yang berkaitan dengan diri kita semata, tetapi sentiasa terpusat untuk turut memikirkan akibatnya yang jauh yang meliputi sesiapa saja di sekeliling kita. Bahkan jika cukup jauh – dapat mendidik taqwa yang lebih dalam diri, sehingga Akhirat itu menjadi bayangan yang sangat pasti.
Empati ni, adalah keupayaan jiwa menyelami diri orang lain sehingga tiada lagi perbezaan antara dirinya, dengan diri insan yang sedang diselaminya. Dia melihat dirinya dalam diri orang lain. Dan dia melihat diri orang lain, dalam dirinya!
Atau bahasa ringkasnya, PEOPLE UNITE. AND WE BECOME ONE.
Kita menjadi manusia yang sangat menjiwai watak dan kesusahan orang lain. Sehingga hati ini terpenuh dengan sikap mengambil berat, ambil tahu, ambil pusing dan ambil tanggungjawab tentang diri dan orang di sekeliling kita dalam kapisiti terbesar kita.
Anda tentu faham kan, betapa besar maknanya apabila semangat KEBERSAMAAN “WE ARE ONE” ini terbit dalam diri menghapuskan semangat keakuan diri?
Dari mana lahirnya kualiti hebat sebegini?
Kualiti diri yang sentiasa melihat dirinya dalam diri orang lain di saat seseorang itu sedang dalam ujian dan dilanda kesusahan?
Semuanya bermula dengan EMPATI.
Makna Empati
Empati ini adalah asas sebelum terbentuknya ITSAAR – sebuah kualiti yang tinggi dalam hubungan persaudaraan sesama Islam. Ini kita sentuh lain kali. Sekadar pengetahuan cetek saya sehingga hari ini, hanya agama Islam yang mewujudkan konsep itsar ini dan menekankannya dalam diri para penganutnya.
Empati ini BUKAN BAKAT.
Empati ini adalah nilai yang boleh disemai, atau nilai yang boleh diabai. Bergantung kepada proses pendidikan dan persekitaran yang wujud.
Dan masa yang paling baik untuk menyemai empati ini, adalah sejak usia dini. Lagi awal, lagi baik. Dan inilah, tujuan bab ini ditulis dan dikongsikan di sini.
Memadai untuk bab teori.
Kita sembang pula bab praktikal tentang bagaimana kita boleh mendidik empati dalam jiwa anak-anak kita.
Curi Masa Berdialog Dengan Anak
Kita boleh mula dengan seringkas acara.
Cukup sekadar berbual ringkas dalam kereta, ketika ambil anak pulang dari sekolahnya – pun sudah memadai. Bahkan saya lihat, BERBUAL DALAM KERETA INI SANGAT BAIK KESANNYA pada pengukuhan perhubungan ibubapa – anak, dan berupaya menjadi saluran pendidikan yang ringan tetapi berkesan.
Dengan syarat, ianya dilakukan dengan betul berdasarkan 3 prinsip ini.
1. Mewujudkan topik dengan betul.
2. Bertanyakan soalan yang betul.
3. Merangsang jawapan dengan betul.
InshaALLAH, kupasan yang detail tentang bab ini ada dalam buku saya, 1-2-3 Oh Mudahnya Parenting, (jika ALLAH izin ianya diterbitkan.)
Di sini, saya nak kongsikan perkara lain, iaitu jenis-jenis soalan kita boleh tanya pada anak untuk perkenalkan elemen empati dalam dirinya.
Antara soalan yang kita kerap tanya anak, adalah,
“Hari ni Kakak makan dengan siapa?”
“Kakak belajar apa tadi dalam kelas Matematik? Tambah? Tolak? Bahagi?”
“Siapa nama kawan baru Kakak?”
Dan soalan-soalan yang basic yang sifatnya superficial, atau luaran.
Soalan-soalan sebegini adalah bagus, untuk tujuan bonding dan masuk ke dalam dunia anak-anak. Tetapi ada soalan-soalan lain yang boleh kita manipulasi untuk galakkan anak-anak berfikir tentang orang lain dan sentiasa merasakan berbuat baik itu adalah satu prioriti untuk dirinya.
Kaitkan Dengan Orang Sekeliling Anak
Daripada terus mengulang bertanya soalan-soalan di atas setiap hari, mulakan bertanya soalan kepada anak kita SEPUTAR KEHIDUPAN ORANG LAIN, bukan semata tentang dirinya lagi.
Contoh,
Daripada bertanya, hari ini Kakak makan dengan siapa?
Cuba tanya, “Hari ni Aisyah makan dengan siapa? Ada orang teman makan Aisyah?”
Kemudian, baru kembalikan soalan itu kepada dirinya, “Kakak pula makan dengan siapa?”
Jawapan anak kita, mungkin seputar 3 perkara.
1. Aisyah makan dengan kawannya yang lain.
2. Aisyah makan dengan anak kita.
3. Anak kita tidak tahu Aisyah makan dengan siapa, atau Aisyah tidak hadir ke sekolah, atau anak tidak nampak Aisyah di sekolah hari ini dan tidak pasti tentang Aisyah.
Jika jawapan anak kita adalah nombor 1, boleh suarakan;
“Alhamdulillah, hari ni ada orang teman Aisyah makan. Taklah Aisyah sunyi kan makan seorang diri. Kakak pula, siapa jadi teman makan kakak hari ini?”
Lihat, ayat “TAKLAH AISYAH SUNYI MAKAN SEORANG DIRI” adalah ayat yang meletak diri dalam watak sebagai orang lain. Ayat yang berfikir tentang keadaan dan kebajikan orang lain.
Bertanya Pun Ada Seninya
Ini seninya bertanya pada anak tentang soalan-soalan basic, tetapi yang MENDIDIK JIWA EMPATI DALAM DIRINYA.
Kemudian, baru kita tanyakan soalan kepada dirinya, dengan siapa dia makan ketika rehat tadi.
Tak susah kan?
Selalunya kita bermula terus dengan bertanya tentang anak kita, hari ini, kita cuba ubah sedikit saja lagi.
Katakan, jawapan anak kita adalah nombor 2 pula.
“Wah, Kakak makan dengan Aisyah hari ni. Aisyah mesti happy sebab kakak temankan dia. Kakak happy tak makan dengan Aisyah tadi?”
Kemudian, terus beri galakan atas tindakan baiknya dengan mengucapkan tahniah.
“Tahniah Kakak, Sebab hari ni kakak dah gembirakan orang lain. Nanti mesti ALLAH akan gembirakan kakak pula, inshaALLAH,”
Atau mungkin soalan lain,
“Aisyah makan kenyang tak tadi Kakak, bekal dia cukup ke? Kotlah masa buka bekal tadi, makanan dia terjatuh. Kalau tak cukup, Kakak boleh kongsi bekal kakak dengan Aisyah, kakak sikit, Aisyah sikit.
Ibu suka kalau anak Ibu suka kongsi makanan dengan orang lain. Ada banyak kita kongsi. Ada sikit, kita kongsi juga. KAKAK KASIHAN TAK KALAU ORANG TAK CUKUP MAKANAN?”
Logiknya, manalah ada Ibu yang bekalkan anak dengan makanan tidak cukup ke sekolah. Tapi soalan sebegini adalah untuk melahirkan jiwa yang sentiasa memerhatikan keperluan orang lain.
Panjangkan Dengan Mendidik Hati Dan Sikap Anak
Di saat kita bertanya soalan pada anak,
“KASIHAN TAK KALAU ORANG TAK CUKUP MAKANAN,” – Panjangkan lagi pada dialog lain. Beritahu dia beruntung memiliki segalanya. Maka harus BUKTIKAN syukur kepada ALLAH. Dan bukti syukur itu melalui jalan beramal, bersedekah, berakhlak baik, berkongsi dan sebagainya.
Di lain-lain masa atau kelapangan, tunjukkan gambar dan video YouTube anak-anak kebuluran, tidak cukup makan dan perlindungan, tidak mendapat pendidikan dan sebagainya.
Kemudian, tanyakan kepada anak,
“BAGAIMANA KAKAK RASA, KAKAK BOLEH BANTU DIA?”
Ya, mendidik empati bukan sekadar ajarkan anak sekadar BERFIKIR tentang orang lain dan menjiwai watak mereka – tetapi tidak berbuat apa-apa! Rangsang jiwa dan minda anak, untuk turut berfikir BAGAIMANA DIA BOLEH BERPERANAN, MEMBANTU DAN MEMBERI SUMBANGAN.
Saat ini, sebagai contoh, boleh ajarkan tentang KUASA DOA kepada anak-anak. Bahawa doa juga dapat membantu insan lain.
Boleh juga ajarkan tentang kepentingan TIDAK MEMBAZIR makanan, kerana pembaziran itu akan menyedihkan ramai pihak yang sangat menginginkkannya, sedangkan kita membuang makanan tanpa rasa berdosa.
Setelah mendidik anak melihat KEPAYAHAN ORANG LAIN, pandulah pemikiran tersebut untuk dia melihat APA PULA TINDAKAN, AKHLAK DAN PERANANYA TERHADAP ORANG LAIN.

Dan dalam konteks soalan,
“Kasihan tak kalau orang tak cukup makanan,” –
Ini adalah bentuk soalan yang turut merangsang anak untuk turut MELUAHKAN rasa empatinya terhadap insan lain. Anak-anak SEBAIKNYA diajar untuk belajar meluahkan kesusahan yang dia rasai tentang orang lain – agar jiwanya sentiasa menjadi senstif dengan kesusahan orang lain.
Sekaligus membentuk idea bahawa memerhatikan orang yang memerlukan (people in need) di sisinya – adalah suatu urusan yang dianggap besar dan serious olehnya, dan ianya WAJAR DISEBUT/DIBINCANGKAN. Ianya bukan soal enteng dan picisan.
Jika jawapan anak kita adalah jawapan yang ketiga pula, iaitu anak kita tiada sebarang kepastian tentang status Aisyah, antara perbualan yang boleh kita tanyakan adalah seputar, MEMBUAT TELAHAN YANG MENGAMBIL BERAT.
“Aisyah demam ke? Kakak tengok semalam Aisyah ada batuk-batuk ke di sekolah? Macam ada tanda-tanda orang nak demam?”
Atau, boleh juga bertanya,
“Aisyah ada bekal tak? Entah-entah Aisyah tak rehat hari ini sebab terlupa bawa bekal atau tertinggal duit belanja tak?”
Atau, sekadar soalan biasa,
“Kakak risau tak, tak nampak Aisyah tadi?”
Ibu-ibu, bapa-bapa sekalian.
Ketahuilah, ini CUMA SOALAN UNTUK MENIMBULKAN PERBUALAN DAN MENGGERAKKAN HATI NURANI ANAK-ANAK agar terpandu melihat diri orang lain dari kaca mata rahmah dan ambil berat.
Soalan-soalan yang ‘kelihatan’ remeh di atas, tidak MEMERLUKAN JAWAPAN YANG TEPAT DARI ANAK.
Biarkan apa jua jawapan anak. Asalkan ianya menunjukkan ada bibit empati lahir dalam dirinya. Gunakan jawapan anak, untuk kita cipta lebih banyak soalan yang mendidik jiwanya, sehingga perbualan antara kita dan dia itu menjadi satu perbualan yang MEMATANGKAN MINDA DAN EMOSINYA.
Soalan dan perbualan yang membina EQ, atau kepintaran emosinya.
Saya mohon agar jangan sekali diajar anak atau membiarkan anak sehingga terbit darinya pemikiran sebegini,
“Entah. Biarlah Aisyah. Pandailah dia nak hidup.”
Atau
“Kakak malas nak ambil tahu.”
“Biarlah Aisyah. Kenapa nak kena sibuk urusannya?”
Anak Malas Berdialog, Ini Petanda Buruk
Sungguh, ianya suatu petanda yang buruk apabila ANAK LANGSUNG MALAS MENJAWAB DAN TIDAK MENUNJUKKAN MINAT UNTUK BERDIALOG DENGAN KITA SEPERTI DI ATAS, kerana dialog itu adalah seputar kebajikan insan lain, dan bukan tentang game Mobile Legendanya, bukan tentang artis pujaannya, bukan tentang koleksi Smigglenya yang dia nak beli, bukan tentang dirinya atau kepentingannya.
Ya, saya jumpa dengan kanak-kanak yang sudah pandai berkata seperti di atas apabila perbualan yang tercetus adalah BUKAN TENTANG KEPENTINGAN DIRI DAN NAFSUNYA lagi. Anak-anak ini tidak bersalah. Anak ini adalah produk dari sikap ibubapa yang memandang enteng ilmu keibubapaan dan selesa membesarkan anak-anak dalam kejahilan.
Selagi jawapan anak-anak menunjukkan respond yang baik, teruskanlah menghidupkan perbualan-perbualan yang membangunkan jiwa anak-anak kita.
Adakalanya, kita bual kosong dengan anak-anak.
Tentang, kenapa dia pilih kertas warna merah, bukan warna biru.
Macam mana nak asah pensel kalau dalam kelas.
Atau kat tepi bilik darjah ada longkang tak.
Apa sahaja.
Ini bagus. Berbual kosong ini adalah untuk bonding.
Tapi, dalam masa yang sama, JANGAN KOSONGKAN SEMUA PERBUALAN. Jadikan ianya sebagai MEDAN PENDIDIKAN untuk jiwa anak-anak. Letakkan matlamat dalam perbualan kita. Matlamat pendidikan. Menyemai karakter dan akhlak nubuwwah dalam dirinya. Usahlah setiap masa berbual kosong. Pandai-pandailah selitkan nilai pendidikan dalam kesempatan masa yang ada.
InshaALLAH, all the best.
ALLAHUA’LAM.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
5 Tip Bahagia Untuk Wanita Yang Kahwin Dengan Duda, Sikap PLASTIK Itu Paling ‘No’

Isi Kandungan
ToggleNampak macam senang, hakikatnya ujian wanita yang kahwin dengan duda itu besar cabarannya. Tak mudah untuk mereka. Selain menjaga suami, dia juga perlu berbaik-baik dengan anak tirinya.
Dan anak-anak tiri ini tak boleh disogok dengan kepura-puraan dan sikap ramah yang plastik. Keikhlasan dan luhurnya hati mendorong perasaan sayang dan suka dalam hati mereka. Sebab itulah, wanita yang berkahwin dengan duda perlu faham garis panduan ini.
5 Tip BAHAGIA Untuk Wanita Yang Kahwin Dengan Duda
Satu : Belajar Menjadi Ikhlas
Benarkan, yang paling sukar diduga adalah keikhlasan. Ia perasaan suci yang hanya mampu dinilai oleh Yang Maha Esa.
Namun, hati-hati yang suci mampu melihat sejauh mana seorang itu ikhlas atau tidak terhadap mereka. Justeru, terimalah anak-anak suami anda dengan penuh rasa cinta.
Dua : Jujur Pada Diri Sendiri
Sebagaimana anda cinta dengan suami, salurkan rasa itu pada darah dagingnya. Berikan sepenuh jiwa dan layani makan minum mereka mengikut aturan yang sepatutnya.
Anda juga perlu menjadi jujur pada diri sendiri. Agar keikhlasan itu boleh terpancar dari lubuk nurani yang ikhlas.
Tiga : Dekatkan Jurang
Bagaimana mahu menjadi rapat dengan anak-anak, cinta hati suami ini? Salah satu caranya adalah merapatkan hubungan yang mula terasa hambar.
Lakukan aktiviti bersama suami dan anak-anak tiri ketika waktu lapang. Bawa mereka bersiar atau melancong ke satu destinasi yang tenang.
Empat : Pupuk Rasa Kasih
Anda boleh juga pupuk jiwa kasih anak-anak tiri melalui solat berjemaah. Pinta suami lakukan bersama biarpun cuma dapat melakukannya ketika solat maghrib sahaja.
Selesai solat, biarkan suami memberi tazkirah diikuti oleh harapan anda sebagai seorang ibu baru kepada anak-anak suami.
Lima : Bersabar Dan Bertenang
Jika duda yang anda kahwini itu kematian isteri, anda selamat kerana tidak perlu berbalah dengan bekas isterinya. Jika bercerai hidup, bertahanlah.
Apa pun kawal diri anda dan jangan sengaja mengungkit kisah silam suami anda. Ketika bersama anak-anak, jangan ‘apikan’ anak-anak agar membenci ibu mereka. Oh! itu paling bahaya sekali.

Belajar Terima Hakikat, Anda Ibu Ekspres
1. Anak-anak merupakan permata yang paling berharga. Ibarat melentur buluh dari rebungnya, begitulah halnya dengan diri anda. Lenturlah diri agar dapat mengadaptasi suasana baru itu. Status seorang isteri sekali gus ibu ekspres kadangkala memberi bebanan yang luar biasa.
2. Paling sukar apabila anak-anak tiri sudah masuk peringkat remaja. Pendekatan menawan hati mereka tidak sama dengan cara memujuk anak kecil dengan sebungkus gula-gula. Namun, kaedahnya masih sama iaitu sentuhan emosi memainkan peranan utama.
3. Perkara utama yang boleh anda praktikkan adalah jadikan diri anda buah hati pada anak-anak tiri anda. Jika mahu diri dianggap bagaikan sahabat, teman mahupun BFF, cubalah cipta diri anda jadi sebegitu. Anda perlu jadi pendengar yang baik dan bukannya pengarah yang dibenci. Anda juga perlu tahu bagaimana mahu menjadi pembantu mereka bukannya seorang yang mudah dibuli.
4. Menasihati mereka juga ibarat menarik rambut di dalam tepung. Ia tidak meninggalkan pesanan yang berbisa. Sebaliknya jika mereka mahu berubah, mereka lakukan dengan rela. Hubungan baik anda dan permata hati suami ini pasti menyenangkan hati suami.
Suami jadi lebih sayang malah suami sendiri pasti mahu tahu rahsia anda dapat berbaik dengan anak-anaknya. Justeru jadilah ibu tiri yang lembut jiwanya namun tegas dalam setiap tindak tanduk.
Perlu Kental & Sabar Melayan Emosi Seorang Duda
- Berkahwin dengan seorang duda yang sudah beranak pinak membuatkan anda perlu bekerja lebih keras untuk memenangi hati mereka. Benarkah begitu? Atau ada cara lain yang lebih relaks dan tak perlu terkocoh-kocoh merebut cinta suami yang satu ini.
- Bertenang, sebenarnya tak perlu bersusah payah. Biarpun mereka ada anak-anak, andai suami sudah melafazkan kata cinta bermakna andalah pilihan utama di hati. Jaga makan minumnya dan belajarlah santuni emosinya.
- Layan suami dengan perasaan kasih, jadilah isteri yang mendengar kata dan bijaksana. Anda juga perlu tahu bilakah masanya perlu bertolak ansur. Yang mana suami boleh membahagikan ruang untuk anda dan juga anak-anaknya. Jangan terlalu tamak.
- Ya, anda isterinya. Namun, anak-anak juga perlukan kasih seorang ayah. Dalam masa yang sama, mereka juga perlukan belaian mesra seorang ibu. Lengkapilah hidup keluarga baru anda itu dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI