Berita gembira buat mak ayah yang berada di negeri Sarawak, rebutlah peluang keemasan ini. Ada insentif baru diumumkan untuk anak-anak yang bakal lahir nanti di negeri tersebut.
Ini kerana Kerajaan Negeri Sarawak telah memperuntukkan RM40 juta bagi polisi terbaharu Sarawak iaitu setiap bayi yang dilahirkan bermula tahun hadapan akan diberikan simpanan sebanyak RM1,000.
Ianya diberi kepada anak-anak Sarawak tanpa mengira latarbelakang kaum, agama dan politik. Ianya hanya dapat dikeluarkan apabila mereka berusia 18-tahun dimana apabila mereka memerlukan wang tersebut khususnya bagi pembelajaran mereka.
“Bermula hari pertama tahun hadapan, semua kelahiran baharu rakyat Sarawak tanpa mengira kaum, agama dan status sosial akan mendapat intensif RM1,000 sekali.”
“Wang ini akan dilabur dan hanya boleh dikeluarkan apabila pemiliknya mencapai usia 18 tahun dengan tujuan utamanya ialah untuk melanjutkan pendidikan,” kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg pada Pembentangan Bajet Sarawak 2019 di Persidangan Dewan Undangan Negeri DUN Sarawak baru-baru ini.
Ads
Galak Lahirkan Anak
Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi berkata, pemberian intensif itu selain menyediakan simpanan pendidikan masa depan anak Sarawak ia juga satu galakan rakyat melahirkan lebih ramai anak.
Ads
Pemberian insentif itu sebagai galakkan kepada warga Sarawak melahirkan anak, sama ada di negeri atau di luar, agar lebih ramai anak Sarawak yang bijak dan kuat mempertahankan negeri ini.
“Saya memperkenalkan idea ini untuk menggalak rakyat Sarawak mempunyai ramai anak supaya kita mempunyai ramai lagi anak Sarawak yang gagah serta bijak mempertahankan kepentingan Sarawak pada masa akan datang,”
Ads
“Kerajaan Negeri bersetuju membuat keputusan bagi memperkenalkan dasar baru itu bertujuan untuk memenuhi keperluan pendidikan atau dana untuk melanjutkan karier mereka,” katanya.
MW: Tahniah buat orang-orang negeri Sarawak atas insentif yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri ini. Mak ayah orang Sarawak jangan lepaskan peluang ini, semoga mendapat manfaat yang diharapkan serta lebih ramai bayi-bayi comel yang dilahirkan di negeri tersebut.
Rupanya banyak kelebihan kalau si ayah rajin baca buku untuk anak, walau anak masih kecil kena mulakan.
Malah ada sesetengah mak ayah, tak suka belikan buku untuk anak sebab nampak anak cuma pandai rosakkan. Nak bacakan pun tak ada masa.
Hah, itu rugi. Cuba semak kebaikan baca buku pada anak, perkongsian saudara Najmi Nawani ini. Kalau rasa berat, mungkin boleh gilir-gilir dengan isteri. Yang penting anak suka dengar.
Alhamdulillah Maryam Deen dah tidur. Jadi aku pun nak berkongsi satu lagi nota ringkas dan padat malam ini. Kenapa baca buku sebelum anak tidur bagus dijadikan amalan.
Membaca dan bercerita kepada anak pastinya membantu untuk perkembangan imaginasi sihat. Kita akan membantu anak untuk berfikir dan berimaginasi dengan baik. Bantu anak berfikir jalan solusi kepada masalah yang dihadapi dan ini sebenarnya turut membuatkan kehidupannya akan lebih berwarna-warni.
Ianya ialah memori yang tenang dan pasti tidak akan dapat dilupakan. Menjadi ibu bapa pastinya kita mahu anak kita ingat bahawa kita sudah curahkan sepenuh perhatian dan kasih sayang kepada mereka. Saat-saat seperti inilah akan memautkan hati anak kepada kita.
Apabila kita membaca untuk mereka, kita sebenarnya sedang menanam benih-benih perkataan dan membantu untuk mereka lebih mudah untuk ingat. Lagi banyak ulang lagi bagus.
Dalam penceritaan penuh perasaan yang kita sampaikan. Pastinya akan terbit pelbagai persoalan dalam fikiran anak-anak. Lagi banyak kita membaca, lagi banyak soalan yang mereka ada. Maka lagi banyak jawapan yang akan mereka tahu dan ini buat otak mereka berkembang dengan baik.
Pastinya teknik ini secara tidak langsung akan membentuk anak untuk jadi sangat pandai dan bijak. Mereka cinta dan suka untuk membaca. Maka ketahuilah membaca ialah jambatan kepada ilmu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mak ayah akan lalui saat paling kental dalam hidupnya semasa menguruskan perjalanan akhir jenazah anaknya sendiri.
Cuma pernahkah mak ayah ambil tahu, apa yang perlu dilakukan apabila kematian itu berada di depan mata kita? Inilah yang dikongsikan oleh Nik Irma Rita Ns, ibu yang melalui sendiri pengalaman menguruskan jenazah anak kesayangannya, Dahlea Hawraa.
Si kecil Dahlea ini seorang ‘cancer fighter’ yang mengakhiri perjuangan hidupnya kerana bone marrow transplant.
Apakah pernah kita terfikir, suatu hari nanti kedua tangan ini akan menguruskan jasad tak bernyawa dan pada masa itu baru kita sedar, kita sebenarnya tak punya ilmu menguruskan jenazah?
Kita terlalu sibuk dengan urusan dunia. Sibuk mencari ilmu hingga anak sudah empat lima tapi masih sibuk mengejar ilmu dunia. Kita berlumba-lumba mencari mentelaah berbagai jenis ilmu.
Untuk menjadi guru terbaik, tukang masak terbaik, penjual atau pakar motivasi terhebat, tapi satu-satunya ilmu yang nampak remeh dipandang enteng, langsung kita tak ambil peduli, iaitu ilmu pengurusan jenazah.
“Argh.. bukan nak mati esok.. Anak masih sihat what? Mak ayah alhamdulillah, sihat walafiat.” Maka kita pun membiarkan bisik hati kecil itu berlalu dengan angin yang bertiup.
Sungguh, di saat nafas akhir Dahlea terhenti, aku tiba-tiba kaku dan kelu. “Apa aku nak buat ni Ya allah..”. Mujurlah ketika itu ada nurse menenangkan kami dan dia cakap, “Tak apa kak. Kami uruskan. Untuk bawa balik. Jenazah nak bawak ke mana?”.
Maka berterusanlah segala soalan dan tanda tanya bersambung sambung lepas satu-satu. Iya lah. Dah bawak balik, lepas tu? Apa nak buat? Keliru.
Maka inilah yang dapat diringkaskan, segala apa yang dapat aku pegang untuk peringatan dan rujukan masa depan.
Jika rumah dekat dengan masjid atau surau, bergaullah dengan ahli jemaah masjid/surau. Sekurang kurangnya bila ada kematian, mereka lah yang akan membantu dalam urusan memandikan dan mengkafankan jenazah.
Apa lagi nak solat jenazah usai semua telah selesai dan hendak di kebumikan.
* Sedikit input yang dapat dari perkongsian sahabat, isi borang ahli khairat supaya apa-apa urusan di kemudian hari sangat mudah kerana kita merupakan anak Qariah.
Ambil tahu tanah perkuburan yang terdekat dengan kawasan kita. Sungguh sedikit tertampar dengan diri sendiri, bila aku sendiri tak tahu di mana anak bakal dikebumikan.
Mujurlah ada ketua muslimah masjid membantu kami menguruskan urusan tanah kubur dengan satu panggilan. Ya, alhamdulillah aku kenal seorang dua orang masjid walaupun jarang sekali melangkah ke sana.
Kain batik lepas / kain sarung / kain tak berjahit. Ini lah yang selalu kita dengar orang tua-tua pesan. Kena ada sekurang-kurangnya sehelai dua.
Kain itulah yang akan digunakan untuk menutup jenazah, jika jenazah di bawa pulang ke rumah sebelum urusan pengkebumian dilakukan.
Dan kain batik lepas juga diperlukan ketika urusan memandikan jenazah. Jika jenazah dewasa memang perlu sekurang-kurangnya 4-5 helai. Tak terlepas kain tuala bersih untuk urusan memandikan jenazah.
Persediaan rumah dan tempat meletakkan jenazah jika dibawa pulang. Ini perkara penting dan ketika inilah ahli keluarga dan sahabat terdekat perlu memain kan peranan.
Ketika Dahlea meninggal dunia, kami memang benar-benar tidak menyangka kami akan membawa dia pulang dengan keadaan yang sudah tidak bernyawa.
Urusan kami di hospital, menyukarkan kami untuk menguruskan hal rumah. Maka ketika itu keluarga, sahabat dan jiran terdekat yang tolong kami mempersiapkan rumah.
Mengemas, dan sebuah katil kecil disediakan rapi untuk kami letakkan jenazah, usai tiba dari hospital. Jika tiada katil, tilam sudah mencukupi dengan sebiji bantal.
Kain jarang / selendang nipis diperlukan untuk menutup wajah jenazah, mudah untuk tetamu yang hadir melihat arwah kali terakhir.
Masih aku ingat, terkial-kial aku mencari selendang putih nipis, namun satu pun tiada. Mujurlah, dengan bantuan orang, tudung bawal digunakan.
Pastikan kita ada simpanan surah yasin sekurang-kurangnya 5-10 naskah. Letak berhampiran atau tempat yang senang untuk tetamu yang datang ambil dan membaca yasin.
Alhamdulillah, ketika itu kami memang banyak simpanan Yasin hasil dari hadiah doorgift kebanyakannya yang kami dapat dari majlis kenduri dan doa selamat.
Ini peranan ahli keluarga terdekat, sahabat dan jiran tetangga. Kita tahu ramai tetamu dan pengunjung yang akan datang ke rumah untuk memberi penghormatan terakhir.
Tuan rumah yang masih bersedih sudah pasti tidak mampu menyediakan apa-apa santapan untuk tetamu.
Jadi kalianlah harus memainkan peranan dengan niat membantu dan bersedekah, beli atau sediakan sedikit minuman dan makanan ringan untuk tetamu yang hadir.
Syukur tak terkira juga kami pada hari itu, jiran membantu membeli air kotak dan pelbagai jenis biskut, ada tetamu yang membawa buah tangan makanan dan bermacam lagi.
Tak ku lupa sahabat baik yang menempah dan membawa bihun goreng keesokan harinya untuk sarapan pagi kami dan ahli keluarga. Ya nampak kecil tapi bermakna sebenarnya. Banyaknya pahala mereka dapat hari itu.
Ini yang utama. Aku ada segala ilmu tapi aku jahil dan alpa dalam menuntut ilmu menguruskan jenazah. Ya, aku tak tahu bagaimana memandikan jenazah.
Aku tak tahu macam mana hendak mengkafankan jenazah. Namun semuanya telah elok di atur oleh Allah s.w.t.
Hari itu, aku dan dibimbingi seorang ustaz, dengan kedua tangan ini juga kami berpeluang memandikan dan mengkafankan jenazah anakanda Dahlea kami.
Walaupun suami sebenarnya tahu dan belajar bagaimana untuk menguruskan jenazah, tapi untuk keadaan hari itu, dia jadi kelu tiba-tiba seakan tidak tahu mahu berbuat apa. Kami hanya menurut telunjuk kata orang lain.
Bayaran yang kita perlu ambil tahu dalam menguruskan jenazah ialah, bayaran van jenazah, bayaran untuk penggalian lot tanah kubur( upah penggali kubur), bayaran pengurusan jenazah ( jika urusan memandikan dan mengkafankan dilakukan di masjid, ada bayaran dikenakan).
Dan baru aku tahu batu nisan dan kepok itu harganya sangat mahal. Maka dikedepan hari, aku tahu aku perlu membantu rakan-rakan yang ada kematian.
Jika urusan memandikan dan mengkafankan jenazah bakal dilakukan di rumah, belilah set kafan yang ada dijual di pasaran untuk simpanan kita.
Dulu aku memandang sinis dengan benda-benda macam tu, tapi kini tidak lagi. Aku tahu ia satu keperluan. Cuma kami bernasib baik , kerana pihak masjid mampu menyediakan semua.
Untuk lelaki, yang terbaik itu jika kalian sendiri yang menjadi imam untuk solat jenazah. Belajarlah. Bukankan itu yang terbaik? Selama mana kalian telah menjadi imam kepada keluarga kalian di sepanjang hanyat mereka, yang terbaik itu kalian sendiri yang menjadi imam di hari terakhir mereka.
Ianya memang sesuatu yang mudah utk dibicarakan namun sukar untuk dilaksanakan, bilamana suami sendiri tidak mampu untuk melafazkan kalimah keramat kerana diselubungi rasa kesedihan dan hanya mampu mengikut imam di saf kedua.
Belajarlah bagaimana keadaan jenazah harus diletakkan di dalam liang lahad. Moga bila ada antara ahli keluarga kita meninggal terutama ibu bapa kita.
Diarlah kalian anak-anak lelaki yang dengan sama-sama sendiri mengusung dan memasukkan jenazah ke dalam liang lahad.
Sungguh hari itu, tika ayah mertua ku di dalam liang menunggu untuk menyambut arwah Dahlea, hati kecil ku berkata “how mommy wish to be inside there adik, put you for your final sleep. But i can’t.”
Dan di saat dia telah kaku dan tidak bernyawa, dia mengajar dan memberi ruang untuk kami menjalankan tanggungjawab kami sebagai ibu bapa iaitu menguruskan perjalanan terakhir dia dengan kedua tangan kami sendiri.
Tak terbayang nilai kepuasan dan betapa beruntungnya kami dapat menguruskan jenazah anak dengan tangan kami sendiri.
Aku sudah belajar. Moga bermanfaat untuk kalian.
Dahlea Hawraa, Bunga syurga.
Dia sudah penat berjuang. Dia srikandi di medan perang sendiri.
Dalam kenangan : 19 March 2017 – 5 November 2018
91 days journey of bone marrow transplant.
Acute myleoid leukemia , high risk. Cause of death : Acute Graft Versus Host disease stage 4 (post haploid bone marrow transplant)
Pesanan buat para wanita, jangan mudah terpedaya dengan ayat-ayat cinta dan janji manis apatah lagi jika menjalin hubungan di alam maya. Ini kerana banyak kes yang berlaku wanita terjerat dengan cinta palsu, menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ sehingga mengakibatkan kerugian berpuluh malah beratus ribu ringgit.
Wanita kesunyian, berdepan masalah keluarga atau kematian suami yang meninggalkan harta menjadi sasaran mudah sindiket untuk mengaut keuntungan dengan menggunakan identiti palsu.
Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC), Datuk S Sasikala Devi, berkata pihak berkuasa menerima sekurang-kurangnya dua kes setiap hari membabitkan wanita berusia 30-an ke atas menjadi mangsa penipuan itu.
Katanya, ramai wanita yang sudah bersuami juga mudah terpikat dengan pujukan romantik mereka sehingga sanggup melakukan apa saja diarahkan termasuk memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun diberikan sindiket selepas terperangkap terbabit.
Malah, ada juga wanita dijadikan sebagai ‘keldai akaun’ kepada sindiket terbabit yang sebilangannya dikenali melalui media sosial terperangkap dengan ‘ayat cinta’ bagi mengumpan mangsa sehingga akhirnya terpaksa kerugian beratus ribu ringgit.
“Akaun berkenaan pula dipercayai milik keldai akaun terdiri daripada individu tempatan yang dijual atau disewa kepada sindiket serendah RM200 sebulan disebabkan kesempitan hidup.
Kes terbaru membabitkan seorang wanita dari Hong Kong, berusia 60 tahun mengalami kerugian sebanyak RM95 juta selepas memasukkan wang ke dalam satu akaun milik orang tempatan di negara ini yang dipercayai akaun keldai.
“Dalang sebenar tidak akan menggunakan akaun mereka sendiri untuk mengelak ditangkap, manakala keldai akaun pula tidak memegang kad bank berkenaan kerana sudah diberikan kepada sindiket.
“Apabila dalang ditahan, mangsa gagal mengenal pasti penjenayah semasa sesi pengecaman kerana gambar yang dilihat dalam internet sebelum ini berbeza daripada yang ada di depan mata,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab bertajuk ‘Krisis Digital Bagi Generasi Baharu, Menumpukan Wanita Sebagai Ibu’ sempena Forum Keseimbangan Kehidupan Kerja 2018 Antarabangsa (IWLBF 2018), di sini, baru-baru ini.
Dua ahli panel lain turut membincangkan tajuk berkenaan adalah Ketua Pegawai Operasi Talent Department, Prasana Sailanathan dan Pejuang Hak Asasi Kanak-Kanak, Nurul Eeman Mansor.Yang turut hadir, Pengasas ADLA Group, Datuk Hasnorliza Hassan.
Sasikala Devi percaya tumpuan sindiket adalah dalam kalangan wanita pelbagai lapisan usia yang menjadikan alam maya sebagai perangkap ‘cinta’.
“Penjenayah siber lazimnya akan menyamar menggunakan gambar berwajah ‘Mat Salleh’ yang kacak, tetapi sebenarnya ‘Pak Hitam’ yang menggunakan kata-kata romantik untuk memerangkap wanita sebagai sasaran,” katanya.
Justeru, bagi mengekang isu ini, anak juga perlu memainkan peranan dengan mengambil berat apa yang dilakukan ibu mereka sekiranya sering dilihat banyak menghabiskan masa melayari internet.
“Kalau ibu anda selalu bersendirian di dalam bilik dengan telefon atau komputer, pastikan dengan siapa dia bersosial kerana kita bimbang mereka mudah terpedaya dengan sindiket penipuan di dalam internet,” katanya.
Selalunya, ibu atau bapa yang kerap memantau anak kerana risau apabila anak obses melayari internet, sebaliknya peranan sama perlu dimainkan mereka untuk kebaikan bersama.
“Bukan saja ibu bapa yang perlu risau dengan jenayah siber membabitkan anak, tetapi anak juga perlu mengambil tahu aktiviti dilakukan orang tua mereka di internet,” katanya.
Beliau menasihatkan wanita supaya tidak mudah terperangkap dengan janji manis atau terpedaya dengan helah sindiket yang memang licik menggunakan pelbagai kelemahan individu.Wanita juga seharusnya menyiasat latar belakang lelaki bagi mengelak sebarang penipuan sehingga merugikan diri sendiri dan wang ringgit.
Sementara itu, Nurul Eeman Mansor, berkata krisis digital lebih cenderung membabitkan remaja di bandar berbanding di luar bandar.
“Teknologi digital tidak dinafikan banyak membantu memudahkan kehidupan seharian, tetapi masyarakat tidak boleh membiarkan robot mengambil alih peranan manusia.
“Kanak-kanak dan remaja mudah dijadikan mangsa buli siber sehingga mengakibatkan mereka murung, tetapi masalah berterusan kerana tiada tindakan tegas daripada ibu bapa untuk mengawal penggunaan teknologi ini,” katanya.
• Januari hingga Ogos 2018 – 1,301 kes
* Kerugian RM83.6 juta di seluruh negara .
• Sepanjang 2017 – 1,652 kes
* Kerugian RM61.9 juta di seluruh negara.
MW: Semoga para wanita mengambil pengajaran dan iktibar daripada perkongsian ini. Jangan mudah terjebak ‘cinta’ di alam maya. Siasat dulu latar belakang serta tidak mudah percaya dengan kata-kata manis, apatah lagi apabila melibatkan wang ringgit!
Dek kerana minat seni batik, Nur Shakilah Abd. Kadir, 25, memilih jalan berbeza apabila sanggup meninggalkan bidang pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan demi mengangkat seni warisan ini.