Tsunami yang melanda Banda Aceh mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan luar negara. Negara kita tidak terkecuali merasai betapa getirnya ujian yang dilalui oleh penduduk Banda Aceh. Sulaiman M. Amin, 66 tahun, satu-satunya imam Masjid Rahmatullah yang terselamat.

Ke Malaysia

Ketika dia hadir ke Malaysia atas undangan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9(2), Putrajaya, Mingguan Wanita tak lepaskan peluang untuk berkongsi pengalaman dengannya. Ternyata biar pun tragedi itu telah lama berlalu, tetapi imam Masjid Rahmatullah iaitu Imam Sulaiman M Amin, 66 tahun, masih tidak mampu melupakannya.

Masih jelas di ingatan Sulaiman ketika tsunami melanda, dirinya dan keluarga sedang sibuk membantu persiapan majlis perkahwinan pasangan pengantin di Desa Lampu’uk, pesisir Aceh. Suasana pada awalnya cukup indah, acara memotong daging dan memasak. Usai membantu, masing-masing pulang ke rumah masing-masing untuk bersiap.

Tanpa diduga kegembiraan mereka meraikan perkahwinan diduga dengan bencana yang cukup besar. Gempa yang kuat bersama ombak besar tsunami telah menyapu 7,000 penduduk dan mengakibatkan mereka hilang punca selepas dihanyutkan gelombang besar yang menelan penempatan mereka.

Paling menyedihkan apabila Sulaiman kehilangan isteri dan tiga anaknya dalam sekelip mata. Kepahitan ini turut dirasai oleh penduduk setempat kerana hampir 6300 orang penduduknya hilang daripada pandangan dalam sekelip mata.

Selepas 15 Tahun Tsunami Melanda Aceh, Bukan Mudah Imam Sulaiman Untuk Lupakan Apa Yang Berlaku
Imam Sulaiman mengharapkan masyarakat Aceh sentiasa mengingati Allah dan banyak berbuat baik.

“Sebenarnya tsunami bukan sekadar mengorbankan nyawa, merosakkan tanaman dan rumah serta prasarana yang ada ketika itu.Tetapi turut mengambil nyawa anak-anak dan isterinya. Oleh hal yang demikian, saya tidak mampu melupakan saat terjadinya tsunami.

“Ketika gempa yang pertama, saya baru sahaja bersiap mengambil wuduk untuk menunaikan solat duha. Tiba-tiba rumah kami digegarkan dengan gempa bumi yang kuat dan luar biasa.

IKLAN

“Keadaan itu membuatkan saya dan keluarga mencari jalan keluar dan menuju ke halaman rumah. Kami memang keliru dan bingung dengan apa yang berlaku. Dalam keadaan yang sama tiba-tiba terdengar bunyi letusan bom iaitu letusan tsunami yang sangat kuat sekali lagi.

“Bunyi yang cukup kuat tidak terhenti di situ apabila lima minit kemudian terdengar lagi bunyi bom kedua. Kami yang tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku, bertambah panik. Kami hanya mampu berpelukan dan saya tidak henti ingatkan anak-anak dan isteri agar jangan lupa kalimah Lailahaillallah.

“Ketika itu juga keadaan menjadi semakin kelam kabut apabila orang kampung berlari dan menjerit mengatakan air laut naik. Dalam keadaan kalut, saya hanya mampu melihat desiran air berwarna hitam setinggi pokok kelapa menyapu kami dalam beberapa saat. Ketika itu saya terputus pegangan dengan isteri dan anak-anak,” cerita Imam Sulaiman tentang peristiwa yang berlaku hampir 15 tahun yang lalu.

Selepas 15 Tahun Tsunami Melanda Aceh, Bukan Mudah Imam Sulaiman Untuk Lupakan Apa Yang Berlaku
Imam Sulaiman bersama menantunya yang turut terselamat dalam kejadian tsunami 15 tahun lalu.

Bergelut Dengan Kematian

Imam Sulaiman sama sekali tidak menyangka dia akan hidup hingga ke saat ini. Dia menyangka selepas disambar ombak, dirinya telah bertemu Sang Pencipta dan reda jika cara pemergiannya sebegini. Tetapi Allah Maha Kuasa.

IKLAN

Dirinya tiba-tiba ditolak hingga ke permukaan air dan seterusnya hanyut bersama sampah sarap yang tidak diketahui datang dari mana. Imam yang tidak pandai berenang cuba menggapai sesuatu untuk berteduh dan bertahan. Belum sempat memaut pada daun pintu, tulang rusuknya patah dilanggar pintu tersebut.

Akhirnya dia hanya berpaut pada sekeping papan dan menurutnya dia dihanyutkan kira-kira tiga kilometer. Dia hanya mampu menguis air dan sedaya upaya mencari daratan dan tempat selamat. Dalam masa yang sama, di sana sini kelihatan mayat-mayat. Walaupun sedih, hidupnya perlu diteruskan. Apatah lagi, dia masih lagi diizinkan untuk bernafas.

“Melihat keadaan matahari telah masuk waktu Zohor, sebagai orang Islam saya mencuba yang terbaik untuk mendirikan solat dengan keadaan serba kekurangan sekadar menghormati waktu solat. Dari Zohor membawa ke waktu Asar, saya masih terperangkap.

‘Hinggalah satu saat saya sudah hampir putus asa, terdapat satu batang sagu muncul di celah kayu. Kayu sagu yang terapung itu saya gunakan untuk menyelamatkan diri ke kawasan yang lebih tinggi. Akhirnya berkat kesabaran, saya tiba di sebuah kampung berdekatan dan diselamatkan. Saya bersyukur sangat,” jelasnya lagi. Di situlah dia baru mengetahui salah seorang anaknya selamat kerana menziarahi keluarga mereka di kampung lain.

Hanya 600 Terselamat

IKLAN

Tsunami bukan hanya mengambil isteri dan tiga anaknya, tetapi turut melumpuhkan Aceh. Bayangkan hanya 600 orang yang terselamat daripada 7,000 penduduk. Allah Maha Kuasa, walaupun hampir segalanya musnah iaitu ternakan, tanaman, rumah dan harta benda musnah. Tetapi Masjid Rahmatullah kekal berdiri teguh.

Imam Sulaiman dan menantunya, Umar Diansyah, 48 tahun, turut berkongsi pengalaman bagaimana sukarnya pihak mereka memindah semula jenazah yang dikebumikan di kampung sebelah untuk dibawa balik. Hampir lima tahun urusan itu berlangsung, kerja-kerja menggali, mengorek dan mengubah jenazah.

Ketika kejadian, memang telah dijanjikan mayat-mayat yang terkorban hanya dikebumikan buat sementara waktu, oleh sebab itu setelah segalanya kembali pulih, mayat-mayat ini perlu diangkut semula kerana rata-ratanya ada dikebumikan di kawasan pertanian. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan telah selesai.

Perubahan Besar

Setelah hampir 17 tahun mengemudi masjid Rahmatullah, iaitu selepas bencana tsunami, berlaku perubahan besar pada penduduk Aceh. Buat dirinya sendiri, dahulu mungkin ahli keluarganya lengkap dan memiliki kilang padi sendiri, namun tika ini segalanya sudah tiada lagi.

Manakala dari segi masyarakat pula, secara peribadinya biar pun tsunami memberi impak kepada masyarakat namun masih terdapat perkara-perkara yang perlu diberi perhatian terutamanya dari segi anak remaja yang kehilangan keluarga. Bencana tsunami membuatkan hidup mereka sedikit tidak terurus dan terumbang-ambing kerana kehilangan tempat bergantung.

Perkara ini sedikit sebanyak agak merunsingkan Imam Sulaiman, namun pihak masjid Rahmatullah tidak berputus asa untuk melahirkan masyarakat agar lebih berilmu dan dekat dengan agama. Sudah tentu, perkara ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan bukan hanya pihak kerajaan.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI