Difteria

Ngeri kalau tengok pesakit yang diserang difteria, tetapi masih ada mak ayah yang degil untuk memilih tidak vaksin kan anak-anak. Akhirnya penyakit ini menyerang dengan pantas dan membahayakan nyawa si anak.

Ini contoh paling mudah yang mak ayah boleh rujuk, perkongsian ilmu daripada Doktor Otorinolaringologi Telinga, hidung & tekak (ENT), Dr Ezairy M.Sallih tentang kepentingan vaksin.

Difteria: Vaksin atau Maut

Masihkah anda ingat pada Oktober 2018 negara kita pernah digemparkan dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 bulan disahkan meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria di Johor Bahru?

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata kanak-kanak itu tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria kerana keluarganya enggan menerima imunisasi.

Adakah ini dikatakan sebagai kebetulan, redha dengan ketentuan Allah atau sebenarnya akibat ‘kedegilan’ ibu bapa sendiri untuk memberi perlindungan kepada anak-anak?

Tuan-tuan dan puan-puan, difteria adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphteriae yang menjangkiti bahagian tekak, tonsil, dan farinks.

Penyakit ini boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan. Ketika kita berkomunikasi secara dekat, bersin dan batuk-batuk.

IKLAN

Bakteria yang menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) ini akan menyebabkan pesakit mengalami gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak serta kerongkong. Ia juga akan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas!

Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis) yang menyebabkan kematian!

Ibu-ibu dan ayah-ayah, penyakit ini merebak dengan pantas dalam masa yang singkat. Kesannya pula mampu merosakkan bahagian utama tubuh seperti saraf, jantung dan ginjal. Jadi, sayangilah anak-anak kita.

Antitoksin akan diberikan serta-merta selepas spesimen bakteria diambil tanpa menunggu keputusan disertai dengan ubat antibiotik.

IKLAN

Cara terbaik mencegah penyakit difteria ini adalah dengan mengambil vaksin lima serangkai iaitu DTaP-IPV//Hib (Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus influenzae type b).

Ambil Vaksin Itu Perlu

Ya, ambillah vaksin ini sebagai perlindungan dan pencegahan untuk anak-anak yang kita sayangi.

Imunisasi ini diberikan pada usia 2, 3, 5 dan 18 bulan. Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan apabila dijangkiti dan terlindung dari komplikasi.

Apa beza jangkitan difteria dan jangkitan tonsillitis yang biasa berlaku kepada anak-anak kita?

IKLAN

1. Jangkitan difteria ini jika dilihat secara klinikal pada tekak, anda dapat lihat ada selaput putih yang boleh menyebabkan pesakit mengalami kesukaran bernafas.

2. Difteria ini juga boleh dicegah dengan pemberian suntikan vaksin.

3. Difteria boleh membawa maut. Rawatan antitoksin diperlukan berbanding jangkitan tonsillitis biasa.

4. Jangkitan tonsil biasa menyebabkan masalah pada tisu tonsil sahaja, manakala jangkitan oleh difteria boleh merebak kawasan sekitar dan menyebabkan pendarahan apabila selaput putih cuba dibersihkan.

Sentiasa ingat bahawa kesihatan anak-anak ini juga adalah amanah untuk kita. Mencegah itu jauh lebih mudah berbanding mengubati.

Sila sampaikan pesanan ikhlas saya ini kepada lebih ramai orang. Semoga generasi anak-anak kita tidak mendapat komplikasi buruk akibat jangkitan ini.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI