Ummi Nazeera

Pemilik nama sebenar, Ummi Nazeera Nur Hidayah Datuk Zainulabadin atau lebih popular dengan nama Ummi Nazeera, 27 mengumumkan telah selamat bernikah dengan tunangannya Dr. Mohd Izzar Anwari Datuk Sri Abdul Khani, 30 dalam sebuah majlis tertutup pada 23 Julai lalu lebih awal daripada tarikh asal pernikahan yang sepatutnya berlangsung pada tanggal 3 Ogos.

Akui sudah bergelar isteri kepada Dr. Mohd Izzar Anwari sejak 23 Julai , Ummi menerangkan semuanya kerana menuruti keputusan keluarga agar pernikahannya diadakan lebih awal daripada tarikh dirancang.

Terselit Rasa Sedih

“Saya perlu lebih berhati-hati dalam setiap perkara kerana sekarang hidup berdua bersama suami. Kalau hendak merajuk atau marah, kena berfikir banyak kali disebabkan takut rasa berdosa dengan suami.

Cuma selepas bernikah agak sedih apabila kami terpaksa berpisah selepas setengah hari bernikah kerana Dr Izzar masih lagi bertugas di Sarawak. Yang pasti, saya perasan bahawa suami menjadi lebih romantik selepas berkahwin,” ujar Ummi yang bakal muncul dengan filem televisyennya, Bisik Pada Langit arahan Kabir Bhatia tidak lama lagi.

Apa Yang Buat Ummi Tergoda

Ummi berasa dirinya cukup bertuah kerana dikurniakan suami yang penyabar. Ummi turut terharu kerana sepanjang bergelar suami isteri setakat ini, suami berjaya mengawal dirinya yang ada ketikanya sedikit beremosi.

IKLAN

“Perempuan biasalah, kadang-kadang pasti akan ada emosi yang tidak menentu. Misalnya pada majlis kami minggu lalu, saya agak emosi sikit. Bagaimanapun, suami tanganinya dengan tenang.

“Dia pegang tangan lalu meminta saya tenung matanya sambil tersenyum. Saya suka dengan caranya itu. Selepas menjadi suami isteri selama seminggu Dr Izzar banyak bersabar, saya jenis yang cepat merajuk dan dia akan pujuk. Saya ni jenis api suami pula jenis air dan sering sejukkan bila saya marah,” tambah Ummi.

Keluarga Tak Paksa Kahwin

Perkenalan Ummi bersama Dr Izzar adalah hasil aturan keluarga. Pun demikian, keluarga tidaklah memaksa mereka untuk berkahwin. Sebaliknya, keluarga memberi ruang buatnya dan suami untuk berkenalan dan mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu. Dikenalkan oleh ibu bapa, kebetulan suka dan kemudian mendirikan rumah tangga.

IKLAN

“Kalau nak ikutkan, ia tidaklah seperti diaturkan keluarga sangat. Kami berdua hanya dikenalkan saja. Keluarga pun tidak juga memaksa. Kata mereka, kalau suka ok dan kalau tak suka pun, tidak mengapa. Kebetulan kami saling menyukai. Rasa cinta berputik bagi saya lepas bertunang,” terang Ummi sambil diperhatikan Dr Izzar.

Sementara itu apabila ditanya kepada Dr.Izzar pula, menjelaskan pertama kali dia mengenali isterinya sebagai pelakon apabila menonton drama bersiri Nur Kasih. Ketika itu, dia masih mengikuti pengajian di luar negara.

IKLAN

“Saya sedar yang Ummi ni pelakon bila tonton lakonannya menerusi drama Nur Kasih. Masa tu saya di Ireland. Biasalah bila ada waktu terluang, saya akan streaming tonton drama Melayu. Pertama kali tengok, dia macam comot sikit sekarang ni Ummi seorang wanita yang cantik,” kata Dr.Izzar sambil bergurau yang turut mengakui, watak gadis Melayu yang dilakonkan oleh Ummi cukup menarik perhatiannya.

Ummi pula menjelaskan dia tidak pernah terfikir bakal mengakhiri zaman bujang dengan seorang doktor

“Ibu saya suka kalau saya kahwini doktor. Mungkin kerjaya mereka yang cuba untuk membantu insan yang memerlukan. Kerjaya doktor sebenarnya menolong pesakit. Bila pertama kali ibu jumpa suami, ibu sangat suka. Jadi kita sebagai anak pun gembira bila tengok ibu kita gembira,” jelas Ummi yang tidak menolak andai dikurniakan zuriat awal.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI