Doa tidak pernah putus kala sujud di hadapan Allah SWT malahan bibirnya tidak pernah lekang mengharapkan keajaiban terjadi! Tiada ibu yang sanggup melihat anak sulung yang dulu cukup cergas namun kini berubah 100 peratus selepas kemalangan jalan raya.
Ini sekali gus mengubah situasi si anak yang kini dirinya terpaksa diurus sepenuhnya. Semoga bulan penuh keberkatan ini memberikan sinar buat Siti Hapsiah Ismail dan anaknya itu.
Ini Kejadiannya…
Tarikh 15 Februari 2017, ibu kepada tiga anak ini dikejutkan dengan berita anak sulungnya kemalangan ketika ke sekolah. Insiden bermula apabila motosikal Mohamad Syazwan, 17 tahun bergesel dengan sebuah lagi motosikal milik kawannya sebelum kedua-duanya jatuh tersembam. Kepalang malang, belum sempat bangun, sebuah lagi motosikal yang datang dari arah belakang telah melenyek ke bahagian mukanya. Biar memakai topi keledar (helmet separuh) namun lenyekan itu telah mengakibatkan tulang kepalanya berselisih dan rahangnya patah.
“Saya dihubungi kawan sekolahnya memaklumkan Along (panggilan untuk Syazwan) kemalangan pada pagi itu. Saya sangat terperanjat kerana Along baru saja keluar dari rumah untuk ke sekolahnya di Sekolah Menengah Vokasional Kulim, Jalan Junjong kira-kira 45 minit perjalanan dari rumah di Taman Mutiara ini. Awalnya saya sangkakan hanya kemalangan kecil tetapi sama sekali saya tidak menyangka, kemalangan itu telah mengubah masa depan Along.
“Pada hari dimasukkan ke hospital, muka Along mulai membengkak. Pada malam 16 Februari, dia dimasukkan ke wad pembedahan kerana bahagian tempurung kepalanya yang cedera itu sudah mula mengumpul cecair. Sebahagian tempurung kepalanya perlu dipotong untuk mengelakkan bahaya lebih besar jika cecair itu tidak disedut keluar dengan segera. Along juga perlukan pemantuan doktor dari semasa ke semasa bagi melihat perkembangan dirinya.
Terkini
“Alhamdulillah… Sekarang sudah tiga bulan berlalu dan pemeriksaan doktor mendapati cecair itu tidak melebihi paras tempurung kepalanya. InsyaAllah pada pemeriksaan akan datang, besar kemungkinan tempurung kepalanya yang sekarang ini disimpan oleh pihak hospital dapat dipasang kembali. Doktor memberi tempoh sehingga setahun. Kata doktor tengkorak boleh mengecut akibat proses semula jadi dan andai itu berlaku, kepala Along besar kemungkinan akan melekuk seperti sekarang ini,” katanya yang sepakat dengan suami untuk memasang kembali tempurung di kepala anaknya.
Ads
Menurut Siti Hapsiah juga, akibat kemalangan dan kesan lenyekan tayar motor di kepala Along, mata anaknya tidak berhenti-henti berkedip biarpun sudah tiga bulan kemalangan itu berlaku.
“Sebab itulah saya meletakkan pita pelekat di kelopak mata Along bagi mengurangkan tekanan. Saya juga selalu bercakap-cakap dengannya biarpun tahu dia tidak mampu melakukan apa-apa buat masa ini,” katanya yang mengakui sebak setiap kali memandang wajah Syazwan yang mengambil jurusan elektrik di SM Vokasional.
Disangka Sudah Tidak Bernafas
Sebenarnya tragedi kemalangan ketika ke sekolah secara konvoi beramai-ramai dengan kawan sekolahnya tiga bulan lalu memberikan kesan yang bukan sedikit ke atas diri Mohamad Syazwan Hamidon. Selepas terjatuh akibat geselan di handle motosikalnya, kemudian kepala dilenyek oleh motosikal di belakang, keadaan Syazwan memang teruk.
Menurut ibunya, Syazwan yang terbaring kaku akibat kemalangan itu, disangkakan telah meninggal dunia oleh mereka yang berada di tempat kejadian namun sebaik dirinya dibawa masuk ke dalam ambulan dan mendapat bantuan cemasan, dia tersedar dan kembali bernafas, biarpun sebelum itu paramedik mengakui Syazwan seperti tidak bernafas ketika itu.
“Situasi anak teruk. Mukanya mulai membengkak di tempat kejadian lagi. Disebabkan nafasnya terhenti, oksigen tidak sampai ke bahagian otak sekaligus doktor mengesahkan Along sudah tidak memahami lagi situasi sekelilingnya kerana ketidakupayaan otaknya berfungsi dengan baik.
Ads
“Along bagaikan anak kecil yang perlu diuruskan 24 jam. Lehernya ditebuk bagi memudahkan dia bernafas dan di perutnya satu saluran dibuat untuk saluran susu yang akan diberikan kepadanya setiap tiga jam sekali. Sesekali kakinya akan menggeletar seolah-olah kekejangan. Saya akan menarik tapak kakinya dan memberikan urutan lembut bagi menghentikan kekejangan itu.
“Kata doktor, ia proses semulajadi bagi mereka yang terbaring lama dan saya perlu membuat latihan fisio bagi mengelak kakinya terus mengeras. Setiap hari, saya akan mengurut kakinya perlahan-lahan bagi mengelakkan sarafnya kejang jika tidak diurut,” katanya yang tidak putus berdoa agar anak itu kembali sihat dan sembuh biarpun doktor memberitahu tiada apa boleh dilakukan lagi.
“Biarpun harapan untuk Along sembuh sukar tetapi saya tidak putus harapan. Sesekali melihatkan gerakan tubuhnya hati saya sudah gembira. Tidak ada apa yang mustahil dengan izin Allah,” ujar ibu penyayang yang mempunyai tiga orang anak ini iaitu Syazwan, 17, Danial Aiman Hamidon, 15 dan Nelly Maisara, 9 tahun.
Perlukan Kos Besar
Tidak pernah terfikir, anak yang dahulunya cukup pandai mengambil hati, tidak melawan bila dimarahi dan tidak melenting biarpun ditegur, tetapi kini anak itu terbaring lesu, tanpa mampu melakukan apa-apa.
Ads
“Kita lihat tubuhnya sihat, tiada apa kekurangan tetapi kerana oksigen gagal membekal ke otaknya selama beberapa minit semasa kejadian kemalangan itu, membuatkan Along terlantar begini,” katanya dan memberitahu susu sentiasa akan dibekalkan ke tubuhnya bagi mengelakkan anaknya lapar.
“Susu Ensure ini suami beli pada harga RM74.90 untuk 800 gram. Hanya cukup untuk dua hari sahaja. Buat masa ini, kami belum mendapat apa-apa bantuan. Suami dahulu kerja kilang dan kami berniaga kecil-kecilan depan rumah. Dengan duit simpanan itulah digunakan untuk membeli susunya. Kami pernah ke pusat Zakat, tetapi pihak itu memberitahu bantuan hanya diberi sekali sahaja setahun. Alhamdulillah ada NGO yang sudi membantu dengan memberi dua tin susu sebulan.
“Tilam air yang Along tidur sekarang pun kami beli yang terpakai, dengan harga RM500. Katil dan penyedut ini diberi sementara oleh pihak hospital.
Ikutkan dengan segala keperluannya, memang tidak akan mencukupi untuk satu jangka masa panjang dan suami hanya membawa lori menjual air penapis. Dulu masa sihat, Alonglah yang bantu kami berniaga tetapi sekarang dirinya pun terpaksa diurus,” ujar Siti Hapsiah berkali-kali memberitahu, dia mengharapkan keajaiban dari Yang Maha Kuasa agar Syazwan sembuh kembali.
Bagi anda yang ingin menyalurkan sumbangan kewangan untuk meringankan bebanan keluarga ini, salurkan sumbangan itu ke akaun Bank Simpanan Nasional di akaun 02004-41-0000988-7 atas nama Siti Hapsiah Ismail. Semoga bantuan anda dapat balasan baik daripada Allah.
Doa Ibu Syazwan
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Allahu, sayunya mendengar berita ini.Naufal Amsyar, bayi lelaki berusia 10 bulan yang parah di kepala dipercayai terjatuh di rumah pengasuh, meninggal dunia selepas empat hari dalam keadaan kritikal dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kira-kira jam 9 pagi ini.
Bapanya, Nabil Fikri Anwar, 28, yang memaklumkan perkara itu melalui aplikasi WhatsApp, berkata Naufal Amsyar, yang juga bayi tunggalnya itu telah pulang ke rahmatullah.
“Assalamualaikum. Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat anak saya Naufal Amsyar Bin Nabil Fikri yang telah kembali ke rahmatullah pada 9 pagi tadi,” katanya hari ini.
Kebumikan Selepas Solat Zohor
Menerusi status terkini di Facebook ibu mangsa, Eyka Rohmat pula mengesahkan, allahyarham Naufal Amsyar akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Tangkak johor selepas Zohor .
Selasa lalu, bayi malang yang dijaga seorang pengasuh wanita berusia 35 tahun di Tangkak itu dimasukkan ke hospital selepas dipercayai diserang sawan.
Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam lama dan baharu pada dahi kiri bayi selain pendarahan pada bahagian mata serta keretakan tempurung kepala.
Susulan daripada itu, Khamis lalu polis menahan pengasuh terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga dan ibu bapa anak syurga ini. Semoga diberi kekuatan dan kecekalan dalam menghadapi ujian ini.Alfatihah.
Benarlah hidayah itu milik Allah. Siapa lah kita manusia untuk menidakkannya. Siapa sangka Harry Zulkifli, 26, yang dulu pernah hidup dalam dunia maknyah kini kembali berubah kepada fitrah.Tatkala dulu dia lebih selesa dikenali sebagai’ Yana’, kini dia mahu melupakan selamanya gelaran wanita itu dan lebih selesa disapa dengan nama lelaki iaitu Harry. Perkongsian hijrah ini dikongsikan oleh beliau ketika menjadi tetamu jemputan didalam program Live FB Sinar Harian di Kumpulan Media Karangkraf awal tahun ini.
Menurut Harry tempoh dua tahun diambil untuk berubah dan beliau percaya ia hasil berkat doa ibunya dan dorongan kawan-kawan.Harry juga menyatakan kekesalan dengan perlakuan lamanya, kini bertekad untuk kembali menjadi lelaki sebenar.
“Dua tahun saya ambil masa untuk berubah, ini berkat doa keluarga terutama mak dan dorongan kawan-kawan,”
“Saya pasak tekad, moga ALLAH SWT kuatkan saya untuk terus menjadi seperti ini dan tidak kembali kepada perbuatan lama saya,” katanya.
Miliki Naluri Kewanitaan Sejak Umur 4 Tahun
Sementara itu menyingkap kembali sejarah hitamnya, Harry berkata, dia yang sejak berusia empat tahun mempunyai naluri kewanitaan semakin ‘menjadi-jadi’ perubahannya selepas hidup bebas di Kuala Lumpur.
“Keluarga saya memang perasan mengenai saya, dulu saya selalu curi-curi pakai celak dan bersolek dan makin melarat tatkala usia menginjak remaja dan mula tersasar jauh setelah hidup bersendirian di Kuala Lumpur ketika itu,” katanya.
Ketika di ibu negara, dia mulai berani pergi ke kelab malam dan menghabiskan masa di tempat tidak berfaedah.
“Duit saya sentiasa tidak cukup… hinggalah saya tersedar satu ketika hidup saya semakin jauh daripada keluarga dan agama,” katanya sedih.
Detik Penghijrahan
Dalam pada itu, bercerita mengenai kisah penghijrahannya, detik penghijrahan itu bermula selepas tertarik dengan akhlak sahabatnya yang mula menarik untuk berubah.
“Terdetik untuk saya berubah dua tahun lepas. Saya tertarik dengan akhlak yang elok daripada seorang sahabat, dia bimbing dan tarik saya untuk bertemu dengan orang warak dan alim.
“Daripada itu saya mula dekat dengan agama dan mula tersedar bahawa ALLAH SWT menciptakan saya sebagai lelaki… memang tahun pertama itu susah untuk istiqomah, namun Alhamdulillah saya semakin baik dan makin berubah,” katanya.
Anak kelahiran Kuching Sarawak ini berkata, antara pendukung kuat untuk dia berubah juga adalah ibu dan kakaknya.
“Baru-baru ini saya balik kampung, mak cakap inilah anak lelaki sebenarnya, dia gembira sangat.
“Kongsi mak, dia tidak putus-putus berdoa untuk saya berubah menjadi lelaki sebenar,” katanya yang tinggal bersama ibunya selepas ibu bapanya bercerai.
Diri Semakin Tenang & Bahagia
Harry yang kini bekerja sebagai Penolong Pegawai Perubatan di sebuah Hospital di Negeri Sembilan, berkata, selepas berubah dia kini semakin tenang.
“Alhamdulillah ketenangan yang saya tidak boleh bayangkan, saya boleh solat dengan selesa dan ia betul-betul memberi kebahagian kepada saya,” katanya.
Kongsinya lagi selepas dia berubah dia kini lebih dekat dengan keluarga.
“Dulu saya selalu abaikan panggilan mak, ada sahaja alasan untuk saya lari daripadanya, hinggakan kalau berbual pun diakhirnya kami akan bergaduh.
“Tapi, Alhamdulillah, sekarang saya kerap balik kampung dan akan hubungi ibu selalu untuk maklum tentang hari-hari saya,” katanya.
Nasihat Buat Teman-Teman
“Golongan pondan boleh berubah, cuma kita masyarakat janganlah memandang serong, beri kata positif dan dorongan,” katanya.
Katanya, keluarga juga perlu menjadi pemangkin semangat yang utama buat golongan ini.
“Jangan buang mereka, tak mengaku anak… saya minta jasa baik ibu dan ayah jangan buang mereka,” katanya.
Doakan sahaja yang baik-baik semoga hidayah terus berkekalan dalam diri Harry dan istiqamah dalam penghijrahan beliau. Jangan sesekali kita memandang rendah pada golongan sebegini, berikan mereka peluang dan dorongan untuk berubah menjadi lebih baik.
Guru muda (tudung ungu corak) lulusan IPGM Kampus Perempuan Melayu Melaka, pengkhususan dalam Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran berdepan situasi cemas, menyaksikan seorang Pawang menangkap buaya tanpa apa-apa senjata canggih melainkan sebatang buluh.
Pengalaman sukar dilupa yang mengundang ketakutan dalam dirinya. Ketika kejadian, Nurul Akma Khalid, 36 terpaksa menggunakan bot menyeberang jalan sungai untuk membolehkannya sampai ke sekolah.
“Waktu itu, jambatan untuk menghubungkan Simunjan dan Gedung masih dalam pembinaan. Bot satu-satunya pilihan pengangkutan terdekat. Kalau guna jalan darat, masa diambil antara 3 ke 4 jam untuk sampai ke sekolah,” maklumkan yang perlu membayar RM200 untuk menyewa bot sebulan.
Satu pagi, ketika dalam perjalanan merentasi sungai ke sekolah. Pemandu bot menunjukkan ke arah seekor haiwan yang bergerak ligat di dalam sungai. “Ada buaya terkena jerat.” Katanya.
Enjin bot dihentikan. Ada seorang pawang menunggu di situ. Dia berperang dengan buaya yang tak kurang kuatnya melawan. Tiada senjata canggih pun ada di tangan Pawang melainkan sebatang buluh. Pergelutan itu akhirnya berjaya menumpaskan buaya dan ia dibawa naik ke darat.
“Tipulah kalau saya tak takut sepanjang menyeberang Sungai Sageng. Setiap kali mengenang anak-anak murid menunggu dalam kelas, saya jadi kuat semangat.
“Anak-anak ini kekuatan saya. Mereka memberi keseronokan sepanjang saya mengajar di sana. Pentadbir dan rakan sekerja juga sangat baik. Ambil berat tentang saya, sampaikan pegawai di PPD Simunjan bekalkan jaket keselamatan untuk saya pakai setiap pagi.”
Semangat guru muda ini boleh dijadikan inspirasi. Biarpun terpaksa merentasi sungai yang ada buaya untuk sampai ke sekolah, dia tidak hilang semangat. Malah terus cekal memberikan baktinya pada anak-anak kawasan pedalaman yang memerlukan khidmat didikannya.
Kiriman WhatsApp dari anak pendidikan khas membuatkan guru muda ini terharu. Apabila anak murid dapat mengeja sesuatu perkataan, mengenakan butang baju sendiri, kenal ABC dengan baik, itu sudah cukup bererti baginya yang mengajar murid-murid istimewa.
Pengalaman Mengajar Cikgu Nurul Akma Khalid
Guru Pendidikan Khas Integriti.
Mengajar subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Kemahiran Manipulatif dan Pendidikan Seni Visual.
Ini Antara Sekolah-sekolah Yang Pernah Menerima Sumbangan Baktinya
Januari 2010 – Jun 2011 : Sekolah Kebangsaan Petra Jaya, Kuching Sarawak
2011 – 2014 : Sekolah Kebangsaan Abang Man Simunjan, Sarawak
2015 – hingga kini : Sekolah kebangsaan Kampung Kolam Kuala Rompin, Pahang
Sebab Itu Jika Posting Ke Pedalaman, Bertenanglah Guru Muda Praktikkan Ini
Bila Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mula bersuara agar guru baru yang ditukarkan ke kawasan pedalaman bertahan pasti ada guru-guru muda yang resah dan susah hati. Bertahan di sini bermaksud tidak memohon pertukaran ke Semenanjung sampailah diri mereka disahkan jawatan.
Sebenarnya ramai daripada kalangan guru-guru di Malaysia yang pernah berhadapan situasi dihantar ke sekolah pedalaman pun pernah melaluinya. Ini antara tips yang dikongsikan.
Ketika Berbot Ke Sekolah, Guru Saksikan Buaya Tewas Di Tangan Pawang Bersenjata Sebatang Buluh
Posting Pertama: SK Sulabayan Semporna, Sabah (Di hujung Pualu Bum Bum)
Kini Mengajar : SK Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah
1. Bila dapat surat posting tu. Kita kena cari dulu maklumat tentang tempat tu. Di mana kedudukannya. Apa budayanya. Macam mana kehidupannya. Apa adat tradisi budaya di sana. Apa yang boleh atau tak boleh di kalangan masyarakat di sekitar tu. Macam mana anutan agama. Background budak-budak di situ.
2. Kita mesti tahu apa kemudahan yang ada di tempat tu. Apa yang tak ada di tempat tu. Supaya kita lebih bersedia dari segi mental emosi menghadapi kehidupan seharian di situ.
3. Kita mesti nampak gambaran jelas tentang tempat tu dari segi fizikalnya. Contohnya. Hari pertama saya berkasut tinggi. Naik bot laju. Dan masa nak turun ke jeti kasut saya tersangkut dan jatuh ke laut. Sebabnya? Saya tak sangka yang tempat tu begitu rupa.
4. Kita mesti dapatkan rumah sewa yg betul-betul dekat dengan pekan. Memudahkan kita bergerak dan dapat apa-apa kemudahan. Dapat housemate 2 atau 3 orang. Supaya ada teman ke sana sini. Sakit susah pun ada yang tolong tengokkan.
5. Kita mesti berkawan atau mesra dengan masyarakat sekitar tempat tinggal atau sekolah tu..atau ibu bapa murid-murid tu..sebab kehidupan kita sepanjang di situ banyak bergantung dengan mereka. Kalau diorang nampak kita baik. Anggap diaorang macam keluarga sendiri. Insya-Allah diaorang akan lebih baik dan selalu tolong kita.
6. Kita mesti bersedia mental emosi..tahap kesabaran yang tinggi. Sebab biasanya budak-budak di pedalaman ni kurang fasih berbahasa Melayu atau Inggeris. Kalau kita ngajar cakap laju ja bahasa yang betul pun bukan diorang paham sangat. Jadi kita kena turun lebih rendah sikit. Cuba belajar bahasa diorang yang mudah-mudah. Membantu kita untuk mencapai objektif kita sebenarnya.
“Kalau mental dan fizikal ready. Insya-Allah okey. Tapi kalau dari awal-awal dah tak okey, semua benda jadi negatif. Kalau macam saya tak terasa sangat, sebab saya sendiri memang biasa hidup tanpa bekalan air, elektrik dan telefon. Paling mudah buat senarai semak supaya kita tahu apa yang dibawa.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!