Benar ada benarnya, bukan mudah untuk mengemudi rumahtangga untuk terus bertahan hingga ke akhirnya. Dalam perhubungan bukanlah harta dan kemewahan yang diinginkan, sebaliknya bagi kebanyakan isteri, cukuplah suami dapat beri perhatian dan ambil berat pada dirinya, serta fokus tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Untuk faham lebih lanjut, baca perkongsian daripada Muhammad Hassan ini.
Semalam Apabila saya ajukan soalan apa isteri mahu dari pasangan?
Rata-ratanya yang menjawab mahukan Perhatian, mahukan suami yang mengambil berat tentang mereka. Fokus kepada tangungjawab sebagai seorang suami. Tangungjawab disini bukan sahaja memberi nafakah semata,namun lebih kepada menyantuni jiwa mereka.
Rupanya isteri bukan matlamatnya harga,kemewahan.
Paling penting bimbing mereka supaya tunduk dengan agama. Tenang emosi apabila datangnya gelora,bukan selesai masalah dengan amarah kepada isteri.
Ads
Apabila saya tanya isteri sendiri,jawapan lebih kurang sama. Saya mula terfikir,saya ambil peka hal ini. Memori mereka sangat kuat. Masih ingat janji janji kita sebelum kahwin. Masih ingat layanan kita diawal perkahwinan.
Suami yang caring. Tak banyak sikit pun tak mengapa. Cukup dengan suami bertanya khabar dia, dengar luahan dia,santuni dia. Peluk dia saat bersedih, bersembang dengan dia tentang apa sahaja.
Paling kurang pun jadi suami yang setia mendengar apa masalah isteri dipejabat,dirumah. Ambil peduli tentang masalah anak,kesihatan anak anak,pembelajaran anak anak.
Ads
“Sayang sihat hari ini?” “I love you sayang”
Suami Nampak Remeh, Tidak Bagi Isteri
Kita suami nampak perkara ini remeh,namun tidak bagi mereka. Mereka dahagakan kasih sayang kita,dahagakan layanan kita,mereka perlukan Suami yang cukup peka tentang diri mereka.
Nabi Muhammad s.a.w seorang Rasul,pemimpin,dari sekecil masalah umat sehingga fikir bagaimana setiap manusia mentauhidkan Allah. NAMUN tidak sikit pun mengabaikan soal hati isteri. Setiap hari bertanya khabar tentang kesihatan isteri,tidak menyusahkan isteri,seorang suami yang sangat memberi perhatian walaupun hanya dalam perkara kecil. Pakaian dijahit sendiri,ajak isteri lumba lari,faham bahasa wajah isteri saat sedih atau gembira.
Ads
Menzahirkan kasih sayang terhadap isteri itulah mengharmonikan perjalanan rumahtangga. Bukan sayang hanya sekadar dihati memendam rasa.
Suami. Satu masa nanti jika mereka pergi,mungkin ketika itu kita tangisi untuk jadi pendengar yang setia. Hargai dia,cintai dia,pegang tangan dia,zahirkan cinta kita saat mereka ada .
-EncikMatt-
#LelakiBurQa
#IsteriAnugerahTerindah
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat pasangan suami isteri. Jadi pesanan buat para suami selalulah beri perhatian dan ambil berat pada isteri, serta fokus tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Itulah yang isteri mahukan dalam hubungan rumahtangga.
Saya telah mendirikan rumah tangga kira-kira lima tahun. Semuanya atas jodoh yang sama sekali saya tidak menyangka hadir semula selepas 10 tahun hidup sendirian. Sebelum menerima suami, saya meminta pendapat dari ahli keluarga.
Sama ada suami sesuai atau tidak jodohnya dengan saya. Ramai yang meminta saya menerimanya kerana bakal suami nampak baik dan mementingkan solat ketika kami baru berkenalan dahulu.
Memandangkan pernah ada sejarah perkahwinan lalu yang agak menyedihkan, semua itu membuatkan saya menjadi lebih berhati-hati untuk melangkah ke frasa mendirikan rumah tangga semula.
Masih saya ingat, semasa perkahwinan pertama, awalnya saja saya bahagia tetapi selepas itu rumah tangga mulai haru-biru bila suami diberhentikan kerja.
Setahun berlalu dia masih selesa dengan caranya menjaga anak-anak dan hanya saya yang bekerja untuk melunasi semua hutang piutang yang kami buat semasa awal perkahwinan.
Mulanya saya masih boleh bersabar tetapi lama kelamaan saya mulai bosan kerana suami seperti tiada tanda untuk bekerja semula dan saya mulai tebal muka meminjam pada ahli keluarga semata-mata mahu mencukupkan keperluan harian.
Kami bergaduh dan suami yang berang terus melafazkan talak. Biar sedih tetapi sejak itu, hati saya bahagia biarpun tidak sekaya mana. Saya tahu bagaimana untuk mencukupkan keperluan dua orang anak yang bersekolah rendah.
Kebetulan rezeki saya mulai murah selepas saya berjinak-jinak menjadi agen kepada satu produk popular. Bekas suami meminta untuk rujuk kembali tetapi saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
Menceburi dunia bisnes membuat saya kenal ramai orang. Dari menjadi agen, saya naik menjadi stokis dan saya mulai dikenali. Tidak saya nafikan ramai yang menunjukkan minat untuk berkenalan, tetapi saya lebih senang membesarkan dua orang anak secara sendiri. Mungkin juga saya takut untuk hidup dengan lelaki lain.
Suami Berubah Bila Isteri Semakin Sibuk
Berbalik kepada perkahwinan kedua, majlis dilangsungkan selepas semuanya mendapat restu keluarga. Majlis kami sederhana saja kerana saya dan dia pernah melalui frasa perkahwinan sebelum ini.
Setahun dua, semuanya nampak elok malah perniagaan saya mulai berkembang. Saya dan suami sepakat untuk mengeluarkan produk kecantikan sendiri kerana saya yakin dengan kemampuan saya dan nampak peluang yang harus saya ceburi itu.
Di peringkat awal, kami lakukan bersama-sama. Sebenarnya bukan mudah untuk memulakan satu perniagaan berbanding mengambil produk orang kerana banyak modal yang harus dikeluarkan.
Enam bulan kemudian, lahirlah produk kecantikan kami. Agak berat awalnya kerana modal kami bukanlah banyak tetapi permintaan mulai ada sedikit demi sedikit. Itulah kata orang, rezeki anak-anak kerana rumah tangga yang kami bina itu dikurniakan seorang anak untuk pengikat kasih.
Bila saya semakin sibuk, entah mengapa perangai suami jadi berubah. Dia mulai marah-marah, katanya saya terlalu sibuk dengan urusan luar dan tidak lagi menguruskan rumah tangga sepenuhnya sedangkan dia juga tahu, kerana dia sentiasa bersama dengan saya.
Pernah suami memberi amaran kerana dia tidak suka ada ramai lelaki mendekati saya dan semua itu membuatkan saya jadi serba salah. Ya Allah, kami jadi berbalah tentang hal ini sedangkan dia tahu saya bekerja keras untuk mencari rezeki buat keluarga, untuk kesenangannya juga.
Sikap cemburu suami semakin menjadi-jadi malah saya pernah ditampar kerana berbual dengan salah seorang stokis yang berjaya membuat jualan terbanyak syarikat suami.
Sekarang saya dan suami telah berpisah rumah dan kami pernah ke pejabat agama untuk sesi kauseling. Saya membuat pengaduan tahap cemburunya antara faktor saya memilih untuk berpisah dan suami juga ego dengan caranya.
Apa yang harus saya lakukan kerana saya tidak pernah menyangka yang perkahwinan kedua ini juga bakal bermasalah. Apa yang harus saya lakukan? Dapatkah perkahwinan saya ini diselamatkan?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Madu itu manis, tapi bermadu itu pahit bagi wanita bergelar isteri! Kadangkala tertanya-tanya, apa kesilapan mereka hingga diri dimadukan dalam diam?
Ikuti luahan hati seorang wanita yang telah dijawab oleh kaunselor dan penulis bebas, Puan Hajah Maimunah Mohamad. Beliau juga salah seorang penulis tetap di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Assalamualaikum puan. Saya berusia awal 40-an. Memiliki empat orang cahaya mata, dua lelaki dua perempuan. Saya beryukur kerana mempunyai suami yang penyayang, anak-anak yang sihat dan boleh dikatakan cemerlang di dalam pelajaran.
Yang sulung kini di Ireland mengikuti jurusan kedoktoran; kedua di UiTM di dalam jurusan Mechanical Engineering, ketiga di UIA di dalam jurusan Undang-Undang dan keempat sedang menunggu keputusan SPM (ketika e-mel ini dihantar).
Dulu Suami Isteri Hidup usah
Suami seorang ahli perniagaan dan saya pula tidak lagi bekerja selepas anak kedua lahir. Soal duit tak jadi masalah dan kami mampu hidup selesa. Namun, kami bukan sesenang sekarang. Awal kahwin, saya bersusah payah bersama suami yang baru nak membina perniagaan. Sehinggalah akhirnya dia memiliki beberapa buah syarikat.
Saya jenis isteri yang tak pernah campur urusan kerja suami dan fokus saya pada anak-anak. Sejak anak-anak kecil, saya yang uruskan segala-galanya tentang mereka; pelajaran dan sebagainya. Suami hanya akan berikan duit. Tapi saya tak kisah kerana faham tanggungjawab masing-masing.
Banyak Urus Anak
Walau pun ada bibik, tapi saya selesa bab memasak, saya tak lepas tangan kerana suami dan anak-anak cerewet soal makan. Kami jarang makan di luar kecuali nak meraikan hari-hari tertentu seperti hari jadi dan sebagainya.
Saya juga bersyukur, dua anak gadis saya rajin membantu mengemas dan memasak. Mungkin kerana saya dah didik mereka sejak kecil. Yang lelaki juga sama, malah mereka pandai masak walau pun tak lah sehebat chef. Bolehlah masak untuk mereka makan. Jadi, saya tak risau bila anak-anak belajar jauh kerana bab makan, mereka akan masak sendiri.
Jika suami cuti lama, kami akan curi masa untuk melawat anak sulung di Ireland. Kalau dia sibuk, kadangkala saya pergi bercuti bersama anak-anak atau rakan-rakan saya. Tak Pernah merungut kalau suami sibuk kerana faham nak uruskan bisnes bukan mudah.
Isteri Aktif NGO
Di kala anak-anak sudah besar, saya punya banyak masa luang dan itu yang membuatkan saya menyertai beberapa NGO. Dapatlah saya hilangkan kebosanan bila anak-anak sibuk dengan pelajaran dan suami juga sibuk dengan kerjanya.
Saya seronok bila dapat menyumbangkan tenaga untuk badan-badan tersebut. Itu juga bagi saya, salah satu cara untuk saya mencari sedikit pahala untuk amalan. Kadangkala saya turut menyertai misi ke luar negara menerusi badan-badan sukarelawan tertentu.
Selain itu, saya banyak menyertai kelas pengajian bagi menimba ilmu agama dan saya ada ‘geng road to jannah’. Kadangkala kami akan ronda-ronda, sambil makan-makan, kami cari masjid untuk ‘merasa’ pengalaman solat di situ. Rasa seronok yang sukar digambarkan.
Suami Buat Perangai
Menuju ke usia emas, saya inginkan kehidupan yang tenang. Bersama suami dan anak-anak. Namun, ternyata dugaan hebat muncul di penghujung usia.
Sejak tahun lalu, saya perasan suami bersikap pelik tapi saya cuba bersangka baik. Namun akhirnya terjawab semua apabila dia pergi menunaikan umrah awal tahun ini. Saya tak ikut serta kerana saya baru saya menunaikan umrah hujung tahun lalu. Ketika itu suami tak boleh pergi kerana banyak kerja katanya.
Kuasa Tuhan, ada salah seorang sahabat ‘ Road To Jannah’ saya turut menunaikan umrah pada waktu yang sama dan terserempak dengan suami ketika di Madinah. Sekembali ke Malaysia, rakan itu terus berjumpa saya. Katanya, puas dia berfikir namun demi sayangnya pada saya, dia rasakan dia patut luahkan. Dia pulang beberapa hari lebih awal.
Madu Kenalkan Dirinya
Rupanya di Mekah, dia terserempak dengan suami dengan seorang wanita muda. Bila ditanya, suami mulanya hanya diam namun wanita itu yang menjawab yang dirinya adalah isteri kepada suami!
Tuhan saja yang tahu apa yang saya rasa ketika itu. Tiada air mata yang mengalir kerana saya sangat terperanjat. Dalam diam, suami memadukan saya rupanya! Dia menunaikan umrah bersama isteri muda.
Saya memohon kekuatan daripada Yang Esa dan akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami sebaik dia kembali ke tanah air. Dia seolah dapat menduga saya akan bertanya hal tersebut. Dia mengaku, dia telah berkahwin dengan seorang janda anak tiga, hujung tahun lepas ketika saya menunaikan umrah.
Waktu inilah air mata saya tumpah. Sebelum ini hati saya cuba menafikan berita yang disampaikan oleh rakan saya itu tapi bila keluar daripada mulut suami sendiri, ia adalah satu hakikat.
Lepas Tau Dimadu, Perasaan Tak Keruan
Saya masih keliru dengan apa yang terjadi. Hati saya sakit dan marah tapi tak mampu saya luahkan. Memang benar suami mampu berpoligami. Tapi sebagai isteri, ia teramat pedih untuk saya telan. Rasa diri ini dikhianati. Wanita itu masih muda, baru berusia 32 tahun.
Saya sedaya upaya melayan suami dengan baik jika giliran dia di rumah. Namun saya tak dapat membohongi kedukaan hati saya. Sikap saya berubah. Jarang berbual dengannya lagi. Walau pun pelbagai cara dilakukan untuk mengambil hati saya, tapi hati saya seolah-olah sudah layu.
Saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan dalam keadaan ini. Saya cuba reda untuk terima namun hati saya amat sakit.
Luahan Hati: Isteri Terluka, Melaka.
Jawapan Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Poligami adalah perkara yang tidak disukai oleh isteri, tetapi disukai oleh ramai suami. Ada suami yang mampu dan mahu berpoligami. Ada yang tidak mampu tetapi mahu berpoligami.
Tanggungjawab
Ada yang mampu tetapi tidak mahu berpoligami kerana tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang lebih berat. Kepada seorang isteri ia adalah suatu kecurangan terhadap kesetiaan dan kasih sayang yang telah diberikan sepanjang perkahwinan.
Tiada wanita yang mahu dimadukan oleh suaminya. Kepada suami diberikan kasih sayang, layanan yang baik, dijaga makan dan pakaiannya, diberi asuhan yang sempurna kepada anak-anak , namun kenapa suami mencari wanita lain selain dia. “Apa salah saya” adalah soalan yang biasa diajukan oleh isteri apabila suaminya ada wanita lain, sama ada dalam alam percintaan dengan wanita lain, mahupun suami telah berkahwin dengan wanita lain. Rasa dikhianati, rasa tertipu, rasa keliru dan kecewa bermain dalam emosi yang remuk redam.
Isteri Tak Mudah Terima
Puan yang dirahmati Allah. Saya dan pembaca memahami situasi yang puan alami. Bukan mudah untuk menerima hakikat dan berhadapan dengan hakikat suami telah ada seorang lagi wanita lain yang disayangi suami.
Tidak dinafikan untuk menerima dan menyayangi suami seperti sebelumnya teramatlah sukar. Ada kebenarannya yang puan sebut, tidak mampu berbohong dengan diri. Namun, kehidupan perlu dilalui bersama suami. Apa yang perlu dilakukan?
Pertama, ambil masa untuk menerima suami. Luka yang teruk pastinya memerlukan rawatan yang lama. Malah luka itu perlu ubat yang kuat untuk menyembuhkannnya. Antara ubat itu adalah banyak mengingati Allah melalui solat, doa, zikir, membaca al-Quran. Kerap mengikuti kuliah agama juga antara penawar untuk sembuhkan luka.
Luka ini pula kalaupun sembuh pastinya meninggalkan parut yang boleh memberi sedikit kecacatan. Malah setiap kali pastinya akan terkenang apabila melihat parut itu. Namun parut tidak boleh hilang bukan? Maka apa yang suami lakukan terhadap puan mungkin sukar untuk dilupakan.
Tidak mengapalah jika hati masih rasa berat untuk menerimanya. Puan boleh melayan perasaan itu. Kita tidak mampu berbohong apabila kepercayaan dicalari. Namun membiarkan perasaan sebegitu dalam tempoh yang lama juga memberi kesan buruk kepada puan. Aktiviti seharian tidak terfokus, emosi tidak gembira, kecewa dan sebagainya.
Lihat Apa Yang Dimiliki
Sebagai manusia kita perlu meneruskan kehidupan. Cuba puan lihat sekeliling dan lihat kehidupan yang puan miliki. Puan punya anak-anak yang berjaya, punya harta, punya masa dan hobi yang puan boleh lakukan, puan juga mampu menjalankan kerja-kerja amal dalam hidup yang ramai orang belum dapat melakukannya.
Puan juga punya suami yang bertanggungjawab.Tiada apa pun kekurangan yang puan miliki. Namun, Allah hanya beri sedikit ujian ini. Ujian suami ada wanita lain. Jika ditakdirkan puan dilanda ujian yang lebih besar bagaimana? Ujian pastinya ada dalam hidup bagi meningkatkan keimanan kita. Bila ingin mengubat hati, pasti kita bermunajat dan lebih banyak memohon kepada Allah agar hati kita tidak kecewa dengan begitu lama.
Isteri Kena Luahkan Dan Jangan Simpan
Daripada apa yang puan nyatakan, saya dapat memahami bahawa puan tidak dapat membohongi diri puan untuk menyayanginya. Untuk meringankan kekecewaan yang puan hadapi, terus terang katakan kepada suami bahawa hati puan tidak dapat menyayanginya walaupun telah cuba. Puan ada menyebut tidak mampu luahkan.
Jangan biarkan ianya tersimpan dalam hati. Perlu luahkan kepada suami. Lihat responsnya. Kalau dia tidak respon bermakna dia tidak kisah kepada persoalan hati dan perasaan. Maka tidak perlu puan menjeruk rasa terhadapnya. Puan boleh memilih sama ada puan belajar dan berusaha menyayanginya atau pun puan kekal untuk perasaan biasa-biasa terhadapnya.
Perasaan kasih dan sayang terhadapnya boleh diagihk-agihkan kepada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang puan terlibat. Ini adalah salah satu cara bagaimana puan boleh mengubat hati yang duka kerana puan tidak memfokuskan kasih itu kepada suami sahaja. Banyak ruang dan peluang untuk menyebarkan kasih sayang dan dengan sendirinya hati puan akan terubat.
Banyakkan sedekah, menyantuni asnaf dan anak yatim. Insya-Allah, lagi banyak kebaikan yang puan lakukan untuk manusia lain dan untuk agama Allah, suatu hari Allah akan “campakkan” ketenangan dan kebahagiaan dalam diri puan. Wallahuallam.
Pesanan buat para suami yang tercari-cari apakah hadiah sesuai nak bagi pada isteri boleh pertimbangkan untuk beli barang kemas. Malah jika berkemampuan boleh hadiahkan isteri emas setiap bulan, disamping didik isteri jika ada duit untuk beli emas.
Ramai sedia maklum, beli dan simpan emas pelaburan aset yang menguntungkan. Emas takkan susut nilai, malah nilainya semakin meningkat kelak. Dalam keadaan memerlukan duit, emas boleh digadai untuk mendapatkan tunai segera.
Untuk fahamkan lebih lanjut baca perkongsian Encik Hayat Muhamad ini.
“Pokyat, aku duduk terfikir nak belikan isteri aku hadiah. Apa hadiah yang sesuai untuk isteri?”
Jawapan:
Beli bunga tak salah.
Belanja tempat makan sedap-sedap tak salah. Semua ada kenangan.
Tapi bunga akan layu. Makanan yang sedap akhirnya jadi najis.
Jawapan Pokyat ialah beli emas kat isteri. Cuba untuk tiap- tiap bulan beli emas kat isteri.
Kenapa pulak Pokyat? Habislah duit macam tu!
Emas Tidak Akan Susut Nilai
Emas tidak akan susut nilai. Didik isteri kalau dia ada duit, beli lah emas. Kalau tak ada duit banyak, cukuplah beli cincin kosong RM 300 ringgit. Cuma pastikan emas 916. at least.
Aku nak cakap, orang kita kurang kesedaran menyimpan emas. Bagi Pokyat, emas kalis inflasi. Emas sepanjang masa, sepanjang zaman, kat manapun kat dunia, ia masih ada nilai.
InsyaAllah kalau ikutkan harga emas, ia akan berterusan meningkat. Jadi sesiapa yang menyimpan emas, dia akan beruntung. Gelang Emas RM10k zaman mak- mak kita sekarang mungkin dah menjangkau RM17k pada zaman kita.
Beli Emas 916
Kedua, Tadi Pokyat cakap kenapa emas mestilah at least 916? ( Ada emas yang lagi tinggi dan padu iaitu 99.9.)
Cara nak cairkan emas mudah sahaja iaitu jual pada Tukang Emas. Kalau emas bermutu rendah, anda juga akan dapat harga yang rendah.
Kalau 916, anda akan dapati harga dia maintain ok. Walaupun emas anda buruk, ia tetap ada harga.
Didik isteri supaya jangan membazir membeli perkara yang tidak berfaedah. Beli emas sebanyak mungkin.Kalau cincin berharga RM300, pastu beli sebentuk setiap bulan, dalam setahun dah ada RM3600. Ada bonus beli rantai tangan pulak.
Emas Boleh Digadai
Perkara paling penting ialah, emas boleh digadai apabila susah atau terdesak. Kalau harga RM300, nak dapat RM200 segera memang kacang. Itulah manfaat yang orang tak nampak. Kalau ada 10 bentuk cincin, nak dapat RM2000 memang mudah. Cari yang kos simpan rendah.
Lepastu kesemua cincin- cincin tu boleh trade in pastu tambah sikit duit, untuk dapat gelang emas yang lebih besar.
Nampak macam Pokyat mengarut kan, tapi kalau betul- betul fokus dengan “satu cincin setiap bulan”, nanti tengok lah 10-20 tahun, aset ini akan bertambah. Setahun RM3600, kalau 10 tahun = RM36,000. Pastu harga naik pulak.
Orang perempuan dan orang kedai emas mesti suka dengan plan dan cadangan Pokyat ni.
Percayalah, kalau kita susah masa tinggal batu je, isteri boleh bantu kita dengan hadiah- hadiah yang kita pernah bagi ni lah.
MW: Jadi pesanan buat para suami, kalau takde idea nak bagi hadiah apa dekat isteri, boleh belikan emas. Didik isteri untuk beli barang kemas juga bila ada duit. Memang untung dan banyak kelebihannya. Bukan sahaja isteri boleh bergaya melaram, malah boleh simpan sebagai aset dan bila-bila ‘sesak’ boleh dijual semula.
6 tahun jaga suami terlantar parah akibat kemalangan, isteri diuji pasangan berkahwin lain. Pengorbanan seorang isteri menjaga suami yang terlantar akibat kemalangan jalan raya...