Setiap perkahwinan yang dilalui pasti ada onak dan duri. Jika kita pilih sabar, di hujungnya akan ada kebahagiaan. Namun, jika tidak mampu pertahankan, ia mungkin hanya separuh jalan. Pucuk pangkal, suami isteri perlu tangani dan selesaikan dengan cari yang betul dan tidak terburu-buru dalam membuat keputusan.
Walau bagaimanapun, jika kita pertahankan tetapi ada campur tangan daripada keluarga atau orang lain, ia tidak cukup untuk membantu, malah boleh menjadi teruk lagi. Inilah yang terjadi
Itulah yang terjadi pada Farouk (bukan nama sebenar) apabila perkahwinan yang dibina atas dasar cinta hanya mampu bertahan selama setahun sahaja. Dia sanggup korbankan kebahagiaan miliknya kerana ahli keluarganya tidak dapat menerima hakikat bahawa dia sudah ada keluarga sendiri.
Lelaki Tunggal
Farouk, satu-satunya lelaki tunggal dan anak kelima daripada enam adik-beradik. Dialah menjadi harapan untuk menjaga ibu dan adiknya kerana semua kakaknya sudah berkeluarga dan tinggal berjauhan.
Boleh dikatakan Farouk menjadi tempat bergantung harap, lebih-lebih lagi dia telah kehilangan ayah lima tahun yang lalu dan ibunya pula mengalami masalah sakit tua. Apa-apa semuanya di rujuk kepada Farouk dan sebagai anak yang baik dia tidak pernah membantah.
Ads
Sehinggalah Farouk bersuara untuk mendirikan rumah tangga, kakak-kakaknya mula tidak senang hati kerana bimbang selepas ini tentu Farouk lebih tertumpu kepada keluarnya sendiri.
Pendam Rasa
Walaupun keluarga Farouk tidak gembira tetapi mereka tetap mengadakan majlis perkahwinan untuk menjaga hati Farouk. Di awal perkahwinan, isteri Farouk sudah nampak ‘permainan’ keluargamentuanya yang langsung tidak memberi kebebasan dan ‘mengikat’ Farouk untuk mendengar kata-kata mereka.
Farouk umpama dicucuk hidung. Sekali isterinya bersuara, Farouk hanya diam dan mengatakan ini urusan keluarganya.
Ads
Tiap-tiap minggu Farouk akan pulang ke rumah orang tuanya. Masa untuk bersama isteri tidak ada. Pernah isterinya bertekak dengan kakak-kakak Farouk kerana inginkan hak suaminya. Sedangkan Farouk hanya diam membisu.
Terlerai Ikatan
Setahun bertahan, sampai kemuncak kemarahan apabila adik-beradik Farouk meminta dia untuk tinggal bersama ibunya kerana tidak ada seorang adik-beradiknya dapat menjaga ibunya yang sangat uzur.
Ads
Farouk hanya menurut kata tanpa mendapat pandangan daripada isterinya. Tidak tahan dengan sikap Farouk, isterinya minta dilepaskan. Lebih mengejutkan, Farouk sanggup melafazkan cerai.
Hakikatnya, Farouk masih menyayangi isteri yang dicintai sejak dari zaman persekolahan lagi. Apakan daya, tuntutan keluarga yang inginkan dia menjaga ibunya yang uzur dan bergantung harap pada dia, satu-satunya anak lelaki tunggal.
Farouk berharap suatu hari nanti isterinya dapat kembali kepadanya. Buat masa sekarang Farouk inginkan memberi kebahagiaan pada ibu yang tidak sihat dan menjaga hati adik-beradiknya, walaupun dia terpaksa berkorban demi kebahagiaan sendiri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Selain mendidik anak-anak melakukan kerja-kerja rumah, ada baiknya mak ayah juga biasakan bawa mereka ke pasar beli barang basah. Ini kerana di situ macam-macam pengetahuan asas yang boleh dipelajari antaranya boleh kenal pelbagai jenis sayur-sayuran, ikan dan sebagainya.
Mungkin sesetengah mak ayah anggap ia perkara remeh dan rasa anak masih kecil nanti pandailah mereka ‘kenal’ sendiri. Hakikatnya bila dah terbiasa, anak tak lagi kekok dan ia menjadi ilmu yang sangat berguna sebagai bekalan bila mereka dewasa dan menempuhi kehidupan berkeluarga nanti.
Tengah aku beli surat khabar tadi tiba-tiba bini telefon ‘Darling tolong belikan cabai hidup..’
Cabai hidup? Ah, mencabar jugak ni. Cabai tu aku tau la cili/lada. Cabai hidup ni spesis mana pulak?
Aku pun pergilah ke pasar basah lepas tu aku cari kedai yang tak berapa ramai orang. Malu bhai pergi kedai ramai orang, sat gi aku tanya ‘Bang, yang mana ya cabai hidup?’ mesti tiba-tiba masa akan jadi jeda dan masyarakat sekeliling akan memandang ke arah ko sambil berbisik-bisik sesama mereka ‘dia ni cabai hidup pun tak kenai’
Aku aim satu kedai ni sorang pak cik yang jaga dan tak tak berapa ramai sangat orang time tu. Ada sorang budak, mungkin anak dia kot kat depan kedai dia ni.
Aku pun tanya acik yang jaga kedai tu ‘Acik, cabai hidup yang mana ya?’. Seperti yang dijangka, aku tengok pak cik tu senyum je. Dia kata kat budak tadi ‘Mat, hang tunjuk abang ni cabai hidup yang mana..’
‘Bang yang depan abang merah tulah cabai hidup, yang sebelah dia cabai melaka, yang tu cabai kering. Yang dalam botol tu lada hitam..’ Fuh detail budak tu bagi kat aku. Pak cik tadi senyum je aku tengok.
Aku rasa benda basic ni walaupun nampak macam biasa tapi pada aku ia adalah ilmu parenting yang sangat bagus untuk diterapkan kepada anak-anak kita sekarang. Tak kiralah anak lelaki ke, anak perempuan ke.
Yang ada anak jom kita biasakan anak-anak kita bila ke pasar, kenalkan dengan sayur, buah, ulam-ulam, jenis-jenis ikan dan kalau kita balik kampung, mungkin kita boleh buat task pada dorang untuk mengenal pokok-pokok yang ada di sekeliling rumah kita.
Yelah takkan nanti bila dorang dah besar, bila isteri suruh beli halia nak buat nasi lemak. Takkan kita nak google halia tu macamana kan? Malu beb, malu.
Sebab tu mak-mak kita dulu-dulu, setiap hari suruh kita bangun awal, suruh kemas bilik, basuh basikal sendiri, beli barang kat kedai, sapu sampah, sidai baju, lipat baju. Anak lelaki ke perempuan ke dulu mak kita paksa je buat.
Aku dulu fikir kenapalah mak-mak ni paksa buat kerja, dah la tak bagi upah. Baru landing nak tengok Dragon Ball, tiba-tiba mak panggil suruh beli kunyit kat kedai, ah, rasa nak telepon je teledera time tu. Hehe.
Tapi itulah 10-20 tahun ke depan bila dah dewasa, dah matang, baru aku perasan yang apa yang mak aku suruh buat tu adalah ilmu parenting yang sangat berguna buat anaknya menghadapi kehidupan berkeluarga. Betul tak?
Dalam diam tak diam, mak-mak kita sebenarnya dah macam ahli nujum yang mampu untuk dedahkan kepada kita apa yang akan bakal kita lalui untuk jadi yang terbaik sebagai suami dan sebagai isteri.
Ilmu parenting ni yang kurang kita buat kat anak kita, sekarang ni kan? Parent sekarang tak berapa nak harap anak buat kerja sendiri. Berdikari. Semua kita tolong mereka buat sampaikan kerja sekolah pun kadang-kadang ada parent tolong buatkan.
Dalam masa yang sama, ajarlah juga anak-anak tentang slanga atau dialek daerah suami atau isteri sebagai meraikan silang budaya antara keluarga. Walaupun pada awalnya mungkin anak-anak keliru tapi akhirnya benda tu akan jadi normal pada mereka.
Aku belajar sesuatu hari ini tentang ilmu parenting. Walaupun ianya datang dari pasar basah. Ini yang orang kata ilmu terbaik kadang datangnya daripada jalanan.
Dalam kita sedar tak sedar ilmu parenting terbaik adalah daripada mak-mak kita sebenarnya, walaupun dorang takde pun belajar tinggi tapi ilmu pengurusan keluarga mereka, kalau nak diiktiraf dengan sijil, aku rasa PHD pun takkan sama dengan air tangan ibu kita dalam membesarkan kita.
Sambil-sambil kita ajar anak buat kerja rumah kita ingatkanlah anak-anak kita apa yang kita suruh dorang buat ataupun tegur, semuanya ada sebabnya. Walaupun dorang mungkin akan mengeluh, nanti bila dorang dah besar dan bekerluarga, macam aku, dorang mesti akan tiba-tiba teringat momen tu sambil terfikir ‘betul jugak apa mak aku cakap dulu..’.
Percayalah.
Dapat tak sikit ilmu parenting hari ni mak-mak dan ayah-ayah?
p/s: Sharelah kalau ada manfaat buat kita sekeluarga(terutamanya suami).
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Ada benarnya, mak ayah kena ajar, biasakan anak-anak tak kiralah anak lelaki atau perempuan buat kerja rumah, pergi pasar dan sebagainya sejak dari kecil. Ia sebagai didikan awal, panduan berguna serta persediaan buat mereka apabila dewasa dan mengalami kehidupan keluarga nanti.
Setiap hari ada saja ujian hidup yang memerlukan kita membuat keputusan. Kadangkala, tak pasti yang mana satu betul yang mana satu salah.
Mencari kebenaran pun bukannya mudah. Ustaz Wan Asrul Al-Kalantani berkongsi panduan untuk mak ayah yang keliru, bingung malah tak pasti untuk membuat pilihan satu-satu keputusan.
Ikut langkah demi langkah yang ustaz terangkan. Semoga mendapat petunjukNya.
Apabila sedang buntu, terkeliru, binggung dan tidak jelas hendak membuat keputusan atau tidak pasti dengan sesuatu kebenaran.
1) Angkat Wudhu
2) Lakukan solat hajat 2 rakaat. Mohon pada ALLAH akan hajat.
3) Usai memberi Salam. Istighfar 21 kali.
Pejamkan Mata. Renung ‘rawan diri’ (bayangkan diri sendiri dari punca kepala hingga hujung kami, seolah-olah memandang cermin). Letakkan tangan (tapak tangan Kanan) di atas tulang dada.
Dalam keadaan Mata terpejam. Baca Surah Al Fajr: 27 -30
يَٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ (٢٧)
”Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! –
ٱرْجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً (٢٨)
“Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! –
فَٱدْخُلِى فِى عِبَٰدِى (٢٩)
“Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKU yang berbahagia –
وَٱدْخُلِى جَنَّتِى (٣٠)
“Dan masuklah ke dalam SyurgaKU! ”
(Baca 3x)
4) Semasa ayat (27 dan 30), mohon pada ALLAH akan hajat. Mohon jalan keluar (jika buntu), mohon petunjuk (jika keliru), mohon jawapan (jika mencari-cari).
5) Selawat 11kali /21x.
6) Tarik nafas sedalamnya, semasa tarik, di dalam hati lafaz kalimah ﷲ.
Lepaskan perlahan di mulut dengan lafaz هو (Huu).
7) Tidur ke arah kanan, berlapikkan lengan kanan. Sebelum tidur dibacakan dengan Surah Al Mulk ayat 14 sebanyak 11 x, kemudian mohon pada ALLAH, ditunjukkan jalan atau petunjuk bagi permasalahan. Kemudian tidur sambil berselawat sehingga terlelap.
Semoga dihadirkan ALLAH Azza Wa Jalla kepada kalian jawapan bagi persoalan, penyelesaian bagi kebuntuan, petunjuk bagi kekeliruan.
Boleh dilakukan sebagai Amalan harian.
Diijazahkan Izin Amal kepada sekalian sahabat yang dapat membaca edaran ini.
Dengan lafaz Ajazatukum.
BarakALLAHu Fiikum.
-AFIWAAK-
MW : Semoga info ini membantu mak ayah untuk membuat apa-apa keputusan dalam hidup kalian.
Ketika dilanda konflik rumah tangga kronik dengan isteri yang sedang hamil, wahai suami.. ingatlah bahawa hormon isteri anda ketika itu tidaklah stabil. Amatlah peritnya jika suami cerai isteri dalam keadaan isterinya hamil.
Kerana itu, anda sebagai ketua keluarga seharusnya bertindak wajar, lebih bijak dan perhalusi semula niat untuk melepaskannya. Biarpun, hukumnya harus lafaz cerai yang dilepaskan pada isteri mengandung dan jatuh talaknya, namun dimanakah kewajaran bagi seorang suami.
Apatah lagi, ketika itu isteri sedang mengandungkan zuriat suami dan terpaksa berdepan keletihan malah tekanan perasaan lagi-lagi melibatkan bayi dalam kandungannya.
Lelaki ini, BroOhsem, Akhtar Syamir berkongsi gambaran benar yang isteri hamil lalui. Sungguh prosesnya tak mudah, malah memeritkan.
Cerai isteri ketika hamil. Ini adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab yang boleh dilakukan oleh seorang lelaki.
Apa bezanya waktu lain dan semasa hamil? Kalau anda tak nampak perbezaan ini, maknanya hati dan mata anda sebenarnya telah buta. Sama ada buta ditusuk cinta dan sayang orang yang baru atau sememangnya dilahirkan tidak mengambil berat mengenai isteri.
Proses kehamilan itu bukan sekadar hamil sahaja. Ianya bermula dengan sebelum terjadinya hamil itu. Sebelum hamil itu berdua. Kalau seorang sahaja memang tak jadi. Jadi, selalunya di tahap ini, indah dan seronok.
Kemudian tibalah tahap di mana isteri itu disahkan hamil. Segala hormon di dalam badan isteri berkecamuk umpama kapal yang sedang terbalik. Percayalah pada ketika ini, isteri sangat memerlukan suami.
Makan itu tak boleh, bau ini nak muntah. Kepala sentiasa pening, mood selalu tidak baik. Apabila makan pun tidak terurus, tenaga pun akan berkurangan ditambah pula dengan muntah yang berlarutan.
Di sini datangnya keperluan seorang suami untuk membantu isteri menjalani kehidupan yang normal dengan keadaan sebegitu. Isteri sangat memerlukan sokongan moral kerana pada masa inilah jiwanya terganggu.
Dari segi fizikal pula, si isteri yang mengalami alahan yang teruk tidak akan cukup nutrisi dan zat di dalam badan. Ini kerana isteri tidak berhenti muntah sehingga tidak terkira berapa kali sehari. Suamilah yang patut bantu masak atau menyediakan makanan.
Dari segi pakaian, dari segi kebersihan juga perlu dibantu. Ada kalanya nak bangun dari katil pun satu perkara yang sukar untuk dilakukan seorang diri. Inikan pula mandi. Suami yang prihatin, pasti akan mandikan isterinya.
Kehamilan tidak dapat lari dari kunjungan ke klinik kesihatan. Nampak seperti satu perkara yang mudah. Pergi klinik dan jumpa Doktor. Apa yang susahnya? Jika anda berfikiran sebegini, malanglah isteri anda.
Ini kerana proses pemeriksaan di klinik kesihatan adalah antara perkara yang paling menyusahkan dan memenatkan wanita yang sedang hamil. Dari masa pergi, daftar, menunggu, menunggu dan menunggu hinggalah akhirnya semua proses itu selesai berjam-jam selepas itu.
Itu belum campur jika ada keperluan lain seperti buat BSP yang pastinya memberi lebih tekanan kepada bakal ibu. Tanpa suami, terkontang-kantinglah isteri seorang diri menguruskan semuanya. Jika ada anak kecil pula, pastinya lebih teruk.
Proses menunggu waktu bersalin juga adalah fasa yang memenatkan. Jika tidak sakit, hati pasti akan sentiasa risau dan gundah gulana. Ada pula yang sentiasa rasa sakit tetapi badan tidak bersedia. Pada waktu ini, suamilah yang menjadi tempat mengadu dan menenangkan jiwa. Risau, takut dan ada yang kecewa kerana lebih dari tarikh yang sepatutnya sangat memberi tekanan.
Apabila sudah masuk di dalam dewan bersalin. Isteri akan ditinggalkan keseorangan memikir seribu persoalan di dalam kepala. Adakah semuanya akan selamat?
Bagaimanakah anak aku nanti? Pada waktu itu, sangat penting bakal ibu ditenangkan oleh suami.
Saya sendiri luka di tangan akibat digenggam dengan kuat oleh isteri. Biar dia luka, biar saya sakit. Saya tahu itu hanya secebis sahaja kesakitan yang isteri sedang alami.
Saat meneran juga antara saat yang terpenting dalam proses kelahiran. Nyawa isteri berada di hujung tanduk. Kekuatan bukan datang dari diri sendiri lagi kerana semuanya telah habis digunakan.
Kesakitan yang dialami tiada tolok bandingnya. Jika semua suami boleh merasai kesakitan itu, saya jamin tidak akan ada yang tergamak melayan isteri dengan buruk. Cuba bayangkan anda digunting dan dijahit tanpa bius. Bayangkanlah.
Selesai bersalin, masa pemulihan pun bermula. Jahitan akibat digunting perlu ambil masa untuk pulih. Si ibu akan sibuk menguruskan bayi. Jalannya tidak teratur. Langkahnya singkat. Perlu sentiasa berhati-hati kerana jika kesannya amat buruk jika tersilap langkah.
Jika ada anak lain pula yang perlu diuruskan, sememangnya satu tugas yang perit. Mungkin ada yang boleh buat semuanya, tetapi ramai yang benar-benar tidak mampu. Mana nak jaga diri, mana nak jaga anak lagi.
Faktor gangguan emosi juga sering terjadi selepas bersalin. Terlalu banyak kes depresi yang terjadi. Ada yang terlalu teruk sehingga timbul perasaan untuk mencederakan anak. Allahuakbar. Jika tiada peneman, tiada yang menenangkan, akibatnya amatlah buruk.
Begitulah serba sedikit perjalanan dari awal sehingga selepas hamil. Ini hanya sedikit gambaran kasar. Hanya yang melaluinya sahaja tahu betapa sukarnya mengandung dan melahirkan anak.
Manusia biasa pasti tidak tergamak membiarkan isteri melalui semua itu seorang diri. Manusia yang berakal akan cuba membantu sebaik mungkin untuk memudahkan segala urusannya. Perlu ingat, mereka jadi seperti ini disebabkan suami juga. Jadi, bertanggungjawablah atas perbuatan itu.
Inilah sebabnya kenapa saya kata, lelaki yang menceraikan isterinya semasa hamil adalah lelaki yang sangat tidak bertanggungjawab. Tidak kiralah anda siapa. Anda seorang yang kejam.
Tidak kira perpisahan itu atas sebab apa. Sebagai seorang suami yang bersama-sama semasa proses bermulanya kehamilan, ianya perlu diteruskan sehingga selesai kesemua proses itu. Bukan ditinggalkan begitu sahaja.
Semoga kita dijauhkan dari keadaan seperti ini. Hargailah isteri anda. Tiada siapa yang boleh melahirkan zuriat sendiri selain isteri. Jadilah manusia yang bertanggungjawab.
Kongsikan penulisan ini buat pedoman semua. Ini bukan soal menyibuk hal rumah tangga orang lain. Ini soal memberi kesedaran. Jika tiada siapa yang beritahu, tidak semua akan faham apa yang isteri lalui.
MW : Jangan ingat wanita hamil ini semua kuat, mungkin hatinya kata kuat. Tapi siapa tahu apa yang ‘baby’ dalam perut itu sedang alami. Fikirlah sedalamnya sebelum buat keputusan mahu cerai isteri semasa hamil.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa.
Pergolakan rumah tangga adik kepada pelakon wanita, Syida Melvin kembali menjadi perhatian ramai. Difahamkan, wanita itu telah memfailkan penceraian pada Disember 2025 dan prosiding mahkamah masih berjalan sehingga kini.