Setiap saudara baru yang memeluk Islam mempunyai cara yang tersendiri dalam mengenali Islam. Ada yang mendapat hidayah melalui perkahwinan, kerelaan hati dan sebagainya. Tanpa disedari, inilah yang membuka hati mereka untuk terus mendalami Islam dan tahu agama ini mampu memberi ketenangan buat mereka.
Begitu juga bagi Shelyn Pei Chia Chia atau nama Islamnya, Nur Salina Pei Abdullah, 31 tahun. Dia mengenali Islam sewaktu belajar di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Hidupnya yang sebelum ini tidak tentu arah, hilang tujuan hidup membuatkan dia tertanya-tanya tentang tujuan hidupnya selama ini.
“Dengan ketentuan yang telah Allah aturkan, saya mula mengenali Islam. Masih saya ingat, makcik dan sepupu saya gigih mengajar saya doa makan, doa berbuka puasa dan surah Al Fatihah kepada saya,” kata Salina yang berbangsa Cina dan beragama kristian.
Sekeping Nota
Menurut Salina, enam bulan sebelum dia memeluk Islam, dia telah menyuarakan hasrat hati kepada keluarga. Namun, mendapat bantahan dengan mengatakan tidak perlunya masuk Islam sebelum berkahwin dengan muslim.
Ads
“Walaupun begitu, saya tetap dengan pendirian dan mengatakan bahawa saya telah jumpa agama yang terbaik dan takkan menyesal dengan keputusan ini. Pernah ibu saya memberikan sekeping nota kepada saya dengan memberi fakta bahawa apabila saya memeluk Islam, saya tidak boleh keluar Islam, selamanya terperangkap, lelaki boleh kahwin empat dan sebagainya,”katanya mengingatkan kata ibunya.
Salina langsung tidak mengendahkan kata-kata ibu, sebaliknya dia nekad dan tanggal 4 Julai 2013, dia mengucapkan dua kalimah syahadah di Pejabat Kadi Batu Pahat, Johor.
“Selepas seminggu atau lebih kurang dua minggu dari hari saya melafazkan dua kalimah
syahadah,ibu tidak menghubungi saya langsung sedangkan hampir setiap hari ibu akan telefon saya dan bersembang. Sehinggalah, saya mendapat pertanyaan khabar daripada ibu selepas itu amat menenangkan hati kerana bagi saya itulah tanda penerimaan awal.
Ads
“Pernah juga, ketika saya balik ke kampung, keluarga tidak dapat menerima pemakaian saya yang telah berhijab dan menutup aurat. Tetapi saya pertahankan juga. Akhirnya mereka menerima seadanya,” katanya penuh kesyukuran.
Ibu dan ayah Nur Salina bersama cucu sulungnya (anak Nur Salina)
Suami Beri Sokongan
Nur Salina yang kini bertugas secara sambilan sebagai Pegawai Pendakwah Saudara Kita Daerah Batu Pahat turut mendapat sokongan daripada suami tercinta, Mohd Hafiz Burhan, 33 tahun.
Ads
“Saya berkahwin dengan suami pada 31 Oktober 2014. Alhamdulillah, dia banyak membantu dan memberi keizinan untuk saya mengikuti kelas fardhu ain dan program-program yang dianjurkan oleh saudara baru.
“Begitu juga dengan mak mentua, dialah kawan baik saya sebelum dan sekarang ini. Dia juga banyak membimbing saya, memberi tunjuk ajar, peringatan dan menemani saya di kebanyakan majlis ilmu.
“Dialah juga yang mengajar saya solat, memberi dorongan dan sokongan sepenuhnya untuk saya terus maju untuk mendalami agama Islam,” akhirinya yang turut mempunyai seorang anak, Hana Mohd Hafiz, 3 tahun.
Keluarga sebelah suami Nur Salina yang banyak memberi tunjuk ajar dan sokongan buatnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Rezeki Allah sangat luas. Jika pernah diuji dengan kesukaran dan menempuhi fasa kegagalan ketika ini, jangan sesekali pernah berputus asa. Teruslah berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh, kejayaan pasti menanti suatu hari nanti.
Jadikan kisah dan pengalaman hidup Ikon Usahawan Muda, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 32, Peneraju Syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd ini sebagai sumber inspirasi.
Siapa sangka dahulunya lelaki ini pernah menyara diri dan keluarga sebagai seorang pengutip sampah, kini rezekinya melimpah ruah merubah kehidupan 360 darjah menjadi seorang jutawan muda dengan memiliki jumlah aset hartanah bernilai hampir 50 juta!
Mohamad Azlan menceritakan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sewaktu melalui fasa kehidupan yang sukar adalah apabila beliau menjadi pengutip sampah di bawah syarikat kontraktor pembersihan sebagai Pengutip Sampah selama 6 bulan di Kem TUDM Gong Kedak, Pasir Putih, Kelantan pada 2007, selepas tamat Tingkatan 6.
“Ketika itu, saya selalu membawa balik makanan kurang elok yang diasingkan untuk dibuang di kantin Kem TUDM tetapi masih boleh dimakan seperti ayam dan ikan untuk keluarga. Suatu hari bila balik rumah, saya nampak emak menangis melihat ulat jatuh dari poket baju saya ketika membasuh.
“Dari situ, saya tekad untuk mengubah kehidupan kerana kasihankan emak saya. Emak menangis dan berdoa semoga saya mendapat peluang lebih besar”ujarnya.
Keputusan untuk tinggalkan rumah dan pertemuan dengan Cikgu Halim Md Saman dan Cikgu Ramli Hassan telah membuka jalan rezeki Mohamad Azlan dalam bidang hartanah. Untuk pertama kali dalam hidupnya, beliau berjaya menjual dua lot tanah dan mendapat komisen sebanyak RM4,000.Siapa percaya, dalam tempoh enam bulan sahaja, beliau berjaya meraih pendapatan lebih RM500,000.
Bermula sebagai ejen jualan tanah lot, beliau menubuhkan syarikat sendiri & membeli hartanah pertama pada harga hampir RM300 ribu. Menempuhi jatuh bangun dalam perniagaan, beliau dan syarikatnya kini berjaya menguasai hartanah di sekitar Terengganu dan Kelantan dengan pelbagai projek perumahan & pembinaan yang bernilai ratusan hingga jutaan ringgit.
Bagi seorang lelaki berjaya pastinya didorong oleh wanita hebat yang menjadi tulang belakang menyokong kejayaannya. Bagi Azlan wanita-wanita hebat tersebut, tidak lain tidak buat merupakan ibu dan isteri tersayang.
“Disebalik kejayaan seorang lelaki terdapat dua wanita yang begitu istimewa dalam diri saya. Pertama ibu saya, Siti Aishah Ismail, 58. Sebagai orang yang sentiasa mendoakan saya, sentiasa menyokong dan mendorong saya untuk pergi ke ke depan.Antara pesanan emak yang menjadi pegangan dalam kehidupan ialah menjaga solat, jaga quran serta jujur dan amanah”
“Seorang lagi, ialah isteri saya, Nurul Fitriah Binti Mohd Sabri,32. Orang yang sentiasa menyokong sepenuhnya gerak kerja saya, susah senang bersama dengan saya, sentiasa bersangka baik dengan saya dan memberi saya kepercayaan sepenuhnya untuk saya berjaya dari semasa ke semasa pada saya untuk berjaya serta tidak pernah merintih,” ujar bapa kepada empat orang cahaya mata ini, Nurul Natasya Al Humairah, 6, Nurul Athirah Al Athiyah,5, Mohamad Athiqullah Al Amin, 4 dan Nurul Syahirah Al Afiah,1 ini.
Disebalik usaha gigih dan kejayaan yang diperolehi, Mohamad Azlan sudi berkongsi amalan yang sering dilakukan, menjadi asbab rezekinya melimpah ruah yang boleh dijadikan panduan;
“Antara amalannya ialah saya betul-betul menjaga kebajikan mak ayah saya serta keluarga terdekat.”
“Keduanya saya tak tinggalkan Al Quran walaupun dalam satu hari dalam hidup saya.”
“Ketiga,saya istiqamah dengan amalan bersedekah tak kira sikit atau banyak, tapi boleh dikatakan sebagai kewajipan setiap hari.”
“Keempat saya sentiasa amalkan solat Sunat Dhuha,boleh dikatakan sebagai rutin mesti buat setiap hari.”
“Kelima berbaik sangka dengan semua orang.”
“Keenam saya panjangkan silahturahim”
“Ketujuh saya bersikap pemaaf tak kira kawan atau lawan.”
Selain itu, Azlan juga ada menitipkan 5 pesanan penting buat usahawan lain untuk berjaya. Antaranya;
“Gagal tidak bererti kita tewas.Kegagalan tidak beerti kita akan terus gagal, tapi sebenarnya jadikan kegagalan sebagai satu pengalaman untuk kita buat yang terbaik pada waktu seterusnya.
“Kedua, jangan semata-mata menunggu peluang. Peluang tak boleh ditunggu.Kita yang kena cipta peluang.Maksudnya jangan menunggu sesuatu itu hadir kepada kita. Kita yang mesti mencari dan mencipta peluang.
“Ketiga, setiap usahawan mesti berfikiran positif dan jauh ke depan untuk menjadi orang yang berjaya.
“Keempat, kena lihat masalah sebagai cabaran bukan halangan. Jadikan masalah sebagai cabaran untuk mewujudkan peluang. Jangan jadikan masalah sebagai satu halangan yang akan menolak kita untuk mundur ke belakang.
“Seterusnya, jangan sekali-kali berputus asa, yakin pada diri sendiri dan berharap hanya kepada Allah.
Selain itu, menurut lelaki ini untuk berjaya dalam dunia perniagaan perniagaan perlu ada mentor yang betul.
“Saya ada mentor dalam perniagaan iaitu Cikgu Ramli Bin Haji Hassan. Dia ialah yang orang berperanan mendidik, mendorong, membimbing serta sentiasa memotivasikan saya dalam dunia perniagaan. Bila kita sedih dia bagi semangat, bila kita rasa putus asa dia bagi perangsang. Dalam perniagaan untuk berjaya perlu ada mentor yang berjaya dan mentor yang betul,” ujarnya.
Perubahan fasa paling bawah kepada usahawan berjaya ternyata bukanlah alasan untuk berbangga dengan diri sendiri. Sebaliknya ia memberi kepuasan tersendiri buat lelaki ini terutamanya dalam berbakti dan ‘memberi’ kepada orang lain.
“Dari sudut hati saya, perasaan bangga dan perasaan hebat tu tiada. Yang saya rasa puas, sebab saya dapat lebih berbakti daripada hidup sebelumnya. Dulu saya hidup tak dapat berbakti pada orang ramai. Berbakti pada diri sendiri je, sebab saya miskin.
“Bila Allah bagi lebihan rezeki, saya rasa gembira dan sangat puas bila boleh hidup dapat berbakti. Saya tak rasa saya hebat, sebab saya tahu kejayaan yang saya kecapi hari ini bukanlah daripada hasil usaha semata-mata, sebaliknya berkat doa daripada ibu bapa, keluarga, kawan-kawan. Malah kemiskinan itu sendiri merupakan motivasi saya untuk berjaya,” ujarnya.
Mohamad Azlan juga bersyukur apabila kisah pengalaman hidupnya yang berasal dari keluarga miskin tegar, namun kini bergelar jutawan telah menjadi inspirasi kepada orang lain.
Lebih menarik,kisah hidupnya kini turut dibukukan dan diterbitkan dengan judul bertajuk RAHSIA PENGUTIP SAMPAH JADI JUTAWAN.Perkongsian rahsia dan kisah kejayaan beliau sangat menarik dan ternyata memberikan inspirasi serta motivasi kepada masyarakat.
Buku RAHSIA PENGUTIP SAMPAH JADI JUTAWAN kini boleh didapati di kedai kedai buku atau mereka yang berminat untuk mendapatkannya boleh menghubungi talian:
013 2269442 013 2409442 013 2889442
@ bagi pembelian secara online boleh hubungi Laman Web mohamadazlan.com
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mahu seribu daya, tak nak seribu dalih. Itulah peribahasa yang boleh diberikan kepada Muhammad Azamirudin Ismail ini. Dalam usia yang masih muda dan mempunyai masalah ketidakupayaan yang tidak mengizinkan, ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berdikari dalam meneruskan kehidupan.
Mendalami kisah anak muda yang berasal dari Sungai Petani, Kedah mungkin boleh menyuntik semangat buat mereka yang mempunyai masalah kelainan upaya. Apatah lagi, dalam usia 25 tahun, dia membuktikan kepada keluarga, saudara mara dan kawan-kawan yang dia mampu berdikari.
Bagi Azamirudin, dilahirkan dengan insan kurang upaya adalah satu anugerah istimewa untuknya. Malah, sesiapa sahaja tidak dapat lari daripada ujian Yang Maha Esa.
“Tidak dinafikan, kehidupan sebagai OKU mungkin merasa malu bila berdepan dengan situasi sekeliling dan pandangan sesetengah pihak tentang diri kita. Namun, kita tidak boleh mengharapkan persepsi ini berlarutan. Kita perlu berani mencuba kebolehan dan kemahiran yang ada bagi membuka pandangan masyarakat melihat keadaan dan kehidupan OKU yang sebenar,” kata Azamirudin dengan semangat.
Walaupun pada awalnya dia tidak dapat menerima kenyataan ini tetapi Azamirudin beruntung kerana dia mendapat sokongan dan dorongan moral daripada keluarga untuk menyuntik keyakinan diri dalam membentuk kehidupan yang lebih baik dan berjaya.
“Bagi saya, sebagai seorang OKU, kita tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada keluarga, malah harus berdikari dan tidak terlalu banyak bergantung kepada mereka
“Alhamdulillah, sekarang ini saya lebih banyak menumpukan aktiviti kehidupan seharian dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kawasan perumahan. Jika ada masa lapang, saya akan melakukan aktiviti bebas bersama keluarga, kawan-kawan dan komuniti setempat,” katanya tentang aktiviti harian yang dilakukan.
Walaupun keadaan fizikalnya begini, Azamirudin langsung tidak patah semangat. Sebaliknya, dia telah menceburi bidang keusahawanan sejak berusia 14 tahun lagi dengan menjual pelbagai koleksi jenis ikan hiasan, Ikan Laga.
“Pada mulanya, saya jadikan ia sebagai hobi membela ikan hiasan ini. Tidak disangka ia boleh menjadi sumber pendapatan untuk saya. Kini, saya mempunyai beberapa produk perniagaan lain seperti menjual perlbagai kasut kanak-kanak dan dewasa,” katanya yang menjalankan perniagaan di pasar malam atau pasar tani yang berdekatan dengan perumahannya.
Bukan itu sahaja, Azamirudin turut menyampaikan ceramah motivasi atas jemputan daripada pihak NGO atau persendirian kepada kawan-kawan yang senasib. Malahan, dengan bakat yang ada, Azamirudin mengisi masa menyertai kumpulan Buskers (Kapok Buskers) melalui persembahan nyanyian di kawasan Sungai Petani.
“Sama ada mingguan atau bulanan, saya dijemput untuk menyampaikan beberapa buah lagu dan ceramah motivasi kepada pengunjung yang hadir. Secara tidak langsung, kumpulan Buskers telah memberi ruang untuk saya sebagai OKU menonjol diri di khalayak masayarakat.
“Dengan kehadiran saya sebagai OKU dalam membuat persembahan, sedikit sebanyak menjadi perhatian dan pembakar semangat kepada golongan belia untuk melakukan tugas-tugas amal seperti ini,” katanya yang turut menjadi Presiden Kelab OKU daerah Kuala Muda Kedah.
Walaupun keadaan fizikal Azamirudin tidak seperti orang yang normal tetapi dia bersyukur dengan pencapaian yang diperolehinya.
“Alhamdulillah, saya amat berbangga dengan apa yang saya capai setakat ini. Berkat doa dan dorongan ibu yang banyak membantu untuk saya terus berusaha dan berikhtiar menjadi yang terbaik dalam hidup ini.
“Buat kawan-kawan OKU di luar sana, yakin dan berusahalah untuk mendapat kehidupan yang lebih baik. Teruskan mencuba dalam apa jua bidang mengikut kehendak dan keupayaan diri bagi memastikan matlamat dan kejayaan menjadi milik kita suatu hari nanti,” katanya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, Kamal Hisham Mustaffa, 35, dan isterinya, Norhapisah Idris, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Dua anak mereka yang parah di kepala ialah Muhammad Danish Irfan Kamal Hisham, 11, dan seorang anak angkat pasangan itu, Muhammad Danial Abdullah, 12. Mankala, empat lagi anak pasangan itu berada di rumah ketika kejadian.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira Aeroback dipandu Kamal Hisham dari arah Ketengah Jaya ke Felda Kerteh 2, dikatakan memintas sebuah kereta di lokasi kejadian.Bagaimanapun, Kamal Hisham tidak sempat kembali ke laluan kiri sebelum bertembung dengan kereta Perodua Alza.
Pemandu Alza, Mohd Zulkifli Ab Aziz, 39, yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheneh, Kemaman dan rakannya, Mohd Suhaimi Mat Hassan, 22, yang bertugas sebagai juru tol, dilaporkan patah kaki.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, siasatan awal mendapati pasangan suami isteri yang tinggal di Kampung Sura Hujung itu dalam perjalanan mengambil dua anak mereka yang tinggal di asrama Sekolah Rendah Kebangsaan Pasir Raja.
“Kemalangan menyebabkan pemandu dan semua penumpang kedua-dua kenderaan tersepit.
“Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan semua mangsa,” katanya.
Baharudin berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat manakala mangsa yang parah dihantar oleh ambulans dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, menurut anak sulung mangsa Muhammad Danial, 12, ibu mereka sempat memasak mee segera dan berpesan suruh menjaga adik-adiknya.
“Ibu sempat masak mi segera untuk sarapan kepada kami adik-beradik.
“Ibu suruh saya jaga adik-adik kerana dia dan ayah nak pergi ambil dua adik yang tinggal di asrama,” kata Muhammad Danial.
Muhammad Danial berkata, dia sangat terkejut apabila diberitahu oleh bapa saudaranya bahawa kedua-dua insan kesayangannya itu terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Ibu dan ayah keluar rumah kira-kira jam 8 pagi untuk mengambil dua adik, Muhammad Danish Irfan, 11, dan Muhammad Darwish Iqbal, 9, yang tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan Pasir Raja.
“Biasanya kalau ke mana-mana, ayah dan ibu akan bawa kami adik beradik bersama, tapi hari ini ayah tidak berbuat demikian sebaliknya minta saya jaga adik-adik di rumah,” katanya.
“Saya hanya sempat melihat Muhammad Danish dan Muhammad Darwish ketika mereka dibawa keluar bilik kecemasan untuk dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Saya hanya mampu menangis dan tidak sempat nak cakap apa-apa memandangkan Muhammad Danish kelihatan kritikal dengan memakai alat bantuan pernafasan,” katanya.
Muhammad Danial berkata, kedua-dua adiknya itu dilaporkan parah di bahagian kepala di mana Muhammad Danish paling kritikal dan masih tidak sedarkan diri.
“Saya tidak mahu kehilangan mereka dan berdoa agar mereka selamat.
“Minta Allah selamatkan adik kita,” katanya
MW: Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga anak-anak ini diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian kehilangan insan tersayang.
Semoga roh kedua-dua mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.Al-Fatihah.
Qadejah Aliff Syukri dipuji netizen apabila menegur adik lelakinya yang memukul adik perempuan. Sikap matang remaja berusia 15 tahun itu mendapat perhatian ramai.