Sedekah Al Fatihah Untuk Diri, Salah Satu Cara Ibu Ini Lawan Kemurungan

Mak ayah di luar sana kena faham sejelasnya, kemurungan adalah sejenis penyakit. Bukan disebabkan seseorang itu tidak ingat atau jauh daripada tuhan.

Sebelum menitipkan nasihat, kenalah faham apa yang pesakit kemurungan itu alami. Tersangatlah ‘struggle’ untuk sembuh dari penyakit ini.

Namun, percayalah jalannya tetap ada. Ibu ini, Ezatul Marini berkongsi kisah dan tip rawat diri. Caranya melawan kemurungan yang dihidap sejak tahun 2016.

Depresi Dan Kemurungan Itu Bukan Kisah Rekaan

Bermula Disember 2017, kita banyak diberitakan tentang gejala depresi dan kemurungan yang menimpa ramai orang. Sudah pasti yang mendapat liputan besar- besaran itu adalah golongan selebriti.

Ada yang memberi komen positif dan ada yang mencemuh. Ada yang mengatakan depresi dan kemurungan ini hanya akan dialami oleh mereka yang jauh dari Pencipta.

Saya ingin kongsikan 1 kisah. Depresi dan kemurungan itu bukan kisah dongeng dan ia boleh dialami oleh sesiapa sahaja.

2016, saya mulakan tahun tersebut dengan perasaan murung yang akhirnya membawa kepada depresi.

Saya lalui hari-hari dengan perasaan rendah diri yang amat serius, sentiasa merasakan tiada siapa sukakan saya.

Cara orang lain memandang, boleh menyebabkan saya mempunyai lapisan-lapisan tanggapan negatif mengenai diri sendiri.

Senyuman yang dilemparkan kepada saya menimbulkan pelbagai tandatanya dalam diri, pertanyaan jujur dan ikhlas dianggap sebagai sindiran dan soalselidik bak di dalam bilik soal di balai.

 

IKLAN

Sedekah Al Fatihah Untuk Diri, Salah Satu Cara Ibu Ini Lawan Kemurungan

Berbulan Bulan Diganggu Perasaan Murung

Perasaan itu bukan menghantui saya untuk jangkamasa sekejap, perasaan itu mengganggu saya selama berbulan- bulan lamanya.

Seksanya hingga saya pernah berkira-kira untuk membuat sesuatu yang di luar jangka. Gejala itu mempengaruhi pekerjaan saya, mengancam perhubungan saya di tempat kerja.

Cuti rehat dan cuti kecemasan itu saya jadikan senjata untuk lari dari segala perasaan yang mengganggu fikiran. Prestasi kerja sedikit terganggu dengan keadaan ini.

Saya tidak bercerita dengan sesiapa. Pada waktu itu, airmata menjadi amat murah… menangis itu jadi cara saya melepaskan perasaan. Setiap hari saya mohon pada Allah, bebaskan saya dari gejala kemurungan itu.

Satu hari, saya gagahkan diri bercerita dengan seseorang, dan Alhamdulillah segala nasihat dan kata-kata semangat beliau menjadikan saya lebih tenang.

Namun proses melepaskan diri dari segala perasaan murung dan depresi itu tidak berlaku dengan cepat. Saya ambil masa juga untuk keluar dari keadaan itu. Rakan- rakan rapat banyak membantu.

IKLAN

Terus terang, semasa mengalami kemurungan, tidak sedikit saya kehilangan kawan-kawan. Mereka yang tidak tahu dan faham keadaan, merasakan saya banyak berubah secara negatif dan mula menjauhi.

Alhamdulillah, kini saya yakin sudah bebas sepenuhnya dari segala rasa murung dan depresi yang pernah ditanggung.

Saya berikrar tidak mahu lagi mengulangi keadaan itu kerana banyak natijah buruk yang terpaksa saya tanggung selama ‘melayan’ depresi dan kemurungan.

Terima kasih kepada mereka yang banyak membantu saya keluar dari keadaan itu. Saya sangat percaya dengan kuasa bercerita. Luahkan apa yang kita rasa, ceritakan apa yang ada dalam hati kita pada kawan, pada saudara, pada suami dan yang paling penting pada Allah.

 

Sedekah Al Fatihah Untuk Diri, Salah Satu Cara Ibu Ini Lawan Kemurungan

IKLAN

5 Cara Ini Bantu Saya Rawat Kemurungan

Di antara cara “rawat” diri sendiri yang saya cuba dan ianya berjaya:

i. Banyakkan Istighfar – saya ingatkan diri yang ini ujian yang perlu saya ” lawan “. Pasti saya banyak berbuat salah mungkin pada Allah atau rakan- rakan maka ujian ini dikirim sebagai teguran.

ii. Bercerita – saya kongsikan keadaan diri dengan beberapa individu. Dalam banyak keadaan mereka membantu dengan memberikan saranan ataupun sekadar menjadi pendengar. Kuasa bercerita ini hebat. Ia banyak membantu mengendurkan banyak emosi ” jahat “.

iii. Al Fatihah – atas saranan seorang rakan saya amalkan menyedekahkan Al Fatihah buat diri sendiri dan keluarga serta rakan- rakan.

iv. Menangis – lepaskan perasaan dengan menangis. Untuk saya, ia amat membantu mengurangkan bebanan perasaan. Menangislah sungguh- sungguh untuk legakan dan lepaskan segala fikiran ” jahat ” yang bermain dalam minda.

v. Pujuk Diri – pujuk hati dan diri. Yakinkan diri ia hanya sangkaan kita sahaja. Bantu hati, perasaan dan minda untuk buang jauh- jauh prasangka.

Ia tidak mudah. Tetapi bantuan dan sokongan pasti membantu dalam mengatasi keadaan ini dari berlarutan.

Sehingga hari ini, ada seorang adik di pejabat yang selalu memastikan emosi saya dalam keadaan baik. Beliau akan selalu melakukan “check and balance ” bagi mengelakkan saya dari terarah semula kepada depresi. Terima kasih dan Alhamdulillah..

Sumber/Foto : Ezatul Marini

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI