
Kemeriahan raya semakin terasa, ramai mak-mak dah mula cari resipi yang mudah-mudah untuk buat biskut atau kuih raya. Apa yang penting mak-mak perlu kreatif dalam buat kuih raya ni.Guna bahan yang paling minimum, paling jimat masa dan bajet.
Jika ada lebihan roti, yang tak habis dekat rumah tu, jangan lah dibuang bolehlah manfaatkan dengan mencuba resipi Biskut Roti Coklat Nestum yang dikongsikan oleh Lia Marsom ini. Hanya guna 3 bahan je, cuma perlu potong, bakar dan celup-celup je dah boleh dapat sejenis biskut raya yang sedap!
Berikut perkongsiannya;
“Biskut roti coklat nestum paling meletop, setakat sebalang 10 minit dah licin, tak sempat hidang pada tetamu”.
Bahan-Bahan:
2 buku roti gardenia
1 kilo coklat Beryl’s
1 kilo instant cereal nestum
Cara Membuat:
1.Potong roti kepada 3 bahagian kemudian belah 2 bahagian.(1 keping roti boleh dapat 6 keping).
2.Bakar roti yang dah dipotong sehingga rangup selama 15-20 minit suhu 190 ikut oven masing-masing boleh rasa dulu kalau belum ranggup bakar lagi.

3.Cairkan coklat ikut kaedah double boiler tambah 2 sudu butter supaya senang nak celup roti.

4.Gaul roti dalam coklat, angkat dengan penyepit satu-satu salutkan dalam nestum.

5.Gaulkan dan salut roti dengan nestum sampai tertutup semua, angkat dan susun dalam tray.

6.Masukkan dalam peti ais dalam 15 minit,coklat dah keras terus masuk balang.

Tip Ekstra!
- Kalau nak lagi cepat, potong-potong roti tu biarkan dekat luar tutup dengan tudung saji.Dah agak-agak keras tu boleh bakar dalam 15 minit dah ranggup.
- Roti yang dah dibakar simpan dalam Tupperware kedap udara, nak buat tinggal celup-celup je.
- Untuk nestum elok beli yang dekat bakery sebab kasar-kasar sikit.
Siap! Selamat Mencuba!
Mudah kan, daripada biarkan roti terbuang, bolehlah mak-mak cuba buat resipi ini. Potong, bakar dan celup-celup je, boleh dapat sejenis biskut raya yang senang dan sedap!
Sumber:Lia Marsom
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ketika Melaung AZAN Kedua, Tubuh Bilal Rebah Nyawa Dijemput Ilahi

Sesungguhnya ini kisah pemergian insan yang dicemburui. Anak muda ini, yang bertugas sebagai bilal meninggal dunia ketika melaungkan azan kedua dalam solat Jumaat di rumah Allah.
Malah Allah angkat darjatnya. Perginya Amirul Najmi dalam bulan yang mulia. Gurunya, Normujaidah Osman berkongsi kisah. Tentang anak didiknya yang baik budi sejak dari zaman persekolahan lagi.

Dijemput Ilahi Ketika Melaungkan Azan Kedua Solat Jumaat
Innalillahi wainna ilaihi rojiun.
Seorang lagi anakanda ku telah berpulang ke negeri abadi.
Sungguh kematian ini sangat teacher cemburui, duhai anakanda Amirul Najmi.
Pergi mengadap Ilahi tatkala engkau bertugas sebagai bilal yang sedang melaungkan azan kedua, menyeru umat manusia mengadapNya menunaikan solat Jumaat.
Kata doktor, pemergianmu akibat pendarahan di dalam otak.
Duhai anakanda Amirul Najmi,
Namamu tersemat kemas di hati teacher semenjak teacher mengajar kamu di Tingkatan 5 Marikh tahun 2015 lagi.
Anak yang sangat berdedikasi dan berakhlak mulia.
Anak yang sentiasa mendamaikan jiwa.
Takkan teacher lupa perbualan kita bila kamu nyatakan hasrat kamu dulu.
“Teacher, saya minat nak sambung bahagian agama, tapi saya bukan pelajar sekolah agama.”
Allah. Kamu punya cita-cita yang sangat jelas.

Anak Didikku Jadi Ustaz..
“Kamu ambil Tasawwur Islam, kan? Cuba tengok syarat kemasukan ke mana- mana IPT. Mungkin ada kursus yang bersesuaian yang tidak mensyaratkan kamu ambil mata pelajaran Bahasa Arab semasa SPM.”
Lalu, kamu melangkah dengan begitu bersemangat sejak kamu belajar di Jabatan Dakwah, KUIPSAS.
Kamu tidak hanya menunjukkan kesungguhan di dalam kelas. Malah kamu begitu gigih berada di medan.
Sungguh, meneliti kisah-kisah kamu dalam melunaskan tugasan pengajian kamu buat teacher rasa sangat bangga, Amirul Najmi.
‘Aku ajar sekolah biasa. Tapi ada anak didikku jadi Ustaz. Moga sedikit ilmu Bahasa Inggeris serta ilmu kehidupan yang teacher ajar itu akan dapat membantumu menyebar luaskan lagi perananmu di medan dakwah, anakku.’
Itu getus hati teacher. Doa yang teacher panjatkan kepada Ilahi tatkala kita berjumpa bila kamu datang melawat teacher di sekolah.

Anak Murid Ku Miliki Sifat Merendah Diri
Malah teacher masih ingat sifat merendah diri kamu bila teacher bagi saranan ini kepada kamu.
“Tahniah. Nampaknya sudah jadi orang hebat sekarang. Berceramah di sana sini. Boleh lah ya, teacher jemput ke sekolah, bagi ceramah motivasi kepada adik- adik selaku alumni?”.
“Allah. Segan saya, teacher. Saya ni baru-baru belajar. Tapi kalau teacher nak, saya boleh cadangkan kawan saya di KUIPSAS.
Beliau masuk program TV hari tu. Dia lagi best, teacher.”
Aduhai. Rupa-rupanya perancangan kita terhenti di situ.
Teacher sayang kamu, Najmi.
Ibu bapa kamu tentu juga sayangkan kamu.
Namun, Allah lebih lagi mengasihi kamu tatkala dia menjemput kamu pulang di dalam bulan yang penuh keberkatan.
Bertepatan pula pada hari Jumaat di rumahNya yang mulia.
Maka termakbullah hasrat kamu duhai anakku saat kamu menyatakan bahawa kamu mahu berdakwah ke seluruh pelusuk dunia, menyebut nama Tuhanmu sehingga penghujung usia dan Allah memakbulkannya dengan menjemput kamu pulang disaat kamu sedang bersungguh-sungguh menyeru manusia menuju Tuhan sekelian alam.
Menuju sebuah kejayaan!

Selayaknya Kamu Dimuliakan Allah Sebegini
Sungguh anakku. Bondamu ini sangat cemburu.
Damai lah anakanda.
Tiada lagi kerisauan buatmu tatkala bertahan melawan kesakitan.
Tiada lagi kerisauan untuk kamu menangguhkan pengajian kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.
Sungguh anakku. Bondamu ini bersaksi bahawa perjalanan hidupmu penuh dengan kebaikan.
Maka selayaknya kamu dimuliakan Allah sebegini , di saat kamu berangkat pulang.
Berangkat menuju sebuah kejayaan!
Tidurlah anakanda.
Damailah aduhai nyawa.
Tugasan dakwahmu sudah selesai.
Sekarang tugasan teacher pula menyebarkan kebaikan kamu agar teacher di izinkan Allah untuk bersedekah pahala buatmu pula , andai bicara tinta ini dapat menyapa mana-mana jiwa.
Selamat tinggal anakku.
Selamat pulang ke pangkuan Tuhan yang sedang merinduimu.
Kamu telah pergi dulu.
Kudoakan agar di JannahNya kita bertemu.
Sumber/Foto : NORMUJAIDAH OSMAN, Bonda yang sedang rindu dan cemburu.
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
‘Thumbs Up’& Cantik! Bila Suami Puji Penampilan Tok Ti Konsert Di Singapura!

Bahang Konsert Fenomena: Siti Nurhaliza Live In Singapore 2024 baru-baru ini masih hangat diperkatakan termasuklah penampilan penyanyi kesayangan ramai itu di kota Singapura baru-baru ini.
Pada konsert berkenaan, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut mengenakan dua persalinan hasil sentuhan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail.

Menurut Ezuwan Ismail, dia kagum dengan cara kerja yang ditunjukkan penyanyi nombor satu negara itu sepanjang dua hari berada di belakang pentas bersempena dengan Konsert Fenomena: Siti Nurhaliza Live In Singapore 2024, baru-baru ini.

Ezuwan, 42, diberi kepercayaan mereka dua persalinan buat Siti menerusi konsert yang berlangsung selama dua hari itu turut memuji pengurusan masa figura bersuara merdu itu.

“Bersyukur kerana kami serasi dan mudah bekerjasama. Dia peramah, selalu senyum dan profesional, termasuk pihak pengurusannya juga. Meski pun dia tersohor, namun sikap rendah diri itulah yang sebenarnya memudahkan proses kerja.
“Siti Matang & Professional”-Ezuwan Ismail
Ketika diajukan soalan mengenai pengalaman bekerjasama dengan penyanyi nombor satu negara itu, Ezuwan ternyata teruja dengan pengalaman berharga yang diperolehinya itu.
“Sebagai pereka fesyen , saya sedia maklum akan keterbatasannya dalam menggayakan busana. Jadi bila sesi lakaran dan ‘fitting’ dilakukan, saya akan lontarkan idea dan lega bila hasil kerja kita lulus di matanya.
“Bayangkan waktu saya sampai di belakang pentas konsert, dia sudah pun siap bersolek dan bertelekung sebab nak menunggu waktu solat. Kemudian barulah dia akan pakai busana sambil dibantu pembantu wanita sebelum membuat persembahan,” EZuwan Ismail
“Saya percaya, pengalamannya yang kini hampir tiga dekad di dalam industri membuatkan dia cukup matang, selain menghormati peranan setiap orang yang berada di sekeliling.

Pujian Datuk K
Ezuwan juga terharu apabila Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K juga menghargai persalinan yang direka kepada isteri tercinta.
“Alhamdulillah Datuk K suka dengan baju yang saya buat. Dia sempat beri isyarat ‘thumbs up’ sambil kata cantik. Iyalah, bukan senang nak dapat pujian sedemikian daripada Datuk K.

“Rasa berbaloi bila terima dedikasi tersebut mengenangkan kita sendiri bertungkus-lumus mahu beri yang terbaik demi konsert skala besar Siti di negara orang,” katanya lagi.
Berkongsi mengenai rekaannya pula, Ezuwan cabar diri kerana buat pertama kali, menyiapkan helaian tradisional buat penyanyi lagu Cindai itu.
“Ada dua persalinan yang dapat sentuhan saya iaitu satu busana moden. Itu boleh dianggap sudah jadi macam ‘makanan’ kita. Cuma agak mencabar nak siapkan baju tradisional sebab kalau silap langkah, ia boleh jadi macam baju songket pengantin!
“Saya cubalah yang terbaik kerana nak nampak ia ada elemen glamor di samping masih mengekalkan aura kemelayuannya. Memang menguji sebab sepanjang proses menyiapkan busana itu, saya di Tanah Suci bagi menunaikan Haji.
“Jadi tak dapat nak pegang depan mata. Walaupun saya dah biasa buat baju, tapi sentuhan pereka feysen itu adalah kepuasan sebenar. Kami hanya berkomuniksasi menerusi panggilan video saja, namun syukur kerana dipermudahkan.
“Untuk persalinan itu juga, saya fokus kepada perincian yang mana ia disulami dengan puluhan ribu manik-manik halus selain ada tassel, kerawang dan guna dawai di bahagian bahu bagi memberikan ilusi ‘3D’ pada rekaan,” katanya lagi.
Terdahulu, busana yang digayakan penyanyi nombor satu Negara itu menjadi bualan di media sosial selepas Siti atau penggilan mesranya TokTi, memuat naik hantaran di akaun Instagram, semalam.

Hingga kini, perkongsian terbabit meraih hampir 30,000 tanda suka dengan lebih 300 komen warganet.
Rata-ratanya memuji persalinan indah yang digayakan Siti ketika menjayakan slot Irama Malaysia menerusi konsert yang berlangsung di Singapura itu.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isteri Ditidurkan Hingga Stabil, Suami Ambil Keputusan Rahsiakan Kehilangan Anak Hingga Tiba Masanya

Ternyata inilah keputusan yang terbaik buat masa ini mengenangkan keadaan isterinya belum stabil. Kini isteri ditidurkan hingga stabil dan suami pula ambil keputusan untuk rahsiakan kehilangan anak hingga tiba masanya.
Bapa tiga kanak-kanak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara petang semalam seboleh-bolehnya mahu merahsiakan kematian itu daripada isterinya.
Muhammad Alhafis Mohamad, 29, berkata, isterinya Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, masih belum sedarkan diri dan belum mengetahui nasib menimpa ketiga-tiga anak mereka.
Baca Juga Di sini:
Kereta Terbabas Sendiri, Ibu Hilang Tiga Anak Serentak
Ibu Masih Di ICU, Sebaknya Belum Tahu Tiga Anak Sudah Tiada
Suami Ambil Keputusan Rahsiakan Kehilangan Anak
“Bila isteri sudah sedar, mungkin saya akan tunggu masa yang sesuai untuk beritahu mengenai kematian anak-anak… seboleh-bolehnya saya tak nak beritahu dulu,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Dia yang kelihatan lemah ditenangkan dan dipapah ahli keluarga ke bahagian ruang pekarangan forensik.
Keadaan lebih sayu, apabila kedengaran tangisan Muhammad Alhafis dan ahli keluarga yang tidak mampu menahan sebak atas pemergian ketiga-tiga mangsa.
“Saya minta maaf… saya minta maaf… semua dah tiada,” luah Muhammad Alhafis.
Rahsiakan Kehilangan Anak Hingga Tiba Masanya
Suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik HRPB apabila keluarga hadir menunggu proses bedah siasat ketiga-tiga jenazah bermula jam 2 petang.
Dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang itu, Nur Aimi Nadiah parah, manakala tiga anaknya, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di lokasi kejadian selepas Perodua Axia dipandu terbabas dan melanggar belakang treler di laluan kecemasan.
Kemalangan membabitkan kereta dan dua lori di Kilometer 272.5 PLUS arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang dekat Ipoh, Perak.
Kemalangan berpunca daripada Perodua Axia terbabas sendiri lalu melanggar belakang treler yang berada di lorong kecemasan.
Sementara itu Muhammad Alhafis menafikan dakwaan bahawa Nur Aimi Nadiah ke Melaka atas urusan mahkamah bagi menyelesaikan isu peribadi antara mereka, sebaliknya isterinya itu datang bercuti.
“Bukan urusan mahkamah, dia memang bercuti dan berjumpa dengan saya atas urusan keluarga, saya memang tinggal dan bekerja di Melaka,” katanya.
Menurutnya, jenazah tiga anaknya akan dibawa pulang dan dikebumikan di Kampung Sungai Putat, Melaka.
Isteri Ditidurkan Hingga Stabil
Ibu kepada tiga kanak-kanak lelaki yang maut dalam nahas di Kilometer 272.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, kelmarin kini ‘ditidurkan’ sementara menunggu keadaannya stabil sepenuhnya, bagi membolehkan pembedahan dilakukan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah, berkata kecederaan dalaman dialami Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, termasuk pendarahan di bahagian hati membuatkan beliau kini perlu bergantung kepada bantuan alat pernafasan.
Kemalangan yang menyebabkan Nur Aimi Nadiah mengalami cedera parah itu difahamkan turut mengakibatkan tulang rusuknya patah.
Nur Aimi Masih Tak Sedarkan Diri
“Mangsa masih tidak sedarkan diri dan keadaannya kini dipantau rapi oleh pasukan perubatan. Pembedahan ke atas Nur Aimi Nadiah hanya akan dilakukan selepas keadaannya dipastikan benar-benar stabil.
“Buat masa sekarang mangsa ‘ditidurkan’ sementara menunggu keadaannya stabil sepenuhnya sebelum pembedahan dapat dijalankan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Semalam, media melaporkan Nur Aimi Nadiah berada dalam keadaan stabil dan sudah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, pagi semalam.
MW: Pastinya sebagai suami dan bapa inilah keputusan terbaik buat Nur Aimi Nadiah memandangkan keadaannya yang masih belum stabil. Semoga Allah memberi kemudahan kepada Nur Aimi Nadiah untuk kembali pulih dan kuat untuk berdepan dengan ketetapan Ilahi.
Sumber: Berita Harian
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

