Selamatkah Membeli Ubat Di Platform E-Dagang?

Penjualan barangan dalam talian telah menjadi satu trend masa kini. Terdapat pelbagai barangan yang boleh didapati dalam talian termasuklah ubat-ubatan. Tidak dapat dinafikan, pembelian ubat dalam talian memang mudah kerana pengguna tidak perlu ke kedai secara fizikal , selain menjimatkan masa dan tenaga.

Namun, sedarkah anda, pembelian ubat dalam talian mengundang risiko terbeli ubat tidak berdaftar, ubat dicampur ubat terkawal atau bahan terlarang dan ubat palsu. Pengguna juga terdedah kepada pelbagai tuntutan perubatan yang diragui kesahihannya.

Tambahan pula, keberkesanan produk mungkin terjejas sewaktu proses penghantaran kerana tidak memenuhi keperluan Amalan Pengedaran Baik. Pembeli memainkan peranan penting dalam menyemak segala maklumat pada iklan ubat yang dijumpai menerusi internet.

 Apa Perlu Dilakukan Sebelum Membeli Ubat?

Perkara pertama yang harus disemak adalah status pendaftaran produk. Pastikan produk yang hendak dibeli mempunyai nombor pendaftaran MAL. Pengguna boleh menyemak status pendaftaran di portal www.npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status di Google Play.

Ubat yang telah berdaftar dijamin dari segi kualiti dan keselamatannya. Nombor pendaftaran MAL yang diakhiri dengan abjad T, N dan X sahaja boleh dijual dan dibeli dalam talian. Manakala nombor yang diakhiri dengan abjad A dikategorikan sebagai ubat terkawal tidak boleh dibeli dan dijual dalam talian.

Ubat terkawal kebanyakannya digunakan untuk rawatan penyakit kronik dan hanya boleh diberikan dengan nasihat dan konsultasi daripada pengamal perubatan dan hanya boleh didispens oleh ahli farmasi. Berhati-hati dengan penjual yang mungkin membuat kenyataan bahawa produk mereka telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia walaupun sebenarnya tidak.

IKLAN

Seterusnya, pengguna hendaklah memastikan bahawa iklan ubat tersebut mempunyai nombor kelulusan KKLIU daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU). Iklan ubat yang telah diluluskan akan diberikan nombor kelulusan yang dimulai dengan abjad KKLIU bertujuan untuk melindungi orang awam agar tidak terpedaya dengan iklan yang tidak ditentukan kesahihannya.

Iklan-iklan ubat yang telah diluluskan oleh LIU adalah iklan yang telah disaring dan diakui kesahihannya. Pengguna perlu tahu bahawa iklan ubat bagi tujuan rawatan, pencegahan dan diagnosis 20 penyakit (kebanyakannya penyakit kronik) adalah tidak dibenarkan.

Sebagai contoh, jika ubat tersebut telah berdaftar sebagai ubat tradisional (MAL yang diakhiri huruf T), kebanyakan indikasi yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah adalah untuk kesihatan umum. Maka, jika pengiklanan produk tersebut untuk rawatan penyakit kencing manis contohnya, ini adalah satu kesalahan.

Sehingga kini tiada produk tradisional yang diluluskan indikasinya untuk merawat kencing manis dan pastinya iklan tersebut tiada kelulusan daripada LIU. Semakan kendiri ini boleh dibuat melalui portal www.pharmacy.gov.my. Kepada pengguna, elakkan membeli produk dengan iklan yang tiada nombor kelulusan KKLIU. Semak dahulu sebelum klik.

IKLAN

Semak Kesahihan Maklumat

Demi melindungi orang awam daripada risiko pembelian ubat dalam talian, pihak berkuasa iaitu Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPFKKM) komited menjalankan saringan di platform e-dagang. Sehingga kini, lebih 8000 iklan ubat diarahkan untuk diturunkan oleh pengendali platform e-dagang.

Selain itu, pihak pengendali juga berusaha untuk menyekat kata kunci tertentu hasil perkongsian maklumat BPFKKM. Walau bagaimanapun, penjual yang tidak bertanggungjawab akan cuba mencari peluang untuk menembusi sekatan tersebut.

Bagi membendung isu penjualan dan pengiklanan ubat dalam talian ini, pengguna dinasihatkan agar sentiasa berwaspada sebelum membeli ubat dalam talian dan menyemak kesahihan maklumat pada iklan berkenaan.

Orang awam disarankan untuk melayari http://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/website/waspada-belian-ubat-online bagi mendapatkan panduan, tips dan e-poster berkaitan kempen waspada pembelian ubat online.

IKLAN

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi, Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre- NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang) untuk mendapatkan maklumat lanjut.

  Selamatkah Membeli Ubat Di Platform E-Dagang?

Artikel sumbangan: Normawati Binti Mohamed Noor, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Kawalan Iklan, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.