Kadang-kadang kita cukup berkira bila nak hulurkan sedekah pada orang. Ada setengahnya, timbul rasa menyesal bila sedekah sebab rasa duit tidak cukup untuk dapatkan sesuatu yang kita inginkan.
Tak perlulah berkira bila hulurkan sedekah. Sebab kita tak tahu dengan hanya sedekah sebanyak 10 sen pun, ada pelbagai rezeki yang datang pada kita.
Selain itu, kita tak perlu berdolak dalik untuk hulurkan sedekah. Kenalah sentiasa ringankan tangan untuk menghulur sekecil nilai pun. Perkongsian daripada Neha Tony ini cukup menarik. Lebih-lebih lagi kalau kita dah biasa hulurkan sedekah. Ia boleh ajdi tabiat untuk kita amalkan setiap hari.
RINGANKAN TANGAN MENGHULUR SEKECIL-KECIL NILAI DULU
Berapa yang kita ada ringankan tangan hulur, pada yang memerlukan. Walaupun sekecil-kecil nilai 10 sen
Kalau ada RM1, bagi RM1, kalau ada RM10 hulur RM10, jangan rasa berat sangat tangan nak menghulur. Ringankan tangan untuk menghulur.
Ads
Makan kat kedai makan, orang datang minta sedekah, angkat tangan sahaja, angguk-angguk geleng-geleng sahaja. Apa salahnya hulur RM1 pun jadi. Makan kat kedai makan boleh, nak hulur sikit pun tak boleh.
Tengok pak cik tua tepi jalan, yang kurang siuman hulur, tengok orang angkat sampah, pekerja sampah hulur, orang cuci toilet, rider-rider grab food, food panda, budak-budak kecik, mak cik, pak cik tua, gelandangan, pergi isi minyak hulur kat orang petrol pump dan ramai lagi orang yang kita jumpa setiap hari, yang memerlukan.
Bila beli makanan tepi jalan, beli goreng pisang hulur RM10, harga RM8 baki RM2, tak perlu ambil baki, cakap tak pe pak cik/mak cik ambilah, doakan untuk saya ye, jangan takut untuk mintak dia doa, walaupun hulur RM1, RM2 je…. mana tau doa-doa mereka tu di angkat.
Kat rider-rider food panda grab food, tak perlu ambil baki, niatkan sedekah, hadiah untuk mereka.
Begitu juga dengan adik beradik, jarang sekali apa salahnya belanja adik-adik makan, gembirakan mereka. Mereka pun nak merasa macam mana kita merasa. Bukan asyik belanja kawan jer, utamakan keluarga dulu.
Ads
Bila lama-lama korang amalkan tabiat ni, lama-lama korang dah biasa, insya Allah rezeki kita pun akan bertambah-tambah, tak percaya cuba buat. Tak usah takut jatuh miskin dengan hulur sekecil-kecil nilai. Tak usah takut tak ada duit dengan hulur sekecil-kecil nilai.
Percaya lah Allah gandakan berlipat-lipat kali ganda, Allah bagi dari pelbagai bentuk, contoh, selamat dari kecelakaan, Allah bagi rezeki anak, kawan baik, orang belanja dan Allah bagi rezeki dari pelbagai bentuk, tak semestinya datang dari wang ringgit.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Jumpa bomoh. Selalunya kalau badan selalu rasa tak sihat, keadaan emosi yang tak stabil dan pasangan kerap bergaduh, mulalah merasakan dirinya di sihir dan ada orang dengki dengan kehidupannya.
Ini belum lagi jumpa bomoh untuk nak majukan perniagaan, bagi orang yang kita tak suka itu ‘hancur’ atau masalah anak yang kerap menangis. Terus ikhtiar dengan mencari bomoh untuk mengubatinya.
Mungkin sekali jumpa bomoh dan terbukti berkesan, terus dijadikan tempat rujukan untuk kes-kes yang lain. Jangan mudah percaya kepada perkara-perkara seperti ini sampai syirik kepada Allah tanpa kita sedar.
Dalam perkongsian oleh Muhammad Amirul Amir, amalan-amalan syirik ini biasa berlaku di kalangan kita, tambahan lagi bila ia melibatkan bomoh, tangkal, sihir dan sebagainya.
Ini adalah amalan-amalan keSyirikan yang sering berada dalam masyarakat kita.
kalau kita lihat dalam masyarakat kita pada hari ini boleh dikatakan sebahagian besar mereka tidak terlepas daripada melakukan perkara-perkara syirik kepada Allah SWT sama ada mereka sedar ataupun mereka tidak sedar.
Bomoh
Kita orang melayu banyak berjumpa dengan bomoh. Di dalam hadis sahih dari Nabi SAW yang bermaksud,
“Barangsiapa yang datang datang berjumpa tukang tilik (bomoh) dan dia mempercayai apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad.” (riwayat Bazzar, Abu Dawud)
Bahkan di dalam hadis yang lain pula Nabi menyebutkan bahawa barangsiapa yang datang kepada bomoh sahaja, tidak diterima solatnya 40 hari. Solat kena buat juga, tetapi solat itu tidak diterima oleh ALLAH SWT.
Pada hari ini, bomoh, dukun mahupun pawang, mereka tidak lagi memakai ‘nametag’ itu lagi. Mereka menggunakan nama lain supaya dapat mengelirukan masyarakat yang tidak mengetahui ciri-ciri bomoh. Mereka menggunakan nama yang baik, sedap didengar seperti USTAZ dan sebagainya. Tetapi jika kita mempelajari, kita akan mengerti bahawa bomoh itu dikenal bukan pada namanya tetapi pada ciri-cirinya.
Apakah di antara ciri-ciri bomoh?
Apabila kita datang kepadanya, bomoh kebiasaannya akan mengatakan ayat seperti “Anda ini ada penyakit, penyakit anda sebab ada orang lain yang buat.” Bagaimana dia mengetahui? Ini antara bahayanya, kerana datang berjumpa bomoh itu termasuk di dalam perkara-perkara syirik kepada ALLAH.
Tangkal
Tangkal adalah sesuatu yang digantungkan di mana ia dipercayai dapat menghindarkan pemakainya dari mudharat. Segala penyakit yang kita takut terkena ke atas kita boleh terhindar. Maka itulah yang dinamakan tangkal. Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan hadis ini sahih,
Maksudnya: “Barangsiapa yang menggantung tamimah (tangkal), maka sungguh dia telah syirik.” (Musnad Ahmad bin Hanbal, 4/156)
Kadang-kadang kita lihat masyarakat kita bila mana anaknya menangis tidak berhenti, dia pergi ke hujung kampung kepada orang yang boleh menghentikan tangisan anaknya. Diletakkannya benang supaya boleh menghilangkan tangisnya. Kadang-kadang memang betul tidak menangis budak itu. Maka percayalah dia kepada orang itu.
Sedangkan Nabi telah mengajarkan kepada kita doa-doa untuk menyingkir gangguan daripada ‘ain dan sebagainya, seperti doa ini
Kadangkala kita melihat juga bilamana kita hendak melakukan sesuatu perniagaan, membuka kedai, mahu untung di dalam perniagaan, maka kita meletakkan tangkal-tangkal. Kadang-kadang tangkal itu nampak seperti bercirikan islam, tetapi jika diteliti perkara itu adalah syirik terhadap Allah SWT.
Kita diajar agar memohon kepada ALLAH agar menghindarkan perkara-perkara buruk, bukan kita bergantung kepada tangkal yang kita gantungkan.
Bukan tangkal sahaja. Kekadang ada benda yang kita lihat keramat seperti keris, kita berubat dengannya, memohon pada keris, batu-batu, ladam kuda dan tangkal itu lebih daripada ALLAH subhanahuwata’ala. Di manakah kita campakkan akal kita?
Meminta pertolongan dari jin dan syaitan
Kebanyakan masyarakat pada hari ini memohon dan meminta pertolongan selain dari Allah SWT. Mereka meminta daripada Jin dan Syaitan. Contoh mudah, apabila diajarkan kepada anak-anak supaya meminta izin kepada penunggu sesuatu kawasan ataupun hutan apabila melalui di tempat tersebut. Lafaz yang biasa diajarkan seperti,
“Datuk Nenek, cucu minta tumpang lalu.”
Na’udzubillah. Ini syirik kepada ALLAH SWT. Kita mengajarkan anak-anak takutkan hantu syaitan sejak dari kecil. Bukan takut kepada ALLAH SWT. Disebabkan takut perkara itu kita melakukan perkara yang boleh mengeluarkan kita daripada ajaran Islam dan boleh menyebabkan kita syirik kepada ALLAH SWT.
Meminta pertolongan orang yang telah mati
Perkara ini barangkali ia sensitif tetapi di atas nama Islam kita harus menyatakannya, yakni perbuatan berdoa kepada selain daripada ALLAH SWT, meminta pertolongan dari orang-orang yang telah mati. Siapa orang mati yang mereka mohon dan berdoa kepadanya ini, iaitu orang-orang saleh yang telah meninggal dunia, wali-wali yang telah meninggal dunia.
Mereka berdoa dengan doa seperti “Ya Ghauts..Aghitsni – Wahai Ghauts, bantulah aku..” Mereka meminta pada kuburan, akhirnya menyembah kubur itu dan memohon keberkatan dari kubur itu, tidak kepada ALLAH SWT.
Ini dapat kita lihat seperti mana di dalam ajaran Syi’ah, kalau tuan-tuan boleh lihat di internet dan sebagainya, lihatlah bagaimana mereka pergi ke kuburan tokoh-tokoh mereka, mereka menyembah dan meminta segalanya terus kepada kubur bahkan berpaling daripada kiblat.
Begitu juga dengan kelompok-kelompok tarikat yang melampau dan sesat yang berdoa meminta daripada selain ALLAH SWT dan akhirnya mereka tidak sedar apa yang mereka lakukan itu telah mensyirikkan ALLAH SWT.
Pesanan / Nasihat:
Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan, kalau kita ada melakukan perkara-perkara tersebut hendaklah kita bertaubat kepada ALLAH SWT kerana kita tidak tahu bila kita akan mati. Sesungguhnya pintu taubat masih terbuka dan Nabi SAW pernah bersabda kepada kita,
Maksudnya: “Semua anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat.” (riwayat Imam al-Tirmizi, Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).
Maka tidak ada masalah kepada mereka yang melakukan dosa syirik dan selainnya kerana masih ada lagi peluang dan pintu taubat masih terbuka kepada kita sebelum kita mati.
Mingguan wanita : Memang kita berusaha tapi cara tak menghalalkan dan boleh membawa kepada amalan syirik. Mintalah pertolongan Allah, hanya Dia yang megetahui segalanya.
Sekarang nie musiam durian merata-rata. Durian kampung, Musang King, IOI, Udang Merah menjadi kegilaan orang ramai. Harganya pun bukan calang-calang, maklumlah masih baru ada di pasaran. Tunggulah beberapa minggu lagi, harganya mungkin murah sikit.
Dalam membeli durian, ramai yang tidak puas hati tentang harganya. Nasib tak berapa baik, durian saja besar tapi isi dalamnya hanya beberapa ulas. Lebih sedih bila isinya buruk. Naik angin pulak si pembeli. Tapi, menjadi persoalan bila timbang sebiji durian, memang berkilo-kilo tapi isinya hanya berapa ulas sahaja. Sehinggakan kita sebagai pembeli merasa tertipu.
Jadi, untuk mengetahui lebih lanjut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada menjawab soalan tentang perkara ini.
Assalamualaikum, tuan mufti. Adakah buah durian haram dijual mengikut sukatan kilogram kerana kulitnya lebih banyak dari isi?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Kaedah menyebut:
الأصل في العقود هو التراضي
Maksudnya: Hukum asal dalam akad ialah keredhaan dua belah pihak.
Tidak Redha
Dalam jual beli durian selalu yang menjadi masalah ialah apabila dijual beli mengikut timbangan, dan bukannya jenis dan kualiti durian itu. Justeru, berlakulah situasi contohnya isi durian yang mengkal (tidak masak), busuk dan rosak. Di sini, pembeli menjadi tidak redha kerana manfaat yang dibeli tidak diperolehi.
Situasi ini bertepatan dengan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW menegur penjual kurma yang meletakkan kurma yang kering di atas kurma yang basah untuk mengelabui pelanggan.
Sabda Rasulullah SAW:
أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Maksudnya: Apakah engkau sengaja tidak meletakkan yang basah itu diatas takut dilihat orang? Barangsiapa yang menipu maka bukan daripada kalanganku. Hadis riwayat Imam Muslim (102)
Akad Jual Beli
Justeru, digalakkan melakukan akad jual beli durian dengan cara yang lebih jelas. Contohnya, dengan membuka sebahagian durian itu terlebih dahulu diketahui isinya. Cara lain juga seperti yang dilakukan peniaga-peniaga hari ini dengan meletakkan isi buah di dalam bekas yang boleh dilihat oleh pelanggan. Dengan itu, pembeli dan penjual saling meredhai dan hasil jualan juga diberkati.
Wallahua’lam.
Akhir-akhir ini, ramai wanita yang nak cantik, berkulit cerah berlumba-lumba mencuba trend rawatan kecantikan wajah popular iaitu ‘sulam bedak’. Ia juga turut dikenali dengan nama BB Face Glow atau Water Shine BB Glow yang kesannya dapat dilihat selepas satu jam menerima rawatan.
Rawatan sulam bedak yang berasal dari Korea ini merupakan sapuan bedak asas separa kekal ‘semi permanent’ pada kulit wajah wanita dan ia memberikan kesan seakan memakai bedak setiap masa. Sulam bedak juga dikatakan dapat memudarkan pigmentasi, bintik hitam serta bekas parut jerawat, malah mampu mengatasi masalah tona kulit tidak sekata, tanpa menutup pori wajah. Kulit kusam akan berubah menjadi lebih cerah serta-merta dengan rawatan ini.
Namun yang menjadi isu adalah dari segi hukumnya pemakaian sulam bedak ini. Ada yang keliru memandangkan ia merupakan rawatan separa kekal.
Untuk penjelasan lanjut, jemput fahamkan perkongsian daripada Pendakwah Selebriti daripada rancangan Pencetus Ummah, Azman Syah Alias, 38 atau lebih dikenali PU Azmandalam soal jawab hukum berkaitan isu ini di laman instagramnya baru-baru ini.
Berikut penjelasan tersebut;
Cik Man menerangkan secara umum dan simple tanpa menyebut kaedah pendalilan yang ada dalam disiplin ilmu fiqh agar tidak memberatkan netizen.
Siapa saja yang boleh menerima pemakaian bedak serbuk yang mak-mak kita pakai sebelum keluar rumah, sudah pasti menerima tentang bolehnya sulam bedak. Kerana tujuannya sama iaitu untuk menghias diri.
Rujuk Prinsip Asas Islam
Cuma isunya, yang mungkin menjadi perdebatan ialah cara melaksanakan sulam bedak sedikit berbeza dgn pemakaian bedak biasa. Maka untuk menjawabnya, ia mestilah merujuk kepada prinsip asas Islam dalam berhias.
1. Tidak Memudaratkan
Antaranya, mestilah tidak memudaratkan. Dapatkan pencerahan daripada doktor / pakar yang akan menjalankan proses sulam bedak.
2. Objektif & Medium
Ada dua benda perlu dilihat di sini. Iaitu objektif dan medium. Objektif sulam bedak sama dengan objektif bedak biasa iaitu berhias. Maka jika terdapat medium yang haram, ia tidak akan mengharamkan objektif secara total. Kerana boleh diusahakan medium lajn yang tidak haram.
Contoh mudah. Makan nasi itu harus. Jika seseorang mencuri nasi, hal ini tidak menjadikan makan nasi itu haram secara keseluruhan kerana ada medium lain yang halal selain dengan mencuri iaitu minta izin terlebih dahulu.
3. Tidak Diperbuat Najis
Bahan tidak dibuat daripada najis. (hal ini pun dituntut juga dalam pemakaian bedak biasa).
4. Tidak Berubah Wajah
Tidak berlaku penipuan besar. (Maksudnya sebelum buat sulam bedak orang kenal dia sebagai Sakinah, tapi lepas buat selam bedak, orang ingat dia Fiona bini Shrek sampaikan orang tertipu dan keliru dalam berurusan dengan dia.
5. Air Sampai Ke Permukaan Kulit
Tidak menghalang air wuduk dan mandi wajib untuk sampai ke permukaan kulit.
Sulam bedak tidak sama dengan tatoo kerana ia tidak kekal. Soal penggunaan jarum mikro yang menyakitkan hal ini tidak menjadikan haram secara keseluruhan kerana teknik boleh berubah.
Hukum HARUS
Berdasarkan syarat-syarat yang Cik Man nyatakan di atas, yang juga menjadi isi perbincangan sebahagian ilmuan di atas meja mufti, maka sulam bedak adalah HARUS.
Korang jangan salah paham. Cik Man bukan nak promote orang buat sulam bedak. Ni huraian.
Pesan Cik Man pada diri sendiri dan semua, berhiaslah atas tuntutan agama dan tidak melampaui batas.
Sulam bedak untuk suami memberikan pahala.
Salam badak menempah bala.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat wanita yang masih keliru dengan hukum pemakaian sulam bedak, mendapat pencerahan daripada penjelasan yang dikongsikan ini. Apa-apa pun bercantik-cantiklah secara sederhana, dan mengikut tuntutan agama.
Jururawat hampir kehilangan RM4000 akibat emel palsu, "diminta verify kalau tak akaun Netflix digantung. Seorang jururawat hampir kehilangan wang simpanannya selepas menjadi mangsa penipuan...