Siapa sangka panggilan telefon datuk disambut pegawai polis pada petang semalam. Rupa-rupanya anak dan tiga cucu terlibat dalam kemalangan dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang selepas bercuti.
Menurut datuknya, sebelum bergerak pulang ke Pulau Pinang, mereka ceria selepas bercuti di kampung. Dan pertemuan itu menjadi pertemuan terakhir seorang datuk dengan tiga cucunya.
Perjalanan Pulang Ke Pulau Pinang
“Saya hubungi Aimi jam 5.10 petang namun panggilan disambut pegawai polis yang memaklumkan mereka kemalangan,” kata Abdul Rahim Sidek, 58, bapa kepada Nur Aimi Nadiah yang terbabit kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang itu, Nur Aimi Nadiah, 27, cedera parah manakala tiga anaknya, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di lokasi kejadian selepas Perodua Axia dipandu terbabas dan melanggar belakang treler di laluan kecemasan.
Abdul Rahim berkata, Nur Aimi Nadiah bersama tiga cucunya baru pulang ke kampung di Kampung Bukit Nibong, Melaka.
Katanya, empat beranak itu dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang kerana Nur Aimi bekerja di negeri itu.
Ads
Kredit: Viral Perak
Mereka Ceria Selepas Bercuti Di Kampung
“Sebelum bergerak pulang ke Pulau Pinang, mereka ceria selepas bercuti di kampung,” katanya kepada Harian Metro.
Mereka sekeluarga tinggal di Taman Seri Gombak sebelum berpindah ke Melaka lebih 15 tahun lalu.
Sementara itu, jiran mangsa, Fauziah Mohd Sabri, 50, terkejut selepas mengetahui kejadian yang menimpa bekas jirannya itu.
“Saya menjaga Aimi ketika masih kecil sebelum mereka sekeluarga berpindah ke Melaka.
Ads
“Sejak itu kami jarang bertemu dan perkhabaran ini memang mengejutkan,” katanya.
Kereta Hilang Kawalan, Ibu Hilang Tiga Anak
Portal MyMetro hari ini melaporkan kemalangan membabitkan kereta dan dua lori di Kilometer 272.5 PLUS arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang dekat Ipoh, Perak.
Kemalangan berpunca daripada Perodua Axia terbabas sendiri lalu melanggar belakang treler yang berada di lorong kecemasan.
Bedah siasat akan dijalankan jam kira-kira 3 petang esok manakala Aimi masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
MW: Tentu sahaja berita sedih ini memberi tamparan hebat buat keluarga ini, apatah lagi melibatkan cucu-cucu yang masih kecil. Semoga keluarga ini tabah berdepan dengan ujian besar ini.
Rupanya nafkah anak-anak selepas kematian ayah mereka bukanlah jatuh pada tanggungjawab mak semata-mata.Tidak dinafikan,ramai ibu tunggal yang hilang tempat bergantung serta mengalami kepayahan dalam membesarkan anak-anak selepas kematian suami.Ini kerana ramai mak-mak yang beranggapan bahawa tanggungjawab menyara anak-anak ini harus digalas sepenuhnya tanpa mengharapkan bantuan daripada sesiapa.
Mungkin atas faktor tidak tahu menahu mengenai perkara ini atau tidak mahu ‘menyusahkan’ sesiapa, ia mengakibatkan pihak yang sepatutnya menggalas tangungjawab ini ambil sikap ‘lepas tangan’.
Sebenarnya, selepas kematian suami, jika tidak berkemampuan dalam menyara anak-anak dan memerlukan bantuan dalam membesarkan mereka, mak-mak boleh menuntut hak bagi pihak anak-anak mengikut akta Undang-Undang Keluarga Islam. Atas sebab ini jugalah dari segi pemberian faraid bahagian isteri paling sedikit berbanding yang bakal diterima oleh waris yang lain. Mohon hadam perkongsian soal jawab ini yang dipetik daripada page Info Syariah Ini.
Soal jawab 01: NAFKAH ANAK YANG KEMATIAN BAPA
Soalan:
“Saya adalah ibu tunggal yang mempunyai 3 orang anak setelah kematian suami setahun yang lalu. Saya berusaha keras menyara keluarga demi membesarkan anak-anak. Soalan saya, adakah boleh saya menuntut supaya keluarga belah arwah suami saya membantu menyara nafkah anak-anak saya?”
Jawapan:
Tanggungjawab menyara nafkah anak-anak yang kematian ayahnya jatuh kepada datuk (ayah arwah bapa si anak). Jika datuk telah meninggal dunia atau kurang berkemampuan, tanggungjawab tersebut boleh dipikul oleh bapa saudara (adik beradik lelaki arwah bapa si anak) yang berkemampuan.
Failkan kes tuntutan nafkah anak dan masukkan nama mereka (datuk atau bapa saudara) sebagai defendan di mahkamah rendah syariah terdekat.
Mahkamah kemudiannya akan menentukan kadar bayaran nafkah mengikut keperluan si anak dan kemampuan defendan.
Akta undang2 Keluarga Islam WP memperuntukkan;
Seksyen 72. Kewajipan menanggung nafkah anak
(1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.
(2) Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.
Besar mana pun gaji seseorang, jika tak pandai nak urus akhirnya belum sampai hujung bulan dah tinggal seringgit dua. Silap-silap, belum habis bulan, duit pun dah tak ada.
Salah satu tip nak hidup tenang selain bebas hutang, tentulah peroleh keberkatan rezeki yang tak pernah putus.
Ada hal-hal dalam kehidupan harian kita, yang tak kita sedari rupa-rupanya buatkan rezeki tersekat, tidak berkat. Cuba perhatikan apa kah kita pernah terbuat hal-hal ini dalam kehidupan seharian kita.
Dapat Gaji Tapi Tak Lunaskan Hak Pada Mereka Yang Sepatutnya
Baik suami atau isteri, masing-masing punya tanggungjawab. Suami tentulah memberi nafkah kepada isteri. Isteri yang baik pula akan sentiasa ada untuk meringankan beban suaminya.
Kalau pun isteri tak nak hulur sikit duit pada suami, zakat dan sedekah itu perlu dilaksana. Jika hal sepenting ini pun tak ditunaikan, ke mana akhirnya pendapatan akhir anda.
Tengok balik, ‘track’ satu-satu, muhasabah diri. Kenapa agaknya serba serbi tidak cukup, ada saja perkara yang perlu dibayar, padahal anda dah aturkan belanja siap-siap. Tentu Allah mahu tegur kita dengan cara paling halus.
Tak Sedar Membazir Makanan Atau Apa Saja Yang Kita Ada
Dalam bab makan ini orang Malaysia memang paling untung. Sayangnya, dalam mendapat nikmat rezeki yang banyak itu, kita membazir. Makan tak habis, masih bersisa dibuang begitu saja ke tong sampah. Nasi di pinggan ada lagi sebutir dua tak nak dijamah.
Semua itu ada kaitan dengan keberkatan rezeki.
Lagi sedih, sudahlah berpangkat, gaji besar pula.. bila dipanggil ke majlis kenduri. Ini yang jadi. Ambil makanan punyalah banyak, siap bawa anak beranak. Tapi makannya acah-acah diet. Allahu..
Kesian tuan rumah.
Tak Pandai Nak Sekat Nafsu
Baik suami atau pun isteri, masing-masing tak saling mengingati. Bila tiba hari gaji, masa itulah semua nak beli. Rambang mata. Lebih dari pendapatan hutang-hutangnya.
Kereta setiap sorang ada. Betullah masing-masing kerja, tapi kalau tak mampu kenalah aturkan balik kewangan keluarga itu. Tengok balik ada riba atau tidak dalam bayaran ansuran kereta ke, rumah ke atau apa saja.
Jika suami isteri lebih berhati-hati, tahu nilai setiap hasil titik peluhnya, faham akan tanggungjawabnya. Walau bergaji kecil, anak berderet, Insya Allah.. Allah akan cukupkan rezekinya sebagaimana keperluan setiap orang dalam keluarga.
Itulah namanya keberkatan rezeki.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tamparan Hebat Hilang Suami & 7 Anak, Reda Satu Keluarga Diuji Hidap KANSER! Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Besar sungguh ujian buat keluarga ini, masakan tidak satu keluarga diuji dengan penyakit kanser, malah seorang demi seorang telah meninggal dunia.
Ibu mana yang tidak mahu melihat semua anak dilahirkan hidup sihat, begitu juga Che Noorsiah Abdul Rashid apabila menerima kehadiran lima anak yang menjadi penyeri hidup bersama suami.
Namun, takdir Allah SWT ‘menuliskan’ sebaliknya apabila semua anaknya bersama tiga anak tiri serta suami diuji penyakit kanser, malah dirinya dan seorang cucu lelaki juga diuji penyakit sama.
Lebih menyedihkan tujuh anak dan suaminya kini sudah meninggal dunia kerana penyakit mereka.
Suami, Abdul Latif Md Jali yang menghidap kanser paru-paru dan tumor otak meninggal pada 1998 manakala anak kandungnya, Nur Hidayati Ayu yang menghidap kanser adrenal meninggal dunia pada 1995, Irfan Effendy meninggal dunia pada 2013 kerana kanser limfoma dan Nur Aqilah Atiqah menghidap kanser payudara yang meninggal dunia pada 2019.
Seorang lagi anaknya, Shaheedy Effendy yang meninggal dunia kerana jangkitan bakteria salmonella tahun ini juga mempunyai ketulan di tulang selangka namun tidak sempat membuat ujian dan pemeriksaan lanjut.
Tiga anak tirinya, Noraini meninggal dunia pada 2002 akibat kanser payudara, Mohd Jefri menghidap kanser esofagus meninggal dunia pada 2018 dan Mohd Musa meninggal dunia pada 2016 kerana kanser darah.
Kini hanya tinggal Che Noorsiah, 69, dan anak bongsunya, Nur Alia Wahidah, 32, yang masih berjuang melawan kanser payudara manakala cucu lelakinya Haleef Hayyan Effendy Irfan Effendy, 11, kanser limfoma, tulang dan leukemia.
Tamparan Hebat Kehilangan Anak & Suami
Bercerita kisahnya, Che Noorsiah berkata, kehilangan suami dan tujuh anak termasuk tiga anak tiri boleh dianggap satu tamparan hebat buatnya, namun menerima ketentuan takdir dengan reda.
“Apabila semua anak sakit kanser, hati saya seolah-olah hancur biarpun tiga anak lain cuma anak tiri, tetapi saya tidak pernah membezakan kasih sayang buat mereka. Rasa itu tetap sama.
“Bagaimanapun saya sentiasa kuatkan semangat dan bersangka baik dengan Allah SWT kerana perjalanan hidup kita seperti menaiki kereta api yang akan berhenti di hentian stesen, apabila tiba masa kita akan ‘pergi’ dan sakit cuma asbab.
“Kini hanya tinggal saya bersama anak bongsu dan cucu bersama-sama melawan penyakit ini. Bagi saya selagi ada hayat saya akan berjuang dan hidup dengan gembira, malah sokongan ahli keluarga lain sangat menguatkan kami,” katanya ketika ditemui.
Bernasib Baik Kanser Dikesan Awal
Pesara kerajaan itu berkata, dia bernasib baik apabila kansernya dapat dikesan awal dan kini berada di tahap awal namun sudah melakukan pembedahan membuang payudara kanan pada Januari tahun lalu.
Katanya, dia disahkan menghidap penyakit itu pada November 2020 dan mengakui keluarganya tiada sejarah penyakit kanser, namun penyakitnya itu bukanlah penamat kehidupannya.
“Ketika disahkan kanser payudara saya memang terkejut kerana keluarga saya tiada sejarah penyakit kanser. Ini dugaan keluarga saya apabila kami semua diuji dengan penyakit ini.
“Sebagai pesakit kanser dan ada anak dan cucu yang mempunyai penyakit sama kami perlu positif dan menjalani kehidupan dengan gembira selain melakukan aktiviti kegemaran sebagai terapi diri.
“Tiga elemen penting untuk lawan kanser adalah kuatkan semangat, makan makanan berkhasiat dan buat rawatan disyorkan pakar. Hidup dan mati kita serahkan kepada Allah SWT,” katanya yang turut mempunyai sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Tidak Salahkan Takdir
Bercerita lanjut, saat paling sukar yang dilaluinya adalah anak perempuan yang lama ditunggu, Nur Hidayati Ayu disahkan menghidap kanser adrenal ketika berusia empat tahun.
Katanya, sejarah keluarga suaminya memang ada yang sakit kanser tetapi dia tidak menyalahkan takdir kerana baginya semua aturan Allah SWT mempunyai hikmah.
‘Hayyan Ada ‘Super Power’ Kuat Lawan Sakit’
“Hayyan, wan (Che Noorsiah) dan mummy (Nur Alia Wahidah) ada ‘super power’ jadi kami kena kuat lawan sakit,” kata pesakit kanser tahap empat, Haleef Hayyan Effendy Irfan Effendy.
Haleef Hayyan Effendy, 11, atau mesra disapa Hayyan diuji penyakit kanser limfoma seawal usia lima tahun sebelum kanser itu merebak ke tulang dan kini turut disahkan mempunyai leukemia pada Februari lalu.
Menurutnya, ketika disahkan kanser kembali dia menangis, terdiam dan kecewa tetapi sokongan ibu, Mimi Zarina Omar, 48, membuatnya kuat.
“Masa usia lima tahun, Hayyan tak tahu kanser itu apa cuma tahu ABC sahaja dan sakit macam arwah ayah.
“Bila doktor cakap Hayyan ada kanser lagi baru-baru ini saya menangis dan terkedu sebab kena buat rawatan lagi.
“Masa buat rawatan memang sakit tapi Hayyan ada mummy yang selalu temankan di hospital tapi Hayyan harap sangat Hayyan, wan dan mummy terus kuat dan sihat,” katanya.
Kekal Positif Sembuh Daripada Penyakit
Sementara itu ibunya, Mimi Zarina berkata, kekuatan sebenarnya adalah melihat kekuatan anak bongsu kesayangannya kekal positif untuk sembuh daripada penyakitnya.
Menurutnya, Allahyarham suaminya, Irfan Effendy Abdul Latif, 39, meninggal dunia kerana kanser limfoma pada 2013.
“Biarpun ‘sakit’ melihat Hayyan sakit tetapi saya tidak menyalahkan takdir atau genetik sebaliknya menerima dengan reda kerana ini ujian Allah SWT untuk saya dan keluarga kami.
“Sebelum ini saya berjuang bersama suami yang melawan kanser selama tujuh bulan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir dan kini bersama Hayyan pula untuk berjuang melawan penyakit.
“Pada mulanya saya tidak kuat tetapi melihat betapa positifnya anak buat saya juga jadi kuat. Kita perlu kuat dan positif untuk menjaga pesakit kanser bukan mereka sahaja kena kuat,” katanya.
Kekal Cekal Lepas Hilang ‘Mahkota’ wanita
Kehilangan ‘mahkota’ kewanitaan dan melalui 12 sesi kemoterapi dan 15 kali radioterapi, tidak membuatkan wanita ini ‘gentar’ untuk berjuang melawan kanser payudara tahap empat yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.
Nur Alia Wahidah Abdul Latif, 32, menjalani pembedahan membuang payudara kanannya dan kini bakal kehilangan satu lagi ‘mahkota’ apabila akan menjalani pembedahan membuang ovari.
Nur Alia Wahidah berkata, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas disahkan menghidap kanser payudara selepas baharu tujuh bulan berkahwin dan mengecapi kebahagiaan bersama suami.
Menurutnya, biarpun mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit kanser tetapi ujian genetik yang dibuat pada 2018 mengesahkannya bukan pembawa gen P53 seperti dua adik beradiknya.
“Pada mulanya kanser berada di tahap dua dan ia berpunca daripada hormon. Saya mengambil keputusan membuang payudara kanan dan ‘membinanya’ semula supaya ia tidak serius. Itu satu keputusan berat kerana ia adalah ‘mahkota’ kita sebagai seorang wanita.
“Kemudian doktor beritahu kanser saya berulang pada Mei lalu dan sudah berada di tahap empat selain merebak ke paru-paru,” katanya yang kehilangan kerja kerana penyakitnya itu.
Menurutnya, dia kini sudah membuat enam sesi kemoterapi dan menunggu untuk membuat pembedahan membuang ovari bagi mencegah kanser kembali kerana ia membabitkan hormon.
“Pembedahan ini akan melenyapkan hasrat saya memiliki anak sendiri. Ini realiti yang dilalui biarpun saya sendiri teringin mahu punya anak sendiri dan ia memang membuatkan saya sedih.
“Semua yang ada pada kita adalah milik Allah SWT dan apabila sedikit yang dipinjamkan itu diambil saya tetap bersyukur kerana Dia masih memberikan peluang saya bernafas.
“Siapa saya untuk mempersoalkan ketentuan-Nya jadi saya perlu positif dan bersemangat untuk melawan sakit ini. Allah SWT mahu lihat saya bersabar dan menerima ujian-Nya. Lagipun saya fikir dugaan mana lebih hebat dan jika dia boleh melaluinya kenapa tidak saya,” katanya.
Mingguan Wanita: Masya Allah, sungguh hebat dugaan buat wanita ini. Bukan mudah untuk berdepan sengan ujian sebegini, kehilangan suami dan anak-anak tersayang akibat penyakit kanser yang cukup ‘digeruni’. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan buat wanita ini dan diberikan kesembuhan buatnya.
Ibu tiga anak digilis lori simen ketika berhenti di lampu isyarat, kegagalan brek jadi punca. Seorang anggota penjara yang juga ibu kepada tiga anak,...